KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, February 23, 2012

BALUT BELIMBING

BELIMBING (Averrhoa carambola) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang mengandungi banyak nutrien untuk kesihatan manusia terutama mereka yang menghadapi masaalah tekanan darah tinggi dan kencing manis. Terdapat seluas 1,310 hektar tanaman belimbing di Malaysia pada tahun 2011 (Laporan Statistik Jabatan Pertanian Malaysia) dengan kawasan utama pengeluaran sekitar Selangor, Negeri Sembilan , Pahang dan Johor. Buah belimbing mempunyai kulit yang sangat lembut dan amat disukai oleh Lalat Buah (Bactocera carambolae) atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai 'Fruit Fly'. Sejenis lagi lalat buah dari spesis dipanggil sebagai Daucus sp yang juga menyerang buah belimbing. Buah belimbing perlu dibalut bagi mengatasi masaalah serangan lalat buah agar tidak dirosakkan dan boleh dijual untuk pasaran ekspot atau pasaran domestik. Saya telah meninjau teknologi terkini aktiviti membalut buah belimbing di 3 buah ladang komersil di TKPM Semenyih hari ini untuk meneliti amalan terkini membalut buah belimbing untuk rujukan semua.


Pengurusan tanaman pokok belimbing mesti dijalankan mengikut Pakej Amalan Pertanian Baik (APB) yang meliputi pelbagai aspek dari mula menanam sehingga aktiviti lepas tuai. Benih tanaman berkualiti yang disahkan terdiri dari Varieti atau Klon B10 atau B17 sebagai pokok utama diselangkan dengan pokok Klon B2 sebagai sejenis klon pendebunga. Penanaman klon pendebunga boleh ditanam setiap 5 barisan B10 dengan sebaris B2 atau sepokok klon B2 dikelilingi beberapa pokok B10. Terkini disyorkan agar pokok yang berumur lebih 5-8 tahun atau lebih muda dicantum dewasa terus klon B2 pada setiap pokok B10 atau klon B17 (Klon komersil). Amalan ladang seperti sistem pengairan ladang, kawalan musuh dan penyakit serta kawalan rumpai dijalankan mengikut Pakej Amaalan Teknologi Tanaman Belimbing. Naja NPK 15:15:15 ditabur selepas mencantas diikuti dengan baja NPK 16:16:16 untuk menggalakan pembungaan. Jenama baja 'Yara Mila' didapati menjadi pilihan ramai penanam belimbing kerana kualitinya dan keberkesanannya walau pun harganya agak mahal. Baja tahi ayam sebanyak 1 guni sepokok diberikan setiap tahun. Terdapat juga dikalangan petani yang berikan tahi ayam proses untuk pokok belimbing. Sistem pengairan dipasang menggunakan sistem pengairan titis (HDPE 3/4 inci) yang dipam dari kolam utama dengan kekerapan mengikut keadaan cuaca. Jika cuaca panas dipam 2 kali sehari iaitu pada pagi dan petang. Khidmat nasehat teknikal yang saya berikan menjadi medan pertukaran amalan teknologi dan pengubahsuaian amalan teknologi sedia ada bersama petani dan pekerja ladang.


Buah Putik belimbing (Lihat foto)  perlu dipilih dari buah yang lurus, tidak cacat dan cantik sebelum dibalut. Pemerhatian saya mendapati setiap jambak bunga mengandungi antara 5 -15 putik buah yang berukuran 1-2 cm panjang dan akan gugur secara semulajadi apabila putik membesar. Buang semua putik dan tinggalkan satu putik sahaja yang berukuran 4-5 cm untuk dibalut. Kajian menunjukkan putik berumur 2 minggu selepas terbentuk atau saiz sesuai perlu dibalut dan pilih yang belum diserang lalat buah. Pilih SATU sahaja buah pada ranting yang berjuntai kebawah untuk dibalut dengan ketinggian yang kita boleh capai. Putik yang tumbuh pada batang utama atau dahan utama (Main trunk) memang banyak tetapi tidak digalakkan untuk dibalut kerana tangkai jambak yang pendek melambatkan proses membalut dan kadang-kadang akan putus. Musim panas dan pokok yang telah dibaja mampu mengeluarkan beratus tangkai bunga. Bunga banyak keluar (Peak season) pada bulan Febuari-Mac dan Ogos-September setiap tahun. 


