Support My Blog

Saturday, October 10, 2020

VARIETI PADI BERPOTENSI - GENE BANK MARDI

DI MALAYSIA tanaman padi (Oryza sativa) adalah menjadi tanaman ke tiga terpenting selepas Kelapa Sawit dan Getah. Terdapat beberapa jelapang padi dan IADA yang ditumpukan untuk pengeluaran padi bagi membekalkan sebanyak 70% kecukupan saradiri beras (SSL) negara. Banyak varieti padi yang dikeluarkan oleh MARDI sejak lama dahulu hasil penyelidikan dibeberapa lokasi. Bagaimana pun kesemua aktiviti ini berkait dengan kewujudan Bank Gen Padi Kebangsaan yang mana dilaporkan ada menyimpan sejumlah 13,020 aksesi padi. Koleksi inii juga merangkumi pelbagai varieti padi iaitu varieti tradisional, varieti MARDI dan varieti luar negara. Padi varieti tradisional diperoleh dari beberapa ekspedisi pengumpulan di kawasan penanaman padi di seluruh Malaysia. Padi varieti MARDI merupakan varieti padi yang dihasilkan oleh pembaik baka di MARDI. Varieti ini biasanya dibangunkan menggunakan varieti-varieti padi yang tersimpan di Bank Gen Padi. Bagi padi varieti luar negara merupakan varieti padi dari negara lain yang mana ia diperoleh melalui projek kerjasama dengan institusi-instutusi antarabangsa terutamanya Institusi Penyelidikan Padi Antarabangsa (International Rice Research Institute, IRRI). Setiap aksesi padi yang tersimpan di Bank Gen Padi Kebangsaan mempunyai kepelbagaian sumber genetik yang luas dan penting sebagai sumber bekalan genetik untuk penyelidikan dan pembangunan varieti padi moden. Kepelbagaian sumber genetik padi di Bank Gen Padi ini diterokai melalui aktiviti pencirian dan penilaian morfologi yang dilaksanakan pada setiap musim penanaman. Artikel malam Ahad ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis maklumat mengenai fungsi dan peranan Gene Bank Padi Kebangsaan untuk dijadikan bahan rujukkan semua. 

Didalam pusat ini disimpan semua maklumat ciri morfologi ini penting bagi membekalkan maklumat asas kepada pembaik baka untuk mengenal pasti dan memilih baka induk bagi membangunkan varieti baharu. Penilaian kepelbagaian genetik berdasarkan ciri morfologi ini banyak digunakan kerana menjimatkan, cepat dan mudah. Sehingga kini cara pengkelasan spesifik tanaman masih berdasarkan ciri morfologi. Kajian ini telah dilaksanakan adalah untuk meneroka kepelbagaian ciri morfologi yang hadir pada setiap aksesi padi yang tersimpan di Bank Gen Padi dan mengenal pasti varieti yang berpotensi agar dapat diperkenalkan kepada penyelidik dan pembaik baka. Hasil kajian ini sangat penting bagi memastikan germplasma padi yang tersimpan dapat digunakan secara menyeluruh untuk penyelidikan serta pembangunan varieti padi moden. Secara tidak langsung, sumbangan varieti ini kepada pembangunan varieti padi moden akan dapat membantu meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras di Malaysia bagi menjamin keselamatan makanan negara.

Dilaporkan dimana beberapa kajian telah dilaksanakan untuk meneroka akan kepelbagaian ciri morfologi yang wujud dan mengenal pasti varieti padi yang berpotensi untuk penyelidikan dan pembaikbakaan padi. Aktiviti pencirian morfologi pokok padi dilaksanakan dengan merujuk kepada Senarai Pencirian Padi atau Rice Descriptor List yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Penasihat Beras International Board for Plant Genetic Resources - International Rice Research Institute (IBPGR-IRRI). Analisis kluster berdasarkan ciri kuantitatif mendapati varieti RP 2068-32-6-1 dan R 6682 menunjukkan perkaitan rapat dengan MR 143 pada pekali persamaan = 0.74. Berdasarkan ciri kualitatif mendapati enam varieti menunjukkan skor yang baik iaitu MR 219, MR 219 (UPM4), MR 219 (UPM9), MR 143, IR65601-10-1-2 dan IR65601-67-3-2. Analisis kluster berdasarkan ciri kualitatif mendapati varieti IR66740-AC1-3 menunjukkan perkaitan rapat dengan varieti MARDI pada pekali persamaan = 0.70. Varieti padi yang mempunyai ciri morfologi yang rapat dengan varieti MARDI adalah berpotensi dan sesuai diperkenalkan kepada pembaik baka untuk pembangunan varieti padi moden. Kini sejumlah 46 aksesi telah dibuat pencirian morfologi. Aktiviti pencirian morfologi pokok padi dilaksanakan dengan merujuk kepada Senarai Pencirian Padi atau Rice Desriptor List yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Penasihat Beras Board for Plant Genetic Resources - International Rice Research Institute (IBPGR-IRRI). Pencirian morfologi ini terbahagi kepada dua kategori iaitu ciri kuantitatif dan kualitatif. Bagi ciri kuantitatif, data yang direkodkan adalah panjang dan lebar daun pengasuh, panjang dan lebar daun, panjang ligul, tinggi pokok, panjang tangkai, jumlah anak pokok dan diameter batang. Bagi ciri kualitatif, data yang direkodkan adalah pubesens daun, warna daun, sudut daun, sudut daun pengasuh, bentuk ligul, warna kolar, warna aurikel, sudut batang, warna ruas batang, jenis tangkai, tahap pengeluaran tangkai, paksi tangkai, kehadiran jejangut dan warna jejangut.

