Support My Blog

Wednesday, October 12, 2022

VARIETI NANAS POPULAR DITANAM 2022

TANAMAN NANAS (Ananas comosus) merupakan sejenis tanaman buah yang tidak bermusim yang sangat popular di Malaysia selain daripada tanaman Pisang (Musa spp), Betik (Carica papaya), Tembikai (Citrullus lunatus) dan juga Jambu Batu (Psidium guava). Keluasan tanaman nanas di Malaysia pada tahun 2021 dilaporkan seluas 14,072 hektar dengan menghasilkan sebanyak 325,028 metrik tan (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2021). Negeri Johor masih dominan dengan keluasan penanaman nanas pada tahun 2021 mencecah keluasan mencapai 7,610 hektar menghasilkan sebanyak 212,130 metrik tan nanas diikuti dengan Negeri Sarawak dan Selangor. Seluas 2,522 hektar nanas di tanam di Sarawak menghasilkan sebanyak 47,587 metrik tan dan seluas 597 hektar ditanam di Selangor. Bagaimana pun Negeri Pahang dilaporkan sudah semakin luas menanam nanas semenjak 2021. Pisang merupakan tanaman buah yang luas ditanam di Malaysia sehingga mencecah 26,213 hektar dengan pengeluaran hasil sebanyak 318,518 metrik tan (kurang dari jumlah berat buah nanas). Bagi tanaman Betik pula seluas 2,662 hektar ditanam pada 2021 dengan penghasilan sebanyak 62,517 metrik tan. Tanaman jambu batu pula ditanam seluas1,892 hektar mengeluarkan hasil sebanyak 38,336 metrik tan. Pada penulis blog melihat trend penanaman nanas semakin berkembang dengan baik apabila varieti nanas premium MD2 mendapat sambutan paling menggalakkan dari kalangan peanam dan juga pengguna. Kini nanas MD2 sudah sedia untuk pasaran eksport dan juga dilihat dimana pasaran nanas segar MD2 domestik terus berkembang. Semenjak kebelakangan ini dilihat ada banyak varieti nanas baru diperkenalkan dan didaftarkan di Malaysia dan yang paling terakhir adalah varieti Nanas Jambul Mas A18 (didaftar sebagai AC15) iaitu nanas paling enak pernah penulis bloh membuat ujirasa. Sehingga artikel ini ditulis sudah ada terdapat 15 varieti nanas yang sah didaftarkan didalam Senarai Varieti Tanaman di Jabatan Pertanian Malaysia. Nanas tersebut adalah Nanas Moris (AC1), NanasSarawak (AC2), Nanas Gandul (AC3), Nanas Maspine (AC4), Nanas Josapine (AC5), Nanas Yankee (AC6), Nanas Moris Gajah (AC7), Nanas N36 (AC8), Nanas MD2 (AC9), NanasView of Sunset (AC10), Nanas Madu Kaca (AC11), Nanas Keningau Diamond (AC12), Nanas Cobek (AC13), Nanas Crystal Honey (AC14) dan Nanas Jambul Mas A18 (AC15). Penulis blog terlibat didalam semua aktiviti pendaftaran varieti nanas tersebut dari nanas moris (AC1) sehingga kepada varieti Nanas AC15. Persoalannya adalah apakah sebenarnya status varieti nanas yang kini ditanam di Malaysia pada tahun 2021 dan tanun 2022?. Artikel pada petang Selasa ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsikan info mengenai perkara ini untuk dijadikan bajan rujukkan pembaca semua.

Merujuk kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang saya dapati daripada facebook LPNM pada Oktober 2022 menarik perkara diatas di bincangkan. Rajah diatas menunjukkan dengan jelas dimana Nanas Moris (AC1) masih mendudukki tangga pertama paling luas ditanam di Malaysia iaitu seluas 4,583 hektar atau sekitar 27.5% daripada keseluruan keluasan tanaman nanas di Malaysia pada 2022. Ini diikuti ditangga kedua dengan varieti Nanas Josapine (AC5) dengan jumlah keluasan adalah sebanyak 4,121 hektar dengan atau sekitar 24.7% dari jumlah semua. Di tempat yang ke tiga di lihat dari rajah diatas adalah varieti nanas N36 iaitu seluas 3,435 hektar atau sekitar 20.6%. Kedudukan yang ke 4 barulah Nanas MD2 dengan jumlah keluasan sebanyak 2,634 hektar atau sekitar 15.8%. Lain-lain jenis nanas yang ditanam di Malaysia (ada sebanyak 15 varieti yang didaftarkan) adalah seluas 1,800 hektar atau 11.4% daripada jumlah keseluruhan keluasan tanaman nanas. Nanas Moris dan Nanas Josapine merupakan varieti nanas paling dominan ditanam oleh petani tradisional terutama di Negeri Johor semenjak berpuloh tahun dahulu. Begitu juga dengan varieti nanas N36 yang masih meluas ditanam di Johor terutama untuk pasaran segar dan juga dihantar dikilang nanas tempatan. Nanas Moris merupakan varieti nanas paling meluas masih ditanam di kawasan tanah gambut untuk pasaran domestik (segar), pasaran kilang nanas dan ada yang masih dieksport terutama ke Singapura. Nanas Moris adalah mudah ditanam, cepat berbuah (11-12 bulan sahaja) dan juga mudah serta murah kos benihnya (Bagi penanam nanas tradisi tidak perlu lagi membeli sulur benih nanas Moris). Walau pun harga buah nanas moris segar diladang diantara paling murah akan tetapi ia masih dikatakan memberikan pulangan terbaik oleh kalangan penanam nanas di Johor. Nanas Josapine pula masih menjadi pilihan ramai penanam nanas kerana sama seperti nanas moris ia mudah ditanam dan cepat berhasil. Ia ditanam oleh beberapa estet swasta dan juga ramai pekebun kecil nanas. Harga nanas Josapine di ladang biasanya sedikit lebih tinggi daripada harga ladang nanas moris.

