KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, September 14, 2013

KATAK - TERNAK KATAK (Kajian kes)

KATAK (Frogs) merupakan sejenis haiwan amfibia yang mudah kita jumpai dikawasan lembab di dalam hutan, belukar, keliling rumah dan tepi parit. Katak merupakan haiwan unik kerana ia mempunyai pergerakan 'Melompat' yang dahulunya digelar Salientia. Katak dewasa apa yang saya lihat mempunyai kaki belakang yang panjang, badan yang pendek, jari berselaput, mata terjojol keluar dan tidak berekor. Kebanyakan katak mempunyai kitaran hidup berperingkat daripada peringkat telur, berudu, anak katak sehingga peringkat dewasa dalam masa tertentu bergantung kepada spesis katak. Katak juga mudah bergerak di daratan dengan melompat atau memanjat atau pandai berenang didalam air. Katak dewasa juga merupakan haiwan pemangsa maging yang gemar memakan haiwan artropod iaitu terutamanya serangga, annelid dan gastropod. Katak paling dikenali dengan bunyi menguaknya yang boleh kedengaran tanpa kira siang atau malam terutamanya ketika musim mengawan Katak boleh didapati dari kawasan tropika hingga ke kawasan sejuk subartik walau pun kebanyakan spesis katak terdapat di hutan hujan tropika. Katak merupakan antara kumpulan vertebrata yang paling banyak kepelbagaian melibatkan lebih 5,000 spesis yang dikenali. Walau pun mendengar namanya ramai akan rasa 'Geli Geleman', kini terdapat beberapa spesis katak yang diternak dan dimakan oleh sesetengah manusia sebagai makanan eksotik. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti ternakan katak yang ada dibuat di Kelantan oleh Encik Tong Lek secara komersil dan ia menguntungkan daripada laporan akhbar Kosmo sebagai satu kajian kes untuk rujukkan teknikal.


KAJIAN KES TERNAKAN KATAK
Jual 40 kilogram sehari


TONG LEK menunjukkan katak yang dipeliharanya
di Kampung Jambu, Tumpat, Kelantan

KATAK, haiwan amfibia yang berkulit menggerutu sentiasa membangkitkan kegelian kepada manusia. Namun, ia memiliki keistimewaan tersendiri kepada para penggemarnya. Kepada masyarakat Cina di Kelantan, rupa fizikal katak tidak sedikit pun mengurangkan selera mereka untuk menjadikan haiwan itu sebagai menu penting dalam hidangan. Tetapi di kalangan masyarakat Cina, katak yang juga dipanggil dengan ayam padi merupakan sejenis menu yang bukan sahaja katanya lazat malah berkhasiat. Bukan itu sahaja, permintaan terhadap katak untuk dijadikan hidangan juga begitu tinggi sehingga katak menjadi menu pilihan di restoran-restoran Cina di sekitar negeri ini. Lebih menarik, isi dan daging haiwan ini dipercayai mempunyai khasiat yang tersendiri. "Isi katak memang sedap apatah lagi saya rasa ia mampu memberi saya tenaga untuk melakukan aktiviti harian," kata Ng Tau Fook, 35, yang amat menggemari katak. Menurutnya, kebanyakan kaum Cina memang menggemari katak kerana ia makanan turun temurun.

"Biasanya datuk, nenek atau ibu bapa yang memperkenalkan menu katak ini kepada anak-anak mereka, kalau tidak anak-anak sekarang tidak tahu pun katak boleh dimakan dan rasanya sedap," katanya. Beliau berkata, bagi masyarakat Cina yang tinggal di kampung yang ingin menikmati katak, kebiasaannya mereka tidak membeli haiwan berkenaan tetapi hanya mencari di sawah bendang. Menurutnya, haiwan berkenaan gemar tinggal di kawasan berair seperti sawah padi. "Sebab itulah kami panggil 'ayam padi' kerana rasanya yang sedap seperti ayam, malah ia lebih sedap daripada ayam. Habitatnya di sawah padi yang berair," katanya. Katak juga dipercayai mempunyai kelebihan untuk kecantikan kulit. Lantaran itulah, wanita-wanita Cina yang menitikberatkan penjagaan kulit turut tidak terkecuali menjadi penggemar menu haiwan amfibia ini. Bagi mereka, menjadikan katak sebagai menu harian mampu menjadikan kulit mereka lebih cantik dan licin. Disebabkan permintaannya yang tinggi, telah mendorong Tong Lek a/k Eko, 49, masyarakat keturunan Siam di Tumpat menjalankan penternakan katak.


