KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, January 2, 2015

BENIH KELAPA MATAG - POKOK INDUK

BENIH KELAPA MATAG (Cocos nucifera) kini merupakan jenis benih kelapa hibrid yang dihasilkan melalui proses pendebungaan silang (Cros pollination) diantara Bunga betina Kelapa Rendah Malaya (MRD atau MYD) dengan bunga jantan daripada Kelapa Tinggi Tagnanan. Kelapa ini mendapat permintaan yang tinggi dikalangan penanam kelapa di Malaysia kerana kemempaunnya menghasilkan buah kelapa yang tinggi dan cepat berhasil berbanding dengan Kelapa Tinggi malaya (Malayan Tall Variety) yang banyak ditanam selama ini. Walau pun kini benih ini agak sukar diperolehi, namun penulis medapat info menyatakan kapasiti pengeluaran benih kelapa Matag dalam negara sekitar 150,000 - 180,000 pada tahun 2014 dan akan meningkat lagi. Pengeluaran benih kelapa hibrid ini hanya boleh dihasilkan oleh Kebun Benih Terpilih yang dikhususkan untuk pengeluaran benih hibrid ini. Ini kerana benih kelapa Matag F2 yang dihasilkan darii pokok Matag F1 tidak boleh dijadikan benih tanaman kelapa matag kerana ia mungkin akan menjadi pokok induk asalnya atau dalam bahasa mudah bukan kelapa matag lagi. Terdapat beberapa usahawan nurseri swasta yang mendakwa mempunyai benih kelapa matag ini tetapi perlu disiasat kerana hanya ada 5 pengeluar benih kelapa Matag di Malaysia yang dijamin ketulinannya. Pengeluar tersebut adalah 3 kebun benih iaitu oleh Jabatan Pertanian (Jorak di Johor, Lekir di Perak dan Menumbok, di Sabah), United Plantation Estates di Teluk Intan dan NLFCS Estates di Sg Siput, Perak. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pemilihan kebun benih dan pokok induk untuk membuat benih hibrid kelapa Matag untuk pengetahuan dan rujukan pembaca semua.


Pemilihan Kebun Benih Kelapa Hibrid Matag adalah berbeza dengan kebun benih biasa. bagi menjamin ketulinan benih mMatag, kawasan kebun benih hibrid ini hendaklah terasing daripada kawasan kelapa sekurang-kurang 1 km radius. Kawasan sebaiknya bertanah rendah yang tidak berbukit dan mempunyai sistem saliran yang baik. Keujudan pokok kelapa lain yang kurang 1 km dikhuatiri akan menyebabkan berlaku sumber bekalan debunga lain selain daripada Tagnanan dan pokok induk dan menjejaskan ketulinan Matag. Jika tapak pokok induk MRD (Malayan Red Dwarf ) atau MYD (Malayan Yellow Dwarf) itu rendah, sebaiknya dibuat sistem 'camber' atau batas untuk mengelakan pokok terendam dalam air pada musim tengkujuh. Jenis tanah lom berpasir adalah sesuai dijadikan kebun benih induk betina. Pastikan kebun benih mempunyai bekalan sumber air mencukupi terutama dimusim kemarau. Pengairan adalah satu faktor penting untuk kebun benih dalam menentukan peratus kejayaan proses pendebungaan. Pastikan kebun benih bebas dari serangan haiwan perosak seperti babi hutan, kera dan tikus serta kemungkinan kes kecurian oleh manusia kerana harganya mencecah RM30.00 sebiji. 


Pemilihan pokok induk betina yang baik adalah penting kerana ia akan menentukan hasil benih yang berkualiti. Beberapa kriteria pokok induk betina dari jenis MRD atau MYD yang telah mencapai umur lebih daripada 5 (lima) tahun. Ianya akan menghasilkan benih hibrid Matag yang berkualiti berbandung dengan pokok muda. Pilih pokok induk yang memberikan hasil yang tinggi dengan kadar pengeluaran buah kelapa seragam sepanjang tahun dan ditandakan pokok tersebut. Sebaiknya periksa rekso ladang kerana pokok induk betina tersebut mesti mencapai hasi melebihi 80 biji sepokok setahun. Periksa selalu untuk mempastikan pokok induk dalam keadaan sihat dan bebas dari sebarang penyakit. Pokok induk betina yang tidak menepati ciri-ciri pokok induk seperti diatas hendaklah ditebang bagi mempastikan hanya pokok induk yang telah dipilih dalam kebun benih yang akan disimpan. Ini penting kerana sumber pokok induk betina terpilih sahaja yang mampu menghasilkan beinh hibrid Matag berkualiti.


Pemilihan pokok induk Jantan Tagnanan juga amat dititikberatkan dalam menentukan debunga jantan yang berkualiti. Pokok jantan tagnanan mesti telah mencapai tahap matang iaitu melebihi umur lapan (8) tahun ditanam dan telah berbuah. Pada masa ini lazimnya pokok terpilih adalah seragam. Pokok induk Jantan ini adalah jenis kelapa tinggi sama ada ia berbuah dengan buah warna hijau atau kuning.Pilih pokok induk jantan yang berhasil tinggi daripada rekos pengeluaran hasil selama 8 tahun. Pokok ini juga mampu menghasilkan lebih dari 80 biji sepokok setahun dengan kualiti buah yang baik. Pokok induk jantan mestilah sihat dan bebas dari sebarang serangan perosak dan penyakit dan diberikan baja dengan kadar mrncukupi. Pokok induk jantan terpilih ini mestilah ditandakan dengan cat terang (merah atau putih) disapu atau dipangkah pada batangnya sekadar ia boleh dilihat pekerja untuk proses pengambilan mayang dan debunga. Pastikan pokok induk ini juga sesuai keadaan sekeliling untuk kerja mengambil debunga. Bersambung. Wasallam!.


POKOK INDUK... ADA CIRINYA...
KELAPA RENEK.. PILIH MANA..
KEBUN TERASING...JAUHNYA...
POKOK JANTAN...AMBIL DEBUNGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Kebun Benih kelapa,
Stesyen Pertanian Jorak,
Muar, Johor,
Malaysia.
(10 RabiulAwal 1436H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...