KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, December 4, 2014

KOPI - INDUSTRI DI MALAYSIA TERKINI

POKOK KOPI (Coffea liberica) merupakan tanaman dari keluarga Rubiaceae yang menghasilkan biji kopi yang memberikan rasa enak kepada minuman dengan aroma yang kuat. Kini terdapat seluas 3,764 hektar tanaman kopi di Malaysia direkodkan pada tahun 2013 dengan jumlah penghasilan sebanyak 14,739 mt bernilai RM11.791 juta. Penanaman kopi di negara kita diusahakan oleh sektor pekebun kecil (99.6%) dan bakinya oleh Agensi Kerajaan (0.37%) dan estet swasta hanya sedikit (0.03%) sahaja (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian Malaysia). Pengurangan kawasan penanaman kopi di Malaysia dari tinjauan disebabkan oleh banyak faktor diantaranya kurang minat petani, harga kopi jambu tidak stabil, kos memetik hasil yang tinggi dan penukaran kepada tanaman lain khususnya kelapa sawit. Kajian penulis juga mendapati jenis kopi yang ditanam di Malaysia adalah jenis Liberica (95%) yang banyak ditanam di Sabah, Johor dan Selangor diikuti dengan kopi jenis Robusta (5%) yang masih ditanam di Kedah. Negeri Sabah mempunyai kawasan tanaman kopi paling luas di Malaysia dengan keluasan 2,230 hektar (59% dari julah di negara). Bagaimana pun keluasan tanaman kopi telah jauh berkurang jika dibandingkan dengan seluas 9,470 hektar pada tahun 1996 dan seluas 8,557 hektar (2005) dan 4,277 hektar (2010). Penggunaan perkapita kopi di Malaysia adalah sebanyak 0.86 kg seorang setahun dengan anggaran jumlah penggunaan kopi di Malaysia sebanyak 27,250 mt setahun. Kopi Liberica ditanam sebagai tanaman monokrop tetapi kebanyakannya adalah sebagai tanaman selingan dibawah kelapa atau buah-buahan lain. Kopi Liberica mempunyai saiz biji yang besar tetapi masa kematangan adalah berperingkat-peringkat. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai status industri tanaman kopi di Malaysia berdasarkan kepada kajian dan pemerhatian yang dijalankan penulis untuk bahan rujukkan dan bacaan anda.

Bagaimana pun data dari perangkaan menunjukkan yang sebanyak 106,555 mt kopi telah diimpot dari luar negara bernilai RM 972.3 juta pada tahun 2013 (Sila lihat foto sebelah). Kajian saya menunjukkan jumlah pengimpotan kopi didapati meningkat jika dibandingkan dengan hanya sebanyak 95,502 mt yang diimpot pada tahun 2012 yang bernilai RM871.44 juta. Sebanyak 80,484 mt kopi juga telah diekspot daripada Malaysia pada tahun yang sama dengan nilai RM 1,299.48 juta. Pengimpotan kopi diuruskan dengan kawalan kuota impot yang dikawal oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. Pada masa ini terdapat seramai 95 pengimpot biji kopi yang dilesenkan bagi tujuan tersebut. Kuota yang diberikan kepada mereka adalah sebanyak 95,700 metrik tan setahun bergantung kepada keperluan. Kopi jenis Liberica juga difahamkan tidak boleh diimpot langsung bagi melindungi pengeluaran kopi tempatan. Ini juga bermakna Malaysia merupakan negara yang mampu memproses kopi terutama dalam produk kopi 3-in-0ne yang hebat didunia untuk pasaran domestik dan lebih lagi untuk ekspot. Penulis juga menganalisa jenis kopi yang diimpot terdiri daripada kopi jenis Arabica dan Robusta daripada negara jiran iaitu negara Indonesia (47%), Vietnam (33%) dan juga Brazil (5%). Kebanyakan bentuk kopi yang diimpot adalah dalam bentuk roasted cofee bean (89.3%), Non-Roasted Cofee Bean (10%) dan bakinya Grounded Coffee (0.7%). 

