Support My Blog

Sunday, October 30, 2011

PANDAN

PANDAN (Pandanus amaryllifolius Roxb syn Pandanus odorus) merupakan sejenin tumbuhan dari keluarga Pandanaceae yang tumbuh di Malaysia dan beberapa negara lain di Asia Tenggara. Keluarga Pandan mempunyai banyak spesis dan terdapat pandan biasa dan pandan wangi. Nama lain bagi pandan adalah Pandan bau ; Pandan jelingkeh ; Pandan Rampeh ; Pandan Wangi ; Pandan Rampai (Melayu),  Qi Yi Lan (China), Kenr (Hindi), Nioi Tako No Ki (Jepun), Pandanasu (Korea), Bai Toei ; Bao Toey Hom (Thailand) dan Dura Thom (Vietnam).  Pandan ditanam di kawasan rumah khususnya orang-orang Melayu sebagai satu tanaman penting yang mesti ada setiap rumah sama ditanam dalam pasu atau daiatas tanah. Tidak ada laporan rasmi mengenai keluasan tanaman pandan di Malaysia dicatitkan akan tetapi penulis telah membuat anggaran sekitar 500 -600 hektar CHE jika diambilkira tanaman monokrop dan tanaman keliling rumah. Pandan wangi mempunyai saiz daun dan tumbuhan lebih kecil dari pandan biasa. Pandan Wangi digunakan untuk buat sirap yang memberikan aroma dan rasa lazat minuman sirap tersebut. Daun pandan juga sangat penting dalam majlis perkahwinan orang-orang Melayu dan Majlis lain (Potong Jambul, Berkhatan dsb) untuk dibuat 'Bunga Rampai' dicampur dengan bunga-bunga lain. Daun Pandan juga sesuai diguna untuk dijadikan ramuan dalam banyak jenis kuih mueh tradisional seperti Lempeng Gulong, Kek Pandan, Bingka Pandan, Roti Pandan, Kueh Tako, Apam Pandan dan bepuloh jenis kueh lagi. Artikel pagi Ahad ini saya menulis berkaitan teknologi tanaman pandan untuk bacaan semua.


Tumbuhan Pandan adalah jenis monokot yang mempunyai lebih dari 600 spesis. Hanya pandan wangi yang banyak ditanam untuk digunakan dalam masakan dan ekstrak pati minyaknya. Pandan jenis lain digunakan untuk membuat anyaman tikar, pokok hiasan ornamental dan juga dalam industri lain yang berkaitan. Pokok pandan tidak mempunyai batang kayu keras tetapi mempunyai akar udara yang mudah tumbuh dalam semua keadaan jenis tanah. Daunnya keluar dari pangkal rumpun menegak keatas berwarna hijau gelap. Lebar daun sekitar 2-3 cm dan panjang daun 30-60 cm bergantung kepada kesuburan pokok. Ketinggian pokok pandan wangi dalam 0.5 -1.5 meter. Pandan boleh hidup subur diatas tanah lapang atau dikawasan yang agak bernaung dari cahaya matahari. Ramai menanam pandan didalam pasu dan diletakkan dikeliling rumah walau pun mereka yang tinggal dirumah pangsa.


Penanaman pokok pandan dibuat menggunakan Benih Keratan yang mempunyai akar dan daun serta bahagian pucuk atau dari Sulur Pokok yang keluar dari pangkal rumpun pokok. Potong sulur dari pangkal rumpun pokok yang matang dan buangkan sedikit bahagian pucok. Tanam sulur atau keratan tadi diatas tanah atau dalam pasu sedalam 2-3 inci dalam tanah dan siram dengan air. Penanaman pandan secara monokrop yang luas di ladang biasanya dengan jarak penanaman 1m x 1m. Pembajaan disyorkan menggunakan baja organik (Tahi ayam proses dan lain-lain baja organik) dan baja NPK 15:15:15 pada kadar disyorkan. Kawalan rumpai menggunakan kaedah manual iaitu tajak atau mesin porong rumput dan elakkan menggunakan sebarang racun rumpai. Ini kerana pokok pandan adalah sensitif dengan kebanyakan racun rumpai. Pandan tidak mempunyai masaalah serangan perosak dan penyakit yang serious tetapi pokok yang lemah akan diserang kulat bintik daun dan juga kering pucuk daun. Perlu dikutip atau di potong daun-daun pandan tua kerana jika ianya terlalu rimbun akan menjejaskan sistem pengakaran. 


