KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, February 14, 2012

PENYAKIT CILI API

CILI API (Capsicum frutecens) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Solanaceae yang sangat popular di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Nama lain bagi cili api di Malaysia adalah seperti Cili Padi, Cili Padi Siam, Cili Rawit sementara di Indonesia lebih popular dengan Cabe Rawit atau Lombok Rawit. Penanaman cili padi di Malaysia dibuat untuk bekalan tempatan dan menerima permintaan yang tinggi dikalangan masyarakat tempatan setiap hari. Kini cara penanaman cili padi telah ada petani yang menanam secara komersil walau pun Malaysia mengimpot beratus metrik tan cili api siam dari Thailand setiap tahun melalui Padang Besar, Bukit Kayu Hitak dan di Golok atau Pengkalan Kubur. Kenapa petani di negara kita tidak mampu menghasilkan cili padi yng mencukupi untuk penduduk tempatan?.....Salah satu sebabnya adalah masaalah serangan penyakit cili padi tempatan yang sukar diatasi sama ada kawalan kimia, IPM atau kaedah lain. Artikel malam ini sambil menonton perlawanan Bola Sepak antara Kelantan dengan Selangor (Menang) saya menulis beberapa penyakit tanaman cili padi.


Penanaman cili padi di Malaysia banyak cabarannya untuk mendapatkan hasil yang konsisten keuntungannya kerana jika tidak dijaga dengan baik, pokok cili api mudah diserang musuh dan juga penyakit. Pengalaman saya bertugas di banyak daerah dan melawat banyak kawasan kebun sayur terutama cili besar dan cili padi serta pernah menulis kertas berkaitan cili padi dulu membantu saya menulis artikel ini. Pokok cili padi di Malaysia tidak banyak pilihan varieti untuk dipilih bagi tujuan pengeluaran komersil walau telah ada beberapa jenis baru seperti Cili Bangi (Bukan cili padi sangat) dan Cili Padi Semerah yang lama dipromosikan. Penerimaan kalangan petani terhadap kedua-dua jenis cili ini masih perlahan dan petani masih memilih cili padi tempatan walau pun hasilnya rendah dan mudah diserang penyakit tetapi memberikan harga yang tinggi. Kini telah ramai petani yang memilih Cili Api Centil (didakwa sebagai Cili api impot) yang memberikan hasil lebih tinggi dan mudah diuruskan terutama dalam sistem fertigasi. Baca artikel mengenai cili api centil (Klik disini).


Antara penyakit cili padi yang paling kritikal adalah Penyakit Layu Bakteria yang disebabkan oleh Phytium spp atau Fusarium spp yang mengakibatkan pokok yang diserang akan layu dan boleh mati jika tidak dikawal segera. Penyakit ini mudah menyerang tanaman cili padi terutama jika kawasan tersebut pernah ditanam dengan cili padi atau famili solanaceae lain dan tanah agak lembab. Kawalan untuk penyakit ini adalah dengan kaedah Amalan Pertanian Baik seperti mencabut pokok yang telah diserang dan membakarnya, semburan racun kulat , memilih anak benih yang tahan, kebersihan ladang dan jalankan giliran tanaman. Serangan boleh berlaku dari peringkat awal pertumbuhan sehingga pokok matang untuk berbuah. Jika berlaku pada peringkat awal penanaman perlu dijalankan sulaman anak benih. Jalankan pemantauan dikawasan tanaman cili dari kemungkinan jangkitan dari pokok yang telah diserang.


Penyakit Kerinting Daun yang disebabkan oleh Virus Tristeza merupakan satu lagi masaalah dalam penanaman cili padi dan sentiasa menjadi 'Kegusaran' kepada penanam cili padi. Pemerhatian saya mendapati apabila telah mula berlaku serangan kerinting daun pada satu dahan atau pokok ianya akan cepat merebak kepada pokok lain dengan cepat jika tidak dikawal dengan segera. Tanda serangan apabila dilihat daun muda yang aktif mula kerinting atau berkerekot atau bergulong dan kadang-kadang kekuningan sedikit bermula pada satu dahan dan akan membiak kekawasan lain (Lihat footo sebelah). Akibatnya pokok tidak dapat menjalankan fotosintesis dengan cekap dan pengeluaran bunga akan terganggu atau tidak berbunga langsung. Lazimnya tunas-tunas baru tudak akan keluar dan jika ada buah pun saiznya sangat kecil (macam cili mini).  Belum ada kajian terperinci bagaimana punca serangan tetapi serangga seperti koya, semut, aphids dan sebagaimya mungkin menjadi agen merebaknya penyakit ini selain daripada petani sendiri yang kurang menjalankan sanitasi.  Kawalan dengan racun kimia hampir tiada langsung dan adalah disyorkan agar dahan pada pokok diserang dipotong dan dibakar atau jika serangan yang sangat teruk maka pokok dalam kebun tersebut dicabut dan dibakar. Kalau banyak pokok dalam kebun telah banyak diserang lebih balik musnahkan semua dan tanam baru.


Penyakit Bintik Daun (Cercospora spp) pula mengakibatkan daun yang diserang berbintik dan mengurangkan aktiviti fotosintesis. dan boleh dikawal dengan semburan racun Benomyl.  Penyakit Antraknos Buah Cili Padi yang disebabkan oleh kulat Collectotricum spp. akan merosakkan kualiti buah cili dan dikawal dengan semburan racun seperti Mancozeb. Perlu diingat setelah semburan racun dibuat jangan terus dipetik buah cili padi dan tunggu TDMH (Tempoh Dilarang Mengutip Hasil) seperti yang dituliskan pada label racun. Petani perlu menghasilkan cili padi yang berkualiti, Bersih, Berkhasiat dan yang penting tidak ada sisa baki raacun didalamnya. Kalau dikampong dulu memeng tidak pernah sembur racun pada pokok cili.


Antara perosak tanaman cili padi adalah Hamama Merah, Kutu Daun dan Aphids serta Koya. Serangga ini merupakan agen untuk peyebaran pathogen pembawa penyakit sama ada kulat, bakteria atau virus.  Koya yang tinggal di bawah daun yang telah berkerekot akan menghasilkan cecair manisan (secretion) yang akan menyebabkan semut suka akan manisan tersebut dan menghisapnya, berlendir  dan memnyebabkan akan ujudnya kulat Jelaga Hitam. Koya juga mampu bergerak keseluruhan pokok cili padi dimana ini menyebabkan kadar serangan penyakit cepat merebak.  Bagi mengawal masaalah kutu daun boleh digunakan semburan racun kimia seperti chlorpyrifos imidachlorpid mengikut arahan pada label. Serangan Hamana Merah boleh dikawal dengan semburan racun Malathion atau Dichlofol. Walau pun harga sekilogram di ladang untuk cili api antara RM 8.00 - RM 12.00, tetapi kos untuk memetik buah cili api juga mahal sekitar RM 1.80 - RM 2.50 sekilogram. Penanaman cili padi di negara kita saya fikir mempunyai potensi besar untuk  dimajukan jika ada varieti baru yang memberi berhasil tinggi, tahan serangan penyakit kerinting atau Penyakit Layu Bakteria, Mudah diuruskan serta cepat berbuah. Permintaan cili padi akan terus meningkat pada masa akan datang dan harganya juga akan terus naik. 
Wasallam.


By,
M Anem
Room 39, Galaxy Inn & Resort,
Lumut, Perak  DR,
Malaysia
(22 Rabiulawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...