Melihat kepada industri kopi dunia, penulis mendapati keluasan tanaman kopi adalah seluas 10.12 juta hektar dengan penanam utama didunia adalah Brazil. Negara Brazil menanam seluas 2.12 juta hektar diikuti dengan negara Vietnam seluas 1.057 juta hektar dan Negara Colombia seluas 0.887 juta hektar. Negara Brazil menanam kopi secara estet yang luas menggunakan teknologi moden (Sila lihat foto disebelah) walau pun sumbangan pekebun kecil kopi juga signifikan. Antara ketiga-tiga jenis kopi yang ditanam didunia, Kopi Jenis Arabica mendominasi sebanyak 70% pasaran dunia yang mana ia sesuai ditanam dikawasan yang beriklim sejuk dengan suhu antara 16-20 celcius. Anggaran produktiviti kopi arabica adalah sekitar 350-400 kg/ha dan sesuai ditanam dikawasan tanah tinggi di kawasan tropika seperti di Vietnam. Kopi arabica mempunyai kualiti aroma yang paling baik dan dijual dengan harga tinggi diantara jenis kopi yang ditanam. Kopi Robusta pula mendapat kedudukan kedua dari segi penanaman dan pengeluaran iaitu mendominasi sebanyak 28% pasaran. Kopi robusta sesuai ditanam ditanah rendah dan tanah tinggi yang mempunyai suhu sekitar 21-24 Celcius. Kopi Ropusta mampu menghasilkan sekitar 900 - 1,300 kg sehektar dengan pengurusan tanaman yang baik. Harga kopi robusta adalah murah sedikit daripada kopi arabica dengan kualiti aroma yang sederhana premium. Kopi Liberica hanya ditanam 2% daripada keluasan kopi dunia termasuk yang ditanam di Malaysia. Kopi jenis ini sesuai ditanam dikawasan tanah rendah dengan mempunyai daya ketahanan terhadap penyakit HV (Karat daun). Produktiviti kopi liberica sekitar 400 - 500 kg /ha/tahun dan memerlukan masa memetik agak lama kerana buahnya masak tidak serentak seperti kopi arabica dan robusta. Harga kopi ini dipasaran dunia adalah palng rendah dan kualiti aromanya juga sederhana.

Kajian penulis mendapati harga jualan kopi jambu Liberica di Malaysia adalah sekitar 
RM 0.60 - RM1.00 sekilogram sahaja (Kajian penulis di Johor pada 2014). Kini tidak ramai pemborong kopi jambu yang masih aktif kerana keluasan tanaman kopi telah berkurangan. Kawalan harga kopi jambu tidak berapa jelas dipasaran. kajian juga menunjukkan harga kopi beras adalah sekitar RM7.00 dan setinggi RM23.00 sekilogram bergantung kepada kualiti dan masa. Dalam kes lain, harga kopi jambu jenis Robusta di utara Semenanjung sekitar RM1.50 sekilogran semantara harga kopi beras robusta adalah antara RM15.00 - RM25.00 sekilogram. Kebanyakan kopi tempatan ini dibeli oleh pengilang-pengilang yang menghasilkan kopi serbuk untuk pasaran tempatan atau domestik. Antara beberapa jenama kopi tempatan yang popular di Malaysia seperti Kopi Tenom, Kopi 434, Kopi Anggerik, Kopi Cap Murid, Kopi Cap Tupai dan beberapa lagi. Kopi merupakan minuman berkhasiat yang mengandungi 'caffein' yang memberikan kesan tersendiri kepada peminumnya. Adakah perlu digalakkan penanaman kopi di Malaysia pada masa akan datang?. Adakah Malaysia terus bergantung kepada mengimpot kopi pada masa akan datang?. Adakah sudah ada varieti kopi yang premium seperti arabica dan Robusta yang sesuai dikomersilkan di Malaysia?. kita kena sama-sama fikir isu ini bersama. Wasallam!.
MINUM KOPI... IMPOT RUPANYA...
TANAMAN KOPI..KURANG LUASNYA...
HARGA KOPI JAMBU...BAGAIMANA...
IKLAN KOPI DI TV... MENARIKNYA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Petak Pengeluaran Benih Kopi,
Pusat Pertanian Parit Botak,
Jabatan Pertanian,
Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(15 Safar 1436H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...