KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, January 8, 2015

BENIH KELAPA MATAG - PROSES SEMAIAN


BENIH KELAPA MATAG (Cocos nucifera) kini merupakan jenis benih kelapa hibrid yang dihasilkan melalui proses pendebungaan silang (Cros pollination) diantara Bunga betina Kelapa Rendah Malaya (MRD atau MYD) dengan bunga jantan daripada Kelapa Tinggi Tagnanan. Kelapa ini mendapat permintaan yang tinggi dikalangan penanam kelapa di Malaysia kerana kemempaunnya menghasilkan buah kelapa yang tinggi dan cepat berhasil berbanding dengan Kelapa Tinggi malaya (Malayan Tall Variety) yang banyak ditanam selama ini. Walau pun kini benih ini agak sukar diperolehi, namun penulis medapat info menyatakan kapasiti pengeluaran benih kelapa Matag dalam negara sekitar 150,000 - 180,000 pada tahun 2014 dan akan meningkat lagi. Pengeluaran benih kelapa hibrid ini hanya boleh dihasilkan oleh Kebun Benih Terpilih yang telah dikhususkan untuk pengeluaran benih hibrid ini. Ini kerana benih kelapa Matag F2 yang dihasilkan darii pokok Matag F1 tidak boleh dijadikan benih tanaman kelapa matag kerana ia mungkin akan menjadi pokok induk asalnya atau dalam bahasa mudah bukan kelapa matag lagi. Terdapat beberapa usahawan nurseri swasta yang mendakwa mempunyai benih kelapa matag ini tetapi perlu disiasat kerana hanya ada 5 pengeluar benih kelapa Matag di Malaysia yang dijamin ketulinannya. Pengeluar tersebut adalah 3 kebun benih iaitu oleh Jabatan Pertanian (Jorak di Johor, Lekir di Perak dan Menumbok, di Sabah), United Plantation Estates di Teluk Intan dan NLFCS Estates di Sg Siput, Perak. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai proses penyediaan penuaian hasil dan semaian untuk membuat benih hibrid kelapa Matag untuk pengetahuan dan rujukan pembaca semua.


Penulis dapati penuaian buah kelapa yang telah dikacukan boleh dilakukan selepas 11-12 bulan pendebungaan. Antara kriteria buah kelapa yang sesuai untuk dijadikan biji benih adalah seperti buah kelapa tersebut telah kering dan berwarna perang kehitaman sama ada gugur atau melekat pada tangkai. Buah tersebut mestilah bebas dari serangan penyakit dan perosak. Pastikan ia berkocak semasa biji kelapa digoncang dan pastikan bentuknya adalah normal atau tiada kecacatan yang ketara. Buah yang baik lazimnya mempunyai ukurlilit tidak kurang dari 40 cm garispusat. Kumpulkan semua buah kelapa ini dan bawa kelokasi yang sesuai untuk dibuat pemilihan sebelum proses menyemai. Sebaiknya ia disimpan dibawah kawasan berteduh dengan 50% cahaya dengan tempoh penyimpanan tidak boleh melebihi 30 hari. Peratus percambahan akan berkurangan jika benih tersebut disimpan terlalu lama atau ia akan mengeluarkan tunas jika dikumpulkan. Sediakan tempat semaian sesuai mengikut spesifikasi tapak semaian kelapa. Sebelum biji kelapa disemai, sebaiknya tampuk buah perlu dibuang bagi mempercepatkan percambahan. Pada musim kemarau, sabut kelapa hendaklah dipotong bahagian mata bagi memudahkan penyimpanan air. Pada musim hujan pula benih kelap tidak dipotong bagi mengel;akkan serangan kulat.



Tapak Percambahan kelapa Hibrid Matag dikhususkan dimana ia sebaiknya disemai diatas media pasir sungai dengan ketebalan 15 - 30 cm. Media pasir ini hendaklah ditukar setiap 3 pusingan semaian. Pasangkan rumah teduhan dengan memasang jaring hitan bagi 50% cahaya telus untuk melindungi biji kelapa dari panas terik matahari.  Biji benih hendaklah disusun rapat 10 biji sebaris (lebar) dan panjang mengikut kesesuaian tapak semaian. Jika ada 10 biji sebaris dengan 50 biji panjang maka kita mudah menira ada 500 biji satu kelompok ata petak. Jarak petak kepetak lain adalah 1 meter untuk urusan amalan agronomi. Posisi benih diletakkan hendaklah permukaan yang lebar menghala disebelah bawah (lebih stabil). Biji hendaklah dimasukkan 10 cm dalam pasir dan ditimbus 2/3 bahagian dalam pasir. Jangkamasa maksima untuk biji benih kelapa ditapak percambahan adalah selama 3 bulan sebelum dipindahkan ketapak semaian atau kedalam polibeg. Aktiviti ini penting dilakukan oleh pekerja mahir agar peratus percambahan pada tahap tinggi. Wasallam.!

KELAPA MATANG... 12 BULAN...
DIPETIK... PERANG KEHITAMAN...
DIBUANG TAMPUK...IKUT SUSUNAN...
BOLEH PINDAH...LEPAS 3 BULAN....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat pertanian Lekir,
Manjung, Perak,
Malaysia.
(11 RabiulAwal 1436H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...