KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, February 6, 2012

MENGKUANG

MENGKUANG (Pandanus artocapus) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Pandanaceae iaitu sama dengan keluarga pokok pandan. Terdapat lebih dari 600 spesis pokok pandan atau mengkuang diseluruh dunia daripada yang renek sehingga yang amat tinggi sehingga lebih 60 kaki. Pokok Mengkuang Laut juga di panggil sebagai Mengkuang Laut, Pandan Pundak (Malaysia), Screw Pine (English),  Pandan Degat (Filipina), Mengkuang (Indonesia), Ketaki atau Keura (India) dan Vacouet (Perancis). Pokok ini banyak tumbuh dikawasan Asia Tenggara dan kawasan kepulauan Pasifik secara liar terutama dikawasan lembap berair terutama dikawasan tepi pantai dan tepi sungai. Mengkuang banyak digunakan bahagian daun untuk dibuat anyaman menjadi Tikar, Alatan Aksessori seperti Beg Tangan, Beg Duit, Kotak, Bakul, Hiasan Dinding dan banyak produk kraftangan yang lain. Artikel subuh ini saya menulis sedikit maklumat mengenai pokok mengkuang untuk dikongsi bersama.


Pokok Mengkuang tumbuh dengan ketinggian 1-5 meter dimana daun yang berduri sepanjang 1-3 meter terbit dari pangkal batang. Daunnya berwarna hijau gelap dengan lebar 5-10 cm dan mempunyai duri tajam dibahagian tepi daun serta bahagian bawah atau tulang daun. Bahagian dalam daun adalah berwarna putih yang berair.  Mengkuang yang tumbuh dikawasan kampong jarang-jarang dapat menghasilkan bunga dan buah kerana daunnya sering dikutip untuk menghasilkan anyaman. Jenis mengkuang laut sering kita lihat ditepi pantai menghasilkan buah yang unik berwarna kemerahan dan apabila gugur akan dibawa arus untuk tumbuh dikawasan lain. Akar pokok mengkuang terdiri daripada akar serabut yang kukuh dikelilingnya dan juga mempunyai akar udara pada spesis tertentu. 


Kita jarang mendengar orang menanam Mengkuang tetapi kebanyakannya adalah tumbuh sendiri. Bagaimana pun kalau hendak menanam mengkuang kena cari kawasan yang sesuai iaitu agak lembab (kawasan tanah gambut atau tanah mineral atau tanah liat). Anakbenih Mengkuang diambil dari kawasan pokok liar semulajadi dan gali bersama tanahnya dan buang bahagian atas daun dengan memotongnya sekitar 50%. Jarak penanaman (jika boleh) sekitar 3 - 4 meter antara barisan dan dalam barisan. Pastikan menyiram pada peringkat awal penanaman dan buat teduhan sehingga pokok tumbuh. Peratus kejayaan penanaman mengkuang agak tidak memberangsangkan jika kawasan penanaman baru kurang sesuai. Mengkuang sebenarnya sejenis tanaman liar semulajadi yang agak unik  dan tidak banyak amalan agronomi yang pernah ditulis dan dibuat kajian. 


Pokok mengkuang yang ada dikawasan kampong dan belukar jarang-jarang dibaja tetapi tetap tumbuh subur. Tumbuhan ini tidak mempunyai masaalah serangan serangga perosak atau penyakit yang serius. Bahagian daun merupakan komponen utama untuk digunakan dalam membuat anyaman dan kraftangan selain daripada bahagian akarnya yang didakwa mempunyai khasiat tersendiri dalam perubatan Ayuverda. Bahagian akar dipercayai mengandungi bahan kimia seperti 2-phenyl ethyl alcohol serta banyak bahan kimia lain dan dikaitkan dengan organ pembiakan wanita dikebanyakan kepulauan Pasifik semenjak dulu kala. Ekstrak daripada mengkuang juga boleh digunakan bagi mengurangkan masaalah pening kepala, muntah-muntah dan beberapa masaalah kesihatan lain. 


