Support My Blog

Tuesday, January 3, 2012

KHASIAT DAUN PEGAGA

DAUN PEGAGA (Centella asiatica) merupakan sejenis tumbuhan herba dari keluarga Mackinlyaceae yang popular dikalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk kesihatan dan kosmetik. Khasiat yang ujud dalam tumbuhan ini menjadikan ianya sangat digemari oleh usahawan herba untuk diproses dalam pelbagai cara dan produk bagi pasaran domestik dan antarabangsa. Tumbuhan yang menjalar dari jenis renek ini mudah ditanam dan dijaga serta dibiakkan. Kawasan tanah liat atau lom berpasir dengan mempunyai bekalan air mencukupi serta tidak mudah banjir sesuai untuk penanaman pegaga. Lazimnya masyarakat kita lebih suka makan daun pegaga dengan cara makan segar sebagai ulam atau dijadikan kerabu pegaga dan sebagainya. Daunn ini sering dimakan terutama kepada ibu yang sedang berpantang selepas bersalin dan mereka yang menghadapi masaalah kesihatan lain. Artikel kali ini saya menulis mengenai khasiat pegaga untuk bacaan umum.


Pegaga merupakan tanaman yang mana bahagian Daun, Akar, Tangkai Daun, Batang dan Bunga boleh digunakan. Semasa saya bertugas di Johor dahulu saya melawat kebun tanaman pegaga yang luas di sekitar Ulu Tiram, Senai dan Sedenak yang menghasilkan pegaga untuk pasaran segar dan juga di proses. Usahawan ini menjual pegaga segar ke Singapura dengan kuantiti yang agak banyak setiap minggu. Jenis Pegaga yang di tanam adalah dari varieti Pegaga Cina, Pegaga Daun Lebar, Pegaga Renek dan sedikit Pegaga Gajah. Koleksi yang mereka ada didapati dari beberapa punca di Negeri Johor dan Stesyen Pertanian. 


Tumbuhan herba juga dipanggil 'Centella Herba' kerana ianya memiliki kandungan asiaticoside, thankuniside, isothankuniside, madecassoside, brahmoside, brahmic acid, brahminoside, madasiatic acid, meso-inositol, centelloside, carotenoids, hydrocotylin, vellarine, tanin serta garam mineral seperti kalium, natrium, magnesium, kalsium dan besi. Tumbuhan ini juga mengandungi glikosida triterpenoida yang disebut asiaticoside merupakan antilepra dan penyembuh luka yang sangat luar biasa. Zat vellarine yang ada memberikan rasa pahit. Bagaimana pun saya rasa pahit pada pegaga jauh kurang dari pahit pada pokok Pakawali atai Bakawali. Selain itu kajian saintifik melalui banyak rujukan di website juga mendapati Pegaga juga mengandungi banyak sebatian kimia dan bioaktiviti yang terbukti mengandungi ciri-ciri antibakteria, antipasma, antiinflamasi, hipotensif dan insektisid. 


Peranan tumbuhan Pegaga dalam bidang perubatan tradisional juga dikaitkan dengan agen anti alergi, anti kanser, anti disenteri, peransang pembuangan urin, hipotensif, stimulan, tonik, menyejukkan badan, mengeluarkan batu karang, penawar kencing berdarah, kusta, gonorea,luka, kudis, dan sakit kerongkong. Pegaga juga anti-infeksi, antiracun, penurun panas, melawaskan pembuangan air kencing, antilepra dan anti sifilis. Kajian klinikal dan saintifik masih diperkukuhkan mengenai khasiat pegaga dalam perubatan. Pegaga dapat mengurangkan tekanan darah tinggi, mencegah nyanyuk, melambatkan proses penuaan dan menolong badan dari bahan toksid. Kebelakangan ini pegaga banyak digunakan di barat sebagai tonik saraf untuk merehatkan dan menambahkan ingatan. Di India bagaimanapun ia juga banyak digunakan untuk mengatasi masalah kulit.

