KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, September 15, 2013

JAGUNG 'HIBRIMAS'

JAGUNG HIBRIMAS merupakan varieti jagung yang telah dihasilkan oleh MARDI dengan kerjasama syarikat swasta iaitu Green World Genetics (GWG) untuk ditanam oleh petani secara komersil. Laporan yang diwar-warkan menyatakan jagung manis ini adalah lebih manis dan sesuai ditanam kerana tahan dengan beberapa penyakit jagung. Nama yang diberikan adalah 'Hibrimas' yang bermakna 'Hibrid dan Malaysia' telah diperkenalkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian (Maha) 2010. Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, Tengku Ab Malik berkata hasil dari penyelidikan selama tiga tahun itu, jagung yang rasanya 15 peratus lebih manis berbanding jagung biasa telah berjaya dicipta. Beliau berkata, Hibrimas mempunyai banyak kelebihan berbanding jagung yang ada di pasaran ketika ini kerana diantaranya ia bersaiz lebih besar dan panjang selain berwarna kuning keemasan. Ia juga mempunyai ciri seperti kerintangan yang tinggi terhadap penyakit hawar daun yang selalu menyerang tanaman jagung. Varieti Hibrimas mampu memberikan hasil yang banyak iaitu hampir 22,000 bagi satu hektar tanah. Produktiviti tinggi ini kerana ia mampu berbuah dalam tempoh lebih singkat iaitu kira-kira 68 hari selepas ditanam. Benih jagung berkenaan telah dijual oleh pihak MARDI dan sesiapa yang berminat boleh berhubung terus untuk mendapatkannya. Kini kelebihan yang ada pada jagung istimewa itu sudah menarik perhatian dan mula mendapat permintaan terutama dari penanam jagung tempatan dikalangan petani di Kelantan dan Terengganu. Artikel subuh yang dingin dikampong ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa testimoni penanaman jagung manis Hibrimas setelah ia dilancarkan pada MAHA 2010 untuk dijadikan tanda aras penerimaan mengenai varieti jagung baru ini untuk dibuat rujukkan.


LAPORAN PERTAMA:
Hibrimas sumber ekonomi
Oleh LAUPA JUNUS
Gambar MOHD. AZIM ABDUL RAHMAN

Zulkifli Chek (kanan) bersama pengusaha jagung manis Hibrimas,
Abdullah Zawawi di Kampung Paloh, Tanah Merah, berbincang
mengenai tanaman tersebut semasa program pegawai MARDI melawat
tapak projek pertanian di sekitar daerah Kelantan, baru-baru ini.
Suasana kampung sepanjang jalan Tanah Merah Kelantan lebih kurang serupa di beberapa daerah lain di negeri itu. Bagaimanapun di sepanjang jalan menuju ke Pasir Mas itu gerai-gerai jual hasil tanaman segar kelihatan di sana sini daripada buah labu, tembikai, air kelapa muda sehinggalah kacang rebus dan juga jagung. Rumah seni bina kampung daripada kayu diukir berdindingkan konkrit atau separa batu dan kayu menjadi identiti menarik di situ dan kelihatan seperti 'pagar' sepanjang jalan sehinggalah melindungi apa yang terkandung di sebaliknya perkampungan tersebut. Timbul pertanyaan, di manakah sebenarnya penduduk kampung memperoleh kacang dan jagung yang direbus itu.

Apabila perjalanan dihentikan sebenar dan singgah untuk menikmati air segar kelapa muda dan jagung manis di salah sebuah gerai di Kampung Paloh, pegawai Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut serta memberitahu, jagung yang direbus itu ditanam sendiri oleh mereka. Rupanya, mereka mengusahakan tanaman jagung sejak sekian lama dengan pelbagai varieti. Pemilik gerai berkenaan, Wan Rahimah Wan Yusoff, 59, memberitahu, jagung tersebut ditanam suaminya di satu kawasan penanaman jagung terletak di seberang jalan, kira-kira satu kilometer dari tepi jalan berkenaan..

Selepas menikmati jagung bakar dan air kelapa muda, kami menyelusuri jalan berdebu berhadapan gerai di seberang jalan. Tidak lama selepas itu, kami melihat sendiri kawasan penanaman jagung yang luas yang mana sebahagiannya telah dituai, manakala sebahagian lagi baru lepas ditanam. Hamparan warna kuning dan hijau berselang seli membezakan kedua-dua kawasan tersebut dan kelihatan cantik dalam panas terik. Kami disapa dengan seorang lelaki separuh baya yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Projek Jagung Berkelompok kawasan tersebut. Mat Zin Harun memberitahu, dia mengetuai projek tersebut yang melibatkan kawasan seluas 70 ekar atau 28 hektar yang keseluruhannya untuk penanaman jagung melibatkan 10,000 pokok bagi setiap ekar.

''Kami kini menanam varieti Hibrimas yang menggantikan varieti hibrid 969 dan 926 sejak tahun lepas. Kami amat berpuas hati dengan Hibrimas yang lebih menguntungkan,'' katanya kepada wartawan Utusan pada program lawatan bersama pegawai MARDI ke tapak projek tersebut baru-baru ini. Varieti berkenaan mempunyai banyak keistimewaan antaranya tahan kepada tiupan angin kuat dan ciri ciri tersebut mendorong mereka memanfaatkan produk hasil penyelidikan MARDI itu. Mat Zin yang menyelia 40 orang di bawah program tersebut berkata, setiap peserta yang mempunyai pengalaman terbabit dalam penanaman jagung lebih dua puluh tahun diperuntukkan antara satu hingga lima ekar seorang.