Daun Mengkuang yang cukup matang berwarna hijau gelap akan dipotong dari pangkal pokok menggunakan parang dan perlu berhati-hati sgar tidak terkena duri tajam. Daun ini dikumpulkan dan diikat sebelum di potong dibahagian pucunya mengikut panjang daun mengkuang. Pastikan memakai sarung tangan tebal agar duri tidak melukakan kita. Daun mengkuang ini kemudian perlu dilayur dahulu (panggang daun mengkuang diatas bara api beberapa minit) untuk melembutkannya. Buangkan duri-duri tajam di bahagian kiri dan kanan daun serta dibahagian bawah daun atau tulang daun dengan pisau tajam. Cara melayur ini perlukan kepakaran kerana kalau terlalu lama atau tidak cukup layu maka kualiti daun untuk dibuat kraftani akan pecah. 


Alat Jangka lerai anyaman.
Seterusnya daun yang layu ini perlu dipotong mengikut saiz lerai anyaman selebar lebihkurang 1 cm menggunakan alat khas yang dipanggil sebagai ALAT JANGKA (lihat foto sebelah). Jika lebar asal daun mengkuang agak kecil maka bilah-bilah daun disesuaikan kecil dan sebaliknya jika daun lebar maka bilah-bilah daun juga agal lebar. Bilah daun ini perlu menjalani proses MELURUT DAUN menggunakan alat pelurut beulang-ulang kali untuk mempastikan bilah daun tidak bergulong apabila kering. Selepas dilurut maka daun perlu diikat dan kemudian direndam selama 2 hari dua malam dengan menukar aur setiap 1 hari bertujuan untuk menghilangkan warna hijau daun. Keluarkan ikatan daun dan jemur dibawah cahaya matahari.


Proses melurut daun
Proses mewarna dijalankan dengan memanaskan air dan masukkan bahan perwarna sama ada dalam bentuk cecair atau hablur serbuk. Masukkan bilah-bilah daun kedalam air warna tadi sehingga sekata dan keluarkan kemudian daun dijemur sehingga kering dibawah sinaran matahari. Hanya daun yang warnanya sekata digunakan untuk proses menganyam dan yang belum sekata dimasukkan lagi kedalam air warna tadi. Proses melurut dibuat sekali lagi terhadap daun mengkuang yang telah berwarna tadi untuk mengelakan daripada daun tersebut bergulung semula. Didalam seni menyanyam perlu ditentukan Taja atau Langang iaitu merupakan rekabentuk sesuatu anyaman. 


Kerja menganyam tikar atau produk lain berasaskan daun mengkuang perlu kemahiran atau pengalaman khusus yang amat tinggi. Mereka perlu mahir  dalam menentukan corak, warna, saiz, susunan dan sebagainya bermula dengan menyambung dan menyusun secara menyilang dan melipatkannya dibahagian tepi serta penjuru. Kekemasan kerja menganyam akan dapat dilihat dengan susunan lerai yang kemas, kukuh dan kuat serta tidak akan terbuka sendiri. Kerja menganyam tikar berukuran 6 kaki x 6 kaki atau besar sedikit memerlukan masa 10 -15 hari bergantung kepada    kepakaran dan kemahira. Kalau nak beli tikar pandan atau Tikar Pandan jangan terkejut harganya agak mahal kerana proses membuatnya juga amat rumit.


POKOK MENGKUANG...DAUNNYA BERDURI....
TIDAK PERLU TANAM...TUMBUH SENDIRI...
DAUN DI POTONG...ANYAMAN DIMULAI...
KALAU DAH JADI TIKAR...CANTIK SEKALI...


By,
M Anem
Jalan Istana, Simpang Bukit Beruang,
Air Keroh, Melaka, Malaysia.
(15 RabiulAwal 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...