Tanaman pandan secara komersil boleh mula menuai selepas 10-12 bulan ditanam diladang. Kaedah menuai dengan memotong pangkal rumpun semua atau berperingkat2 menggunakan pisau tajam dan kumpulkan untuk dibersihkan. Buang bahagian pangkal rumpun dan ceraikan setiap helai daun pandan yang berkualiti. Daun pandan tua dan terlalu muda diasingkan. Ikat secara 'bundle' daun pandan untuk dihantar kepada pemborong didalam bakul atau guni. Pemborong dan peruncit akan menjual daun pandan dalam 10-20 helai satu ikat dengan harga RM 1.00 satu ikat. Ada yang menjual masih dalam bentuk satu rumpun (yang ini agak tahan lama disimpan). Daun pandan tanpa sebarang rawatan akan segar dalam 3-5 hari sebelum layu bagaimanapun jika disimpan dalam peti sejuk boleh bertahan sehingga 2 minggu. 


Ayam goreng balut pandan.
Pokok pandan mengandungi kompoun bahan kimia yang berbau dipanggil sebagai 2-acetyl-1-pyrolline dan komponen ini penting didalam industri ekstrak pati. Pati ini banyak digunakan dalam industri minyak wangi, masakan dan juga produk kesihatan. Bau pandan ini sangat berkesan untuk menghalau Lipas dan  beberapa serangga lain sebagai 'repellent'. Jika daun pandan diletk dalam kereta yang berbau kerana bawa buah durian akan meyerap bau tersebut dengan kadar segera. Terdapat juga laporan yang daun pandan akan dapat mengelakkan monyet dari mendekati tanaman kita jika ada pokok pandan ditanam disekeliling kebun atau rumah. Kalau kita ke restoran ala Indonesia sering kita jumpa menu ayam goreng dibalut daun pandan yang memang sangat sedap dengan rasa dan baunya. Banyak kueh-mueh kegemaran yang menggunakan perisa pandan sama ada dari dalam botol 'essence ready made' atau didapati dari pandan asli. 


Kueh Tako daun pandan.
Penanaman pandan merupakan satu aktiviti penting dalam masyarakat Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, Singapura, Vietnam, China dan beberapa negara lain. Kajian mengenai penanaman dan penggunaan daun pandan perlu dipertingkatkan lagi agar mampu menjadi satu komoditi penting pada masa akan datang. Keluarga tumbuhan pandan jenis yang bukan jenis pandan wangi sesuai digunakan untuk membuat kraftangan seperti tikar, bakul, raga, atap, dinding rumah dan sebagainya. Tikar dari anyaman daun pandan yang diwarnakan menjadi satu hasil kraftangan yang bernilai tinggi dan menarik. Kajian lanjut dari segi agronomi, post harvest dan biakbaka mungkin perlu diteruskan untuk menjadikan tanaman pandan menjadi satu bidang komoditi yang berdaya maju dan berfaedah. Diharap artikel ini memberikan sedikit maklumat berguna kepada pembaca. Sekian.


DAUN PANDAN .....SANGAT BERGUNA....
PANDAN WANGI....PRODUK DITERIMA....
MUDAH DITANAM...DI MANA-MANA...
DIBUAT SIRAP...SUNGGUH BERMAKNA...


Related articles:
1. Asam Gelugor (Klik disini)
2. Asam Jawa (Klik didini)
3. Kelapa Pandan (Klik disini)
4. Aloe Vera (Klik disini)
5. Pinang (Klik disini)
6. Neem (Klik didini)
7. Rami (Klik disini)
8. Jintan (Klik disini)


By,
M Anem
Jerantut, Pahang,
Malaysia(30 Zulkaedah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...