Support My Blog

Saturday, July 8, 2023

KEGUNAAN JERAMI PADI

JERAMI PADI
merupakan hasil sampingan bahan pertanian yang berbentuk batang, daun dan tangkai tanaman padi setelah biji-bijian dipisahkan selepas menuai padi (Oryza sativa). Dari segi sejarah sebelum zaman perindustrian lagi dimana dulu jerami kering padi digunakan secara meluas oleh petani untuk dijadikan bahan api, alas lantai atau katil tidur, penyapu, makanan ternakan, kompos dan bahan binaan ringan seperti bumbung rumah. Di banyak negara pertanian yang konvensional dimana tanaman padi adalah menjadi tanaman utama petani tempatan jerami padi menjadi subjek penting dalam dunia kehidupan mereka. Sebagai contoh daripada beberapa kajian yang dijalankan di Indonesia, dimana jumlahberat jerami adalah lebih kurang 1.4 kali  daripada hasil tuaian biji padi. Ini bermakna daripada 5 tan per hektar hasil tuaian maka sebanyak 7.5 tan jerami dihasilkan. Kajian makmal menunjukkan dimana kandungan unsur yang terdapat dalam jerami adalah 0.5 - 0.8% Nitrogen (N), 0.07-0.12% Fosforus (P), 1.2-1.7% kalium (K), 0.05-0.10% Sulfur (S) dan 4-7% adalah silika (Si). Ini bermaksud dalam 7.5 tan jerami mengandungi 37.5-60 kilogram (kg) N, 5.25-9kg P, 90-127.5kg K, 3.75-7.5kg S dan 300-525kg Si. Bagaimana pun di Malaysia apa yang penulis blog dapati di antara kaedah lazim pengurusan jerami padi adalah melalui pembakaran terbuka bagi menghapuskan jerami dengan cepat dan murah (Sila lihat foto dibawah). Pada masa yang sama kaedah ini didapati berupaya membunuh patogen tanah dan akan dapat merencatkan percambahan benih rumpai serta padi angin. Bagaimana pun kaedah ini melalui pembakaran terbuka menyebabkan pencemaran alam sekitar kerana hasil pembakaran mengandungi unsur K yang tinggi iaitu sebanyak 8.2 peratus dan kaedah ini akan seterusnya menjejaskan kadar percambahan benih padi. Artikel subuh ini saya menulis lagi di dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa kegunaan jerami padi untuk dijadikan bahan rujukkan semua pembaca blog.


Biasanya jerami padi akan dibakar atau dibuang begitu saja tanpa dimanfaatkan sepenuhnya. Malahan ada segelintir petani mengganggap ia sebagai sampah yang perlu dibuang. 
Namun jangan terkejut jerami boleh dijadikan produk pembungkusan biodegradasi yang bernilai tinggi dimana ia di Malaysia di samping menggalakkan kelestarian alam sekitar dan kemajuan teknologi hijau negara. Akhbar tempatan melaporkan dimana ahensi Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corp) menerusi perjanjian 10 tahun dengan syarikat berstatus BioNexus iaitu Free The Seed Sdn Bhd (FTS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan membabitkan projek yang bernilai RM7.41 juta. Bioeconomy Corp di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan kini dibawah MAFI telah pun menjalankan Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) bagi meningkatkan tahap atau kadar pertumbuhan produk asas jerami terbiodegradasi. Jelapang padi di Kedah lazimnya mampu  membekalkan 40 peratus daripada keluaran beras negara dan salah satu komponen penting bagi ekonomi sejak lama. Kedah tidak boleh menentukan fokus kepada pengeluaran padi saja malah sektor agrikultur perlu dikembangkan dengan kekayaan alam semula jadi yang mempunyai potensi besar untuk ianya dibangunkan seperti sektor kosmeseutikal, kesihatan, pemakanan dan perindustrian. Program seperti ini didakwa akan dapat membantu petani meraih pendapatan tambahan dengan membekalkan jerami padi kepada syarikat untuk diproses menjadi produk pembungkusan terbiodegradasi atau mesra alam. Ia antara langkah terbaru yang penting dalam bidang pertanian Kedah kerana proses dalam seluruh rantaian nilai ini adalah mesra alam dan mengelakkan pencemaran udara akibat pembakaran terbuka. Projek perjanjian itu akan membolehkan petani dari PPK Pendang Selatan didalam usaha membekalkan 57,000 tan jerami padi daripada 12 sawahnya kepada FTS. Teknologi FTS menggunakan tindak balas enzim dipatenkan World Intellectual Property Orgnisation (WIPO) dan dilapor membenarkan syarikat untuk menghasilkan kira-kira 60 juta unit bahan pembungkusan setahun.


