KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, January 3, 2015

BENIH KELAPA MATAG - PENYEDIAAN DEBUNGA

BENIH KELAPA MATAG (Cocos nucifera) kini merupakan jenis benih kelapa hibrid yang dihasilkan melalui proses pendebungaan silang (Cros pollination) diantara Bunga betina Kelapa Rendah Malaya (MRD atau MYD) dengan bunga jantan daripada Kelapa Tinggi Tagnanan. Kelapa ini mendapat permintaan yang tinggi dikalangan penanam kelapa di Malaysia kerana kemempaunnya menghasilkan buah kelapa yang tinggi dan cepat berhasil berbanding dengan Kelapa Tinggi malaya (Malayan Tall Variety) yang banyak ditanam selama ini. Walau pun kini benih ini agak sukar diperolehi, namun penulis medapat info menyatakan kapasiti pengeluaran benih kelapa Matag dalam negara sekitar 150,000 - 180,000 pada tahun 2014 dan akan meningkat lagi. Pengeluaran benih kelapa hibrid ini hanya boleh dihasilkan oleh Kebun Benih Terpilih yang dikhususkan untuk pengeluaran benih hibrid ini. Ini kerana benih kelapa Matag F2 yang dihasilkan darii pokok Matag F1 tidak boleh dijadikan benih tanaman kelapa matag kerana ia mungkin akan menjadi pokok induk asalnya atau dalam bahasa mudah bukan kelapa matag lagi. Terdapat beberapa usahawan nurseri swasta yang mendakwa mempunyai benih kelapa matag ini tetapi perlu disiasat kerana hanya ada 5 pengeluar benih kelapa Matag di Malaysia yang dijamin ketulinannya. Pengeluar tersebut adalah 3 kebun benih iaitu oleh Jabatan Pertanian (Jorak di Johor, Lekir di Perak dan Menumbok, di Sabah), United Plantation Estates di Teluk Intan dan NLFCS Estates di Sg Siput, Perak. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology"  mengenai proses penyediaan debunga jantan Tagnanan untuk membuat benih hibrid kelapa Matag untuk pengetahuan dan rujukan pembaca semua.


Debunga Tagnanan untuk dikacukan dengan mayang induk dengan pokok induk betina MYD atau MRD perlu disediakan daripada  pokok induk tagnanan yang terpilih. Proses yang perlu dijalankan ada enam peringkat iaitu dari proses Pengambilan Mayang, Peleraian Bunga Jantan, Pengeringan Bunga Jantan, Pengasingan Debunga, Penyimpanan Debunga dan akhirnya adalah proses Ujian Kesuburan debunga Jantan. Pertama sekali adalah proses pengambilan mayang dari pokok kelapa tagnanan matang yang terpilih dari pokok induk. Mayang yang cukup matang kebiasaannya telah terbuka sepenohnya dari seludang iaitu lebihkurang 21 - 25 hari dari pembentukkan seludang. Mayang perlu dikait pada bahagian pangkal dengan menggunakan sabit yang tajam dan dijatuhkan kebawah. Setiap mayang yang telah dikait kemudian dikutip dan dimasukkan kedalam beg plastik yang berukuran 0.6 mm (tebal) dan 90 cm panjang serta 60 cm lebar. Bawa balik kepejabat atau makmal memproses debunga jantan kepala tagnanan untuk proses meleraikan bunga jantan.


Peleraian bunga jantan dari tangkai dilakukan dengan cara melurutnya dengan gunakan tangan yang ada sarung tangan (Sila lihat foto disebelah). Bunga jantan tagnanan yang dileraikan dikumpul pada bekas kertas atau plastik dan kemudian ditimbang untuk mendapatkan berat basah bagi setiap mayang. Bunga jantan tagnanan yang telah ditimbang kemudian perlu dimasukkan kedalam dulang aluminium berukuran 90 cm panjang x 90 cm lebar degan ketinggian 2.5 cm dan ketebalan 1 mm. Bunga jantan ini perlu dikeringkan dalam bilik pengeringan pada suhu 33 - 36 celcius  selama 36 jam untuk mendapatkan peratus kelembapan diantara 46 - 50%. Pastikan disediakan rak-rak besi pengeringan (Sila lihat foto disebelah) dan juga alat Dehumidifier yang sesuai. Debunga yang cukup kering akan di proses untuk pengasingan debunga. Pertama sekali debunga kering ini perlu dipecahkan dengan menggunakan alat penggelek kayu bagi tujuan mengeluarkan debunga. Kemudian kumpulkan debunga tersebut dan diayak bagi mengasingkan debunga dengan bahan lain. Saiz ayak tembaga adalah 48 - 54 mesh/cm2 dan kumpulkan debunga. Timbang debunga itu dengan penimbang digital dan rekodkan.


Proses penting berikutnya adalah proses penyimpanan debunga jantan. Peralatan diperlukan untuk penyimpanan debunga adalah tabung uji, rak-rak tabung uji dan juga peti sejuk beku (Freezer). Debunga jantan tagnanan yang telah diayak perlu dimasukkan dalam tabung uji bertutup sebanyak 4.5 gram setiap tiub. Kemudian ia perlu disimpan dalam peti sejuk pada suhu dibawah -10 Celcius bagi mengekalkan kesuburannya. Lazimnya debunga jantan ini tahan tidak melebihi 6 bulan dalam penyimpanan. Selepas itu peratus kesubiran (fertility) debungan jantan tagnanan akan berkurangan. Ujian kesuburan debunga jantan perlu dilakukan untuk mengetahui peratus kesuburannya. Antara peralatan perlu bagi ujian ini adalah PDA yang tersedia dalam piring petri, Mikroskop dan Sterile Swab. Mula-mula letakkan debunga dalam piring perti (petri disc) dengan ada media PDA menggunakan sterile swab. Tutup petri disk dalam suhu bilik selama 3 jam dan periksa dibawah mikroskop. Hanya debunga tagnanan jantan yang melebihi 80% kesuburan sahaja boleh digunakan sebagai bahan agen pendebungaan pokok kelapa  hibrid Matag. Sila baca artikel berikutnya iaitu proses emaskulasi dalam "Anim Agro Technology" bagi menambah ilmu anda. Wasallam!.



DEBUNGA JANTAN... LAIN POKOKNYA....
TAGNANAN... DIPOTONG MAYANGNYA...
DILERAI BUNGA ... DIKUTIP DEBUNGA...
DISIMPAN LAMA... 6 BULAN MAKSIMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Stesyen Kelapa Menumbok,
Kuala Penyu, 
Sabah, Malaysia.
(9 RabiulAwal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...