Support My Blog

Wednesday, October 21, 2020

APA FUNGSI BAJA TANAMAN?

BAJA (Fertilizer)
adalah merujuk kepada sebatian kimia atau organik yang diberikan kepada tumbuhan-tumbuhan untuk menggalakkan pertumbuhan. Ia seringkali diberi kepada tanah dan media tumbuhan lain iaitu ia boleh juga diletakkan terus pada akar atau disembur pada daun-daun tumbuhan. Baja terbahagi kepada dua  jenis iaitu Baja Asli dan Baja Kimia. Baja asli adalah merujuk sebagai baja organik dimana ia lazimnya mengandungi bahan-bahan organik atau berasal daripada organisma hidup. Jenis baja kimia pula selalu ia merujuk sebagai baja tidak organik atau baja buatan kilang yang mana ia mengandungi bahan-bahan kimia tidak organik atau daripada bahan galian. Penulis blog dan anda mungkin tahu dimana baja boleh wujud secara semula jadi seperti gambut dan bahan galian atau dihasilkan atau dikilangkan setelah melalui proses semula jadi (seperti penguraian) atau proses kimia (seperti proses Haber). Sebatian kimia sebegini menjadikan halaman, taman-taman dan tanah akan dilihat dimana ia nampak lebih indah kerana ia membekalkan zat-zat penting yang menggalakkan kesuburan tumbuhan. Dilaporkan dimana baja ini ada formulasi khusus bagi tujuan tertentu dimana ia disesuaikan formulasi campuran bahan nutrien untuk membantu pertumbuhan daun atau bertujuan dalam pengeluaran buah. Ia lazimnya mengandungi tiga unsur kimia utama iaitu Nitrogen (N), Posforus (P) dan Kalium (K) atau singkatannya sebagai Baja NPK. Ia dicampurkan didalam kadar yang berbeza-beza sebahai contok jika ditulis pada label NPK 15:15:15 merupakan baja pertumbuhan dan NPK 12:12:17:2 TE untuk pembuahan. Unsur-unsur lain seperti kalsium, sulfur, magnesium atau zat-zat mikro (micronutrients) turut digunakan berdasarkan keperluan atau penggunaan baja tersebut. Walaupun nitrogen boleh didapati di atmosfera bumi, hanya terdapat sekumpulan kecil tumbuhan (contohnya kekacang) yang melakukan proses ikatan nitrogen (proses penukaran nitrogen atmosfera kepada bentuk-bentuk yang lebih berguna seperti nitrat, ammonia dan nitrogen oksida). Hampir semua tumbuhan memerlukan sebatian nitrogen di dalam tanih untuk tumbuh subur. 
Baja adalah bahan yang mengandungi unsur pemakanan tumbuhan yang dibekalkan secara langsung kepada tanah bagi pertumbuhan tanaman. Setiap bahan yang mengandungi unsur pemakanan tumbuhan dan dibekalkan kepada tanah contohnya Nitrogen, Fosforus dan Kalium adalah dikelaskan sebagai baja tumbuhan. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya akan paparkan tajuk mengenai beberapa fungsi dan penjelasan mengenai baja untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda.

Lazimnya antara 
bahan-bahan yang digunakan secara tidak langsung untuk memperbaiki struktur dan tekstur tanah dalam meningkatkan daya kelembapan tanah dan daya pegangan air tanah serta mengawal keasidan tanah adalah dianggap sebagai bahan pembetulan tanah (soil amendment), pelembap tanah (soil conditioner) dan bahan tambahan tanah (soil additives). Apa pun kesemua bahan ini adalah penting dalam usaha mempertingkatkan kesuburan tanah bagi dapat menampung keperluan pertumbuhan tanaman daripada peringkat awal penanaman sehingga kepada peringkat penuaian hasil. Penulis blog memang belajar dan membaca mengenai ada terdapat 18 unsur pemakanan tumbuhan yang diperlukan oleh tanaman mengikut peringkat pertumbuhan, cara pengambilan unsur pemakanan tersebut dan jenis tanaman. Sudah tentu unsur yang paling utama dan paling penting dalam proses pertumbuhan hampir kesemua jenis tanaman ialah Nitrogen, Posforus dan Kalium (N,P,K). Unsur Nitrogen sangat penting bagi pertumbuhan tanaman daripada peringkat awal percambahan sehingga peringkat pembentukan daun. Dalam pada itu Fosforus (Phosforan) memang baja yang penting bagi pembentukan akar dan dahan. Terpenting juga adalah unsur Kalium yang penting dalam pembentukan bunga dan buah. Pokok akn menyerap smeua unsur nutrien dari tanah melalui akarnya dan dibawa ke bahagian daun bagi menjalani proses fotosintesis dan menghasilkan tenaga untuk pertumbuhan. Kadar pembajaan yang betul mengikut jadual amat penting bagi mempastikan kesemua nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan dapat digunakan dengan optima.

