TANAMAN UBI KAYU (Manihot esculenta Crantz) sesuai ditanam secara intergrasi dengan Tanaman KELAPA (Cocos nucifera) sebagai satu usaha yang boleh dijalankan bagi memberikan pulangan lebih baik. Tanaman ubi kayu merupakan tanaman kontan berkanji yang kaya dengan karbohidrat dan karotena. Ubi kayu masih menjadi tanaman makanan ruji di beberapa negara Asia dan Afrika yang beriklim tropika. Penulis blog mendapati dimana ubi kayu boleh dijadikan sebagai produk makanan seperti kerepek, kuih-muih dan boleh diusahakan untuk industri pengeluaran kanji. Ubi kayu juga mempunyai potensi sebagai bahan makanan ternakan, bahan mentah dalam pembuatan sirap berkandungan tinggi fruktosaglukosa (sejenis pemanis dalam industri minuman dan makanan bertin) dan pengganti separa bagi tepung gandum. Tanaman ubi kayu memang berpotensi diintegrasikan bersama tanaman kontan untuk menambah pendapatan serta dijadikan tanaman industri. Prestasi bagi industri kelapa negara yang menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mendorong usaha untuk kerajaan melalui beberapa jabatan dan agensi dapat mengembalikan kedudukan komoditi ini ke tahap yang lebih kukuh dan lebih berdaya saing sesuai dengan ungkapan kelapa sebagai ‘tanaman seribu guna’. Usaha ini adalah untuk meningkatkan pendapatan pekebun kelapa bukan hanya tertumpu pada usaha meningkatkan prestasi pengeluaran kelapa itu sendiri, malah ia turut merangkumi usaha mengintegrasikan kelapa dengan tanaman lain. Salah satu tanaman yang berpotensi untuk tujuan integrasi dengan kelapa ialah ubi kayu. Semasa blog ini saya tulis terdapat seluas 3,3,37 hektar tanaman ubikayu di Malaysia menghasilkan sebanyak 48,052 metrik tan pada tahun 2018 (Sumber: Booklet Statistik Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia). Sementara itu keluasan tanaman kelapa pula adalah seluas 81,585 hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 538,685 metrik tan kelapa. Saya ada menulis beratus artikel mengenai kelapa dan berbelas artikel ubikayu dalam blog ini. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya bergembira menulis berkaitan intergrasi tanaman ubi kayu dengan kelapa berdasarkan kepada kajian MARDI melalui Bulletin MARDI yang saya rujuk.
Status tanaman ubi kayu di Malaysia telah mendapat permintaan yang tinggi dimana ada beberapa negeri yang sejak dulu aktif menanamnya. Negeri Johor dilaporkan pengeluar ubikayu terbanyak di Malaysia pada tahun 2018 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 7,709 metrik tan dan ketiga adalah dikawasan Siburan di Sarawak sebanyak 1,858 metrik tan. Daerah Kuala Langat di Selangor pula dalah kedua terbanyak dimana mereka mampu didalam menghasilkan sebanyak 4,599 metrik tan pada tahun 2018. Ubi kayu biasanya akan diproses oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menghasilkan produk hiliran lain seperti kerepek dan makanan sejuk beku untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Selain itu penulis blog memang mendapati dimana tanaman ubi kayu turut dijadikan bahan makanan ternakan berbentuk pellet. Ubi kayu juga amat berpotensi untuk dijadikan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui untuk dicampurkan ke dalam petrol dan etanol yang kian berkurangan. Sebelum ini teknologi ubi kayu ditanam di kawasan kampung secara kecil-kecilan oleh petani. Namun kesan ekoran permintaan yang tinggi iaitu daripada sektor industri maka ia mula ditanam secara komersial. Permintaan ini dapat dilihat dari kawasan tanaman ubi kayu di Malaysia sejak tahun 2006 dan terus meningkat saban tahun. Memandangkan ubi kayu yang semakin mendapat perhatian maka satu kajian telah berjaya dilakukan untuk menilai kesesuaian penanaman secara integrasi antara kelapa dan ubi kayu di stesen MARDI Hilir Perak.
Sebenarnya kajian mengenai teknologi penanaman integrasi ubi kayu-kelapa memang salah satu pendekatan di bawah program Jabatan Pertanian (Program Intergrasi Tanaman Kelapa). Kadar bantuan sebanyak RM8.000 sehektar diberikan kepada petani yang menerimanya. Aktiviti penanaman integrasi ubi kayu-kelapa telah dilaksanakan di kawasan tanaman kelapa yang ditanam secara baris kembar dua (double avenue). Jarak tanaman kelapa bagi sistem ini ialah 7.0 m x 7.0 m x 15.0 m dengan kepadatan 128 pokok/ha (Rajah 2). Ruang di antara dua baris kelapa selebar 15 m telah digunakan untuk tujuan integrasi semaksimum mungkin dengan tanaman ubi kayu. Ruang di antara dua baris kelapa tersebut telah ditanam 13 baris tanaman ubi kayu pada jarak 90 cm antara baris. Dalam kajian ini, jarak di dalam baris 90 cm dan 60 cm telah digunakan. Jarak antara baris pokok kelapa dengan baris tanaman ubi pula 2.0 m. Ruangan di antara kelapa dengan ubi kayu tersebut adalah untuk ruang saliran air dan perparitan, mengelakkan teduhan yang tinggi dan mampu meminimumkan kerosakan akar kelapa semasa kerjakerja membajak, menggembur dan membuat batas. Kepadatan tanaman ubi kayu di ruang antara baris kembar dua kelapa adalah masing-masing sekitar 6,500 dan 10,790 pokok/ha bagi jarak tanaman 90 cm x 90 cm dan jarak tanaman 90 cm x 60 cm memandangkan lebih kurang 50% kawasan sahaja yang boleh ditanam dengan ubi kayu pada ruang di antara dua baris kelapa (Sila lihat rajah dibawah). Keratan ubi kayu yang sempurna dan berkualiti sahaja digunakan dalam kajian ini dengan anggaran percambahan 95%. Keratan batang telah ditanam secara condong sedalam 5-7 cm kerana plot kajian yang digunakan mempunyai kandungan tanah liat yang tinggi dan mudah dinaiki air ketika musim hujan. Parameter hasil telah direkodkan untuk meneliti kesan amalan integrasi ubi kayukelapa dan analisis ekonomi separa telah dibuat untuk menilai keberkesanan amalan integrasi ini. Amalan penanaman dalam integrasi ubi kayu-kelapa.
Aktiviti penyediaan tanah tanah perlu disediakan supaya penanaman dapat dilakukan pada musim hujan bagi memperoleh faedah lembapan hujan untuk tanaman. Ruang tanah di antara baris kembar dua kelapa dibajak piring dua kali sedalam 30 - 45 cm sebelum kerja membajak tanah putar dilakukan. Batas berukuran 60 cm lebar dan 20 cm tinggi membolehkan tumbesaran ubi kayu yang cepat, mengelakkan air bertakung ketika musim hujan serta memudahkan kerja memungut hasil. Ubi kayu boleh ditanam di atas batas terutamanya tanah mineral dan boleh juga ditanam tanpa batas di tanah yang gembur seperti tanah gambut. Namun aras air tanahnya hendaklah dikawal (30 - 60 cm dari permukaan tanah). Penanaman tanpa batas untuk tanah mineral dapat dilakukan namun kerjakerja penuaian boleh menjadi lebih sukar. Penyediaan bahan tanaman Keratan diperoleh dari bahagian tengah batang yang telah cukup matang dan yang berumur 10 - 12 bulan. Bahagian batang yang muda tidak sesuai dijadikan bahan tanaman kerana ia mudah kering. Keratan hendaklah diperoleh daripada pokok yang bebas penyakit dan berukuran 20 - 25 cm perlu disediakan apabila kerja penanaman akan dilakukan. Bahagian pangkal dan hujung atau bahagian batang yang masih hijau perlu dibuang. Oleh itu, sebatang pokok ubi kayu dapat menghasilkan sehingga 9 - 10 keratan berukuran 20 - 25 cm. Pembajaan Baja organik seperti tahi ayam, sisa tanaman dan tahi kambing ditabur semasa kerja-kerja pembajakan piring. Penggunaan baja sebatian (12:12:17:2) pula dengan kadar 500 kg/ha boleh digunakan semasa kerja pembajakan putar dilakukan. Baja tunggal (urea) pada kadar 150 kg/ha ditabur semasa ubi kayu berusia 30 hari dilakukan untuk membekalkan unsur nitrogen yang mencukupi. Selepas itu, baja NPK 15:15:15 ditabur pada jarak 15 cm dari tepi pangkal pokok ubi kayu dan kadar yang disyorkan ialah 500 kg/ha. Memandangkan plot kajian mempunyai kandungan tanah liat yang tinggi dan kurang subur, penggunaan baja pada kadar yang lebih tinggi telah dilakukan untuk memperbaiki struktur tanah, mengekalkan lembapan dan mengimbangi nutrien.
Memandangkan kos pembajaan sangat tinggi, penggunaan baja mestilah berhemah bagi mengelak pembaziran. Pengurusan rumpai, perosak dan penyakit Kawalan rumpai Semburan awal racun pracambah amat digalakkan untuk kawalan rumpai di ladang semasa kerja-kerja penyediaan tanah. Racun pracambah seperti Atrazine 80 WP, Alachlor atau Diuron (1.6 kg a.i./ha) disyorkan pada kadar 2 – 3 kg/ha dilarutkan bersama 500 liter air. Kawalan rumpai seterusnya ialah 30 hari selepas menanam dan perlu dilakukan secara berkala dalam tempoh 3 bulan pertama kerana selepas tempoh tersebut, pertumbuhan rumput dan rumpai dapat dikawal secara semula jadi ekoran ubi kayu tumbuh yang merimbun dan subur. Kawalan rumpai pada 3 bulan yang pertama ini boleh dilakukan secara kimia dengan menggunakan racun rumpai yang sesuai. Kawalan secara manual menggunakan cangkul amat digalakkan. Kekerapan kawalan rumpai di ladang adalah berdasarkan kadar pertumbuhan rumpai. Diantara penyakit yang kerap menyerang tanaman ubi kayu ialah Antraknos yang disebabkan oleh kulat Colletotrichum gloeosporioides f.sp.manihotis. Kulat ini menyebabkan bintik-bintik serta hawar pada daun dan menyebabkan batang muda mati serta reput pada batang tua. Penyakit ini boleh dikawal dengan menyembur racun kulat Carbendazim atau Chlorothalonil. Di samping itu terdapat juga penyakit ‘Velvet blight’ yang disebabkan oleh kulat Septobasidium sp. Kulat ini mengeluarkan lapisan kelabu pada batang ubi kayu dan mempunyai hubungan simbiosis dengan teritip (scale insects). Kawalan perosak Serangan tikus kerap berlaku di kawasan tanaman ubi kayu. Ia memakan dan merosakkan ubi yang terkeluar dari permukaan tanah. Tikus boleh dikawal menggunakan Warfarin atau Matikus dan mengamalkan amalan kultur yang baik bagi memastikan kawasan ladang sentiasa bersih untuk mengurangkan tempat persembunyian tikus. Untuk serangan babi hutan, kaedah pagar pertanian amat disyorkan.
Penuaian hasil ubi kayu boleh dituai selepas 7 - 10 bulan ditanam. Sebelum ubi dituai sebaiknya batang pokok ubi kayu dipotong dengan meninggalkan batang kira-kira 0.3 meter dari permukaan tanah untuk memudahkan kerja menugal dan menarik batang ubi. Kutipan hasil boleh dilakukan secara manual dengan menarik batang pokok ubi dan boleh juga dilakukan dengan bantuan jentera (Sila lihat foto disebelah). Faedah integrasi tanaman ubi kayu dengan kelapa memberi kesan yang positif terhadap hasil buah kelapa. Hasil kelapa yang lebih tinggi telah diperoleh apabila diintegrasikan dengan ubi kayu berkepadatan normal dengan jarak tanaman 0.9 m x 0.9 m memberikan jumlah kepadatan pokok 6,500 pokok/ha. Hasil kelapa lebih rendah apabila diintegrasikan dengan ubi kayu berkepadatan tinggi dengan jarak tanaman 0.9 m x 0.6 m iaitu sebanyak 10,790 pokok/ha. Kajian menunjukkan hasil kelapa meningkat sebanyak 47% di plot tanaman ubi kayu berkepadatan normal dan peningkatan 31% pada plot tanaman ubi kayu berkepadatan tinggi mengikut perbandingan dengan kawasan kelapa tanpa integrasi untuk tempoh semusim penanaman ubi kayu. Analisis ekonomi separa menunjukkan pada kepadatan normal ubi kayu yang diintegrasikan dengan kelapa, hasil ubi kayu adalah sebanyak 18.59 tan/ha telah diperoleh berbanding dengan 14.13 tan/ha ubi kayu berkepadatan tinggi. Pada harga semasa ubi kayu RM0.80/kg (diperoleh secara purata di pasar tani dan tawaran daripada pemborong), jumlah pendapatan kasar yang diperoleh oleh petani hasil jualan terus kepada pemborong masing-masing ialah RM14,872.00 dan RM11,304.00 sehektar semusim bagi penanaman ubi kayu berkepadatan normal dan tinggi. Sementara itu, jualan hasil tanaman kelapa matang yang sedia ada boleh mencapai RM1,070. 