Support My Blog

Sunday, January 22, 2012

LADYBIRD

KUMBANG LADYBIRD (Coccinella spp) merupakan sejenis serangga dari kumpulan Kumbang iaitu dari keluarga Concinellidae yang terdapat diseluruh dunia dan sangat popular kerana warnanya yang terang berbintik-bintik hitam.  Tarikan warna merah, oren, kuning dengan bintik hitam yang terang dan bentuknya yang cantik menyebabkan serangga ini digunakan dalam dunia Fesyen Pakaian atau Barang permainan terutama bagi golongan kanak-kanak. Di Malaysia jenama 'LadyBird' banyak digunakan dalam industri Pakaian Kanak-kanak, Restoran, Mainan Kanak-kanak dan pelbagai produk. Kumbang Ladybird ini mudah didapati dikawasan keliling rumah kita dimana ada tanaman seperti pokok buah-buahan, rumpai dan juga dalam kawasan semak belukar. Nama lain bagi kumbang ini seperti Kumbang Kura-kura, Lady Fly, Lady Beetle, Lady Bug dan juga Lady Cock. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai serangga Kumbang Lady Bird untuk bacaan dan rujukan umum.


Serangga Kumbang Ladybird ini adalah merupakan sejenis serangga bersaiz kecil sahaja iaitu sekitar  1.0 mm - 10.0 mm sahaja bergantung kepada spesis. Sumber dari laman Wikipedia mendapati serangga ini mempunyai lebih dari 5,000 spesis diseluruh dunia dimana di Malaysia sahaja mungkin lebih dari 50 spesis. Serangga comel ini mempunyai marfologi Bahagian Kepala, Badan (pronotum) dan Abdomen dengan sepasang sesungut (Rujuk foto diatas). Sepasang kepak menyebabkan kumbang ini mampu terbang dengan sedehana pantas dan ada laporan yang nyatakan dan menunjukkan kepantasan kepak ladybird bergerak keatas kebawah adalah sebanyak 85 kali satu saat. Lapisan sayap ladybird diliputi dengan lapisan sayap yang berwarna dipanggil sebagai Elytra. Kaki ladybird adalah berbulu sedikit dan menyebabkan ianya mampu hinggap dengan cekap pada permukaan daun dan sebarang pautan.


Kitaran Hidup serangga Ladybird berbeza antara negara tropika dengan negara yang mempunyai 4 musim. Di Malaysia serangga ini aktif membiak dan bergerak sepanjang tahun tetapi di negara 4 musim pula ianya selalunya tidak aktif dimusim sejuk selama beberapa bulan cuma aktif dimusim panas. Ladybird mempunyai kitaran hidup yang lengkap iaitu peringkat Telur, Larva, Kepompong (Pupa) dan Dewasa. Kumbang ini akan mengawan dengan memilih kawasan yang banyak sumber makanan dan kemudian akan bertelur dibawah permukaan daun. Telur yang kecil berbentuk lonjong ini berwarna kuning atau oren ini akan menetas dalam masa 3-7 hari bergantung kepada keadaan cuaca (Kalau panas dan suhu tinggi akan lebih cepat berbanding musim hujan). Peringkat Larva adalah dalam masa 10-21 hari dimana larva Ladybird adalah bertubuh panjang, berbulu dan mempunyai 6 kaki untuk bergerak. Masa ini larva akan makan aphid dan koya yang ada disekitarnya.


Peringkat seterusnya adalah Peringkat Kepompong dimana  larva yang cukup masa dan saiz akan membentuk kepompong berwarna oren dengan beberapa bintik hitam (Lihat foto sebelah). Peringkat ini adalah selama 5-7 hari sebelum ianya keluar menjadi Ladybird  Muda. Ladybird muda ini selalunya mempunyai bintik hitam yang sangat jelas dibelakangnya dan bintik ini lazimnya akan menjadi lebih jelas semasa proses pembesarannya. Kitaran hidup dari peringkat telur sehingga menjadi Lady Bird dewasa adalah selama 4-7 minggu. Peringkat akhir kitaran hidup adalah Peringkat Dewasa dan lazimnya akan hidup selama 9 bulan bergantung kepada keadaan cuaca, serangan musuh yang memakannya dan juga faktur kesediaan makanan dalam habitat disekelilingnya. 


