KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, January 3, 2014

GARIS PANDUAN MyGAP- SEKTOR TANAMAN

PENGENALAN
1.1 Amalan Pertanian Baik (APB) Satu sistem pengurusan sumber dalam pengeluaran pertanian secara baik dan lestari. Sistem ini dijangka dapat meningkatkan produktiviti ladang serta menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti dengan mengambil kira kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja serta memelihara alam sekitar.

1.2 Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM)
Satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2002 untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan APB berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. Skim ini dibangun berpandukan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities- Good Agriculture Practices (GAP).

1.3 Malaysian Good Agricultural Practices (MyGAP)
MyGAP merupakan penjenamaan semula bagi menggantikan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM)
bagi sektor tanaman.




2. FAEDAH PENSIJILAN

  • Menghasilkan produk-produk pertanian yang berkualiti dan selamat dimakan kerana kandungan residu racun makhluk perosak adalah di paras yang dibenarkan. 
  • Mengurangkan pencemaran alam sekitar. 
  • Mengutamakan kaedah kawalan perosak bersepadu. Mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak. 
  • Menjamin keselamatan serta kebajikan pekerja ladang.
  • Meningkatkan hasil pengeluaran yang lebih berkualiti.
  • Hasil pertanian mudah dikenali dan dapat bersaing dipasaran domestik dan antarabangsa.
  • Membantu membangunkan industri pertanian negara secara mesra alam dan lestari. 
  • Logo MyGAP pada label produk dapat meyakinkan pengguna terhadap keselamatan produk tersebut.

3. TAKRIFAN

Audit - 
Aktiviti pemeriksaan dan pengesahan dalam proses pensijilan.
Residu Sisa baki racun perosak.
JK Pensijilan - 
Badan yang bertanggungjawab menimbang
dan meluluskan pensijilan.
Ladang - 
Ladang Kawasan di bawah kawalan seorang pengusaha atau sekelompok pengusaha termasuk segala aktiviti perladangan atau perusahaan.
Kawalan Perosak Bersepadu - Kawalan yang menggabungkan beberapa kaedah untuk mengurangkan populasi perosak ke paras yang rendah dan tidak mendatangkan kerosakan ekonomik dengan mengambil kira faktor ekologi dan biologi tanaman. 
Pengusaha  - Individu atau perusahaan perniagaan yang bertanggungjawab memastikan penghasilan produk pertanian.
Logam Berat - Kumpulan logam yang mempunyai
ketumpatan tinggi melebihi 5 gm/cm3.
Projek Pertanian Moden - Kawasan yang dibangunkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi pengeluaran makanan.
Ladang Kontrak - Pengusaha tanaman yang menandatangani perjanjian jualan dengan FAMA.
Projek TKPM  - Kawasan yang dibangunkan oleh Jabatan
Pertanian sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
Lestari - Mapan, tidak berubah-ubah, kekal, tetap.


4. KRITERIA PERMOHONAN
Kategori pemohon adalah seperti berikut:

i. Persendirian
ii. Syarikat Swasta
iii. Peserta Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan
(TKPM)
iv. Agensi/Badan Berkanun
v. Peserta Ladang Kontrak
vi. Pusat Pertanian dibawah seliaan Jabatan Pertanian
vii. Peserta Projek Pertanian Moden

Pemohon hendaklah memastikan:

i. Tanah yang diusahakan sah di sisi undang-undang
ii. Ladang telah mula bertanam dan mengeluarkan
hasil
iii. Hasil yang dikeluarkan adalah bertujuan untuk jualan domestik atau eksport.