FTS berjaya menerima pengiktirafan tempatan dan antarabangsa bagi produk terbiodegradasi seperti Winner of Waste to Wealth Award sempena Global Greentech Innovation Programme serta pensijilan SIRIM ECO 009:2016 oleh kerajaan untuk produk berasaskan biomas bagi aplikasi makanan. Dilaporkan m
elalui pensijilan ini, pengguna dijamin kebolehpercayaan dan keselamatan produk dengan piawaian kebangsaan dan antarabangsa. Kini dengan penggunaan teknologi ini maka pihak FTS mampu menukar sisa pertanian padi kepada pelbagai bentuk produk pembungkusan untuk industri makanan, penggunaan hospital dan pembungkusan barangan pembuatan. Didakwa industri pembungkusan terbiodegradasi berpotensi terus berkembang hasil daripada usaha yang dilaksanakan kerajaan dan negara lain dalam mengurangkan penggunaan bahan plastik dan polistirena. Apa pun menurut kajian Transparency Market Research dilaporkan dimana pasaran pembungkusan mesra alam global dijangka mencecah AS$177.7 bilion (RM762 bilion) pada 2018. Jerami padi ini diproses melalui teknologi enzim untuk menghasilkan produk pembungkusan terbiodegradasi pasaran tempatan dan eksport luar negara termasuk Belanda, Jerman dan United Kingdom. Seorang pesawah bernama Mat Hassan Saud berumur 68 tahun dari Kampung Sungai Jagong ada mendakwa dimana sebelum ini dia hanya membakar jerami kerana tidak tahu ia boleh dimanfaatkan untuk membuat pelbagai produk. Dia kini bersyukur kerana jerami padi kini dibeli syarikat untuk membuat produk pembungkusan. Ia sekali gus dapat menambah pendapatan pesawah.


Bagi pesawah di kawasan MADA kini dilakukan proses kitaran semula sisa buangan tanaman padi khususnya jerami padi dimana aktiviti ini mampu menangani masalah pencemaran dan gangguan tekologi. Usaha tersebut lebih bermakna jika jerami padi dikumpulkan dengan menggunakan mekanisme moden untuk penghasilan makanan ternakan, produk kraf tangan, bahan utama dalam penghasilan baja kompos dan sumber pelet bahan bakar. Kini ada penghasilan produk hiliran dan industri bahan bakar daripada jerami padi adalah alternatif baharu untuk pesawah mengurangkan masalah pembakaran terbuka. Memang subjek mengenai potensi sisa buangan dari jerami padi adalah penting dibincangkan. Pemprosesan sisa buangan pertanian daripada industri padi seperti jerami berpotensi untuk berkembang memandangkan pengeluaran sisa buangan daripada industri padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dianggarkan mencecah sehingga 300,000 tan. Pembangunan aktiviti hiliran kerajaan dan swasta dalam perkara ini dapat membantu menambah pendapatan petani dan penduduk sekitarnya. Di Malaysia aktiviti pemprosesan kelapa sawit menghasilkan lebih 100 juta tan metrik sisa buangan setiap tahun tetapi ianya akan terus berkembang. Dalam pada itu berlaku pembuangan gula daripada tebu pula menghasilkan lebih daripada sejuta tan metrik hampas setahun. Ini bermakna kitar semula bahan buangan mampu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar yang semakin meruncingkan. Kini menerusi projek-projek baru dan kajian daripada pelbagai pihak, bahan buangan pertanian boleh dijadikan sebagai bahan asas bagi menghasilkan suatu komposisi yang setanding dari segi ciri-ciri mekanikalnya dengan bahan yang sedia ada di pasaran
. Dianggarkan bahawa Malaysia menjana sehingga 80 juta tan sisa buangan setiap tahun daripada ladang kelapa sawit yang sebahagian besarnya adalah tandan kosong kelapa sawit, pelepah, tempurung dan dedak isirung sawit. Aktiviti memproses dengan betul jerami padi akan menghasilkan faedah yang menguntungkan. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
JERAMI PADI... BANYAK GUNANYA....
SELALU DIBAKAR...ASAP BANYAKNYA...
DIBUAT KOMPOS... DIGUNA SEMULA...
PENGURUSAN BETUL..UNTUNG SEMUA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(JamadilAwal 1442H).
Kemaskini pada 7.7.2023.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...