TANAMAN KELAPA PANDAN (Cocos nucifera) di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Sedili, Kota Tinggi, Johor dikira sebagai salah satu projek kelapa pandan yang berjaya. Ini merupakan satu kejayaan bagi petani di TKPM ini dimana saya ada membuat lawatan dan menulis artikel bertajuk 'Tanam Kelapa Guna Bakul Plastik' yang diposting pada 6 Jun 2017 (Sila klik disini) untuk membacanya. Dalam artikel tersebut saya maklumkan dimana menanam kelapa pandan (Cocos nucifera) dengan menggunakan teknologi bakul plastik pemasaran merupakan satu amalan yang praktikal dijalankan. Penulis blog masa itu baru sahaja menjumpai teknologi ini di sebuah ladang milik peserta TKPM Sedili, Kota Tinggi, Johor semasa membuat tinjauan teknologi kesebuah ladang nenas Maspine kepunyaan Encik Shukri pada plot berhampiran. Kebun dipenuhi dengan tanaman Betik Sekaki (Carica papaya) kepunyaan peserta projek Ah Chuan ini mempumyai keluasan 4.6 hektar ditanam betik sekaki yang sedang berhasil. Petani lakukan amalan agronomi dikebun ini mengikuti amalan MyGAP dimana keadaan pokok subur dengan banyak buah yang dihasilkan. Jenis tanam lom berpasir dan ada kawasan tanah bris membolehkan pokok betik subur diselang dengan tanaman kelapa sandan. Kawasan TKPM Sedili seluas 200 hektar ini mempunyai 28 orang peserta yang menanam pelnagai jenis sayuran buah seperti kacanf bendir, cili, terung panjang, kacang panjang, peria, petola dan beberapa lagi. Tanaman lain di TKPM ini adalah betik, nenas, pisang, limau kasturi, jambu batu dan beberapa lagi. Projek TKPM ini yang diselia oleh Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi, Johor kini merupakan antara TKPM yang didakwa telah pun berjaya menghasilkan bahan makanan berkualiti dan segar untuk pasaran domestik dan eksport terutama ke Singapura. Pada Ogos 2020 sekali lagi saya setelah hampir setahun bersara datang ke kebun nanas milik Tn Hj Shukri dan melihat pokok kelapa pandan tersebut telah berbuah tetapi kini dikelilingi dengan pelbagai tanaman dapur yang produktif malahan keluasannya bertambah. Artikel kali ini dalam blog "Anim Agro Technology' saya paparkan bagaimana kejayaan dalam bidang pertanian di TKPM untuk dijadikan bahan rujukkan semua pembaca.
Menanam kelapa pandan bukan satu perkara yang mudah kepada mereka yang baru mencubanya. Ramai pengusaha yang telah mencuba menanam pokok kelapa pandan tetapi akhirnya tidak berjaya mendapatkan hasil selepas beberapa tahun. Pada penelitian penulis mendapati banyak faktor yang boleh mengagalkan penanaman kelapa pandan secara komersil terutama dikawasan baru yang berhampiran dengan hutan belukar atau pun kawasan tanah kebun yang baru diterokai. Anak benih pokok kelapa pandan perlulah diperolehi daripada pembekal yang disahkan ketulinannya daripada pembekal yang berwibawa. Pembekal benih yang ada sijil Skim Pengesahan Benih Tanaman (SPBT) Jabatan Pertanian mampu menjamin kualiti benih kelapa pandan. Peringkat 3 tahun pertama penanaman kelapa pandan amat berisiko tinggi untuk serangan pelbagai musuh tanaman, serangga perosak dan penyakit serta pengurusan air serta pembajaan. Serangan babi hutan antara perkara yang paling ketara merosakkan tanaman kelapa pandan di TKPM ini yang mengecewakan Ah Chuan. Ini kerana babi hutan yang aktif pada petang dan malam hari akan cuba mengorek pangkal anakbenih kelapa pandan untuk mencari cacing ataupun memakan umbut kelapa pandan yang lembut. Teknik penggunaan bakul plastik di kebun ini ada kaitan dengan serangan babi hutan. Bakul yang di pasang kuat dalam tanah menyukarkan babi untuk menyodok pangkal pokok kelapa. Selain itu penggunaan bakul plastik ini menjamin tahap kelembapan dalam bakul membolehkan pokok mendapat air apa lagi pokok betik yang disiram dua kali sehari menyebabkan air cukup untuk benih kelapa.
