Support My Blog

Saturday, January 21, 2012

NANGKA MUDA

NANGKA MUDA adalah buah nangka yang masih muda dan dipetik dari pokok Nangka (Artocarpus heterophyllus) yang mudah didapati di Malaysia untuk dijadikan sayuran. Buah nangka dari beberapa varieti nangka yang belum matang dimana isinya dan bijinya masih lembut sesuai dipetik untuk dibuat Nangka Masak Lemak, Rendang Nangka, Serunding Nangka, Kerabu Nangka, Ulam Nangka Muda, Gulai Nangka dan pelbagai menu masakan lain. Terdapat seluas 3,980 hektar tanaman nangka dilaporkan oleh Jabatan Pertanian ditanam pada tahun 2011 dengan anggaran pengeluaran sebanyak 28,000 metrik tan. Sebahagian besar tanaman nangka ditanam di Negeri Pahang dengan keluasan sedia ada seluas 670 hektar diikuti dengan Negeri Johor seluas 550 hektar. Bekalan nangka muda segar memang tidak menjadi masaalah di negara kita dengan keluasan tanaman nangka sedia ada. Nangka ditanam sebagaii tanaman monokrop dan selingan atau dusun bercampor dikeliling kawasan rumah. Artikel tengahari ini saya menulis mengenai teknologi produk 'Nangka Muda' sebagai satu komoditi yang boleh diketengahkan untuk dijadikan sebagai produk yang  boleh dikomersilkan.


Penanaman nangka memerlukan sistem pengurusan khusus agar dapat menghasilkan nangka masak yang berkualiti dengan saiz seragam dan besar, kualiti kemanisan sesuai dan harga yang stabil. Lazimnya sebanyak 10-15 biji buah nangka akan dibiarkan untuk dituai pada pokok nangka yang berumur 5-9 tahun selepas ditanam. Oleh itu penjarangan buah perlu dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan memotong buah yang rosak, bentuk tidak seragam, diserang perosak, buah pada hujong ranting atau pun buah yang terlalu susunannya rapat . Buah yang hendak ditakai juga boleh diatur supaya sesuai digunakan untuk produk 'Nangka Muda'. Petik buah nangka muda menggunakan pisau tajam atau sabit dengan berhati-hati kerana ada getah yang akan keluar dimana getah ini akan menyebabkan baju kotor dan susah hendak dihilangkan. 


Buah nangka muda dikupas kulitnya dengan pisau tajam dan dibelah empat. Kemudian bahagian empulur nangka dibuang dan isi nangka perlu dipotong bentuk dadu berukuran sekitar 2 - 4 cm bergantung kepada saiz kesukaan dan tujuan masakan. Basuh sehingga bersih dan kemudian direbus selama 10 - 15 minit bertujuan untuk melembutkannya. Ada yang bubuh sedikit garam halus semasa merebus jika hendak dimakan sebagai ulam nangka muda yang dimakan dengan sambal belacan. Toskan nangka muda yang telah direbus untuk proses memasak seterusnya. Bagi membuat Serunding Nangka dan Kerabu Nangka kaedah memotong dan merebus bahan asas nangka muda agak berbeza.


Menu Nangka Masak Lemak merupakan satu jenis masakan tradisional paling popular di Malaysia berasaskan nangka muda. Pelbagai cara masakan nangka masak lemak dibuat dari jenis Masak Lemak Nangka Cili Api sahaja atau yang dicampur dengan daging lembu, daging ayam, perut lembu (Babat) atau pelbagai kombinasi lagi. Ada yang menyediakan masakan nangka lemak Putih, Ada yang Kuning  dan ada yang agak kemerahan serta ada yang dimasak bersama kari. Kreativiti memasak nangka muda ada berbagai kaedah dan cara bergantung kepada menu masakan. Banyak restoran di Malaysia yang menghidangkan menu  sayur nangka masak lemak semasa hidangan tengahari. Harganya lauk sayur nangka muda juga agak murah berbanding dengan sayur lain bahan yang berasaskan Ikan atau Daging.


Cara masak gulai nangka masak lemak sangat mudah dengan merebus nangka sehingga setengah masak dan kemudian ditoskan.  Dalam periok lain sediakan bahan tumis kisar seperti cili api, bawang dan tumis sehingga masak. Masukan juga serai kemudian bahan campuran seperti daging lembu atau daging ayam atauu perut lembu dan renih sehingga setengah empuk. Santan cair boleh dimasukan semasa merenih tadi. Masukan nangka yang telah direbus kedalam periok bersama daun limau purut, asam keping dan kacau sehingga rata. Apabila nangka dan daging sudah empuk dimasukan pati santan dan garam dan gula secukup rasa dan perlahankan api. Kacau sehingga masak dan sedia untuk dihidangkan.


Bagi menyediakan Kerabu Nangka adalah penting untuk menghiris nangka yang telah direbus memanjang kecil-kecil. Masukkan kedalam mangkuk sekitar 500 gram. Hiris bahan campuran lain seperti Bawang besar , Bawang Kecil, Cili Merah, Cili Hijau, Cili Padi, Serai dan juga halia. Gaulkan semuanya bersama nangka muda dalam mangkuk dan masukkan santan kelapa (150 g) dan juga Kerisek (100 gram). Masukan perahan air limau nipis sekitar 2 sudu dan gaul sehingga rata. Masukan sedikit garam dan gula secukup rasa. Bagi menyediakan Rendang Nangka Muda sama caranya dengan kaedah memasak rendang daging cuma bahan asas daging ditukar dengan bahan menggunakan Nangka Muda . Memang sangat enak masakan yang berasaskan Nangka Muda ini.


Satu Produk Baru berasaskan nangka atau nangka matang adalah Serunding Jerami Nangka. Serunding nangka boleh dibawa untuk 'travelling' diserata dunia kerana ianya telah diproses dan tahan sama ada dimakan dengan nasi atau roti atau lain-lain. Serunding iai sesuai dibawa kerana ianya ringan, kering, tidak mudah rosak dan juga pembuka selera kepada mereka yang tidak mahu kehilangan rasa rendang semulajadi. Bahan utama selain daripada njerami nangka adalah seperti Ketimbar, bawang, minyak masak dan perasa lain. Saya fikir tidak susah untuk mendapatkan bekalan bahan mentah di Malaysia untuk menyediakan produk ini. 


Pengeluaran nangka muda yang telah diproses dan dimasukkan dalam tin juga kini telah menjadi satu industri yang berdaya maju. Nagara Indonesia, Thailand dan India ada memproses nangka muda dalam tin untuk pasaran ekspot dimana mendapat permintaan yang sangat baik. Mungkin belum banyak usahawan yang mencuba untuk mengetinkan produk nangka muda di negara kita. Nangka dalam tin walau pun tidak sesegar seperti nangka 'fresh' dari kebun tetapi mendapat permintaan yang baik diseluruh dunia. Semuga industri pengeluaran produk nangka muda akan berkembang terus dimasa akan datang. 
Wasaalam.


NANGKA MUDA...LAZAT RASANYA...
MASAK LEMAK PEDAS...WOW HEBATNYA....
MUDAH DIBELI...DIMANA-MANA JUGA...
BOLEH DITINKAN...EKSPOT PASARANNYA...


Related Articles:
1. Nangka (Klik disini)
2. Jackfruit (Click here)
3. Klon Nangka Tekam Yellow (Klik disini)
4. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
5. Khasiat Ulam dan Sayur (Klik disini)
6. Klon Nangka di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem        
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia.
(28 Safar 1422H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...