Support My Blog

Saturday, October 22, 2022

PERTANIAN BANDAR - PROGRAM BERJAYA

PERTANIAN BANDAR
(Urban Agriculture) merupakan satu konsep pertanian dikawasan bandar yang mana kini semakin mendapat perhatian ramai. Pertanian bandar kini telh boleh dilaksanakan oleh mereka yang tinggal dikawasan bandar yang tiada atau kurang tanah pertanian untuk bercucuk tanam. Kini Bahagian Pertanian Bandar telah diwujudkan di Jabatan Pertanian Malaysia dengan objektif tujannya adalah seperti untuk membantu 
mengurangkan kos sara hidup, mewujudkan aktiviti pertanian komuniti bagi memastikan pengeluaran dan bhan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan dan juga untuk mewujudkan interaksi sosial dan seterusnya menggalakkan komunikasi di kalangan komuniti. Ia juga dikenali salah satu program Pembangunan Pertanian Komuniti atau juga dikenali program pertanian bandar dan merupakan program yang membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan melalui bimbingan Jabatan Pertanian. Program ini melibatkan penduduk, sekolah, institusi dan usahawan pertanian bandar dengan kerjasama dan penglibatan pelbagai Jabatan dan Agensi yang berkaitan di peringkat Negeri dan Persekutuan. Apa pun dilaporkan dimana program Pembangunan Pertanian Komuniti berperanan sebagai salah satu strategi untuk menggalakkan interaksi sosial antara penduduk tempatan. Selain itu, pertanian komuniti membantu meningkatkan motivasi diri para peserta program dengan kemampuan untuk membentuk komuniti sendiri dan bekerja secara berpasukan untuk menghasilkan produk makanan sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual. Bagaimana pun lazimnya terdapat kawasan lapang yang sesuai dimajukan dengan menanam sayur-sayuran atau ulam-ulaman serta buah-buahan yang sesuai. Kini penduduk bandar mampu didalam melaksanakan pertanian dikawasan keliling rumah mereka sebagai satu sumber makanan selamat dan berkualiti. Kebun Komuniti dikawasan perumahan merupakan satu aktiviti masyarakat yang kini boleh memupuk semangat kerjasama dan permasyarakatan yang baik serta perpaduan. Lazimnya kebun bandar untuk komuniti dilaksanakan di kawasan perbandaran yang lapang. Mungkin pada satu ketika dahulu pertanian bandar mungkin agak asing dalam masyarakat umum khususnya di kawasan bandar. Bagaimanapun kini menerusi penggunaan teknologi dan inovasi terkini menyebabkan ia semakin popular setiap tahun. Apatah lagi jika masyarakat ini mula menyedari akan keperluan tanaman hijau dan bijak untuk menggunakan ruang kecil di kawasan kediaman mereka untuk tanaman sayuran atau bunga-bungaan. Walaupun tanpa halaman dan ruang terbuka yang luas seperti di balkoni apartment atau rumah teres tetapi kini aktiviti penanaman boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah tanaman seperti kotak tanaman, hidroponik, penanaman vertikal atau teknik berkebun kecil. Jabatan Pertanian adalah antara peneraju aktiviti dan juga kempen pertanian bandar dengan beberapa program yang disusun atur mengikut lokaliti. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti pertanian bandar yang akan memberikan sumber makanan yang selamat dan segar kepada pengusaha.

