KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, January 23, 2014

TEKNOLOGI TISU KULTUR TUMBUHAN

TEKNOLOGI TISU KULTUR TUMBUHAN (Plant tissue culture) kini semakin menjadi perkara penting dalam sektor pembiakan bahan tanaman. Teknologi moden ini telah menjadi satu industri yang besar dalam pertanian terutama untuk beberapa jenis tanaman yang bernilai komersil. Dalam pada itu saya mendapati bahawa definisi 'Kultur Tisu' adalah merupakan satu cara menghasilkan anak pokok yang lengkap bermula dengan sebahagian kecil tisu tumbuhan dalam eksplan, seperti daun, batang atau sel yang dikulturkan dalam media secara steril ataupun aseptic untuk tumbesaran. Maksud perkataan 'Aseptik' pula adalah satu keadaan yang bebas daripada mikroorganisma seperti kulat, bakteria dan virus. Ia juga dikenali sebagai satu teknik memelihara sel atau cebisan tisu haiwan dan tumbuhan secara in vitro. In vitro adalah merujuk sesuatu yang dijalankan di luar badan organisma, umumnya di balang kaca ataupun tabung uji. Tujuan utama proses menyediakan benih kultur tisu adalah untuk membiakkan sel tumbuhan didalam kita menghasilkan organisma baru yang sama dengan induknya dari segi fizikal dan kandungan genetik.Pada masa ini banyak tumbuhan yang popular dihasilkan melalui teknologi tisu kultur seperti Pisang (Musa spp), Tumbuhan Orkid (Banyak jenis orkid komersil), Herba dan beberapa jenis buah-buahan serta sayur-sayuran terpilih. Kini terdapat berpuloh syarikat swasta dan GLC yang menjadikan makmal tisu kultur sebagai asas perniagaan mereka. Industri pembiakan anakbenih tanaman melalui tisu kultur ini bernilai lebih dari RM20 juta setahun (Lamanweb Kementerian Pertanian) khususnya bagi tanaman makanan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai maklumat asas teknologi tisu kultur untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Umumnya terma ‘tisu kultur’ merujuk kepada kumpulan prosedur yang digunakan untuk pertumbuhan dan penyelenggaraan tisu dan organ   tumbuhan di dalam kultur aseptik (in vitro). Umumnya, teknik ini diaplikasikan untuk pembiakan, pembiakbakaan (pengubahsuaian genetik), penghasilan produk sekunder biokimia (contohnya hormon), patologi tumbuhan dan pemeliharaan janaplasma. Pembiakan mikro (micropropagation) adalah kaedah tisu kultur untuk penghasilan (pembiakan) anak benih klon. Kaedah pembiakan tampang ini adalah pilihan utama bagi tanaman yang (i) sukar dibiakkan; (ii) pembiakan secara biji benih tidak menjamin penghasilan baka tulen; dan (iii) tiada kaedah pembiakan tampang lain yang sesuai.Persoalannya, bagaimanakah satu anak pokok baru boleh terhasil daripada tisu dan organ yang dikultur?. Pembiakan melalui teknik tisu kultur mampu direalisasikan disebabkan oleh konsep yang dipanggil “totipotent” dimana setiap sel tunggal tumbuhan berkebolehan dari segi genetik untuk membahagi, membeza dan berkembang, membentuk satu pokok baru.

Keupayaan untuk mengeluarkan bahan tanaman dalam jumlah yang banyak menyebabkan teknik tisu kultur menjadi 
kaedah pilihan pengeluar bahan tanaman nanas dan pisang. Namun, kejayaan kaedah ini terutamanya dari segi ketulenan varieti, banyak bergantung kepada jenis tanaman dan prosedur yang digunakan. Penghasilan anak benih klon nanas melalui teknik tisu kultur contohnya, merekodkan variasi somaklonal yang tinggi tidak seperti tanaman pisang. Sehubungan itu, di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman bagi tanaman nanas, pemeriksaan awal terhadap teknik tisu kultur yang digunakan dan peratus kejayaan (ketulenan genetik) perlu dijalankan sebelum pengesahan anak benih klon tisu kultur dilaksanakan. Sehingga artikel ini saya tulis, benih nanas tisu kultur yang tidak mencapai piawaian tidak disyorkan untuk dijual kepada penanam nenas melainkan sulurnya yang telah dipastikan tulen varietinya. Terdapat beberapa syarikat swasta yang membuat benih tisu kultur nenas kepada petani walau pun ianya tidak disyorkan. Ini kerana masaalah 'somaclonal' dalam benih nenas tersebut.

