Support My Blog

Sunday, May 6, 2012

KHASIAT NENAS

NENAS (Ananas cosmosus) merupakan buah-buahan tropika yang sangat popular diseluruh dunia dimana ianya ditanam dikawasan yang mempunyai iklim tropika dan sub-tropika dari keluarga Bromeliaceae.  Pengeluaran nenas segar dunia pada tahun 2010  mencecah sebanyak 17.83 juta metrik tan bernilai sebanyak USD 4.955 billion (RM 16.682 billion) sebagaimana dilaporkan oleh FAO. Negara pengeluar nenas utama dunia 2010 adalah Filipina (2.160 juta mt) diikuti dengan Brazil (2.120 juta mt) dan ketiga adalah Costa Rica (1.976 juta mt).  Negara lain yang menghasilkan nenas adalah seperti Thailand, China,  Indonesia, India, Nigeria, Mexico dan yang ke 10 adalah Vietnam. Negara kita Malaysia tidak tersenarai dalam 20 negara utama pengeluar nenas dunia kerana cuma menghasilkan sekitar 416,070 metrik tan dari kawasan seluas 16,400 hektar pada tahun 2010. Apa yang kita hendak bincang petang sabtu ini cuma khasiat dan teknologi penanaman nenas untuk makluman bersama.


Penanaman nenas dijalankan secara komersil dan monokrop kerana memerlukan cahaya matahari yang banyak. Nenas merupakan tanaman yang lasak dan boleh tumbuh di pelbagai jenis tanah asalkan kawasan tersebut mempunyai saliran yang baik dan sistem pengurusan agronomi dengan sempurna. Penanaman nenas lazimnya menggunakan bahan tanaman daripada Sulur Tanah, Sulur Udara, Slips dan juga Jambul. Kini teknologi penggunaan 'quartering' membantu membiakan nenas dengan lebih cepat. Teknologi pembiakan nenas menggunakan kultur tisu bagaimana pun masih belum di perakui, ini kerana anakbenih yang dihasilkan banyak masaalah 'Somaclonal variation' yang perlu diatasi. Banyak syarikat yang cuba menggunakan teknologi kultur tisu nenas untuk menjual anakbenih nenas tetapi terbukti masih belum mendapat kepercayaan daripada petani pada masa ini.


Isi buah nenas mengandungi banyak air (85%) dan juga khasiat lain seperti protin (0.4%), 0.1% lemak, 0.5% serabut dan banyak vitamin.  Vitamin A, Vitamin B1, Asid Citrik dan Bromelain juga banyak dalam buah nenas. Kemanisan nenas bergantung kepada gula yang terhasil daripada banyaknya cahaya matahari dan jenis tanah yang banyak nutrien. Nenas bagus untuk dimakan segar kerana zat Vitamin A, Vitamin B1 dan Bromelain mampu menghadamkan protin dan mampu melembutkan daging. Sementara itu asid sitrik dalam jus nenas dan nenas segar mampu menghilangkan lemak dan boleh menguruskan badan.  Saya memang suka makan nenas terutama varieti popular yang mendapat pasaran baik didunia seperti nenas MD 2.


Buah nenas memang sedap dimakan segar atau boleh juga di buat jus, di kaleng, di buat jem, jeli, jem, inti tart dan sebagainya. Selain itu buah nenas boleh dimasak dalam kari, dibuat paceri (Foto sebelah), dimasak dengan gulai ikan dan sebagainya mengikut citarasa pengguna. Bagi nenas kaleng, ianya dimasukkan dalam sirap manis dalam tin dan ada yang dicampurkan dengan buah-buahan lain dalam tin sebagai bahan untuk membuat 'Fruit Cocktail'. Thailand merupakan pengeluar utama 'Tropical fruit cocktail' dalam tin yang diekspot keseluruh dunia. Jus nenas juga mempunyai permintaan yang tinggi terutama didalam pusat peranginan, hotel dan juga penduduk kawasan bandar. Hampas nenas dari kilang boleh digunakan untuk dijadikan bahan makanan ternakan dan ada negara yang memproses menapaikannya untuk dijadikan wain atau pun cuka.


Khasiat Perubatan Nenas juga tidak kurang banyaknya. Saya membaca beberapa buah buku mengenai khasiat nenas dimana kebanyakkan buku tersebut menyatakan BUAH NENAS segar membantu sistem penghadaman, melawaskan buang air kecil, mengurangkan masaalah sakit kerongkong dan mengatasi masaalah hati. Jus nenas yang diminum pula merupakan julap yang berkesan dan mampu membunuh cacing didalam perut dan usus. Zaman kanak-kanak dulu dikampong, saya memang suka makan nenas dan kerana itu mungkin cacing dalam perut tersiksa.  Bagaimana pun jus nenas tidak disyorkan diminum oleh ibu yang mengandung kerana ketajaman asid pada nenas boleh mengganggu pembentukkan janin.  Apa yang istimewa mengenai nenas muda adalah apabila dihancurkan, kemudian diikat pada bahagian anggota yang terseliuh dimana ini akan menyembuhkannya. 


Mereka yang suka makan nenas juga akan mencuci bahan toksik dalam badan dan dipercayai baik untuk mengawal penyakit kanser. Ramai orang tidak tahu yang dengan makan nenas segar selalu akan menghalang pertumbuhan sel kanser dalam badan terutama kanser yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Bagaimana pun mereka yang telah ada masaalah gastrik perlukan nasihat doktor untuk makan buah nenas dengan kuantiti yang banyak. Adalah dinasihatkan agar kesemua jenis ubat herba berasaskan nenas adalah tidak disyorkan untuk digunakan bagi ibu-ibu yang sedang mengandung. Khasiat perubatan DAUN NENAS juga tidak boleh diketepikan keran air rebusan daun nenas yang diminum akan merawat demam panas, penyakit pada alat kelamin, membunuh cacing dalam perut dan usus dan merangsang haid serta bertindak sebagai julap. AKAR NENAS pula yang dicampur dengan akar betik yang dibuat teh herba dipercayai menghancurkan batu karang dalam ginjal. Itulah khasiat yang saya dapat kumpul dari beberapa buah buku yang saya baca untuk tatapan anda. WASALAM...


KHASIAT NENAS...MEMANG BANYAKNYA...
PENGHADAMAN BAIK....DITANDAS SELESANYA...
SEL KANSER..DIKAWAL PERTUMBUHANNYA...
DIMAKAN SEGAR...MURAH HARGANNYA...


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(13 JamadilAkhir 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...