Baja Campuran atau sering juga di[anggil sebagai Baja Sebatian adalah juga baja kimia yang mengandungi NPK dan TE dihasilkan melalui dan menggunakan campuran bahan kimia dan bukan organik. Kesan k
ekurangan tiga unsur utama ini akan menampakkan simptom secara umumnya pada daun (kurang nitrogen), pertumbuhan terbantut (kurang fosforus) dan tidak membentuk bunga (kurang kalium). Apa pun terdapat juga unsur sekunder yang tidak kurang juga pentingnya dalam pertumbuhan tanaman iaitu kalsium, magnesium, sulfur dan sodium yang diperlukan tanaman untuk pertumbuhan yang subur. Selain daripada unsur utama dan unsur sekunder, unsur surih seperti boron, zink, ferum, mangan, klorin, molybdenum, kobalt dan tembaga (copper) diperlukan oleh tanaman tetapi dalam jumlah yang sedikit. Maksudnya, ada atau tidak ada unsur surih ini dalam pembajaan tidak begitu signifikan dari segi pertumbuhan. Jika kepekatan unsur surih tinggi dalam tanah maka ini akan menyebabkan toksik (keracunan) terutama bagi tanaman yang baharu disemai. Unsur seperti oksigen, karbon dan hidrogen yang tanaman perlukan adalah didapati daripada atmosfera iaitu dalam bentuk karbon dioksida dan air. Namun begitu, unsur karbon dan hidrogen terdapat dalam baja urea disebabkan oleh penghasilan baja urea melalui proses ‘Haber’. Baja urea dihasilkan daripada gabungan gas nitrogen daripada atmosfera dengan hidrogen daripada gas asli contohnya seperti metana seterusnya membentuk gas ammonia. Baja boleh dikelaskan mengikut empat kumpulan yang berbeza dari segi kandungan nutriennya iaitu baja kimia (bukan organik), baja organik, baja galian (mineral) dan baja organik sintetik. Cara pelepasan nutrien dalam setiap jenis baja ini adalah berbeza mengikut kandungan nutrien baja tersebut.

Apa pun b
aja kimia adalah baja yang dihasilkan menggunakan campuran bahan kimia dan bukan organik contohnya campuran bahan yang mengandungi asid sulfurik dan gas ammonia dalam pembuatan baja ammonium sulfat. Melalui tindak balas kimia, bahan tersebut berubah kandungan dari segi atom dan molekul lalu membentuk bahan baharu iaitu ammonium sulfat. Baja kimia ini mengandungi dua unsur iaitu nitrogen dan sulfur. Kandungan unsur pemakanan tumbuhan adalah tinggi dalam baja kimia. Pelepasan unsur pemakanan tumbuhan daripada baja kimia adalah cepat berbanding baja organik dan baja mineral disebabkan sifat yang mudah larut dan mudah meresap ke dalam tanah. Kebanyakan baja kimia digunakan pada peringkat pertumbuhan yang tertentu dan contohnya sepuluh ke 20 hari selepas penanaman, peringkat pembungaan dan pembentukan buah bagi memastikan nutrien daripada baja kimia digunakan sepenuhnya oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan tersebut. Dalam pada itu Baja Organik pula adalah baja yang dihasilkan menggunakan bahan asli tanpa campuran bahan kimia. Cara penghasilan baja organik adalah daripada pereputan sisa pertanian yang mudah terurai contohnya sisa tanaman dan sisa haiwan. Penguraian bahan asli daripada sisa tanaman dan haiwan mengambil masa lebih kurang dalam julat tiga bulan sehingga lapan bulan mengikut tinggi atau rendahnya kandungan bahan yang mudah atau lambat terurai. Hasil akhir daripada proses penguraian ini dikenali sebagai kompos, iaitu baja organik yang terkenal dalam meningkatkan kesuburan tanah dan tanaman. Kandungan bahan humus (organik) dalam kompos adalah tinggi dan kandungan nutriennya bergantung kepada campuran sisa yang digunakan, contohnya jika campuran menggunakan daun kekacang dan sisa haiwan, kandungan nitrogen adalah tinggi. Manakala, jika abu daripada pembakaran pelepah sawit digunakan dalam campuran pembuatan kompos, maka kandungan kalium adalah tinggi. Pelepasan bahan humus daripada kompos adalah perlahan dan biasanya dibekalkan kepada tanaman pada musim awal penanaman supaya boleh diambil oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan.

