KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, January 27, 2014

NASI KERABU

NASI KERABU merupakan sejenis makanan tradisional masyarakat Melayu terutama di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia semenjak dulu lagi. Nasi kerabu adalah sejenis NASI ULAM yang dimana lazimnya nasi dihidangkan adalah mempunyai warna biru. Nasi kerabu memang unik kerana warna BIRU nasinya yang lain daripada biasa (putih) dan dihidangkan dengan pelbagai bahan lain seperti keropok, ayam goreng, ikan kering, ikan, telur masin, sayur-sayuran, ulam-ulaman, budu dan banyak lagi komponen. Dahulu saya tertanya-tanya kenapa nasi kerabu berwarna biru?. Adakah ia memakai perwarna makanan dibenarkan atau bagaimana?. Kini telah dapat jawapan dimana nasi kerabu tradisional dan original akan mewarnakan nasi semasa memasak menggunakan sejenis bunga berwarna biru-ungu iaitu Bunga Kembang Telang (Clitoria ternatea) yang mudah ditanam dikawasan keliling rumah atau tumbuh liar. Hidangan ini menjadi kegemaran ramai dimana sahaja di Malaysia yang mudah didapati di Pasar Malam, Kedai Makanan Kelantan, Pasar Tani, Kantin Pejabat, Kantin Kilang dan juga Pasaraya. Artikel pagi Jumaat ini sempena cuti Thaipusam, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai nasi kerabu yang merupakan satu hidangan istimewa masyarakat Malaysia sebagai makanan berkhasiat dan mengenyangkan.


Bunga Kembang Telang yang digunakan sebagaei pewarna biru pada nasi kerabu mempunyai kelopak yang berwarna biru kuat dan tumbuhan ini mudah hidup dengan menjalar dikawasan pagar rumah atau pokok. Bunga ini keluar sepanjang tahun dan setiap pokok akan  menghasilkan bunga yang banyak untuk dipetik selalu (Lihat foto sebelah). Bunga ini akan menghasilkan warna biru pada nasi yang ditanak jika ia dimasukkan walau pun 4 - 5 kuntum sahaja. Tumbuhan ini kebanyakannya adalah organik kerana jarang disembur dengan racun kimia dan memang kurang serangan oleh serangga perosak. Bagaimana pun kini penjual nasi kerabu komersial dikawasan bandar telah menukar bahan untuk warna biru dengan bahan perwarna (Agaknya hipotesis ini betul kot). Kita sebagai pembeli kurang prihatin dengan perkara ini kerana asalkan nasi kerabu mempunyai laukpauk yang sedap, maka kita tetap beli dan makan nasi kerabu dengan sungguh selera. Kaedah penyediaan nasi kerabu juga tidaklah sukar asalkan kita mempunyai bahan asas yang cukup dan masih segar.


Bahan asas nasi kerabu pastinya adalah Nasi berwarna biru (Ada juga yang buat nasi kerabu dengan nasi putih sahaja atau kuning yang dibubuh kunyit). Nasi kerabu lazimnya telah sejuk dan memang jarang dihidangkan ketika nasi masih panas lagi. Ini kerana jika nasi jika masih panas maka sayur dan ulam-ulaman yang diletas akan cepat layu apa lagi kalau dibungkus dalam kotak polistrene dan kertas minyak. Begitu juga dengan laukpauk seperti ayam, ikan, ikan kering, telur asin, keropok dan sebagainya biasanya telah sejuk. Ramai juga yang suka makan nasi kerabu dengan budu yang dijadikan penyedap rasa. Penyediaan lauk pauk sama ada digoreng, direbus, dibakar (Daging Salai) menggunakan rempah sesuai. Ulam-ulaman seperti kacang panjang, kobis dan sebagainya akan diracik halus. Timun dan salad akan dipotong mengikut saiz sesuai. Keropok ikan juga digoreng dan disimpan didalam bekas yang kedap udara agar tahan lama dan tidak lembik. Kesemua ramuan akan disusun diatas meja dan tertakluk kepada pembeli untuk memilih lauk atau hidangan standard. Harga ditentukan mengikut kualiti, kuantiti, jenis lauk, lokaliti, jenis premis jualan dan sebagainya.


Kini nasi kerabu telah pun dikomersilkan dimerata tempat di Malaysia dengan resepi yang telah diubahsuai tetapi asasnya adalah sama. Di pasar malam dan pasar tani merupakan lokasi paling mudah untuk mendapatkan nasi kerabu yang dijual dengan harga sekitar RM 2.50 hingga RM 5.00 sebungkus menggunakan kotak polistyrene (Lihat foto sebelah). Sebaiknya ia dimakan segera dan elakkan disimpan lama kerana keenakannya akan berkurangan kalau ia telah bercampur dengan kuahnya. Di bulan Ramadan pula hidangan ini menjadi kegemaran untuk berbuka puasa kerana ia adalah makanan lengkap. Ini kerana ia mempunyai zat karbohiderat, protin, lemak, tenaga, vitamin (dari sayur-sayuran dan ulam) dan ikan serta daging. Berbeza dengan nasi lemak, nasi kerabu tidak dimasukkan dalam jenis hidangan yang perlu diambil sekitar 2 kali sahaja seminggu. Kehebatan nasi kerabu telau menjangkau sempadan dan menjadi hidangan nasional di Malaysia. Wasallam!.


NASI KERABU...BIRU WARNANYA...
PELBAGAI LAUK...LETAK DIATASNYA...
AYAM GORENG.... ULAMAN JUGA...
MUDAH DIBELI....DIMANA SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasartani Megam Putrajaya,
Precint 2, Putrajaya,
Malaysia.
(17 Rabiulawal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...