KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, January 26, 2015

KELAPA - JENIS 'TAMPUK MERAH'


KELAPA TAMPUK MERAH (reddish coconut) merupakan sejenis kelapa unik yang amat jarang kita jumpa dan sering dicari  oleh pengamal perubatan tradisional. Kelapa ini memang dari kumpulan kelapa merah atau jingga (Cocos nucifera var rubescens) dipercayai mempunyai khasiat khusus dan didakwa mampu mengubati pelbagai penyakit seperti sakit paru-paru, membuang sihir dan menghalau jin yang sering menganggu. Penulis dalam membuat rujukkan mengenai tanaman kelapa sebenarnya mendapati secara akademiknya Kelapa memang boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu jenis Kelapa Tinggi (Tall variety) dan jenis Kelapa Renek (Dwarf Variety). Kelapa juga boleh kita dibahagikan mengikut warna iaitu secara kasarnya boleh dikelaskan dalam kategori Kelapa Hijau (C. veridis), Kelapa Merah (C. rubescens) dan juga jenis Kelapa Kuning (C. eburens). Bagi kita di Malaysia yang mana jumlah keluasan tanaman kelapa hanya tinggal 97,500 hektar sahaja pada 2014 memang agak sukar untuk dapat melihat kelapa merah ini berbanding dengan negara Filipina dan Indonesia. Buah Kelapa hijau mudah dijumpai dimana lazimnya ia mempunyai pokok yang tinggi dan buah yang kulitnya berwarna hijau semuanya. Buah kelapa hijau bersaiz besar dimana ia sering digunakan dalam masakkan. Airnya juga berkhasiat dan digunakan sebagai bahan untuk perubatan tradisional seperti sebagai penawar racun, mengubati muntah-muntah dan juga kepala pening dan pelbagai kegunaan lagi. Kelapa Kuning pula kebanyakannya adalah dari jenis kelapa renek yang cepat berbuat dalam masa 3 tahun sahaja dimana ketinggian pokok sekitar 1.0 - 1.5 meter sahaja. Buah kelapa kuning lazimnya berbentuk bulat dan bersaiz kecil serta berwarna kuning dan digunakan sebagai kopra atau kegunaan lain. Artikel pada pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kelapa merah sebagai satu bahan untuk dijadikan rujukkan anda semua. 


Pertama sekali saya jumpa kelapa merah adalah Januari 2015 semasa membuat pemeriksaan hasil tuaian kelapa di Pusat Pertanian Teluk Bharu, Bagan Datoh, Perak (Sila lihat foto disebelah). Buah tersebut ada sebanyak satu tandan dengan jumlah bijinya cuma terdapat 6 biji sahaja. Buah kelapa merah ini dapat dikenali kerana dibahagian atas buah tersebut terdapat warna merah (saya lebih suka ia sebenarnya adalah Pink atau Jingga) dan terserlah (Sila lihat foto paling atas). Kelapa ini berbeza dengan kelapa renek merah (Malayan Red Dwarf - MRD) yang mana lazimnya ia digunakan untuk pembiakan benih kelapa hibrid bagi menghasilkan anakbenih kelapa Matag atau MAWA atau kelapa hibrid yang lain. Kelapa ini unik kerana bukan ciri warna kulit kemerahan seperti MRD tetapi hanya dibahagian tompok dan sabutnya yang berwarna jingga dengan jelas. Kalau anda google diinternet pun ada ditujukkan foto kelapa merah yang saya jumpa ini. Ada beberapa kalangan rakan yang mencari kelapa ini untuk dijadikan bahan perubatan ahli keluarga mereka. Memang agak sukar mencari kelapa ini dikawasan kebun kelapa biasa kerana ia adalah jarang dijumpai.


Kelapa ini jika dipetik muda untuk diambil airnya mempunyai kulit berwarna hijau dan apabila dipotong dibahagian tampuk atas akan terserlah warna jingga (Sila lihat foto disebelah). Dalam saya membuat rujukkan mendapati kelapa jenis ini nampak warna ungu atau dalam bahasa jawa disebut 'wulung' dimana diIndonesia kelapa ini diberi nama 'kelapa wulung'. Kelapa jingga ini dipercayai mampu menyembuhkan berbagai penyakit seperti penawar racun dan juga  melancarkan sistem saluran air kencing. pembuangan air kencing dan dijadikan makanan. Pakar-pakar kelapa juga menyatakan bahawa pokok kelapa sebegini memang amat jarang dijumpai atau dikatakan sebagai 'seribu dalam satu' atau pun susah hendak jumpa. Pokok ini juga amat digemari oleh serangga perosak seperti kumbang tanduk dan serangga lain menyebabkan ia juga amat sukar untuk tumbuh normal seperti kelapa lain. Kalau ada pemilik kelapa ini yang tahu nilainya maka mereka akan beroleh keuntungan besar kerana sebiji kelapa merah muda ini mencecah lebih RM50.00 sebiji jika ada orang sanggu membelinya. Ada orang yang inginkan kelapa tersebut mampu membayar lebih jika ada kelapa merah yang tulin dipokoknya. 

Kajian makmal mendapati kandungan analisa nutrisi adalah sama dengan kelapa lain. Maklumat mendapati air kelapa merah ini mempunyai kandungan seperti glukosa, sakarosa, fruktosa, sukrosa mineral dan juga Asid Amino. Dalam beberapa kajian menunjukkan air kelapa ini mempunyai banyak manfaat dan khasiatnya tetapi tidak dinyatakan secara saintifik. Diantara khasiatnya adalah dapat membantu mengubati masaalah keracunan dan berbagai macam penyakit lainnya seperti demam akibat Virus Flu. Walaupun agak susah untuk membezakan rasa air kelapa hijau dengan jenis air kelapa yang lain, namun lazimnya rasa air kelapa hijau sangat berbeza kepada mereka yang arif mengenai kelapa. Jika biji kelapa merah ini dibelah kita akan dapat melihat bahawa isi atau daging kelapa berwarna merah muda (Sila lihat foto disebelah). Airnya agak pahit sedikit dan tidak sesegar air kelapa jenis lain. Kelainan ini disebabkan oleh kandungan tannin (zat anti racun) dalam air kelapa merah yang dikatakan lebih tinggi. Tannin adalah suatu sunsur yang dipercayai mampu menawar racun dalam badan manusia. Dari segi kepercayaan orang dulu-dulu kegunaan kelapa masih tidak dapat diasingkan dalam masyarakat. Artikel ini diharap sedikit sebanyak memberikan info mengenai kelapa merah yang amat jarang kita jumpa. Penulis rasa amat bertuah kerana berpeluang jumpa kelapa ini pada 23 Januari 2015 lepas dan dapat menulis artikrl sehari kemudian. Wasallam!.

KELAPA MERAH... MACAM JINGGA...
JARANG UJUD...SUSAH JUMPANYA...
ADA SEPOKOK...TAPI POKOK MANA...
IA BERKHASIAT... RAMAI MENCARINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 206, Hotel Lux,
Jalan Changkat Jong, Teluk Intan,
Perak, Malaysia.
(3 RabiulAwal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...