KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, October 27, 2011

BUAH BILAK

BUAH BILAK (Aegle marmelos Linn) merupakan sejenis buah unik dari keluarga Rutaceae yang tumbuh dinegara kita tetapi ramai yang tidak kenal akan Buah Bilak. Buah ini banyak tumbuh liar didalam hutan kering di India, Pakistan dan Bangladesh serta Sri Lanka serta tersebar di Asia Tenggara termasuk di Malaysia. Pokok bilak ditanam terutama nya disekitar kuil Hindu merupakan pokok berkayu sederhana kecil mencapai ketinggian sehingga 10-15 meter dari paras tanah. Batang pokok menegak dengan kulit batang berwarna coklat dan ukurlilit batang sekitar 25-50 cm keliling. Tidak ada rekod keluasan tanaman bilak di dunia atau di Malaysia kerana ianya bukan tanaman bernilai komersil.  Dahan pokok bilak tua adalah berduri tunggal atau kembar sepanjang 1-2 cm durinya. Daun pokok bilak dengan susunan selang seli sebanyak 3 helai daun satu tangkai. Panjang tangkai daun 2-4 cm. Bunganya berwarna putih yang akan membentuk buah berbentuk beri seperti bulat bola berukuran 5-12 cm garispusat. Kulit buahnya keras macam tempurung dan mempunyai sis 8-16 ulas. Setiap ulas mempunyai 6-10 biji yang jernih dan melekit. Buah bilak masak berwarna kuning atau oren dengan aroma yang wangi. Petang cuti ini saya menulis mengenai buah bilak dan kegunaanya dalam kegunaan kepada manusia.


Buah Bilak mengandungi banyak zat yang berguna untuk kesihatan manusia. Kajian saintis menunjukkan setiap 100 gram isi buah mengandungi sebanyak 61.5 gram air, 31.6 gram kabohiderat, 1.8 gram protin, 0.39 gram lemak, 55 mg karotina, 1.1 mg niacin, 1.19 mg riboflavin, 0.13 mg thiamnie dan sebanyak 8 mg Vitamin C.  Kandungan lain seperti assid askorbik, marmelosin, minyak pati dan garam mineral seperti P, K, Fe, Ca dan Mg. Kajian juga menunjukkan yang kulit pokok bilak banyak mengandungi Tanin sehingga 20%. Daun pokok bilak banyak kandungan aegelin dan rutasin. 


Pokok Bilak boleh ditanam daripada bijinya yang telah matang dengan menyemainya didalam polibeg.  Anak benih ini perlu dipindah kebeberapa polibeg lebih besar sehingga berumur setahun sebelum sesuai ditanam dikebun. Jarak tanaman yang disyorkan adalah 6 meter x 9 meter jika ditanam secara monokrop. Kaedah lain mendapatkan benih adalah dengan mengambil tunas daripada akar secara cantuman atau tut. pokok yang ditanam menggunakan kaedah tampang (cantuman atau Tut) mampu mengeluarkan hasil dalam masa 5 tahun sementara yang menggunakan biji perlukan masa lebih lama. Hasil akan sampai kemuncak pada umur 15 tahun dengan sebanyak 400 biji sepokok. Lazimnya buah akan masak dalam musim panas. Buah yang masak perlu dituai dengan tangan dan elakkan dari buah gugur ketanah kerana kulit buah bilak akan rosak dan akhirnya buah cepat busuk. Tanaman ini tidak mempunyai masaalah serangan perosak dan penyakit yang serious.


Serbuk Bilak dijual
Bahagian buah bilak yang dimakan ialah isinya yang dimakan mentah. Kadang-kadang perlu dicampur dengan sedikit gula untuk buah yang tidak cukup manis. Buah bilak boleh diproses menjadi sirap, kordial, jem atau manisan lain/ Terdapat penduduk kampong di India yang menggunakan pucuk daun bilak sebagai perisa makanan. Kulit pokok bilak boleh digunakan sebagai sumber perwarna kuning atau sebagai bahan penyamak. Kulit pokok yang ditumbuk lumat boleh dijadikan tuba ikan yang baik. Kayunya boleh dipotong dan dijadikan perkakas, perabut atau kraftangan seperti sarung parang.  


Pokok dan buah bilak mempunyai pelbagai kegunaan untuk kesihatan manusia. Daun bilak yang direbus boleh diminum untuk rawatan demam panas. Cara tradisional menggunakan campuran daun bilak, sireh dan kapor yang ditumbuk lumat lalu disapukan pada kulit yang gatal-gatal atau luka mampu menyembuhkannya. Cecair daun bilak mampu menyembuhkan Bisul, Luka Bernanah, Gatal. Ruam Panas, Sakit Mata, Kaki Bengkak serta yang best ianya didakwa mengubati penyakit 'Kuku dan Mullut - FMD' ternakan haiwan seperti lembu. Buah bilak yang hampir masak dipotomh-potong berkeping-keping lalu dijemur sehingga kering.  Air rebusannya membantu merawat cirit birit, sembelit, bengkak pada dubur, penyakit hati, tibi dan juga membantu sistem penghadaman. Itulah rahsia alam kurniaan Ilahi , kalau kita tidak buat kajian maka kita tidak akan tahu disebalik kejadian tumbuh-tumbuhan didunia ini.


POKOKNYA TINGGI...ITU POKOK BILAK...
RAMAI TIDAK KENAL...BUKAN POKOK BALAK...
NAK MULA TANAM..BENIH MANA PULAK..
APA KATA...KITA CARI DI TAMAN HERBA PERAK....


By,
M Anem
Jerantut, Pahang,
Malaysia
(28 Zulhijah 1432)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...