Support My Blog

Thursday, July 13, 2023

MESIN PEMBUKA KELAPA MUDA - INOVASI

KELAPA MUDA (Cocos nucifera) merupakan satu peringkat dimana buah kepada berumur 6-8 bulan dipetik untuk diambil airnya sebagai minuman dan juga kegunaan lain. Penulis blog mendapati sejak kebelakangan ini, industri kelapa muda dilihat semakin mendapat perhatian dan mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi negara. Kelapa yang terkenal sebagai tanaman pelbagai guna juga merupakan tanaman keempat terpenting di Malaysia. Keluasan tanaman kelapa dilaporkan seluas 109,185 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 571.3 juta biji. Dari rekod Jabatan Pertanian mendapati Negeri Sarawak, Johor, Sabah, Perak dan Selangor merupakan negeri-negeri pengeluar utama kelapa di negara ini. Semasa penulis blog merujuk kepada dokumen Dasar Agromakanan Negara (DAN), sekurang-kurangnya seluas 80,000 hektar kawasan tanaman kelapa akan dikekalkan menjelang 2020 bagi memenuhi permintaan sebanyak 1.2 bilion biji kelapa setahun. Seiring dengan peningkatan permintaan kelapa maka teknologi didalam pemprosesan kelapa juga telah semakin berkembang dan menghasilkan banyak produk berasaskan kelapa. Produk utama berasaskan kelapa adalah seperti minyak kelapa, kelapa parut segar, kelapa parut kering (desiccated coconut), kerisik, santan kelapa, nata de coco, jeli kelapa, serbuk santan kelapa, minyak kelapa dara (virgin coconut oil, VCO) dan sebagainya. Sebenarnya kini memang tidak kurang pentingnya ialah air kelapa muda yang didakwa merupakan minuman isotonik semula jadi yang semakin digemari oleh semua lapisan masyarakat di dalam mahupun luar negara. Bagi penanaman dan pengeluaran kelapa muda kini kelapa MATAG (CN13, CN14, CN15) dan Varieti Kelapa Pandan (CN6) adalah disyorkan kerana ia mampu memberi pulangan hasil yang tinggi dan sesuai untuk diproses ketika muda. Harga yang ditawarkan untuk kelapa muda juga agak tinggi selain cepat dituai. Anda boleh membuat rujukan dengan penulisan saya sebelum ini (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan beberapa artikel lagi. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis semula laporan bulletin MARDI mengenai inovasi mesin pembuka kelapa muda untuk dijadikan bahan bacaan rujukkana anda semua.

Berbeza dengan penuaian kelapa tua dimana teknik penuaian kelapa muda semestinya mesti diberi perhatian bagi menjamin kualiti dan mengelakkan akan berlaku kerosakan buah kelapa muda. Selalunya buah kelapa muda yang dijual di pasaran dipotong dan dibentuk khusus supaya proses membuka dan memotong buah dapat dilakukan dengan mudah. Anda boleh membaca perkara ini dalam penulisan artikel saya sebelum ini (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan beberapa artikel lagi. Bagi pengguna untuk menikmati air dan isi kelapa muda dalam keadaan yang segar maka buah kelapa muda perlu diproses dengan dibelah dua supaya isi dan air kelapa dapat diperoleh tanpa perlu memotong bahagian kulit dan sabut kelapa. Walau bagaimanapun juga dimana proses memotong dan membuka kelapa muda yang belum dibuang kulit luarnya dilihat lebih sukar berbanding dengan proses membuka kelapa muda yang telah dibentuk. Memotong buah secara manual dengan menggunakan parang besar telah lama diamalkan. Parang besar selalunya akan digunakan untuk membelah dan menebuk lubang di bahagian atas kelapa. Kaedah konvensional ini dianggap susah, berbahaya, memerlukan kemahiran dan penggunaan tenaga manusia. Tambahan pula, kaedah lama ini akan menyebabkan pembaziran dan kehilangan air kelapa dan sekiranya tidak dikendalikan dengan betul disebabkan tumpahan air kelapa semasa proses membelah dan juga semasa membuka kelapa.