Ternakan katak secara komersil.
Menurutnya, penternakan katak yang dijalankan sejak 15 tahun di sekitar rumahnya itu semata-mata memenuhi permintaan masyarakat Cina. "Sehingga kini saya mempunyai 29,000 ekor katak daripada spesies kacukan Siam dan Kelantan. "Tetap masih tidak cukup untuk memenuhi kesemua permintaan pelanggan kerana terlalu tinggi," katanya. Menurutnya, permintaan ini meningkat menjelang musim perayaan.  Beliau berkata, sesetengah masyarakat Cina tidak melupakan katak sebagai satu daripada menu ketika malam makan besar menjelang sambutan Tahun Baru Cina setiap tahun. Tong Lek berkata, penternakan katak itu sememangnya mampu memberi rezeki lebih untuk beliau menyara kehidupan kerana pulangannya dikatakan amat lumayan. Beliau yang memulakan penternakannya bermodalkan wang sejumlah RM15,000 seketika dahulu itu kini mampu tersenyum puas. "Mungkin kerana tidak ramai yang ternak katak dan permintaannya tinggi, sebab itulah dalam sehari saya mampu memperoleh pendapatan mencecah hingga RM300," katanya.

Setiap hari beliau mampu menjual sebanyak 30 hingga 40 kilogram sehari. Secara purata, Tong Lek mampu memperoleh pendapatan mencecah RM9,000 sebulan hasil jualan katak-kataknya. Menurut Tong Lek, selain memberi pendapatan lumayan, katak yang tidak rumit diternak mendorong beliau meneruskan penternakan katak. Setakat ini beliau mempunyai 11 buah kolam menternak katak di sekitar rumahnya. Katak-katak ternakannnya hanya diberi makanan berupa dedak ikan keli. Dedak ikan keli itu diberi tiga kali sehari selama 100 hari.  "Cukup 100 hari atau tiga bulan, katak-katak itu sudah boleh dijual," katanya. Tong Lek, yang menjual katak pada harga RM17 sekilogram berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada individu dan pengusaha restoran di sekitar Kota Baharu. Kebanyakan pelanggan menggemari katak kerana isinya yang lemak manis. Malah, kaum Cina mempelbagaikan resipi masakan katak dengan cara tersendiri. Ada yang gemar menjadikan katak sebagai sup, menggoreng dengan pelbagai cara masakan lain.  Seorang jurujual di Kuantan, Mok, 40, berkata, katak paling sedap dinikmati apabila dimasak bubur. "Bubur katak paling sedap, masak bersama nasi, sangat enak," katanya.



TONG LEK membersihkan kawasan peliharaan katak.
Mok berkata, selain dijadikan bubur, katak juga sangat sedap digoreng pedas. Bagaimanapun, resipi hidangan katak bergantung kepada selera penggemarnya. Mok yang sangat menggemari katak berkata, beliau akan ke Kelantan untuk dia membeli katak segar peliharaan Tong Lek terletak di Tumpat. Sebelum kita mencuba untuk mulakan aktiviti menternak katak, mari saya paparkan Hukum Menternak Katak yang perlu dirujuk dahulu. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 23 Januari 2012 telah membincangkan mengenai " Hukum Menternak Katak ". Tarikh Keputusan: 23 Jan, 2013. Alhamdulillah fatwanya seperti berikut: " Perusahaan menternak katak untuk tujuan eksport adalah khilaf ulamak. Menurut jumhur ulamak, perusahaan menternak katak untuk tujuan eksport adalah haram kerana ia adalah dua alam.". Wallahualam!

MENTERNAK KATAK...HEBATNYA...
KATAK DUA ALAM... APA HUKUMNYA...
ORANG CINA... SUKA MEMAKANNYA...
BERKHASIAT... CANTIKAN KULIT MUKA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Kg Baru Plentong, 
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(23 Syawal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...