Bakul plastik pemasaran berwarna hitam dipilih dan petani tidak menggunakan warna lain seperti merah atau pun biru. In kerana warna hitam dipercayai menjadikan ia kurang dapat dilihat haiwan perosak iaitu diwaktu malam berbanding dengan warna lain yang terang. Bakul ini di tebuk lubang dibahagian tengah berukuran 50 cm x 50 cm bertujuan untuk membolehkan bahagian pucuk benih kelapa pandan dapat melepasinya. Bakul seperti ini akan diterbalikkan dan bahagian bawah bakul disusun sebelah atas dan bawahnya ditanam, dalam tanah sedalam 3-5 inci. Memang agak sukar untuk penulis blog mengangkat bakul ini dan ada juga dibeberapa lokasi yang pernah diserang babi hutan dipacakkan dengan besi pada bahagian bawah bakul plastik ini untuk mengukuhkan strukturnya. Jika kawasan kebun betik disiram dengan sistem sprinkler pada waktu pagi dan petang semasa cuaca panas maka air percikkan tersebut dapat masuk kedalam tanah kerana lubang bakul yang jarang. Daripada pemerhatian penulis blog semua pokok kelapa yang dilindungi dengan bakul ini kukuh dan anak pokok kelapa dapat tumbuh dengan baik dan subur. Tinjauan penulis mendapati pokok kelapa pandan yang 'Off-Type' seperti tidak berbuah, buah kecil, rosak dan tidak dperlukan ditebang dan ditanam semula dengan teknik menggunakan bakul yang sama (Sila lihat foto terbaru pada Ogos 2020) dimana rumput dibiarkan tinggi (untuk kawal kelembapan di tanah bris) dan diletak 2 beg tahi ayam (kiri dan kanan). Teknik ini penulis blog dapati amat sesuai digunakan untuk menanam kelapa dikawasan tanah bris yang banyak musuh haiwan terutama babi.
Kini setelah hampir 3.5 tahun pokok kelapa pandan ini ditanam telah mengeluarkan hasil malahan hidup subur (Sila lihat foto disebelah). Petani dilihat menggunakan banyak baja organik (tah ayam) yang dimasukkan didalam beg plastik dan diletakkan dipangkal pokok serta ada dipasang sistem pengairan (diguna sama untuk tanaman dapur) diintergrasi diantara tanaman kelapa. Menurut info daripada Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi, Ah Chuan juga diantara peserta TKPM yang berjaya menghasilkan pendapatan sasaran minima peserta TKPM iaitu jauh ianya melebihi RM5,000 sebulan. Selain daripada pasaran di Johor Bahru, hasilan kebun dari sini dihantar ke pasaran Singapura dengan konsisten dan kawalan kualiti terjamin. Pihak pengurusan TKPM telah memasang pagar dan Pintu Utama hanya boleh diakses peserta dengan menggunakan 'Remote Control Gate' kerana masaalah kecurian hasil di TKPM ini. Semua peserta akan diberikan 'romote control' untuk masuk dengan bayaran minima. Kedudukan TKPM ini yang agak luas dan berjauhan dari kampong menyebabkan kes-kes kecurian menjadi-jadi sebelum ini. Penulis blog gembira kerana inovasi Ah Chuan yang menggunakan bakul untuk menanam kelapa pandan disini telah berjaya dibuktikan dan bleh ditiru oleh [etani lain jika mempynyai masaalah yang sama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
MENANAM KELAPA... SUSAH JUGA...
DISERANG BABI... MATI POKOKNYA...BAKUL DILETAK... KUKUH ASASNYA...
SUDAH BERHASIL... TELAH BERJAYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(26 Zulhijjah 1441H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.