Khasiat lain yang dikaitkan dengan tumbuhan pegaga juga ada digunakan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan yang mungkin disebabkan oleh masalah fizikal. Kajian terbaru menunjukkan pegaga menunjukkan kesan positif terhadap sistem pengaliran darah dengan menguatkan salur darah dan kapilari. Ia telah menunjukkan kesan yang memberangsangkan bila digunakan untuk merawat kejang kaki, bengkak kaki dan masalah kaki terasa berat dan kebas. Daun pegaga berfungsi sebagai astrigensia dan tonikum. Pegaga juga digunakan untuk revitalisasi tubuh dan otak yang lemah serta untuk kesuburan wanita.

Kesimpulannya pegaga sesuai untuk penyakit berikut :

1.Pembengkakan Hati
2. Demam, Campak
3. Sakit Tekak, Batuk Kering,
4. Asma, Brokitis, Pleuritis
5. Radang Mata Merah
6. Keputihan
7. Tekanan Darah Tinggi
8. Sakit Perut, Disentri, Cacing, Buasir
9.Tidak Selera Makan, Sakit Perut, Disentri, Cacing, Buasir
10. Keracunan Makanan
11. Batuk Darah, Muntah Darah
12. Busung, bisul
13. Infeksi Saluran Kencing (kencing kotor)
14. merangsang otak – kuat daya ingatan (mencegah nyanyuk)
15. melambatkan proses penuaan

Sifat dan Manfaat

Pegaga atau nama saintifiknya Cantella asiatica boleh membangkitkan selera makan, membantu meredakan masalah penghadaman, mengatasi masalah buasir kerana mengandungi serat. Ia juga mampu melancarkan aliran darah, terutama bagi wanita yang ada masalah haid. Pegaga juga dijadikan ubat untuk merawat masalah keputihan yang menyebabkan faraj terasa gatal.
Air perahan daun pegaga juga dikatakan boleh menyejukkan badan dan elok diamalkan jika demam, mengalami masalah berak berdarah atau lelah. Amalan minum air rebusan akar pegaga ini dipercayai boleh membantu mengawal paras gula dalam darah di kalangan pesakit kencing manis. Malah, ada yang menjadikannya sebagai minuman untuk menguruskan badan.

Selain itu, pegaga juga telah lama digunakan sebagai tonik untuk membersihkan darah, merawat ulser, sifilis, dan kelenjar limfa. Amalan meminum jus pegaga amat mujarab untuk membantu mereka yang bermasalah untuk tidur, merawat kerengsaan kulit dan tekanan darah tinggi. Walaupun pegaga amat baik dimakan mentah tetapi daun yang diramas dengan sedikit air amat baik jika disapukan pada kudis dan luka. Di samping itu, pegaga juga memberi kesan kepada beberapa peringkat pembentukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolagen, merangsang pembentukan rambut dan kuku. Pegaga juga dipercayai boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka, ulser dan masalah kulit lain. Oleh itu tidak hairan jika ia dijadikan makanan wajib bagi wanita berpantang supaya luka bersalin lebih cepat sembuh. Mengamalkan meminum jus pegaga dapat meningkatkan daya ingatan seseorang, disamping dipercayai boleh meningkatkan kebaikan prestasi kanak-kanak yang mengalami kecacatan akal.Kini produk yang berasaskan pegaga telah di gunakan dengan meluas dalam industri kecantikan sebagai anti selulit, anti kedutan (anti wrinkle), untuk mata dan muka, menambah ketegangan kulit dan meningkatkan pembentukan kulit yang baru. Tumbuhan seperti pegaga mempunyai pelbagai keunikan untuk meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk di kalangan kanak-kanak kurang upaya.

