Support My Blog

Saturday, October 1, 2022

LIMAU - KENAL JENIS POPULAR

LIMAU (Citrus spp) merupakan pokok buah-buahan tropika yang sesuai ditanam di negara kita dengan pengurusan yang baik. Keluasan keseluruhan tanaman limau di Malaysia seluas 4,200 kektar pada tahun 2010 dengan penghasilan sebanyak 18,620 mt dimana keluasan ini terus menurun kepada 3,950 hektar sahaja pada tahun 2014 (Sumber: Laporan ststistik keluasan tanaman Jabatan Pertanian Malaysia, Tahun 2014). Bagaimana pun penulis blog dapati keluasan tanaman Limau Manis di Malaysia pada tahun 2021 seluas 2,030 hektar menghasilkan sebanyak 10,513 metrik tan. Dalam pada itu keluasan tanaman Limau Bali pula pada tahun 2021 adalah seluas 1,071 hektar menghasilkan sebanyak 16,042 metrik tan (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia, Tahun 2021). Pokok limau merupakan tumbuhan yang berdaun sepanjang tahun dan bersaiz kecil hingga ke sederhana. Pokok limau mengeluarkan banyak cabang dan ranting, mempunyai tabiat pertumbuhan dahan dari menegak hingga melempai dan kanopi berbentuk bulat hingga ke bujur. Pokok limau mempunyai sistem perakaran akar tunjang. Antara beberapa varieti limau yang ada ditanam adalah jenis mandarin dimana ia  memang mempunyai daun berbentuk 'lanceolate atau oblong' dengan tiada pembentukan kepak (wing) di tangkai daun. Pada kebiasannya daun berwarna daripada hijau muda ke hijau tua. Pada bahagian daun, terdapat kelenjar-kelenjar minyak (oil glands) yang mampu mengeluarkan aroma yang menarik apabila dilipat atau diramas. Antara jenis limau yang ditanam di negara kita adalah seperti Limau Manis, Limau Bali, Limau Lemon, Lemon Kasturi, Limau Madu, Limau Purut dan beberapa jenis lagi. Lazimnya pokok limau akan dibiakkan secara tampang dimana ia akan mula berbunga antara 2-3 tahun selepas ditanam. Bunga terbentuk secara satu-satu atau secara jejambak di celah-celah tangkai daun pada ranting-ranting muda. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis tanaman pokok limau sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Kebiasaannya bunga limau akan dapat mengeluarkan bau yang harum. Bunga mempunyai 5 kelopak yang berasingan, berwarna putih dan terletak di atas kalik (Sila anda lihat foto disebelah). Stamennya yang banyak dan bercantum dipangkal biasanya berwarna puteh dengan hujungnya (anther) berwarna kuning. Stigma pula berwarna hijau kekuningan dan mempunyai stil yang sama panjang dengan stamen dan kedua-dua stamen dan stil terdapat di dalam kuntum bunga. Pendebungaan pokok limau berlaku secara pendebungaan sendiri. Agen pendebunga ialah serangga seperti kutu trip, hamama dan lebah madu. Angin juga boleh membantu proses pendebungaan pokok limau. Stigma pada bunga berupaya menerima debunga antara 1-3 hari sebelum antesis dan antara 6-8 hari selepas antesis. Enam hari (6) selepas proses pendebungaan, semua bahagian bunga akan luruh kecuali ovari dan stil. Ovari akan mula membesar dan stil mulai kering bermula dari bahagian stigma (101-5 hari selepas antesis). Biji limau boleh mengeluar 2 hingga 5 anak benih dan salah satu daripada anak benih tersebut terbentuk melalui proses seksual (lihat maksudnya) manakala yang selebihnya dihasilkan melalui proses aseksual (necellar embryo). Buah limau menjadi ikon penting semasa perayaan Tahun Baru Cina dimana Malaysia mengimpot berjuta-juta biji limau ini terutama dari negara China setiap tahun yang dijual dengan pelbagai jenama dan harga mengikut kualitinya. Penulis blog dapati setiap tahun akan dapat ujirasa buah limau sempena tahun baru cina ini sama ada dihadiahkan oleh rakan taulan atau membelinya sendiri (Kecuali tidak merasa limau ini semasa pandemik covid-19 sedang berlaku).

