Wednesday, October 5, 2011

PETAI BELALANG

Reactions: 
PETAI BELALANG (Leucaena leucephala) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga FABACEAE ( dulu dipanggil LEGUMINOCEAE) atau keluarga Kekacang  yang sesuai ditanam di Malaysia untuk tujuan ornamental atu pokok hiasan , tumbuhan liar dan sesuai digunakan sebagai  makanan ternakan ruminan. Saya mula mengenali pokok ini ketika belajar subjek 'Rumpai Makanan Ternakan' di kampus UPM pada tahun 1979 dan membuat latihan praktikal diladang. Nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Lead Tree (English), Petai Cina; Petai Selong ; Lamtoro (Indonesia), Za'gain (Myanmar), Ka'thin (Laos), Luyluy ; Biatilis (Cebuano), Pak Kratin (Thailand) , Ipil-ipil (Filipina), Subabul (India)  dan Ginnemu (Jepun). Keluasan tanaman petai belalang di Malaysia sekitar 800 - 1,200 hektar yang ditanam dikawasan padang ragut, tumbuh sendiri, tepi jalan, tepi sungai dan juga dikawasan taman-taman majlis tempatan. Makan buah petai belalang menjadi satu kegemaran ketika kanak-kanak dahulu kerana rasanya yang sedap, sedikit pedas, lemak dan segar yang dipetik sendiri depan rumah. Artikel kali ini berkisar tumbuhan petai belalang untuk bacaan pembaca blog ini.


Pokok Petai Belalang merupakan pokok renek yang mampu tumbuh sehingga ketinggian 8-12 meter. Pokok berkayu ini mempunyai batang yang kuat dengan banyak cabang yang mudah tumbuh semula selepas sering dicantas. Warna kulit batang adalah coklat dan hijau bagi bahagian pucuk muda.Daunya berwarna hijau jenins 'bi-pinnate' dengan terdapat 4-9 tangkai daun selari pada satu ranting. Setiap tangkai daun mempumyai 11-22 pasang lai daun yang berukuran 8-12 mm panjang dan 1-2 cm lebar dengan hujung yang tirus. Bunganya berbentuk bulat atau 'globose' dengan ukuran 2-5 cm garispusat dikelilingi stamen yang berwarna putih krim (terdapat antara 100-200 stamen satu bunga). Kudup bunga bulat yang belum berkembang berwarna hijau yang keluar dari ketiak daun. 


Buah petai belalang berbentuk leper yang berbonjol-bonjal mengandungi biji didalamnya. Warna buah (pod) petai belalang adalah hijau semasa muda dan akan menjadi warna coklat gelap apabila matang dan akan terbuka sendiri bagi mengeluarkan bijinya. Saiz buah sekitar 12-20 cm panjang dan 1.5-2.0 cm lebat dengan bahagian hujung yang bulat. Setiap buah mengandungi 8-10 biji yang berwarna hijau , lembut dengan rasa lemak untuk dimakan ketika muda serta berbau sama seperti petai. Biji yang matang akan menjadi keras berwarna kehitaman berukuran 7-9 mm panjang dan 4-6 cm lebar yang kulitnya berkilat.


Pokok petai belalang mudah tumbuh dari kawasan tanah kurang subur kepada tanah subur pada ketinggian sehingga 1,000 meter dikawasan tropika. Tumbuhan ini tumbuh dengan baik dikawasan tanah bermasaalah seperti tanah masam, tanah gambut atau tanah bris asalkan ada sumber air yang mencukupi dan mempunyai saliran baik. Pokok ini juga tahan lasak dalam keadaan cuaca panas dan kemarau yang agak lama. Petai belalang tumbuh dengan baik dikawasan pastura yang panas dan mampu hidup dengan baik dikawasan bernaung.


Pembiakan pokok belalang adalah sangat mudah dijalankan dengan kaedah keratan batang atau menggunakan biji benih. Keratan batang sepanjang 1-1.5 meter dipotong dari pokok induk dan dipacak kedalam tanah yang sesuai pada musim hujan. Tunas dan akar akan keluar beberapa minggu kemudian dan terus membesar. Penanaman menggunakan biji benih dikawasan pastura untuk ternakan seperti di Australia menggunakan kadar benih sebanyak  1-2 kg/ha dan jarak tanaman 3m x 10m. 


Pokok petai belalang digunakan sebagai bahan penting untuk makanan ternakan kerana mengandungi sumber protin yang tinggi.


Bersambung . . .     

2 comments:

  1. Salam,

    Terima kasih berkongsi ilmu ini. Ada sambungannya?

    Saya berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai petai belalang ni dgn niat untuk menanam di ladang besar.

    Jika boleh bantu emailkan saya di paychild@gmail.com

    Terima kasih.

    :)

    ReplyDelete
  2. SAMBUNGANNYA SEBELUM AKHIR TAHUN 2012...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA