Di Malaysia pertanian organik bukan lagi isu baharu tetapi sambutan terhadapnya agak kurang berjaya ketahap memuaskan atau agak suram sejak akhir ini. Ianya pernah hangat diutarakan bermula pada sekitar tahun 2001 sehinggakan peruntukan khas telah disediakan oleh pihak kerajaan khusus kepada petani organik pada Rancangan Malaysia ke-8 (2001-2005). Namun begitu mengikut kajian oleh Dr Nur Bahiah dari Universiti Pertanian Malaysia pada 2019 menyatakan disebabkan tiada kesinambungan terhadap inisiatif ini maka aktiviti pertanian organik kelihatan semakin hambar pada setiap tahun. Hanya petani yang betul-betul berminat sahaja yang meneruskan pertanian organik. Kajian juga dapati dimana dalam Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (DAN) juga, isu pertanian organik ini didakwa tidak diberi penekanan dan sebaliknya fokus diberikan kepada pensijilan MyGAP. Ironinya, kesedaran masyarakat terhadap produk organik semakin meningkat setiap tahun dimana jika dahulu, produk organik adalah sinonim untuk pesakit kanser sahaja. Akan tetapi atas kesedaran awam kini kesedaran pengguna terhadap faktor pemakanan serta gaya hidup sihat semakin menjadi perhatian. Kesedaran ini secara tidak langsung telah mendorong tabiat pengguna mula bertukar pola pemakanan mereka dengan beralih kepada sumber makanan yang lebih berkualiti dan sihat seperti sayuran dan buah-buahan organik. Laporan juga menyatakan dimana pengguna juga semakin sedar akan keburukan hasil pertanian yang dicemari atau dihasilkan dengan menggunakan racun dan baja kimia atau sintetik yang berlebihan.
Kajian UPM juga mendapati dimana produk pertanian organik atau bebas baja dan racun kimia semakin mendapat tempat dan juga ada permintaan dari penggemar organik serta pengguna setempat. Usaha kerajaan bagi mempromosikan pertanian organik melalui akredetasi pensijilan sejak tahun 2003 sehingga kini (melalui persijilan MyOrganik) turut disambut baik oleh petani dan pengusaha ladang oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Ada penggiat organik yang sanggup bertukar dari pertanian konvensional kepada pertanian yang bebas bahan kimia. Perkara ini turut membuatkan fenomena kewujudan restoran makanan organik dan pengilang produk berasaskan sumber makanan organik meningkat mendadak seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Dilaporkan situasi dimana produk pertanian organik juga mendapat tempat di kalangan pengusaha dan peruncit dengan wujudnya kedai-kedai khas mahupun seksyen khas organik yang boleh didapati di pasaraya besar seperti Aeon Big dan Giant Big. Bukan itu sahaja malahan dilaporkan ada kedai khas organik juga semakin banyak dibangunkan seperti BMS Organik, Justlife dan lain-lain lagi. Kini penjualan produk organik secara online juga kelihatan semakin bertambah. Secara realitinya, walaupun permintaan dari pengguna semakin meningkat tetapi ada didakwa harga organik masih kekal tinggi lagi berbanding dengan produk makanan konvensional. Masalah yang sering timbul sehingga kini adalah perbezaan harga produk organik yang boleh mencecah sehingga tiga kali ganda berbanding konvensional.
Perkara harga yang dibangkitkan mungkin disebabkan oleh kurangnya pengeluaran produk organik dari dalam Negara yang lebih fokus kepada pengeluaran secara konvensional dimana hasilnya lebih cepat dan banyak. Ini juga secara tidak langsung menyebabkan ada pengeluar dan juga kalangan pengusaha mengambil kesempatan dengan memalsukan logo sijil organik semata-mata untuk tujuan mendapatkan harga premium. Isu pemantauan dari segi pensijilan juga sering dipersoalkan sehinggakan banyak produk organik disalahguna oleh pengusaha bukan organik. Tinjauan penulis blog ke Ladang Organik Zenxin di Taman Pertanian Moden, Kluang mendapati mereka mendapat pembeli dan pengunjung baik dari kalangan tempatan dan Singapura apabila di gabungkan dengan Agro-tourism dan lawatan ke ladang organik mereka (Sila lihat foto disebelah). Laporan kajian UPM menyatakan juga dimana permintaan yang semakin meningkat dari pengguna juga menyebabkan ia tidak dapat dipenuhi diperingkat nasional. Perkara ini juga didakwa telah menyebabkan Malaysia terpaksa mengimport produk organik dari luar negara seperti Australia dan New Zealand seperti yang dijual di Zenxin Kuualng ini semasa pemantauan dilakukan penulis blog. Ini sekaligus telah pun menyumbang kepada peningkatan harga produk organik dan kesannya, golongan pengguna yang berkemampuan lebih cenderung untuk mendapatkan produk organik berbanding masyarakat marhein.
Persoalan asas adalah bagaimanakah untuk menstabilkan harga organik agar semua masyarakat boleh menikmati produk organik. Selain itu persoalan seperti apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menurunkan harga supaya rakyat biasa yang mula sedar potensi khasiat organik berupaya membeli dan juga bagaimana langkah terbaik bagi meningkatkan penghasilan organik diperingkat nasional boleh menurunkan harga produk organik. Laporan ini menyatakan dimana salah satu cara yang mungkin boleh diambilkira adalah dengan meningkatkan pengeluaran organik diperingkat nasional. Apabila pengeluaran memenuhi atau melebihi dari permintaan maka secara tidak langsung harga barangan dapat dikawal. Ini mungkin boleh diaplikasi kepada produk organik dimana kerajaan boleh menggalakkan petani untuk beralih kepada pertanian organik. Beberapa aktiviti dan program untuk menggalakkan petani berubah kepada sistem pertanian organik. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi petani Malaysia dalam menjalankan pertanian secara organik adalah kesediaan yang tinggi untuk menjaga kualiti makanan dan kesihatan serta minat yang mendalam terhadap tahap keselamatan makanan yang diambil. Kempen kesedaran dari pihak petani haruslah ditingkatkan agar mereka sedar akan bahaya penggunaan racun yang berlebihan terhadap kesihatan tubuh badan dengan tidak kira samada kepada petani itu sendiri mahupun kepada keluarga dan masyarakat. Merujuk kepada info terkini daripada Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan jumlah ladang yang telah diakredetasi dengan pensijilan MyOrganik adalah sebanyak 230 ladang sehingga pertengahan tahun 2019. Ini sekaligus telah pun menggambarkan potensi besar untuk menarik lebih ramai petani untuk mengusahakan ladang organik. Kerajaan juga mungkin boleh mengembalikan insentif yang telah disediakan sebelum ini kepada petani yang baharu atau yang akan mengusahakan organik agar kelangsungan industri organik ini dapat diteruskan. Bentuk Insentif seperti infrastruktur diberikan kepada petani organik, mungkin kali ini boleh juga diteruskan atau diberikan dalam bentuk subsidi, keringanan cukai tanah (TOL) dan lain-lain lagi. Pemberian insentif ini didakwa mampu mengurangkan kos pengeluaran pengusaha dan seterusnya mengurangkan harga produk organik di pasaran. Kerajaan juga harus memainkan peranan dengan mempergiatkan pemantauan terhadap produk yang telah diakreditasikan. Apa pun perlu ada sistem pemantuan yang seharusnya dijalankan pada kawalan harga dan produk pertanian dipasaran yang menggunakan logo MyOrganik. Kawalan berterusan perlu dibuat di segenap peringkat (ladang dan pasaran) dapat menghilangkan keraguan orang ramai terhadap produk hasil pertanian organik bagi mengelak eksploitasi dan aktiviti penyalahgunaan logo. Usaha lain yang boleh dijalankan bagi mengurangkan impak harga produk organik ke atas pengguna adalah pengguna itu sendiri cuba untuk bercucuk tanam. Walau pun ada dakwaan terdapat banyak inisiatif yang telah dijalankan oleh komuniti dalam agenda mendidik pengguna untuk menghasilkan tanaman makanan sendiri mahupun penghasilan baja dan racun organik sendiri. Perkara ini dianggap sebagai satu langkah bijak yang patut diambil oleh setiap pengguna bagi memastikan makanan yang diambil adalah dijamin bebas racun dan berkualiti. Penulis blog setuju dengan kajian UPM dimana apa yang dimakan sebenarnya akan dapat mencerminkan kesihatan seseorang. Oleh yang demikian memang penting menjaga kesihatan yang bermula dari sumber yang dimakan. Ia dapat meningkatkan kesihatan individu, malahan dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang sihat, cergas dan bebas penyakit. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog annim agro technology kali ini. Wasallam!!...
TIDAK GUNA KIMIA...ADA CARANYA...
ADA SIJIL... MYORGANIK NAMANYA...
PRODUK BRKUALITI...SIHAT GUNA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(7 Rabiul Awal 1442H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.