Diseluruh dunia banyak jenis limau yang ditanam dimana ia menjadi tanaman utama dibeberapa negara yang mempunyai empat musim. Varieti-varieti utama limau yang ditanam di Malaysia ialah limau Jenis Kupas (mandarin) dan Limau Jenis Potong (sweet orange). Terdapat sekurang-kurangnya lima jenis limau mandarin yang biasa ditanam. Jenis limau yang biasa di tanam di dataran rendah ialah Limau Langkat (Citrus suhuiensis). Limau Langkat dan limau jenis "Kwantung" lebih digemari oleh masyarakat tempatan berbanding dengan limau mandarin atau beberapa jenis lain. Disamping itu terkini ada varieti limau madu atau limau wangi dilaporkan ia adalah sangat memenuhi citarasa pembeli dan didapati amat laris dalam pasaran. Ini kerana limau madu mempunyai buah yang bersaiz besar, rasa yang manis tidak berasid, kandungan jus yang tinggi dan tidak mempunyai serat dan hampas yang tinggi. LIMAU MADU (Citrus suhuiensis Hort. ex.Tan) merupakan sejenis limau Mandarin. Masalah-masalah yang sering dihadapi oleh petani tanaman limau madu ialah serangan penyakit reput batang phythopthora, penyakit virus tristeza (CTV) dan penyakit 'greening' atau dikenali juga sebagai penyakit inai daun. Penyakit reput batang phythopthora dan penyakit virus tristeza dapat dikawal dengan adanya pokok penanti yang lebih bersesuaian, akan tetapi penyakit 'cutrus greening' masih menjadi masalah besar kepada pengusaha tanaman limau madu yang juga merupakan satu faktor utama kurangnya minat petani dalam mengusahakan tanaman limau madu di Malaysia. Kegagalan industri tanaman limau di Malaysia juga berkait dengan serangan penyakit ini.

Kematangan Pokok Limau Madu akan mengeluarkan bunga dan buah jika dijaga dengan baik. Walaupun limau tergolong dalam buah-buahan tidak bermusim, umumnya terdapat dua musim utama pengeluaran buahnya yang tinggi. Di Terengganu, musim utama limau madu ialah pada bulan Mac hingga April dan Oktober hingga November. Oleh sebab limau madu adalah daripada jenis bukan klimakterik, buahnya perlu dipetik pada peringkat masak kerana proses pemasakan tidak berlaku selepas buah dipetik (Sila lihat foto disebelah). Penentuan peringkat kematangan buah limau biasanya berasaskan tarikh bunga kembang, tekstur buah, perubahan warna kulit, keadaan kelenjar minyak (oil glands) dan uji rasa. Buah limau madu sesuai dipetik apabila berumur 8-10 bulan selepas bunga kembang. Apabila matang, kulitnya menjadi lembut terutama pada hujung buah, kelenjar minyaknya jelas kelihatan, kulit menjadi berkilat dan mudah dikupas. Lazimnya cara menuai limau dilakukan dengan teknik  yang menggunakan gunting atau sekateur. Buah dipetik dengan cara memohon tangkai yang agak panjang pada kali pertama. Pada kali kedua tangkai dipotong lebih rapat dengan permukaan buah. Jika tangkai yang agak panjang dibiarkan pada buah, tangkai tersebut boleh mencederakan antara satu sama lain semasa berada dalam bekas pengisi seperti bakul atau kotak. Pemetikan cara merabut atau menarik buah dengan tangan tidak digalakkan kerana boleh mengoyakkan kulit buah. Buah yang dipetik seelok-eloknya dimasukkan ke dalam bekas yang mampu dibawa oleh pemetik dan digalas pada bahu atau pinggang, atau dimasukkan terus ke dalam bakul atau kereta sorong. Amalan mencampakkan buah atau membiarkan buah gugur ke permukaan perlu dielakkan kerana ini menyebabkan buah menjadi lebam. 