Adalah dilaporkan dimana varieti padi yang berpotensi berdasarkan ciri morfologi kuantitatif. Pencirian kuantitatif bagi ciri tinggi pokok menunjukkan pokok tertinggi direkodkan pada varieti Tambang dengan ukuran 159.24 cm, manakala varieti MARDI MR 253 merupakan varieti terendah dengan ukuran 54.20 cm. Didapati 63% varieti padi yang dibuat pencirian menunjukkan tinggi pokok 60 - 100 cm iaitu julat tinggi pokok varieti MARDI. Bagi ciri panjang tangkai, sejumlah 50% varieti menunjukkan ukuran panjang tangkai melebihi 25 cm. Varieti yang mempunyai tangkai yang terpanjang ialah varieti Tambang dengan ukuran 32.48 cm. Varieti ini juga menunjukkan ukuran yang terpanjang berbanding dengan varieti MARDI yang biasanya mempunyai ukuran panjang tangkai sekitar 26 cm. Ukuran panjang tangkai boleh berubah 12 - 19 cm pada setiap musim. Perbezaan ukuran ini adalah disebabkan oleh perbezaan amalan pertanian. Berdasarkan kajian korelasi ciri morfologi mendapati tinggi pokok menunjukkan korelasi yang positif dan sangat signifikan dengan panjang tangkai. Pengenalpastian varieti berpotensi berdasarkan julat tinggi pokok varieti MARDI (60 hinggga 100 cm) dan panjang tangkai melebihi 25 cm mendapati 12 varieti yang mempunyai ciri morfologi tersebut iaitu ADT-10, Awini, CI-9534, IR8 X Tadukan, Jarom Mas, MR 143, MR 219 (UPM4), MR 219 (UPM9), PM16624257-1, R 6682, RP 2068-32-6-1 dan Sumalai. Julat ukuran panjang daun pengasuh ialah 24.42 - 73.60 cm. Ukuran daun pengasuh yang terpanjang direkodkan pada varieti Bake Gonh, manakala ukuran daun pengasuh terpendek direkodkan pada varieti Tsuyuake. Julat ukuran panjang daun pula ialah 34.82 - 77.31 cm. Ukuran daun yang terpanjang juga direkodkan pada varieti Bake Gonh, manakala ukuran daun terpendek direkodkan pada varieti Ambemehar 159.  Pencirian morfologi kuantitatif dan kualitatif menunjukkan kepelbagaian yang tinggi antara setiap varieti padi yang tersimpan di Bank Gen Padi ini. Varieti-varieti yang mempunyai ciri morfologi yang rapat dengan varieti moden MARDI seperti RP 2068-32-6-1, R 6682 dan IR 66740-AC1-3 adalah lebih berpotensi dan sesuai diperkenalkan kepada para pembaik baka kerana telah sedia ada ciri morfologi yang baik pada varieti tersebut. Namun, varieti-varieti lain juga mempunyai ciri-ciri morfologi yang khusus dan penting bergantung kepada objektif penyelidikan dan tujuan program pembaikbakaan tersebut. Ini jelas membuktikan bahawa maklumat daripada kajian ini memainkan peranan utama untuk penyelidikan dan pembaikbakaan padi sebagai rujukan untuk pembangunan varieti padi moden. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
ADA GENE BANK... SIMPAN PADI...
BUAT BIAKBAKA... SEHINGGA JADI...
ADA 13,000 LEBIH...JUMLAH AKSESI...
BACA ARTIKEL... BARU MEMAHAMI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Putrajaya,
Malaysia.
(3 Muharam 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...