Pada penulis blog melihat dimana kaedah tradisional pemprosesan kelapa muda adalah kurang cekap. Ia merbahaya, kurang hygenik, kehilangan air dengan gunakan parang (Sila lihat foto disebelah). Bagi memproses buah kelapa muda lazimnya air buah kelapa muda perlu dikeluarkan terlebih dahulu bagi tujuan untuk mengelakkan pembaziran semasa proses pembelahan dua buah kelapa muda. Lazimnya penulis blog anim agro technology dapati pengusaha kelapa muda hanya akan menggunakan khidmat pekerja mahir bagi menjalankan proses tersebut. Biasanya ia dilakukan secara manual dan bergantung kepada kemahiran pekerja, situasi dan keadaan kerja dilihat tidak kondusif terutama apabila melibatkan kuantiti kelapa muda yang terlalu banyak. Selain dari risiko keselamatan yang tinggi memang terdapat juga dimana ada kebarangkalian air kelapa muda dibazirkan kerana proses pengumpulan air kelapa yang tidak sistematik. Jika tidak diuruskan dengan baik maka air kelapa muda yang bersifat asidik boleh menyebabkan pencemaran dan mengundang kepada persekitaran kawasan proses yang tidak bersih dan berbau seterusnya menarik perhatian serangga, haiwan perosak dan haiwan pembawa penyakit. Situasi sebegini sering kali dilihat di premis-premis yang menjalankan perniagaan pemprosesan air kelapa muda. Kaedah manual menggunakan parang dilihat mempunyai keterbatasan di mana hanya pekerja mahir sahaja yang berupaya melakukan kerja tersebut. Selain itu, ia juga memerlukan tenaga bagi menebuk dan membelah dua biji kelapa dan tidak sesuai dilakukan oleh kaum wanita atau perkerja yang berusia. Terdapat juga inovasi teknologi yang hanya berfungsi untuk menebuk ataupun membelah dua kelapa muda. Sebagai contoh, S.M. Fulmali dan A.A. Bhoyar 2015 telah berjaya membangunkan alat yang menggunakan ‘screw jack’ bagi membelah dua kelapa muda. Walau bagaimanapun, kaedah ini masih memerlukan tenaga dan mengambil masa yang agak lama untuk memproses kelapa muda.

Kini pihak MARDI telah mencipta prototaip Mesin Pembuka Kelapa Muda Mudah Alih untuk digunakan (Sila lihat foto disebelah).  MARDI  telah membangunkan sebuah prototaip yang boleh menebuk dan membelah kelapa muda dan pada masa yang sama dapat mengumpul air kelapa dengan cara yang sistematik dan bersih. Prototaip yang berkonsepkan dwi-fungsi ini membolehkan air kelapa muda diminum segar oleh pelanggan mengikut cara, keperluan dan selera pelanggan. Konsep prototaip ini juga didakwa boleh diaplikasikan sebagai sebuah kiosk air kelapa. Melalui cara pengendalian dan penggunaan mesin ini dilaporkan ia juga mampu menjamin kebersihan, keselamatan dan memang dapat mengekalkan kesegaran produk. Keseluruhan dari bahagian mesin diperbuat daripada keluli tahan karat (Gred makanan). Dari segi prestasi dilaporkan purata masa untuk membelah dua biji kelapa muda ialah 10 saat, manakala untuk menebuk dan mengumpul air kelapa muda mengambil masa 20 saat. Mesin ini telah direka untuk tujuan mudah alih, pengendalian yang mudah serta selamat. Pengendali mesin ini hanya perlu menekan butang yang terletak di bahagian bawah mesin bagi menjalankan proses yang diperlukan. Penggunaan teknologi ini menawarkan pemprosesan dan pengendalian kelapa muda yang lebih baik berbanding dengan kaedah konvensional. Dilaporkan diantara ciri-ciri keistimewaan Mesin Pembuka Kelapa Muda Mudah Alih MARDI adalag dari asas reka bentuk mesin. Nilai daya pemotongan dikira dengan adanya kekuatan tempurung kelapa muda, kepelbagaian varieti dan kematangan buah. Daya maksimum adalah kerana memotong buah kelapa muda kepada separuh. Daya yang diperlukan untuk membelah dua biji kelapa muda ialah 2,535 N atau 253.5 kg. Diameter silinder optimum untuk sistem hidraulik ialah 4 cm yang boleh menampung daya sehingga 8,797.6 N. Mesin ini juga menggunakan kuasa motor 1 kuasa kuda (horse power, HP) dan dilengkapi dengan inverter dan penderia bagi menambah ciri-ciri keselamatan terutamanya kepada pengendali mesin ini. Pengendali mesin hanya perlu menekan butang yang disediakan bagi menjalankan proses penebukan dan pembelahan dua buah. 