Siapa yang tidak kenal dengan LIMAU PURUT (Citrus hystrix) atau juga dikenali sebagai 'limau kaffir' dan 'leech lime'. Limau purut berbau lebih kuat dan tajam (Sila lihat foto disebelah). Berasal dari kepulauan Asia Tenggara, ia merupakan tumbuhan herba yang mula mencipta nama. Pokoknya mudah dikenali dari struktur daunnya yang berwarna hijau pekat dan berbentuk seperti nombor lapan. Buah limau purut juga boleh dibezakan dengan mudah kerana buah yang matang berwarna kuning, berbentuk seperti buah pir dan kulitnya menggerutu. Pokok ini hidup subur di kawasan yang mempunyai pancaran cahaya matahari yang kuat, tidak memerlukan naungan dan boleh hidup selama beberapa tahun. Lazimnya buah limau purut tidak mengeluarkan jus yang banyak tetapi setitis jusnya setanding dengan 10-15 titis bau dan rasa masam jus limau nipis. Nama lain bagi limau purut '. Daun limau purut telah lama digunakan sebagai bahan perubatan dan masakan. Bau dan rasa ini tidak boleh didapati daripada daun limau yang lain. Daun limau purut juga pernah digunakan untuk menambah rasa ruak atau arak beras. Limau purut mengandungi beberapa minyak pati yang mempunyai nilai ubatan yang tinggi antara alfa, beta-pinena, sitronelal, neral dan limonena. Kajian terbaru menunjukkan ekstrak daun limau purut mempunyai sifat antipertumbuhan kuman, boleh menghalang pembesaran sel kanser, mengurangkan tanda-tanda alahan, mengurangkan tekanan darah tinggi dan menaikkan nafsu makan.

Jenis LIMAU BALI (Citrus grandis Linn) Osbeck) adalah buah yang terbesar dalam kumpulan citrus. Ia berasal dari kawasan Asia Tenggara terutamanya Indonesia, China dan Thailand. Apa pun di Malaysia tanaman dan buah limau ini dikenali juga sebagai Limau Besar atau Limau Betawi. Anda boleh membaca artikel tulisan saya mengenai limau bali ini dengan pautan seperti berikut (Sila klik disini dan Sila klik disini). Seterusnya adalah Jenis LIMAU NIPIS (Citrus aurantifolia) dan juga LIMAU LANGKAT (Citrus suhuiensis). Selalunya dengan pembiakan seperti pokok limau langkat adalah dibiak secara tampang, sama ada secara cantuman atau tut akan mengeluarkan hasil selepas 2-4 tahun ditanam di ladang. Limau Langkat dan limau madu berpotensi mengeluar hasil daripada 8 tan/ha. pada tahun ke empat sehingga 24 tan/ha. pada tahun ke enam dan tahun seterusnya. Tempoh jangka hayat ekonomik kebanyakan jenis limau ialah antara 15-20 tahun. Musim Buah bagi jenis Limau langkat adalah pokok buah yang tidak bermusim tetapi mempunyai musim utama pengeluaran buah (bulan Oktober hingga November dan bulan Mac hingga April). Kematangan Buah limau diukur dengan cara yang biasa digunakan. Bagi menentukan tahap kematangan buah limau langkat ialah berdasarkan perubahan warna kulit, saiz dan ketumpatan buah. 

