Support My Blog

Monday, May 28, 2012

PISANG EMBUN

Pisang Embun (Musa acuminata Colla) merupakan sejenis pisang yang ditanam dikawasan keliling rumah dikampong saya bagi mendapatkan buahnya. Nama sains pokok Pisang Embun ialah Musa acuminata Colla (AAA Group) cv. ‘Ambon Putih’. Pisang ini banyak terdapat di Indonesia, malaysia dan Malaysia serta beberapa kawasan Asia Tenggara lain berhampiran. Pembacaan dari buku teknikal mendapati pisang ini juga terdapat di Filipina dimana ia dikenali sebagai Ambon manakala di Indonesia ia dikenali sebagai Pisang Ambon Putih. Saya sememangnya suka makan pisang embun segar kerana rasanya yang lemak manis, berbau wangi (aroma yang kuat) dan juga saiz sederhana besar. Lazimnya saya lebih suka makan pisang embun segar daripada pisang embun yang di proses seperti di goreng, dibuat kueh dan sebagainya. Artikel subuh Isnin ini saya cuba berkongsi sedikit informasi mengenai Pisang Embun.

Ada yang kata (Bukan di Johor) yang pisang ini juga dikenali sebagai Pisang Bunga. Pisang ini berbentuk panjang, pada peringkat permulaannya ianya berwarna hijau dan kemudian berubah menjadi warna kuning pucat. Ianya berkulit tebal dan senang dikupas apabila telah cukup masak. Pemerhatian saya mendapati dalam satu tandan pisang Embun yang besar, beratnya boleh menjangkau antara 15 hingga 35 kilogram. Jika di kira lazimnya setiap tandan pula mempunyai 7 – 9 sikat dengan bilangan 100 hingga 200 biji buah pisang. Memang pisang Embun sangat baik untuk ditanam kerana jumlah buahnya adalah banyak. Manakala setiap sikat pula mengandungi 14 hingga 15 biji buah pisang. Panjang buah pisang ini berukuran 15 hingga 20 sentimeter dan lebarnya 4 sentimeter . 

Pokok pisang embun lazimnya ditanam menggunakan anakbenih dari sulur pokok induk yang sihat dan bebas penyakit. Terdapat juga syarikat swasta yang membuat benih pisang embun daripada kultur tisu tetapi jumlahnya sangat sedikit dan perlu di buat 'advance booking' terlebih dahulu. Gunakan benih pisang embun yang telah disahkan oleh Jabatan Pertanian melalui Skim Pengesahan Bahan Tnaman (SPBT) Jabatan Pertanian. Penanaman didalam lubang yang disediakan dengan jarak 4 meter x 3 meter. Jarak penanaman lain juga boleh diamalkan bergantung kepada keadaan kebun dan jenis tanaman selingan lain yang hendaka ditanam. Pokok pisang embun adalah tumbuh dalam rumpun dan perlukan kawalan sulur anak yang keluar. Lazimnya ketinggian pokok pisang jenis ini ialah kira-kira 5 meter. Pokok Pisang tidak mempunyai batang berkayu, tetapi sebaliknya ia terdiri dari gentian. 

Terdapat 2 jenis Pisang Embun yang boleh dijumpai iaitu Varieti Pisang Embun yang bewarna merah dan Varieti Pisang Embun kuning apabila masak. Varieti yang berwarna merah agak sukar dijumpai berbanding dengan varieti yang berwarna kuning. Bagaimana pun kedua-duanya adalah berwarna hijau ketika muda (lihat foto sebelah). Saya masih tertanya-tanya bagaimana pisang yang nak ini di panggil sebagai Pisang Embun. Embun maksudnya adalah titisan air pada subuh hari yang terhasil daripada kesejukan air dan terkumpul pada pemukaan daun dan membentuk titisan air embun. Agaknya pisang ini dulunya memang ditanam dikawasan keliling rumah yang sejuk dan digunakan air embun untuk tujuan tertentu sehingga dipanggil 'Pisang Embun'.

Pokok Pisang Embun biasanya ditanam bagi mendapatkan buahnya kerana buahnya yang besar dan sedap digemari ramai dan boleh dimakan mentah. Tetapi buahnya tidak tahan lama dan perlu dimakan dengan cepat sebelum menjadi isinya menjadi lembik. Kaedah pemasaran perlu disegerakan dan buah ini juga tidak sesuai disimpan dalm peti sejuk kerana kulitnya akan lebam. Buah ini juga boleh digunakan untuk dibuat kueh tradisional seperti Lepat Pisang, Kek Pisang, Jemput-jemput pisang dan sebagainya. Pisang Embun merupakan pisang yang mengandungi zat permakanan yang sangat baik untuk kesihatan tubuh badan. Kalau tidak mahu makan nasi dan lauk lain, pisang embun disyorkan sebagi pengganti makanan harian kita. Cubalah!

By,
M Anem
Hotel Sri Iskandar,
Manjung, Perak,
Malaysia.
(7 Rejab 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...