5. PROSEDUR PERMOHONAN
Permohonan MyGAP hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang Permohonan MyGAP 1 (Rujuk
Lampiran 2). Borang MyGAP 1 boleh didapati di:

i. Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Putrajaya
ii. Jabatan Pertanian Negeri
iii. Pejabat Pertanian Daerah
iv. Laman web http://www.doa.gov.my

Semua Borang Permohonan MyGAP yang telah lengkap
hendaklah dikemukakan kepada Urus Setia melalui Pejabat
Pertanian Daerah. Set dokumen yang perlu dihantar
adalah seperti berikut:

i. Borang Permohonan MyGAP 1
ii. Senarai Semak Permohonan MyGAP 1-1
iii. Salinan kad pengenalan / Sijil Pendaftaran SSM yang telah disahkan
iv. Salinan geran tanah pada kawasan yang diusahakan
v. Salinan surat perjanjian sewa tanah / surat kebenaran mengusahakan tanah


6. KADAR CAJ PERKHIDMATAN
Penyertaan skim ini adalah secara sukarela dan perkhidmatan diberikan secara PERCUMA kepada pemohon bagi tujuan pensijilan.


7. KRITERIA PENILAIAN
Pemohon mesti lulus ketiga-tiga perkara berikut iaitu:

i. Pemeriksaan tapak
ii. Sampel air dan hasil bagi analisis residu, logam berat dan bakteria
iii. Verifikasi / amalan ladang


8. PROSES PENSIJILAN
Sila Rujuk Carta Alir Proses Pensijilan MyGAP - Lampiran 1.
Tempoh kelulusan pensijilan adalah dalam tempoh 6 hingga 24 bulan.



9. AUDIT

Pra-Audit
i. Dijalankan bagi memastikan pengusaha mengamalkan  APB sehingga mendapat pensijilan MyGAP.
ii. Pegawai pra-audit terdiri daripada Pegawai Jabatan Pertanian peringkat Daerah.
iii. Pegawai Jabatan Pertanian peringkat Daerah akan
mengambil sampel hasil untuk tujuan analisis residu
racun makhluk perosak dan logam berat.

Audit Susulan
i. Audit luar dijalankan bagi mengenalpasti pengusaha mengamalkan dan mematuhi APB berdasarkan standard yang telah ditetapkan dan seterusnya mengesyorkan untuk dipersijilkan.
ii. Pengauditan akan dilaksanakan oleh Pegawai Jabatan Pertanian (Teknikal) yang kompeten.


10. TEMPOH SAH LAKU
Tempoh sah laku pensijilan MyGAP adalah selama dua (2) tahun.

Pemantauan berkala akan dijalankan sekurang-kurangnya satu (1) tahun sekali oleh pihak Jabatan Pertanian.


11. PEMBAHARUAN
Bagi tujuan pembaharuan, pemohon perlu mengemukakan Borang Permohonan MyGAP 13-2 (Rujuk Lampiran 2) yang telah lengkap diisi. Pembaharuan pensijilan perlu dibuat setiap dua tahun dan permohonan perlu dikemukakan dalam tempoh enam (6) bulan sebelum tamat tarikh sah laku. Pembaharuan sijil akan dikeluarkan sekiranya ladang masih mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Sila Rujuk Carta Alir Pensijilan di Lampiran 1.


12. PEMBATALAN SIJIL
Pengiktirafan MyGAP boleh ditarik balik atas sebab seperti
berikut:

i. Tidak memperbaharui sijil setelah tamat tempoh
ii. Jika dalam tempoh tersebut ladang itu didapati gagal mematuhi syarat- syarat yang ditetapkan
iii. Menyalahgunakan sijil dan logo MyGAP dalam apa jua cara.

13. PERTANYAAN
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi pihak kami di alamat yang tertera di bawah:
 
Jabatan Pertanian Malaysia
Urus Setia
Seksyen Pensijilan Ladang
Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman
Jabatan Pertanian, Wisma Tani, Aras 7
No. 30, Persiaran Perdana, Presint 4
62624 PUTRAJAYA.
No. Telefon : 03 - 8870 3597 / 3570 / 3566 / 3580 / 3569
03 - 8870 3587 / 3454 / 3193.


Sumber Rujukkan:  Lamanweb Kementerian Pertanian Malaysia

MEMOHON SALM...MYGAP JUGA...
IKUT PROSEDUR...MUDAH SAHAJA...
AMALAN LADANG...BAIK SENTIASA...
SIJIL DIBERI..SETAHUN SAHAJA...

By,
M Anem, 
Senior Agronomist, 
Precint 11, Putrajaya,
Malaysia.
(1 RabiulAwal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...