Penulis blog dalam membuat tinjauan semasa bertugas dahulu mengenai pertanian bandar mendapati diantara perkara utama yang perlu dilakukan ialah melihat situasi rumah dahulu. Bagi jenis kediaman pangsapuri dengan balkoni maka sebaiknya gunakan bekas tanaman yang mudah alih dengan saiz dan susunan yang boleh disesuaikan mengikut ukuran balkoni (Sila lihat foto disebelah). Selain itu bekas tanaman guna semula seperti bekas plastik, botol plastik pelbagai saiz, beg guni dan bekas polisterin. Bagaimana pun kesemua bekas-bekas tersebut mesti sesuai dengan ruang dan kawasan penanaman yang ada. Kaedah penanaman secara Taman Gantung atau menegak (vertikal) juga sesuai dilakukan untuk beberapa jenis sayuran dan ulam-ulaman. Penulis blog ada menggantung 5 pasu plastik yang ada tanaman cekur dan digantung didepan rumah. Cekur yang ditanam dalam pasu ini amat sesuai untuk diambil semasa memasak dalam keadaan yang segar dan selamat dimakan. Kaedah lain bagi kawasan rumah yang boleh dilakukan adalah dengan cara penanaman Hidroponik atau Aquaponik atau Nutrient Flow Technique (NFT) yang boleh dilakukan sama ada di dalam rumah atau di balkoni. Kesemua kadah ini boleh didapati teknologi dan peralatannya daripada kedai swasta atau mendapatkan infonya daripada Jabatan Pertanian. Individu atau kumpulan yang berminat untuk melaksanakan program ini perlu mematuhi syarat-syarat permohonan. Apa pun permohonan terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan terhad kepada satu permohonan sahaja. Dia mesti berminat dan bersedia memberi komitmen sepenuhnya kepada pelaksanaan program. Bagi kategori individu ianya dilaksanakan secara individu berkelompok (minimum 10 orang) di kawasan kediaman masing-masing. Bagi kategori usahawan dimana peserta mestilah menjalankan aktiviti jualan atau pemasaran hasil pertanian, peralatan pertanian, input pertanian. Bagi kategori komuniti, sekolah dan institusi maka projek dilaksanakan secara berkumpulan dengan bilangan minima 10 orang peserta. Sebaiknya dikenalpasti tapak projek perlu mendapat kebenaran pemilik tanah atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ia juga perlu mematuhi peraturan tempat kediaman yang berkuatkuasa. Keutamaan adalah kepada yang telah menjalankan aktiviti penanaman (pemohon perlu mengemukakan bukti gambar kebun semasa). Kelulusan permohonan juga tertakluk kepada nilai peruntukan semasa tahun berkenaan di Jabatan Pertanian. 

Bagi mereka yang tinggal di rumah pangsapuri tanpa ruang luar beberapa kaedah pertanian bandar boleh mereka lakukan dengan kaedah Aquaponik. Kaedah Aquaponik sebenarnya ada yang menggunakan sumber cahaya lampu bagi menggantikan keperluan cahaya matahari dan boleh diubah suai mengikut keadaan rumah. Kaedah paling mudah adalah dengan menanam sayuran dan ulam-ulaman didalam bekas kecil di tepi tingkap yang mendapat cahaya matahari yang perlu mencukupi untuk tanaman (Sila anda lihat foto disebelah). Teknologi penanaman gantung yang dilaukan pada dinding atau vertikal di tingkap jug boleh dilakujan dimana ia tidak memerlukan sebarang ruang lantai. Sementara itu didapati dikawasan bandar ramai penghuni yang tinggal dikawasan rumah teres dengan kawasan bertanam yang kecil. Unutk kawasan ini kaedh penanaman dalam pasu mudah alih atau kotak tanaman yang dibina daripada kayu atau logam. Cara lain pula dengan kaedah hidroponik,  aquaponik, atau NFT diubah suai kepada bertingkat mengikut keluasan kawasan. Dilaporkan dimana anggaran pengeluaran hasil pertanian yang selamat dimakan sebanyak 8,800 metrik tan pada tahun 2020 berjaya dihasilkan melalui program ini. Dilaporkan juga dimana telah berlaku pengurangan kos sara hidup peserta program sebanyak RM1,296.00 pada tahun 2021 kepada RM1,680.00 pada tahun 2022 dimana program masih lagi diteruskan perlaksanaannya.