Jenis Limau LIUKAN (Citrus reticulata  Blanco) pula adalah jenis limau yang mana ia berasal dari Daerah Liuzhou, China dimana ia sangat popular dengan kulit luarnya yang bersih serta cantik dengan berwarna oren (Sila lihat foto disebelah).  Namun warna pada buahnya kekal hijau apabila matang jika diusahakan di kawasan tanah rendah dan mempunyai harga pasaran yang lebih rendah daripada varieti lain. Varieti limau ini mampu menghasilkan buah yang banyak, tetapi ianya mampu bertahan untuk beberapa musim sahaja dan perlu diganti. Varieti limau ini juga mudah dijangkiti oleh penyakit 'greening' dan juga penyakit virus tristeza. Berbeza dengan jenis  CHAOZHOU HONEY MANDARIN (Citrus reticulata  Blanco) yang juga dipercayai berasal dari Chaozhou, China mampu untuk menghasilkan buah yang besar seperti limau madu tetapi mempunyai kandungan jus yang tinggi dan tidak berasid. Varieti ini tidak sepopular varieti limau madu. Buahnya berasa tawar jika dituai pad musim hujan dan masalah buah kembung merupakan masalah utama dan mudah dijangkiti oleh penyakit 'greening'. Sementara jenis Limau KWANTUNG MANDARIN (Citrus reticulata Blanco var. tangerina Hort. ex. Tan) adalah jenis limau yang sangat diminati oleh ramai masyarakat tempatan dan biasanya dibiak secara cantuman tunas dan limau dari varieti ini sangat mudah dijangkiti oleh penyakit virus tristeza. Varieti ini mampu menghasilkan buah dalam kualiti yang banyak sehingga petani perlu didalam melaksanakan proses penjarangan buah. Hasil mesti dituai pada masa yang tepat, iaitu ketika buah berwarna oren, dan jika dituai sebelum sampai masanya ianya menghasilkan buah yang berasa masam didapati agak tidak sesuai untuk dipasarkan. Seterusnya adalah jenis Limau  PONKAN (Citrus reticulata Blanco var. ponki Hort. ex.Tan) adalah jenis limau daripada varieti ini menghasilkan buah yang bermutu tinggi. Varieti ini paling banyak diusahakan di Cameron Highlands dan kadang-kadang dikenali sebagai Hokkienkam. Walaupun ia menghasilkan buah yang bermutu tinggi tetapi hasil tanaman kurang memuaskan berbanding dengan varieti limau yang lain.

Buah limau mencapai tahap matang apabila warna kulit berubah daripada hijau kepada sedikit kekuningan. Kebiasaannya buah limau langkat matang dalam masa 8 1/2 bulan dan 9 1/2 bulan bagi limau madu selepas bunga kembang dan boleh dipetik. Apabila matang, kulitnya menjadi lembut dan senang untuk dikupas. Pengutipan hasil biasanya dilakukan menggunakan gunting bagi mengelakkan kecederaan mekanikal kepada buah. Buah hendaklah dipotong bersama-sama dengan tangkainya sepanjang antara 3-5 cm. Buah-buah yang dipetik biasanya diisi ke dalam bekas atau bakul rotan kecil yang dilapik daun limau supaya tidak cedera.  Pengendalian Pascatuai penting dibuat dari ladang ke pusat pengumpulan atau ke pusat lain seperti untuk pembungkusan atau pemprosesan boleh dilakukan dengan kereta sorong, treler atau kaedah lain bergantung kepada saiz ladang. Penghantaran ke pusat pengumpulan atau ke pusat pembungkusan atau pemprosesan perlu dijalankan dengan cepat bagi mengawal penurunan mutu dan kerosakan yang tinggi. Pengedalian di rumah pembungkusan (pemilihan, pembasuhan, pengeringan, penggredan, pembungkusan, penyimpanan) Di rumah pembungkusan buah limau akan melalui beberapa proses sebelum sampai kepada pengguna iaitu pemilihan, pembasuhan, pengeringan dan penggredan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog "Anim Agro Technology" kali ini. Wasallam!.
LIMAU DITANAM...ADA JENISNYA...
BANYAK MASAALAH... JAGANYA...
LIMAU DIIMPORT...PADA RAYA CINA...
PERLU DI KAJI... PELBAGAI USAHA...

By,
M Anem,
Senior Agronimist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya, 
Malaysia.
(12 JamadilAwal 1436H).
Kemaskini pada 3 Rabiulawal 1444H
(Bersamaan 1 Oktober 2022).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...