Support My Blog

Monday, November 27, 2017

AYAM KAMPONG YANG ORGANIK

AYAM KAMPONG adalah sejenis haiwan berkaki dua yang sejak dulu diternak dikawasan kampong secara tradisional. Bagaimana pun kini ayam kampong telah diternak secara komersil kerana ia mempunyai pasaran yang sangat baik. Ayam kampong mempunyai rasa daging yang lebih enak berbanding dengan ayam daging komersil atau dikampong saya ayam ini dipanggil 'Ayam Karen'. Semua jenis ayam termasuk ayam kampung dimukabumi ini dipercayai berasal dari 4 jenis ayam hutan yang telah pun dikacukan. Ayam kampung di Malaysia adalah hasil kacukan ayam hutan merah Malaysia dengan ayam tulin luar negara seperti Barred Plymouth Rock, New hamshire, Austrorp, Brown Leghorn, Cornish, Canton. Baka ayam tulin dari pelbagai negara telah diimport seawal tahun 1950an sebagai usaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus memelihara ayam sebagai sumber protin yang murah. Kajian pembacaan oleh penulis mendapati terdapat 3 jenis ayam kampung yang lazim ditemui dinegara kita. Pertama adalah Jenis Ayam Kampung Tempatan (native village chicken) yang mana ia mempunyai tempoh sesuai untuk jualan 100-110 hari denganpurata berat 1.0 - 1.5kg. Kedua adalah Jenis Ayam Kampung Kacukan (kampung cross) dimana ia lazimnya mempunyai tempoh jualan 60-80 hari dengan berat 1-1.5 kg. Ketiga adalah Jenis Ayam Daging Berwarna (coloured broiler) dimana ia mempunyai tempoh jualan 40 - 50 hari dengan purata berat 1-1.20 kg. Kini ayam kampong organik (Organic Poultry) semakin mendapat tempat dikalangan pengguna kerana ia didakwa mempunyai kualiti yang baik untuk kesihatan. Walau pun belum ramai penternak yang menghasilkan ayam organik ini tetapi usaha kearah itu semakin popular. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu laporan akhbar berkaitan aktiviti ternakan ayam kampong organik untuk dijadikan contoh kepada bakal usahawan lain.


TESTIMONI:  LAPORAN AKHBAR
Satu laporan akhbar tempatan bertajuk "Ayam kampung organik" dimana ia menyatakan seorang usahawan iaitu Encik Ishamuddin telah pun membuat keputusan untuk menternak ayam kampong organik dimana ia telah memberikan impak besar terhadap dirinya. Mendapat dorongan dan juga semangat daripada ahli keluarganya membuatkan dia nekad berkecimpung dalam satu projek penternakan ayam kampung organik. Pada peringkat awal dia menceburi bidang penternakan ini sekadar hobi tetapi lama-kelamaan melihat kepada permintaan ayam yang meningkat secara mendadak terutama menjelang musim perayaan beliau bersama dua rakan kongsi memutuskan untuk menceburi bidang penternakan ayam kampung. Lebih mengujakan dimana ladang ternakan ayam yang hanya mempunyai keluasan lima hektar (ha) dimana ia mampu menampung sebanyak 12,000 ekor ayam agak berlainan berbanding projek pertanian lain kerana diusahakan tanpa menggunakan sebarang bahan kimia. Bermula hari pertama anak ayam menetas beliau akan menempatkan ayamnya di sebuah reban selama 14 hari sebelum dilepaskan dalam kawasan ladang. Ayam itu juga dibiarkan mencari makanan sendiri walaupun pihaknya memberi makanan empat kali sehari. Secara umumnya cara ternak ayam kampung ini dipelihara secara lepas bagi ianya membolehkannya ayam bergerak bebas dan bukan dikurung di sangkar yang mana ianya sempit. Tambahan pula jenis ayam kampong adalah merupakan haiwan omnivor yang memakan daging dan tumbuhan. Bagaimana pun bagi tujuaan keselamatan maka ia perlu dipagar dan disediakan kemudahan lain.


Ayam Kampng yang dilepaskan ini akan memakan apa sahaja makanan iaitu daripada bijian kepada jenis dedaun termasuk rumpai dan serangga (Sila lihat foto disebelah). Namun ayam ternakan biasanya diberi makanan khas seperti bijirin dan sumber protein. Pada kebiasaannya mereka akan memberi makanan rumput jenis Azola (Azolla sp) dan kiambang itik dimana ini sekali gus tidak memerlukan bahan kimia atau ubat-ubatan untuk membesar. Pengguna boleh makan ayam ini tanpa rasa was-was sebagai ayam organik yang berkualiti. Usahawan ini ditemui semasa beliau menerima kunjungan penulis blog dan kumpulan wartawan diladangnya di Daerah Bentong, Pahang baru-baru ini. Mereka yang hadir sama semasa tinjauan dibuat ialah rakan kongsinya, Mohd Khairul Redza. Kaedah penternakan ayam kampong yang diperkenalkan Encik Ishamuddin menjelaskan ayam akan dibiarkan secara bebas di kawasan ladang yang luas bagi memastikan ayam bebas berkeliaran. Di samping itu ada juga tumbuhan liar dibiarkan tumbuh dan hidup iaitu secara semula jadi bagi membolehkan ayam kampung organik ini mendapat makanan organik di mana-mana sahaja kawasan persekitaran ladang. Sumber seperti protein, karbohidrat, dan mineral yang diperlukan oleh ayam-ayam tersebut boleh didapati secara semula jadi di kawasan ternakan yang luas.