Salah satu cara mengurangkan populasi lalat buah dalam kebun belimbing adalah dengan memasang perangkap Lalat Buah dengan menggunakan methyl eugenol. Pada masa ini plastik bekas botol air mineral ditebuk lubang dibahagian tengah botol dan kapas atau span yang dicelup dengan methyl eugenol digantung dibahagian tengah dalam botol. Lalat buah yang tertarik dengan baunya akan datang mendekati dan masuk kedalam botol dimana ianya tidak boleh keluar dan akan mati lalu jatuh dibahagian bawah botol. Ada yang isikan air atau racun serangga dibahagian bawah didalam botol tersebut. Setiap pokok digantung satu botol bagi pokok yang padat kanopinya atau bagi pokok yang kanopinya jarang dipasang setiap 4-5 pokok satu botol. Ganti kapas dengan kapas baru yang mengandungi methyl eugenol setiap 2 minggu. Pemeriksaan saya mendapati didalam botol yang telah diletak 10 hari diladang ini mengandungi sebanyak 150 -300 ekor lalat buah yang telah mati dan ada yang hidup masih berterbangan dalam botol plastik. Kaedah ini berkesan dalam mengawal populasi lalat buah dalam ladang belimbing.



Kerja membalut buah belimbing perlu ada kemahiran tersendiri dimana seorang pekerja mahir mampu membalut antara 700 - 1,000 biji buah sehari. Kepantasan aktiviti membalut buah belimbing ini bergantung kepada pengalaman pekerja, ketinggian pokok, bilangan putik pada pokok dan keadaan cuaca. Kertas pembalut adalah dari suratkhabar lama yang dipotong berukuran 20 cm x 30 cm dilipat dua dan digamkan di dua bahagian hujungnya. Kertas ini dimasukkan dalam bekas kain yang diikat pada pinggang dan dawai sepanjang 10 - 12 cm panjang diikat pada tangan kiri pembalut buah (1 gulong kawat dapat 700 helai dawai pengikat). Langkah pertama adalah memilih putik buah yang sesuai untuk dibalut dengan membuang buah lain dan tinggalkan sebiji sahaja. Masukan mulut kertas kedalam putik buah dan ikatkan dengan kawat tadi. Bahagian bawah kertas ditolak masuk kedalam untuk memberikan bentuk kertas menjadi bulat (Bukan leper). Ini akan menyebabkan putik buah bebas bergerak dalam ruang yang luas. Jika tidak dikembongkan maka pembentukan buah jadi tidak cantik dan buah mudah gugur bila kena hujan atau angin kencang. Pekerja mahir perlukan masa 3-10 minit untuk membalut sebiji buah belimbing.


Pada 2-3 tahun lepas ladang ini menggunakan kertas warna (kuning, merah, hijau, biru) yang mana mudah untuk menentukan waktu menuai mengikut kod warna. Kajian mendapati kertas ini menyebabkan kesan sisabaki racun pada buah belimbing apabila dibuat analisa makmal Jabatan Pertanian untuk persijilan SALM. Kesan racun ini dipercayai berpunca dari semburan racun rumpai atau racun serangga atau racun kulat yang diserap oleh kertas tersebut dan terkena pada kulit belimbing.  Kini petani telah beralih menggunakan kertas suratkhabar lama yang didapati lebih praktikal, murah dan tiada kesan sisabaki racun pada buah belimbing seperti amalan terdahulu. Pokok di ladang ini yang berumur 4 tahun saya kira ada sebanyak 700 - 800 biji putik yang telah siap dibalut (Lihat foto). Buah ini akan masak pada bulan April 2012 dan pekerja akan mula memetik berdasarkan saiz dan warna.  Sebiji buah beratnya sekitar 200 - 300 gram untuk pasaran ekspot dan untuk pasaran domestik mengikut gred ( Gred A, Gred B atau Gred C).


Harga ladang belimbing dari ladang ini berbeza-beza mengikut gred dan tujuan pasaran sama ada domestik atau untuk ekspot antarabangsa. Buah yang dipetik disusun dalam bakul sebelum dibawa ke pusat pengumpulan dan dijalankan penggreddan. Gred untuk pasaran ekspot lazimnya pada indeks 2-3 yang masih berwarna hijau. Buah untuk ekspot akan dipilih mengikut gred dan dimasukkan dalam kotak mengikut saiz kotak dan bilangan buah dijual pada harga purata RM 50.00 sekotak (Ikut bilangan buah).  Buah untuk pasaran domestik pula akan dimasukan dalam bakul yang disusun sebanyak 3-4 lapisan dipisahkan dengan kertas suratkhabar. Buah ini dijual dengan harga RM 1.50 - RM 2.00 sekilogram bergantung kepada gred.


BALUT BELIMBING....PERLU DILAKUKAN....
LALAT BUAH....MEMANG MEROSAKAN....
SURATKHABAR LAMA....PERLU DIPASANGKAN...
KASIL BERKUALITI...EKSPOT DIPASTIKAN...


Related article:
1. Starfruit (Klik disini)
2. Carambola agronomic practices (Klik disini)
3. Cashflow Carambola (Klik disini)
4. Klon Belimbing di Malaysia (Klik disini)
5. Starfruit Farm (Klik disini)


By,
M Anem
TKPM Semenyih, Semenyeh,
Ulu Langat, Selangor,
Malaysia
(1 RabiulAkhir 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...