Banyak faktor yang mempengaruhi kejayaan sesuatu aktiviti dalam penyediaan benih tisu kultur dalam makmal. Ini kerana aktiviti yang dijalankan dimakmal saling berinteraksi antara satu sama lain sehinggakan memerlukan kepakaran khusus yang tinggi. Antaranya adalah seperti faktur berkaitan jenis peralatan yang lengkap, sesuai dan sempurna. Contoh peralatan adalah Laminar flow chamber, alat penimbang, autooclave, PH meter, hot plate, stirrer dan hot bead sterilizer. Makmal yang bersih, bebas dari mikroorganisma; perlu ada bilik khas untuk kerja-kerja kultur, penyediaan medium dan tempat penyimpanan kultur. Penjagaan makmal, bilik kultur yang rapi dan teratur, pengawasan cahaya dan suhu. 

Sebarang kultur yang telah terkena kontaminasi (tercemar dengan mikroorganisma) perlu dibuang segera (dinyahkuman).Langkah berjaga-jaga perlu diikuti dengan serius. Terutama pemakaian lab coat dan selipar khas untuk memasuki makmal kultur tisu. Pensterilan eksplan yang sesuai dimana ia akan mengurangkan risiko kematian sel-sel dan jangkitan mikroorganisma. Eksplan yang diambil daripada baka baik, pokok sihat, “vigorous” dan tidak terdedah kepada keadaan kering dan terlalu lembab. Bahagian eksplan hendaklah diambil dari tisu muda, bahagian meristem yang giat membahagi lebih berpeluang untuk menghasilkan pokok. Spesies yang berlainan mempunyai tindak balas yang berbeza. Medium yang sesuai dengan keperluan tumbuhan. Hormon yang digunakan perlu sesuai dengan tumbuhan. Contoh auxin dan sitokinin Bekas kultur yang sesuai. Perlu disteril dan diautoklaf terlebih dahulu. Penyimpanan kultur perlu keadaan yang sesuai. Teknologi penyediaan benih kultur tisu memerlukan banyak peringkat penyediaan seterusnya. Kepakaran dalam menyediakan benih kultur tisu memerlukan kemahiran (skill) dan peralatan khusus untuk mendapat kejayaan yang baik.

Benih daripada 'plantlet' kini boleh dijual kepada syarikat lain yang menyediakan anak benih. Sumber pokok induk untuk penyediaan anak benih juga sebaiknya mendapat pengesahan (Certification) daripada beberapa pihak untuk menjamin kualiti anak benih yang bakal dihasilkan. Tumbesaran anakbenih kultur tisu dalam polibeg memerlukan penjagaan khusus daripada sebarang kerosakan akibat daripada serangan penyakit (jika ada) dan kerosakan fizikal semasa aktiviti pengendalian (handling activity). Pembeli lazimnya memerlukan saiz anak benih yang sesuai untuk ditanam diladang dari segi jaminan kualiti daripada pembekal. Kini dengan teknologi kultur tisu, petani mampu meningkatkan produktiviti ladang dan meningkatkan pendapatan mereka. Wasallam!.

TEKNOLOGI KULTUR TISU...BAGUSNYA...
DALAM MAKMAL...PROSES DIBUATNYA...
PERALATAN MODEN..KEMAHIRAN ADA...
BENIH BERKUALITI... IANYA BERHARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Makmal Kultur Tisu,
Pusat Pertanian Serdang,
Selangor, Malaysia.
(9 Rabiulawal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...