Dalam pada itu, ayam kampung organik ini hanya dijual selepas berusia 100 hari iaitu setelah mencapai tahap matang dan berat sekitar 1.3 kg hingga 1.4 kilogram seekor. Bagi memastikan proses pembesaran ayam kampung organik ini mencapai tahap yang maksimum lazimnya beliau akan berusaha menghasilkan antibiotik secara semula jadi melalui penggunaan bahan tumbuhan herba yang ditanam sendiri. Usahawan tidak perlu merunsingkan kepala untuk mempercepatkan pembesaran ayam kampung dengan suntikan seperti yang biasa dilakukan ke atas ayam daging kerana kosnya tidak terlalu tinggi. Campuran herba yang digunakan seperti hempedu bumi, daun patawali, daun betik, kunyit dan halia digunakan sebagai antibodi untuk melawan penyakit. Ia bertujuan memastikan ayam tersebut melalui proses pembesaran secara semula jadi. Jenis-jenis makanan yang diberikan kepada ayam mereka untuk tujuan pembesaran dan tempoh sebenar ayam untuk membesar tidak mengikuti kaedah yang betul menyebabkan pengguna berdepan risiko ditimpa pelbagai penyakit. Bagaimana pun proses pemantauan terperinci perlu dilakukan pada setiap hari bagi memastikan proses pembesaran ayam kampingnya berjalan lancar. Pemeriksaan ini bagi melihat jika ada kemungkinan serangan penyakit atau serangan haiwan yang mengancam seperti ular, musang dan pencuri.


Kaedah penternakan secara semula jadi itu membolehkan ayam-ayam berkenaan dapat membekalkan nutrisi yang tinggi kepada ramai pengguna. Dalam pada itu usahawan ini juga menyifatkan ayam kampung organik asli kerana ia diternak di kawasan hijau selain air yang dibekalkan tidak tercemar. Air untuk penternakan ayam daging diletakkan dalam kuantiti yang banyak di dalam satu reban. Cara tersebut menjadikan ayam daging hidup dalam persekitaran yang kotor dan kekurangan zat makanan.  Kaedah penternakan itu diperkenalkan berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang khas penternakan dari dalam dan luar negara selain mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Diladangnya dia juga turut mengunakan penggunaan mikroorganisme efektif (EM) untuk memberi kesan yang baik untuk menyerap bau dan menghindarkan lalat. Menyentuh mengenai rasa daging ayam didakwa ayam kampung organik mempunyai rasa yang berbeza berbanding ayam daging konvensional di pasaran kerana ia lebih lembut, pejal dan tulang-tulangnya juga lembut. Ia juga memberikan rasa yang lebih manis dan lembut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan pelanggan terutamanya pelanggan berbangsa Cina. Perniagaan yang diusahakan ini tidak pernah mendapat bantuan kerajaan atau pinjaman daripada mana-mana bank. Dia hanya menggunakan modal sendiri yang ada untuk membangunkan perniagaan asas menternak ayam kampung organik. Memang amat sukar bagi mereka yang terbabit dalam bidang pertanian untuk memohon pinjaman daripada pihak bank. Ditanya mengenai perancangannya dia menyasarkan untuk menambah empat buah kedai menjual ayam kampung organik ini di samping mempunyai kemudahan tempat penyembelihan sendiri. Beliau sudah pun mempunyai beberapa cawangan yang dibuka di Ampang, Damansara serta Bangi bertujuan untuk membekalkan ayam kampung organik ini terus kepada pembeli. Pada masa ini dengan permintaan yang amat memberansangkan dia yakin untuk membuka lebih lagi kedai-kedai membekal ayam kampung organik ini tidak menjadi masalah lagi. Begitulah laporan akhbar yang dapat saya paparkan bagaimana seorang usahawan menternak ayam kampong organik berjaya. Wasallam!!!...
AYAM KAMPONG...ADA POTENSI...
MUDAH DITERNAK...ADA BERANI...
HARGA BAIK... PERMINTAAN TINGGI...
SUDAH MINAT...TUNGGU APA LAGI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Ternakan Ayam Kampong,
Kg Bekok, Labis,
Segamat, Johor,
Malaysia.
(26 Rejab 1435H)
Kemaskini pada 4 Oktober 2017
PUBLISHED FROM ROOM 1807,
IMPERIAL HERITAGE HOTEL, BANDAR HILIR,
MELAKA.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...