Proses penebukan buah kelapa bagi tujuan mendapatkan air kelapa akan diikuti proses pembelahan dua buah. Keseluruhan mesin ini diperbuat daripada bahan bergred makanan iaitu besi tahan karat dan juga polimer bergred makanan. Saiz mesin ini ialah 66 cm x 61 cm x 134 cm (panjang x lebar x tinggi) dan dilengkapi dengan tayar bagi memudahkan proses logistik mesin. Dari segi penggunaan tenaga elektrik, mesin ini hanya memerlukan bekalan eletrik satu fasa 13 ampiar (13 A). Mesin ini telah berjaya menarik minat pengunjung dan pengusaha kelapa muda semasa MAHA 2016 apabila sebanyak 2,000 biji kelapa telah diproses menggunakan mesin ini (Sila lihat foto disebelah). Hasil daripada kelapa muda iaitu air dan isi kelapa muda dijual dalam bentuk minuman segar dan mendapat sambutan yang sangat baik. Mesin ini unik kerana berjaya mengurangkan masa memproses dan boleh dikendalikan dengan mudah serta tidak memerlukan tenaga dan kemahiran tertentu. Dari laopran MARDI dinyatakan akan impak pelaburan terhadap usahawan yang gunakan mesin ini. Kini dengan adanya mesin seperti ini di pasaran, secara tidak langsung dapat memberi nilai tambah kepada produk berasaskan kelapa muda seperti coconut shake, jeli kelapa muda dan minuman berasaskan air kelapa muda. Ternyata mesin ini dapat menyelesaikan isu-isu yang melibatkan industri kelapa muda seperti kekurangan tenaga mahir, persekitaran pemprosesan kelapa muda yang kurang bersih dan kerugian semasa pengendalian dan pemprosesan. Bagi pemprosesan kelapa muda, buah yang baru dituai perlu diproses dengan segera bagi mengekalkan kesegaran dan kualiti produk yang akan dihasilkan. Justeru, penggunaan mesin amat membantu dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti produk. Jika anggaran jualan dan pendapatan sebulan dan setahun perusahaan produk berasaskan kelapa dengan menggunakan mesin ini. Pengiraan untuk mendapatkan semula modal pelaburan bagi perusahaan kelapa muda ini melibatkan kos utiliti yang melibatkan bekalan air dan tenaga elektrik untuk kerja-kerja pembasuhan, pemprosesan dan pembungkusan produk. Selain itu, kos sewa premis (kiosk), bayaran upah pekerja berserta bahan mentah. untuk anggaran pengeluaran sebulan sebanyak 5,400 biji atau 270 biji sehari. Jika jumlah pengeluaran sehari sebanyak 270 biji kelapa dengan harga belian kelapa secara pukal dengan harga RM2.00/biji dan harga jualan air kelapa muda (bersama isi kelapa) RM3.50/cawan maka perusahan ini akan berjaya mendapat kembali modal perniagaan dalam masa dua tahun dan satu bulan. Manakala, kadar pulangan setahun (ROI) ialah 41.67%. Dengan anggaran kos permulaan RM47,000 dan keuntungan anggaran pendapatan bersih tahunan RM66,000 perusahaan ini akan mendapat kembali modal perniagaan dalam masa dua tahun dan satu bulan dengan kadar pulangan setahun 41.67% dikira atas kertas.


Sebagai kesimpulan boleh dinyatakan dimana mekanisasi dalam pemprosesan buah kelapa muda mampu dalam usaha mencepatkan proses dan meningkatkan hasil. Melalui inovasi penggunaan mesin pembuka kelapa muda ini maka produk yang terhasil lebih terjamin dari segi kebersihan, peningkatan produktiviti dan lebih berkualiti. Dari sudut ekonomi, pengusaha industri kelapa mampu memperoleh pulangan hasil yang lebih tinggi sekiranya penggunaan mesin ini dipraktikkan. Pulangan pelaburan melalui pembelian dan penggunaan mesin ini juga dapat dinikmati dalam masa yang agak singkat iaitu 2 - 3 tahun oleh pengurangan kos operasi melalui penggunaan teknologi terkini. Inovasi mesin untuk pembuka kelapa muda yang dibangunkan ini membolehkan operasi mengumpul air dan membelah buah kelapa muda dikendalikan dengan cara yang lebih sistematik, selamat dan bersih. Konsep operasi ala kiosk yang menggunakan sistem hidraulik ini dapat menyelesaikan masalah penggunaan tenaga mahir, keadaan kawasan kerja yang kotor dan operasi yang tidak selamat. Mesin ini juga sesuai diguna pakai di premis makanan, restoran, hotel dan juga pasar raya. Selain mesra pengguna, mesin ini juga terbukti dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti produk yang dihasilkan. Penggunaan mesin ini juga mampu memberi nilai tambah kepada industri kelapa muda seterusnya memberi pilihan yang lebih kepada usahawan yang ingin menceburkan diri dalam industri ini. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
KELAPA MUDA... ENAK AIRNYA...
UMUR 7 BULAN... DIPETIK DIA...
DIBELAH BIASA... ADA MESINNYA...
MINUMAN SIHAT... MURAH HARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana Off Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(23 Muharam 1442H)
Sumber maklumat: 
Buletin Teknologi MARDI, Bil. 13(2018): 13 - 20
Kemaskini pada 7 Julai 2023.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...