Support My Blog

Monday, October 18, 2010

Kenaf

Kenaf (Hibiscus cannabinus) dari keluarga Malvaceae merupakan sejenis tumbuhan Hibiscus renek yang serupa dengan tanaman bendi dan dipercayai berasal dari kawasan Asia Selatan. Tanaman ini diusahakan dibeberapa negara untuk penghasilan fiber dan pelbagai produk lain. Tanaman kenaf di Malaysia pernah di promosikan beberapa belas tahun dahulu di Malaysia bagi pengeluaran komersil tetapi kurang mendapat sambutan para petani sehingga Lembaga Tembakau Negera (LTN) di tukar kepada nama Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LTKN) yang berfungsi untuk memajukan kenaf sebagai tanaman alternatif di Malaysia. Kajian saya menunjukkan terdapat seluas 1,692 hektar tanaman kenaf pada Oktober 2010 melibatkan seramai 480 orang penanam. Artikel kali ini penulis berbicara mengenai teknologi tanaman kenaf yang penulis perolehi dari LTKN dan pengalaman penulis dalam bidang pertanian selama 30 tahun.


Kenaf adalah sejenis tumbuhan renek yang cepat tumbuh dan dituai dalam masa 4 bulan serta sesuai untuk menggantikan tanaman tembakau di Malaysia. Kawasan iklim yang sesuai mempunyai taburan hujan antara 60-120 mm/bulan dengan suhu antara 25-28 celcius seperti di Malaysia. Tanah jenis liat berpasir dengan saliran baik perlu dipilih. Elakkan daripada menanam kenaf dikawasan tanah yang ada cacing nematod. Oleh itu satu ujian kiraan nematod perlu dibuat dengan teknik Nematode Count. Tanaman ini masih baru di Malaysia dan kilang memproses kenaf kini hanya terdapat di Negeri Pahang sementara pengeluar benih kenaf terdapat di kawasan Kedah. Varieti kenaf dipilih dari yang tahan serangan penyakit, mengandungi serat yang tinggi dan disukai oleh binatang ternakan untuk dijadikan bahan makanan ternakan.


Kawasan yang hendak ditanam kenaf perlu di Bajak Asas (Plough) sedalam 30 cm kira-kita 25-30 hari sebelum proses penyediaan tanah seterusnya. Pastikan ada sistem perparitan untuk elakkan tanah ditenggelami air atau mudah banjir. Kapor sebanyak 2 mt/ha ditabur untuk memperbaiki pH kepada 5-6. Tanah seterusnya di bajak putar (Rotor) dengan kedalaman 25-50 cm dengan rotovator. Bagi meningkatkan kesuburan tanah berikan POME dengan kadar 10-40 mt/ha dan baja tahi organik (5-15 mt/ha) dan Ameliorasi (0.5-1 mt/ha) seminggu sebelum menanam kenaf. bajak putar kedua untu menggaul bahan baja asas kedalam tanah dan tambah dengan baja NPK.


Penanaman kenaf menggunakan benih yang telah dikenalpasti kesesuaiannya dengan jarak tanaman 30 cm x 8 cm dan kepadatan sebanyak 40,000 pokok sehektar. Dianggarkan bijibenih yang diperlukan sebanyak 15 kg sehektar. Gunakan seeder untur menanam dan buat penyiraman. Adalah disyorkan untuk menyembur racun pracambah seperti S-metalachlor pada kadar 4 liter/ha bagi kawalan rumpai. Keperluan air disediakan secukupnya dengan peniraman selama 3 jam sehari selama 45 hari disesuaikan dengan keadaan hujan.


Pembajaan tambahan dibuat 30-40 hari selepas penanaman dengan baja NPK 120N:100P:100K secara menabur rata. Kawalan rumpai dibuat dengan kaedah menyembur racun rumpai atau secara kawalan secara manual bagi rumpai jenis rusiga, daun tirus dan daun lebar. Kelemahan dalam pengawalan rumpai akan menjejaskan pertumbuhan pokok kenaf. Beberapa jenis perosak yang menyerang kenaf seperti Ulat Makan Daun iaitu Anomis flava, Spodoptera litura, Manolepta bifasciata, dan Podagrica gamella yang dikawal dengan racun carbaryl, Premethrin, Fenthoate atau Sumidin. Ulat Pengorek Pucuk (Erias fobia) mengorek dan memakan pucuk kenaf dan perlu dikawal dengan racun yang sama. Serangga Pengorek Buah (Dysdercus cingulatus) merosakkan benih kenaf dikawal dengan racun. Perosak lain ialah serangga Penghisap Cairan Daun (Chlorita biguctata) dan juga Apid (Aphis gosspyii). Kenaf juga diserang beberapa penyakit iaitu Penyakit layu Fusarium (Fusarium), Antraknos (Collectotricum spp) dan juga Phythoptora yang mampu menjejaskan pertumbuhan pokok kenaf dan boleh dikwal dengan racun seperti propanil atau Isprocarb.



Penuaian kenaf perlu disesuaikan dengan musim kering apabila pokok telah matang . Lazimnya untuk penghasilan fiber umur kenaf 100-120 hari sesuai dituai menggunakan cara manual atau mesin Mover atau Forage. Bagi penuaian untuk penghasilan Benih Kenaf sesuai di tuai pada umur pokok 120-150 hari lepas tanam,. Bagi penuaian untuk makanan ternakkan pula sesuai menuai pada umur 40-60 hari. Pokok kenaf yang dipotong dan dikumpul dan diikat dalam bundle dengan berat antara 20-25 kg/ikatan. Bundle kenaf yang diikat dinaikkan ke Lori untuk dihantar kekilang untuk di proses.


Dalam perbincangan dengan pegawai LTKN di Alor Setar kelmarin dan pengusaha benih dari Jitra mendapati anggaran harga jualan kira-kira RM 0.30 - RM 0.40 satu kilogram. Kayu Kenaf boleh dijadikan pelbagai produk seperti papan lapis, cawan, pinggan, produk kraftangan, perabut dan banyak lagi (Foto sebelah). Belum ada cashflow yang disediakan bagi mengira kadar untung rugi tanaman ini. Tanaman ini digalakkan untuk dimajukan dikawasan tanaman tembakau sebagai tanaman alternatif seperti di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis. Skim penanaman dan penjualan perlu di sediakan bagi tanaman ini kerana masa kini belum ada sistem yang kukuh menyokong tanaman kenaf. Diharaokan tanaman kenaf akan menjadi satu industri yang menjanjikan pendapatan tambahan kepada petani-petani di negara kita.



TANAM KENAF...GANTI TEMBAKAU...
KENAF DITUAI....DENGAN MENEBANG....
KENAF DIJUAL....UNTUNG DIPANTAU...
TANAMAN ALTERNATIF...MASA AKAN DATANG...



By
M Anem
Alor Setar
Kedah

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...