Tabuan (Wasp)
Ladybird merupakan serangga yang terang dan ini merupakan petanda ianya jenis serangga yang tidak enak untuk dimakan (Dibahagian sayap elytron).  Antara sistem pertahananya adalah dengan mengeluarkan cairan berwarna kuning yang berbau busuk (alkoloid) dari bahagian kaki dan ini menyebabkan musuh tidak akan mendekatinya. Satu lagi ciri istimewa kumbang ladybird adalah sifat 'Mematikan Diri' dengan tidak bergerak apabila disentuh oleh musuh. Lazimya pemangsa tidak akan makan atau minat dengan serangga yang telah mati untuk dimakan (Sporting juga spesis serangga - tak makan yang mati). Serangga yang suka dan tetap makan ladybird adalah jenis Labah-labah, Jenis Burung dan juga jenis Kumbang Besar. Tebuan menupakan serangga yang akan bertelur dengan menyuntik telurnya kedalam badan Ladybird (semua peringkat) dan apabila telur tebuan menetas maka akan membunuh serangga ladybird ini. Memang jahat jenis tebuan ini (Dinocampus spp) yang juga menyerang Lebah Madu (Baca artikel Tebuan - Klik disini). 


Serangga - Aphids
Kumbang Ladybird ini merupakan sejenis kumbang yang tidak membahayakan kepada manusia malahan ianya adalah serangga PEMANGSA (Predetors) kepada serangga perosak tanaman lain yang merosakan tanaman kita seperti Aphids, Koya (Mealybug), Whitefly serta beberapa jenis serangga kecil lain. Pemerhatian di Ladang TKPM dengan tanaman Betik yang saya lihat mendapati Kumbang Ladybird memakan mangsanya seperti Aphid dengan menghisap cairan dalam tubuh mangsanya dan akibatnya mangsa akan mati. Rujukan menunjukkan kemampuan seekor Larva Ladybird mampu makan sebanyak 20-25 ekor aphid dalam satu hari.  Seekor Ladybird Dewasa pula mampu makan kutu daun ini lebih daripada 50 ekor sehari. Jika populasi ladybird dalam ladang ini banyak dimakan, secara tidak langsung ianya merupakan kaedah kawalan biologi terbaik yang sedia ada diladang kita. Selain itu ada laporan yang menyatakan ladybird mekan sejenis kulat Kulapok Berdebu (Mildew) dari jenis iaitu Psyllobora vigintiduopunctata di dalam kebun.


Nampaknya kita dah banyak tahu mengenai Kumbang Ladybird ini setelah membaca artikel ditulis. Nasihat saya adalah apabila kita nampak serangga ini dikebun maka jangan bunuh atau musnahkan dia. Ini kerana kumbang Ladybird memang sangat berguna kepada sektor pertanian kerana memusnahkan serangga prosak. Kepada petani yang suka menyembur racun serangga perlu siasat dahulu kadar infestasi serangan serangga perosak (ETL) sama ada perlu menyembur racun atau tidak kerna ianya akan membunuh serangga ladybird yang berfaedah ini. Serangga ini juga sangat cantik untuk dikutip bagi dijadikan koleksi yang menarik untuk tujuan pendidikan dan hiasan. Wasalam.

KUMBANG LADYBIRD... CANTIKNYA...
WARNA TERANG...BINTIK HITAM ADA...
SERANGGA BERGUNA...BERGUNA...
JANGAN BUNUH...PELIHARANYA...


By,
M Anem
Senior Agronomist
Taman Puncak Saujana,
Pct 11, Putrajaya, WP,
Malaysia
(28 Safar 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...