Bagi varieti nanas N36 dimana ia masih lagi menarik minat penanam nanas untuk ianya dikomersilkan. Nanas N36 ini bagaimana pun ada dua kegunaan asas iaitu buah segar dan buah untuk dihantar kekilang nanas yang masih beroperasi. Hanya ada satu kilang nanas berskala besar di Skudai, Johor dan berpuloh kilang-kilang nanas kecil yang terdapat untuk memproses buah nanas ini. Nanas N36 adalah agak mudah ditanam dan dijaga serta kurang diserang perosak dan penyakit. Kos benihnya yang murah (kebanyakan penanam nanas sedia ada tidak perlu membelinya) dan harga ladang yang baik membolehkan varieti nanas ini terus disukai oleh penanam nanas. Rajah diatas menunjukkan juga terdapat 1,800 hektar varieti nanas lain yang ditanam di Malaysia. Antaranya yang ditanam termasuk nanas Crystal Honey, Nanas Maspine, Nanas Sarawak (Nanas Paun), Nanas Keningau Diamond, Nanas Yankee, Nanas Jambul Mas dan beberapa lagi. Nanas Yankee ditanam kebanyakannya di Selangor sementara nanas Crystal Honey pula agak luas ditanam di Melaka dan Negeri Sembilan. Dalam pada itu Nanas Keningau Diamond agak luas ditanam di Keningau, Sabah yang pernah penulis blog membuat tinjauan (Sila baca artikel berkaitan dengan pautan berikut - Sila klik disini). Pada penulis blog nanas ini juga antara varieti nanas yang enak untuk pasaran segar dan juga sesuai untuk diproses. Bagi nanas Madu Kaca pula ia hanya popular di utara Kelantan dimana nanas ini memang unik rasanya. Anda boleh menbaca akan info mengenai kehebatan nanas Madu Kaca dengan pautan artikel yang berikut (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). nanas Maspine hanya popular di Johor sahaja iaitu di Kota Tinggi yang diusahakan oleh beberapa penanam sahaja untuk 'niche market'. Penulis blog yang beberapa kali ke 3 buah ladang nanas Maspine tersebut mendapati yang buanya seakan sama dengan kualiti buah nanas MD2. Nanas Sarawak walau pun semakin kurang ditanam tetapi ia ada di Johor, Selangor, Terengganu dan Sarawak semasa tinjauan teknologi dijalankan. Akhir sekali adalah varieti nanas paling baru didaftarkan iaitu Nanas JambulMas A18 yang ada ditanam di Negeri Sembilan dan Melaka.

Melihat prestasi varieti nanas MD2 merupakan nanas premium yang dijadikan sasaran dan permintaan oleh penanam dan pengguna. nanas MD2 yang mula diperkenalkan di Malaysia sekitar 10 tahun lalu terus mendapat sambutan amat menggalakan dikalangan penanam nanas sektor pekebun kecil, usahawan berskala sederhana dan juga pihak ladang besar swasta. Terkini seluas 2,634 hektar atau 6,505 ekar nanas MD2 ditanam untuk pasaran domestik (buah segar dan proses) dan juga pasarfan eksport. Kekurangan untuk petani mendapatkan anakbenih nanas MD2 diperingkat awal menyebabkan pengluasan tanaman nanas MD2 agak lambat berbanding sekarang. Nanas MD2 merupakan nanas premium yang mendapat perhatian kerajaan untuk dibangunkan dengan ada pelbagai insentif bantuan daripada pihak LPNM dan beberapa pihak lain. Ia diminati oleh penanam nanas kerana selain daripada jualan buahnya dilaporkan memang mereka akan mendapat pulangan agak baik melalui jualan sulur benihnya. Bagaimana pun sulur nanas MD2 tulis perlu disahkan dahulu melalui Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian. Ada juga usaha penjualan anakbenih MD2 dari Kultur Tisu yang mana sehingga sekarang ini masih tidak diperakui untuk tujuan pengesyoran untuk digunakan. Ini kerana benih nanas hibrid MD2 Kultur Tisu berpotensi untuk menyebabkan berlakunya kejadian 'Somaclonal Variation' yang boleh menjejaskan industri nanans MD2 negara. LPNM memberikan bajet yang besar setiap tahun untuk pembangunan nanas MD2 yang membolehkan lebih ramai penanam akan melibatkan diri dengan penanaman nanas MD2 secara komersil. Nanas MD2 juga diantara varieti nanas yang telah berjaya di eskport sebagai buah nanas segar kebeberapa negara seperti ke China, Singapura, Korea Selatan, Jepun, UAE (Timur Tengah) dan sebagainya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
INDUSTRI NANAS... BERTAMBAH LUASNYA...
NANAS MORIS... MASIH DIA MENERJUINYA...
NANAS MD2... SEMAKIN LUAS HEKTARNYA...
BACA ARTIKEL... MAKLUMAT INI DI TERIMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(13 Rabiulawal 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...