Dalam pada itu terdapat Baja Galian dan Baja Mineral dimana 
Baja galian adalah baja yang dihasilkan melalui pemecahan batuan yang mengandungi nutrien contohnya batu kapur yang mengandungi kalsium serta magnesium dan batuan fosfat yang mengandungi fosforus. Proses penghasilan galian ini adalah disebabkan oleh tindakan luluhawa fizikal dan luluhawa kimia terhadap batuan yang merubah bentuk dan kandungannya. Selain daripada itu, perlombongan batuan dilakukan bagi mendapatkan galian dalam bentuk serpihan yang lebih kecil atau serbuk galian yang sedia untuk digunakan. Kebanyakan baja galian mempunyai nutrien tumbuhan yang rendah dan cara pelepasan unsur pemakanan ke dalam tanah adalah lambat disebabkan batuan ini lambat larut dan memerlukan jumlah air secukupnya bagi proses pelarutan dalam tanah. Contoh baja galian ialah ‘China Rock Phosphate’ (CRP), ‘Christmas Island Rock Phosphate’ (CIRP), dan ‘Egyptian Rock Phosphate’ (EGP). Batuan fosfat ini dinamakan mengikut tempat perlombongan batuan fosfat tersebut. Dalam kes lain terdapat apa yang dikatakan sebagai Baja Organik Sintetik iaitu baja yang dihasilkan daripada gabungan gas dan sebatian organik yang disintesis secara bukan semula jadi. Proses penghasilan baja organik sintetik menggabungkan gas ammonia, hidrogen dan karbon dioksida. Sumber kepada gas ammonia ialah pengikatan gas nitrogen (N2) oleh proses Haber atau pembentukan ‘cyanamide’ (sebatian hablur asid lengai terhasil daripada pembebasan ammonia), manakala sumber kepada gas karbon dioksida ialah gas yang terbebas daripada perindustrian dan perkilangan. Baja urea merupakan satu-satunya penemuan yang unggul dalam pembuatan baja organik sintetik. Dalam proses penghasilan baja urea, gas hidrogen yang terhasil melalui tindak balas air dan gas membentuk gas karbon dioksida dalam jumlah yang banyak.  Namun begitu, gas yang terhasil daripada air, berfungsi dalam menyeimbangkan campuran nitrogen dan hidrogen yang mengandungi kepekatan gas karbon dioksida yang tinggi (70 - 80%). Proses penghasilan baja urea ini ialah tindak balas berbalik dan memerlukan suhu yang tinggi (400 - 500° C). Penemuan dalam kaedah penghasilan baja urea ini menyebabkan penggunaan baja urea secara meluas bukan sahaja disebabkan cara pelepasan unsur pemakanan yang cepat tetapi juga disebabkan oleh kandungan nitrogen yang tinggi iaitu 46%. Penulis blog dapati dimana pengetahuan pembaca dan petani mengenai jenis kandungan unsur pemakanan dalam setiap baja dan juga fungsi unsur tersebut kepada pembentukan dan pertumbuhan tanaman adalah penting bagi menentukan faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan baja. Apa pun cara pelepasan setiap jenis nutrien daripada baja mempengaruhi keberkesanan cara penggunaan baja untuk kesuburan tanah dan tanaman. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
MENGENAI BAJA... APA BENDANYA...
BAJA NPK,,, RAMAI ORANG GUNA...
BAJA ORGANIK... BAJA KIMIA ADA...
POKOK SUBUR.. MESTI MEMBAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11F, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
5 Rabiul Awal 1442H.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...