Katanya, dengan tanpa masalah seperti tiupan angin, hasil jagung boleh mencecah hampir 90 peratus kerana tidak ada kerosakan pokok. Maka peserta boleh meraih antara RM7,000 dan RM8,000 seekar semusim. Mengenai pasaran, dia memberitahu, selain dibeli oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA ) pada harga 55 sen setongkol, peraih juga datang membelinya selain dijual di gerai gerai. Harganya iaitu antara RM60 dan RM70 bagi 100 tongkol jagung.


LAPORAN KEDUA:
Hibrimas jagung manis terbaik
Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 2 Dis. 2011 - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyarankan semua petani yang terlibat dalam penanaman jagung manis supaya menggunakan hibrid baru yang dinamakan Hibrimas kerana ia mampu meningkatkan keluaran hasil tanaman mereka. Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, Hibrimas merupakan baka terbaik jagung manis pernah dihasilkan negara dengan kandungan manisnya sekitar 15 peratus selain tahan kepada serangan penyakit. Menurutnya, selain dapat meningkatkan produktiviti, hibrid baru itu mampu meningkatkan hasil dan kualiti industri jagung negara. ''Sebagaimana yang kita semua ketahui, jagung manis merupakan salah satu tanaman kontan atau jangka pendek yang amat digemari oleh pekebun kecil. ''Malah, ia mempunyai nilai potensi yang tinggi berbanding tanaman kontan lain seperti ubi kayu dan tebu. Saya yakin dengan penghasilan baka baru jagung manis ini akan memberi impak serta melonjakkan industri jagung negara ke satu tahap yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pengisytiharan Hibrimas, pelancaran Laman Ramuan serta buku bertajuk Laman Edibel: Konsep dan Inovasi pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 di Serdang hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman. Menurut Noh, hibrid jagung itu mampu mengeluarkan hasil sebanyak 20 tan sehektar dengan anggaran 500 tongkol dalam satu-satu masa. Katanya lagi, tempoh matang tanaman itu juga amat singkat berbanding jagung biasa iaitu boleh dipetik seawal 65 hari selepas ditanam. ''Jagung mempunyai permintaan yang tinggi di negara ini kerana setiap bahagian pada tanaman tersebut mempunyai kegunaannya. Justeru, kajian telah dijalankan untuk menghasilkan Hibrimas bagi memenuhi permintaan tersebut," jelasnya.



LAPORAN KETIGA:
Jagung manis Hibrimas tingkat pendapatan petani

KOTA BHARU 10 Jun 2012- Lebih sejuta tongkol jagung manis Hibrimas bernilai kira-kira RM0.56 juta dipungut pada musim tuaian bermula Mei lalu. Penolong Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) Kelantan, Fauzi Mamat berkata, jagung hibrid baru itu ditanam secara berperingkat di kawasan seluas 28 hektar di Kampung Paloh, Tanah Merah sejak Mac membabitkan 40 Petani. Katanya, ia memberi pulangan antara RM10,000 dan RM16,000 kepada setiap orang bergantung kepada keluasan tanah dan hasil pula sama ada dijual sendiri atau menerusi jualan borong kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Jelasnya, pihak MARDI dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri telah memperkenalkan projek tanaman jagung Hibrimas di negeri ini bermula di Kampung Paloh pada Ogos tahun lalu kerana kampung itu terkenal sejak dahulu dengan pengeluaran jagung manis. "Kita mulakan dengan peserta perintis ketika itu seramai empat orang membabitkan keluasan satu hektar tanah dan mereka berjaya memungut hasil bernilai RM22,000 atau sebanyak 37,000 tongkol jagung.

"Jagung Hibrimas hanya memerlukan masa 68 hari untuk dituai berbanding jagung jenis biasa selama 75 hari dan ini memberi peluang kepada petani menanamnya sehingga tiga kali setahun bergantung kepada musim panas. "Kita jangkakan petani yang terlibat dengan penanaman jagung Hibrimas akan memperoleh pendapatan purata RM2,000 sebulan iaitu meningkat lebih sekali ganda berbanding sebelum ini," katanya ketika ditemui di tapak Ekspo Pertanian Negeri Kelantan 2012 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini baru-baru ini. Fauzi berkata, pihaknya membekalkan petani benih jagung Hibrimas, baja, penggalak tanaman serta khidmat nasihat yang diperlukan untuk memastikan pengeluaran hasil bermutu.

Menurutnya, antara kelebihan jagung Hibrimas adalah ia lebih manis, tahan serangan penyakit, batang pokoknya tegap dan tidak mudah rebah. Jelasnya, ia adalah baka jagung manis terbaik keluaran MARDI dan pertama kali diisytiharkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar semasa Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada Disember 2010. "Selepas ini kita akan kembangkan lagi penanamannya di Perupok, Bachok dan satu lagi kawasan yang belum dikenal pasti di Jeli. Kita juga akan mengadakan kempen dan seminar untuk menggalakkan lebih ramai petani menanam jagung manis Hibrimas," katanya.

JAGUNG HIBRIMAS... INDAH NAMANYA...
HANYA KELANTAN.. MINAT PETANINYA...
DI NEGERI LAIN... DIMANA PETANINYA...
PERLU PROMOSI AGRESIF... AGAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kampung Parit Bengkok,
Gersik, Ledang,
Johor, 
Malaysia.
(8 Zulkaedah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...