00 (1,338 biji) dan RM994.00 (1,180 biji) sehektar semusim ubi kayu yang berkepadatan normal dan tinggi. Gabungan hasil kedua-dua tanaman daripada integrasi ubi kayu-kelapa memberi pendapatan kasar masing-masing sebanyak RM15,942.00 dan RM12,248.00 bagi populasi ubi kayu berkepadatan normal dan tinggi berbanding hanya RM720.00 sehektar semusim bagi tanaman kelapa secara tunggal tanpa integrasi. Analisis ekonomi separa ini jelas menunjukkan bahawa integrasi ubi kayu-kelap baris kembar dua adalah menguntungkan dan mampu menjana ekonomi petani.
Melihat kepada kesimpulan kajian integrasi tanaman ubi kayu-kelapa baris kembar dua kelapa sesuai dipraktikkan kerana sistem ini berupaya memberi pulangan pelaburan yang lebih tinggi kepada pengusaha kita berbanding dengan hanya menanam kelapa secara tanaman tunggal. Pendapatan bersih sehingga menghampiri RM11,000 sehektar boleh diperoleh daripada integrasi ubi kayu-kelapa. Pendapatan ini telah disumbangkan bukan sahaja melalui peningkatan hasil kelapa malah tambahan hasil daripada tanaman ubi kayu yang diintegrasikan di kawasan tanaman kelapa. Sehubungan itu, ubi kayu boleh dijadikan tanaman alternatif untuk tujuan integrasi bersama tanaman kelapa. Kini salah satu tanaman yang berpotensi untuk tujuan integrasi dengan kelapa ialah ubi kayu. Penanaman integrasi ubi kayu-kelapa telah dilaksanakan di kawasan tanaman kelapa yang ditanam secara baris kembar dua (double avenue) dengan 50% kawasan sahaja yang boleh ditanam dengan ubi kayu pada ruang di antara dua baris kelapa. Ruang di antara dua baris kelapa tersebut telah ditanam 13 baris tanaman ubi kayu pada jarak 90 cm di antara baris. Dalam kajian ini, jarak di dalam baris 90 cm (kepadatan normal) dan 60 cm (kepadatan tinggi) telah digunakan. Kajian menunjukkan hasil kelapa meningkat sebanyak 47% di plot tanaman ubi kayu berkepadatan normal berbanding dengan 31% pada plot tanaman ubi kayu berkepadatan tinggi. Jumlah pendapatan bersih yang diperoleh oleh petani hasil jualan ubi kayu dan kelapa masing-masing ialah RM10,992.00 dan RM5,153.00 sehektar bagi ubi kayu berkepadatan normal dan tinggi. Pulangan pelaburan untuk setiap ringgit yang dilaburkan melalui integrasi tanaman ubi kayu-kelapa masing-masing ialah 2.22 dan 0.71 bagi ubi kayu berkepadatan normal dan tinggi dan hanya 0.03 bagi tanaman kelapa tanpa integrasi ubi kayu. Analisis ekonomi separa ini jelas menunjukkan bahawa integrasi ubi kayu-kelapa baris kembar dua adalah lebih menguntungkan dan mampu menjana ekonomi petani. Aemuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
MENANAM UBI ... INTERGRASI KELAPA...
JARAK TANAMAN... JARAKNYA BIASA...
BENIH DI TANAM... PILIH VARIETINYA...
RM11,000 SEHEKTAR...ITU BERSIHNYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(30 Ramadan 1441H).
SELAMAT HARI RAYA !...
Posted on: Oct 2020
TODAY IS MY BIRTHDAY!....
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.