KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, October 12, 2011

HUJAN

HUJAN merupakan satu proses semulajadi yang berlaku di mukabumi ini dan merupakan kejadian yang sangat berkait rapat dengan sektor pertanian. Dalam bahasa mudah hujan merupakan proses turun titisan air dari langit atau awan yang jatuh kemukabumi dalam jangkamasa tertentu sama ada ianya Gerimis, Hujan Lebat atau Hujan Sederhana. Bentuk hujan berbeza-beza mengikut lokasi sesuatu kawasan seperti dalam bentuk Titisan Air, Salji, Hujan Batu atau Hujan Ais. Kita di Malaysia bertuah kerana menerima hujan sepanjang tahun berbanding dengan beberapa negara Arab dan Australia yang menerima hujan sangat sedikit dan kawasan tersebut menjadi gurun yang kontang. Fenomena hujan ini sangat berkait dengan sektor pertanian dimana 'pattern' kalendar tanaman sangat berkait dengan bagaimana taburan hujan turun dalam satu lokasi dalam setahun. Hujan juga menentukan musim penghasilan bahan makanan penanaman makanan terutama tumbuhan bijirin seperti padi, gandum, shorgum, jagung, tanaman kekacang dan sebagainya diseluroh dunia. Artikel pagi ini saya menulis mengenai hujan dan kpentingnya dengan sektor pertanian.


Hujan memainkan peranan penting dalam proses kitaran hidrologi di mana kelembapan dari laut yang terpeluwap dan akan bertukar menjadi awan. Awan yang  terkumpul menjadi awan padat yang berwarna gelap dan membentuk wap serta titisan air yang akan jatuh kembali ke bumi. Air yang jatuh kebumi ini akan mengalir melalui permukaan tanah memasuki tasek, kolam, sungai dan akhirnya kembali ke laut melalui sungai dan anak sungai untuk mengulangi kitaran itu semula. Sebahagian air hujan di gunakan sebagai sumber pengairan untuk tanaman serta tumbuhan, sebagai air minuman bersih domestik, dikumpulkan bagi menjana kuasa eletrik dan juga keperluan industri perkilangan. Dalam sektor pertanian air hujan menentukan corak pertanian sesuatu kawasan yang berbeza-beza dari satu lokasi kelokasi lain.


Dalam mengukur kejadian hujan satu alat yang dipanggil sebagai 'Tolok Hujan' yang perlu digunakan untuk mengukur kadar hujan. Alat ini dipasang dibeberapa lokasi strategik yang berfungsi sebagai  alat pengukur jumlah air hujan. Alat ini seakan-akan paip kerongga yang tertutup pada bawahnya dengan satu corong pada hujungnya yang di atas. Alat ini biasanya diletakkan di suatu tempat yang lapang dan perlu dipagar keselamatan untuk mengelakkan diganggu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Pihak berkuasa akan memeriksa alat tersebut mengikut jadual dan mencatit atau merekodkan kadar hujan turun pada jangkamasa yang tertentu. Jumlah air hujan dinyatakan sebagai kedalaman air yang terkumpul pada permukaan rata dimana ianya diukur kepada 0.25 mm terhampir. Kadang-kadang ia turut disebut dalam liter per meter persegi (1 L/m² = 1 mm). Malaysia menerima hujan yang banyak sepanjang tahun terutama pada masa monsoon sehingga mencapai 2,000 - 2,500 mm. Hujan yang berlebihan pada bulan Disember- Januari setiap tahun kadang-kadang akan juga mengakibatkan bencana banjir dan merosakkan tanaman.


Bagi tempat yang air hujannya sangat kurang iaitu jumlah air hujan diterima kurang daripada 254 mm (10 inci) setahun dipanggil GURUN.  Kawasan gurun selalunya kurang hujan turun, sangat panas dan tiada banyak tumbuhan hijau yang ada dikawasan tersebut hanya ada pasir dan batu sahaja. Pengalaman saya di Dina Farm, di Mesir pada tahun 2006 yang sempat melawat ladang dari gurun seluas 45,000 hektar yang menggunakan air yang disedut dari dasar bumi sedalam 2 km untuk dipam naik dalam program pemulihan tanah gurun untuk pertanian. Walau pun kos projek ini sangat tinggi tetapi ianya perlu dijalankan untuk menghasilkan bahan tanaman bagi lebih 70 juta penduduk Mesir dengan tanaman anggur, pastura untuk lembu tenusu, buah-buahan segar dan juga yang paling luas ialah penanaman Kentang (Potato). Kawasan yang menerima jumlah hujan yang lebih daripada 510 mm setahun sesuai  untuk tujuan pertanian. Jumlah tersebut diperlukan sebagai keperluan minima untuk kebanyakan tanaman bijirin mendapat air untuk mengeluarkan hasil. Tetapi sekiranya jumlah hujan yang turun lebih daripada 2,540 mm setahun maka tumbuhan liar boleh menjadi amat subur sehingga mengancam tanam-tanaman  sedia ada.


Ramai kita tidak dapat bayangkan bahawa air hujan sering digambarkan sebagai berbentuk "lonjong" seperti air mata, lebar di bawah dan tirus di atas, tetapi ini tidak tepat. Air hujan sebenarnya dalah bersaiz kecil hampir bulat. Air hujan yang besar biasanya akan menjadi semakin leperiaitu seperti roti burger sementara apabila ianya menjadi lebih besar berbentuk payung terjun. Air hujan yang besar jatuh lebih cepat berbanding air hujan yang lebih kecil kerana ianya lebih berat dan kita terasa jika terkena pada muka kita. Laporan menunjukkan biasanya diameter air hujan ialah antara 1 - 2 mm. Saiz air hujan ini juga bergantung kepada angin dan suhu ketika hujan turun. Pada musim monsoon biasanya hujan yang lebat berpanjangan menurunkan hujan yang besaiz sederhana dan rata. Jumlah hujan yangbanyak ini menyebabkan tanah menjadi tepu dan menyebabkan kejadian banjir.

Hujan sangat penting dalam kehidupan manusia, tumbuh-tumbuhan dan ekologi kitaran. Syukur di negara kita mempunyai hujan yang banyak dan sektor pertanian terus membangun dengan pelbagai tanaman seperti Kelapa Sawit, Getah, Buah-buahan, Sayur-sayuran dan hutan balak. Sektor perikanan air tawar dan ternakan ruminan juga terus berkembang dimana kita mampu mengeluarkan makanan sepanjang tahun untuk keperluan domestik malahan untuk pasaran ekspot. Perubahan cuaca pada masa akan datang perlu dikaji kerana ini akan juga mengakibatkan pertukaran pola hujan yang akan menjejaskan sektor pertanian negara kita. Sama-sama berdoa agar hujan akan sentiasa terus turun di Malaysia!

AWAN GELAP....HUJAN PUN TURUN.....
KEJADIAN HUJAN ....TELAH BERKURUN....
TANAMAN SUBUR...JADI HARTA KARUN...
TERUS BERDOA....JANGAN JADI GURUN...

Related articles:
1. Day Light Length (Click here)
2. Microbes and Biodiversity (Click here)
3. Talks about Sustainable Agriculture (Click here)
4. Crop Roots and Tubers (Click here)
5. Kenapa Rambutan? (Klik disini)

By,
M Anem
Muar, Johor,
Malaysia

(12 Zulkaedah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...