Profesor di Fakulti Sains dan Teknologi Pemakanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed menyifatkan tumbuhan herba yang lazimnya dijadikan ulam-ulaman itu membantu meningkatkan keupayaan dari segi pengawalan saraf di kalangan kanak-kanak terbabit. Ini kerana pegaga mempunyai kesan pelalian pada saraf. Bagi mereka yang mahu meningkatkan daya ingatan, pegaga antara pilihan herba yang baik berdasarkan hasil kajian dijalankan UPM kira-kira dua tahun lalu. Kajian di kalangan lelaki dan wanita lingkungan usia 35 hingga 55 tahun itu mendapati pegaga bukan saja berupaya meningkatkan ingatan malah mengurangkan paras glukos dan kolesterol. Bagi lelaki pula, Prof Suhaila mengakui ia didapati dapat meningkatkan tenaga seksual.

Di pelosok dunia lain, penggunaan pegaga atau secara saintifiknya dikenali sebagai centella asiatica turut tersenarai dalam dunia perubatan herba ayurveda dan tradisional Cina. Perubatan ayurveda menyifatkan tumbuhan herba ini sebagai tonik otak, antara lain bagi membantu meningkatkan daya ingatan, usia panjang dan mengekalkan keremajaan. Dalam perubatan berkenaan, seluruh bahagian pegaga dianggap sesuai untuk membantu meningkatkan daya ingatan. Di kalangan masyarakat India, tumbuhan berkenaan dipercayai membantu mengatasi pelbagai masalah lain seperti sakit kepala, sakit badan, asma, ulser serta menyembuhkan luka. Perubatan tradisional Cina pula memanfaatkan pegaga untuk membantu mengatasi masalah keletihan secara fizikal dan mental. Dalam pelbagai kajian lain, pegaga memiliki pelbagai kegunaan untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk pembentukan kolagen, membolehkan seseorang tidur lebih lena, merangsang selera makan serta membantu dari segi rawatan pernafasan, reproduktif, saraf, antiradang dan meningkatkan pengaliran darah.

Dalam penyelidikan yang menggunakan tikus sebagai sampel, didapati tikus yang diberi makan pegaga lebih aktif dan tubuh haiwan itu kurang lemak manakala organ dalaman tikus itu juga lebih sihat berbanding tikus yang tak diberi makan pegaga, jenis pegaga yang agak popular ialah pegaga gajah dan pegaga kampung dikategorikan di bawah spesies centella asiatica. Pegaga yang turut dikomersialkan masa kini antaranya dalam bentuk sabun namun ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk barangan lain termasuk barangan kosmetik memandangkan keupayaan pegaga serupa seperti vitamin C. 
Lebih elok jika mengambil pegaga mentah atau segar tetapi lantaran kesuntukan waktu kini, tak salah jika ia dikomersialkan kerana penggunaannya mungkin lebih mudah.

Pegaga mengandungi bahan aktif seperti triterpenoid glikosida (terutama asiatikosida, asid asiatik, asid madecassik, madikassosida), flavenoids (kaemferol dan quercetin), volatile oils (vallerin, camphor, cineole dan sterols tumbuhan seperti campesterol, stigmasterol, sitosterol), pektin, asid amino, alkaloid hydrocotyline, myositol, asid bramik, asid centellik, asid isobrahmik dan asid betulik. Di Malaysia, pegaga amat popular di kalangan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Bagi kaum Melayu, ia di makan secara segar sebagai ulam, bagi kaum Cina digunakan sebagai minuman penyejuk badan, manakala bagi kaum India, digunakan sebagai tonik kecerdasan minda.

Khasiat Pegaga memang tidak dapat dinafikan dan perlu di buat lebih banyak kajian terhadapnya. Boleh rujuk kepada tajuk Pegaga di sini (Klik disini).
(Sebahagian di petik dari http://panduanpercuma.info/ tahukah/2614/ khasiat-pegaga/)


KHASIAT PEGAGA...MEMENG TERBUKTI...
SENANG DITANAM...BUAT SENDIRI..
DIJADIKAN ULAM..MAKAN DENGAN NASI...
JANGAN DITINGGALKAN..NANTI RUGI...


By,
M Anem
Room 603, Ipoh City Hotel,
Ipoh, Perak, Malaysia.
( 9 Safar 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...