Bagi mereka pula yang tinggal dikawasan perumahan dimana ada tanah sesuai di perbandaran yang lapang boleh juga diusahakan secara komuniti. Membina kebun bandar secara komuniti dengan mendirikan kotak tanaman yang dibina daripada kayu, logam atau bahan terpakai sesuai dilakukan. Seterusnya digalakkan penggunaan media tanaman seperti tanah campuran, tanah atas (top soil) dan media selain tanah seperti air, perlite, arang, lecca ball, cocopeat dan peatmoss. Bagi media tanaman di dalam pasu maka jenis media seperti yang disenaraikan boleh digunakan. Sebaiknya untuk penanaman di kotak tanaman, seelok-eloknya tanah atas digunakan dan digaul bersama baja organik seperti baja tahi ayam atau baja kompos. Ini bagi memastikan nutrien sudah tersedia untuk tanaman. Penjagaan pokok sayuran pula boleh dilakukan secara berkumpulan (Sila lihat foto disebelah)Amalan untuk bercucuk tanam di kawasan persekitaran tempat tinggal menjadi lebih mencabar jika tidak menggunakan baja dan racun kimia. Mereka yang terlibat dengan kebun ini akan lebih rapat hubungan diantara mereka selain kebun tersebut juga mampu membekalkan sayuran segar.

Serangan musuh seperti serangga perosak dan penyakit di peringkat awal boleh dikawal dengan beberapa rutin kawalan seperti dengan mengutip dan buang bahagian pokok yang bermasalah seperti rosak, patah, berlubang dan layu. Bahagian pokok ini juga boleh menjadi perumah kepada perosak. Sebaiknya mengutip dan buang perosak yang kelihatan seperti ulat bulu, koya, hama, belalang, lalat buah kepinding dan kumbang dilakukan dengan penoh minat. Selalu membuat pemeriksaan kerap ke atas pokok terutamanya di bahagian bawah daun. Digalakkan juga untuk mencabut dan membuang pokok-pokok selain yang ditanam terutama jenis tumbuhan rumpai. Cara ini adalah bagi mengurangkan persaingan untuk mendapatkan keperluan asas pokok seperti cahaya, air, nutrien dan ruang. Apa yang penting juga adalah untuk membalut buah semasa buah pada peringkat putik lagi. Ini bagi mengurangkan serangan oleh serangga perosak kerana semakin buah meningkat kepada peringkat masak maka ia akan mengeluarkan bau yang boleh menarik serangga perosak. Lalat Buah (Daucus spp) akan datang dan bertelur pada buah dimana larvanya akan merosakkan hasil tanaman. Sebaiknya dilakukan amalan seperti  pemangkasan sekiranya daun pokok telah melampai dan berjurai. Ia boleh mendedahkan bahagian dalam pokok supaya cahaya boleh masuk dan menggelakkan perosak seperti koya, hama dan teritip menyerang. Selalu sentiasa menggemburkan tanah bagi menggalakkan pengudaraan pada akar pokok dan supaya benih-benih rumpai yang dorman dapat dimusnahkan ketika proses membalik-balikkan tanah. Penulis blog pada kesimpulannya mendapati dimana aktiviti pertanian bandar dan pengamalan di bandar secara organik sangat digalakkan. Cara ini akan dapat membantu penduduk bandar mengeluarkan sendiri bekalan makanan selamat untuk dimakan serta mampu untuk mengurangkan belanja dapur serta mempertingkatkan kualiti alam sekitar serta tahap kesihatan yang baik jika diuruskan secara terancang. Semuga artikel dalam blog anim agro technology ini memberikan info berguna kepada anda semua. Wasallam!!..
PERTANIAN BANDAR... APA GUNANYA...
KAEDAH HIDROPONIK.. MUDAH SAHAJA...
LOKASI SEMPIT... BANYAK TUAIANNYA...
MAKANAN SELAMAT...ORGANIK CARA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru UDA,
Johor Bahru, Johor, 
Malaysia.
(4 Muharram 1439H)
Kemaskini pada 3 Oktober 2022.
(Bersamaan dengan 6 Rabiulawal 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...