Support My Blog

Sunday, December 28, 2014

KOPI - KOPITIAM

KOPITIAM atau 'kopi tiam' adalah kedai kopi dan sarapan tradisional yang popular dan terdapat di Malaysia dan Singapura. Perkataan "kopitiam" merupakan gabungan perkataan "kopi" dari bahasa Melayu dengan perkataan bahasa Hokkien bagi kedai (店; tiàm). Dalam erti kata lain, "kopitiam" bermaksud "kedai kopi" yang dipunyai oleh orang Cina. Kalau kedai yang sama tetapi dioperasikan oleh orang Melayu atau India dahulu tidak dipanggil sebagai Kopitiam. Kedai kopi tiam menyumbang pengambilan minuman air kopi seluruh dunia senyak 1.4 juta orang sehari (Rekod FAO). Sajian kopitiam tradisional biasanya terdiri daripada satu tawaran yang ringkas yang mempunyai beraneka pilihan makanan yang mengandungi bahan seperti telur, roti bakar dan kaya serta minuman seperti kopi, teh dan Milo. Kini nama dan konsep Kopitiam telah dimodenkan dengan lebih tinngi 'tastenya' melalui konsep baru yang lebih dinamik yang dianggap mendapat status khas dikalangan peminatnya (Sila lihat foto diatas). Kalau dulu kedai kopitiam hanya terletak diantara deretan kedai tradisional tetapi kini ia telah beralih menyewa ruangan di Kompleks Pasaraya Besar yang lebih ekslusif sesetengahnya. Agaknya bilakah kali terakhir anda mengunjungi kedai kopitiam? Kini, perkataan “kopitiam” menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat kita. Di merata-rata tempat di negara kita, baik di bandar, pusat beli-belah, pasar raya, mahupun di pekan kecil kini telah ada kedai kopitiam. Artikel petang ini sambil menghadap Laut Selat Melaka dari bilik Chalet di Teratak Atie Ira, Pengkalan Balak, Melaka saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kopitiam untuk bacaan dan rujukkan anda.

Kopitiam merupakan antara kedai makanan yang menyediakan perkhidmatan makan dan minum untuk pengunjungnya. Kini kedai kopitiam memang diminati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia bukan sahaja untuk makan dan minum kopi, tetapi turut menjadi tempat untuk bersembang dan berbincang sesuatu. Oleh itu, kata kopitiam kelihatan sudah sebati dalam kalangan masyarakat kita. Kini persoalannya, dari segi bahasa, adakah kata kopitiam ini merupakan kata yang berasal daripada bahasa Melayu atau kata pinjaman? Bilakah kata itu mula digunakan dan sejak bilakah pula mula digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat kita? Bagaimanakah salasilah kemasukan kata kopitiam ke dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu?. Asal usul kopitiam merupakan kata yang berasal daripada bahasa Cina. Kopitiam merupakan sejenis masakan asas masyarakat Cina. Didalam Kamus Dewan, Edisi Keempat, makna 'kopitiam' diberikan padanan maksud “kedai kopi”. Selain itu, kata kopitiam turut ditandakan dengan maklumat asalusulnya iaitu tanda singkatan “C” (Cina) yang bermaksud kata tersebut berasal daripada bahasa Cina. Bagaimanakah pula sejarah tercipta kata atau istilah tersebut? Masyarakat Cina telah mencipta kata kopitiam pada zaman dahulu lagi, iaitu hasil gabungan antara kata “kopi” dalam Melayu dengan kata “tiam” dalam Cina. Ekoran dari penggunaannya yang semakin kerap maka perkataan ini menjadi popular yang diguna dalam kalangan masyarakat Cina. Perkataan khas kopitiam sememangnya tercipta dan berkembang di Malaysia sejajar dengan pertumbuhan kedai kopitiam di mana-mana kawasan sesuai.

Kini telah ada dua kategori Kopitiam mengikut cara operasi yang dijalankan. Kategori yang pertama adalah Kopitiam Tradisional yang masih beroperasi dikawasan deretan kedai diseluruh pekan dan bandar di Malaysia dan mungkin beberapa lokasi di Asia Tenggara dimana ramai masyarakat Cina tinggal. Kedai kopi tiam ini dioperasikan oleh kalangan ahli keluarga yang melibatkan 2-3 orang pekerja sahaja dengan hidangan utama adalah kopi, teh, milo, roti bakar, telur dan kuih tradisional. Pengunjung kebanyakannya dalah golongan orang tua dan setengah umur dan jarang ada orang muda minum. Mereka akan bersembang beberapa jam mengenai aktiviti harian mereka sambil menikmati kopi dan makanan tersebut. Ia amat berlainan dengan kategori kedua iaitu Kopitiam Moden dimana ia diuruskan secara profesional dengan 3-10 pekerja dan menggunakan alatan memasak yang juga moden. Kedai ini akan menyediakan buku menu makanan (Sila lihat foto disebelah) dengan pilihan minuman dan makanan berserta harganya sekali. Lazimnya mereka menghidangkan banyak jenis makanan dan minuman termasuk makanan tradisional dan moden mengikut kaum di Malaysia dengan pilihan lebih banyak. Ada dijual nasi lemak, mee laksa, ayam goreng, mee goreng, steak dan sebagainya selain daripada menu asal kopitiam. Di premis kopitiam ini ramai anak-anak muda tanpa mengira bangsa datang untuk ber'internet' kerana disediakan Wifi yang kuat.  

Pengalaman penulis yang beberapa kali mengunjungi kopitiam di Bangi dan juga Kuala Lumpur mendapati memang premis kopitiam kini semakin diterima oleh rakyat Malaysia. Kalau dikampong dahulu mungkin disebabkan orang Islam kurang yakin akan kedai makan kopitiam walau pun menghidangkan telur, kopi dan roti bakar tetapi masih ragu-ragu kini ia sudah hilang. Kini pekerja di Kopitiam seperti di Bangi terdiri daripada orang muda dari kaum Melayu, Pendatang asing Indonesia dan Bangladesh dari kerja menyediakan makanan, juruwang, pelayan dan tukang cuci pinggan. Satu jenis makanan yang saya makan di Kopitiam Bangi adalah Mee Udang (macam mee kari tetapi cair dan tidak pedas). Ia dikategorikan sebagai 'mahal' juga bagi orang kampong tetapi OK sahaja kepada penduduk sekitar Bangi iaitu RM 8.00 satu mangkuk. Kalau dimasukan dengan minuman air kopi tentunya nilai makanan tersebut diantara RM 12.00 - RM15.00 seorang. Tetapi mereka yang berinternet boleh duduk beberapa jam mereka mahu dan rasanya jarang tokey kedai halau dari Kopitiam. Inilah uniknya kedai kopitiam di negara kita yang semakin diterima oleh generasi sekarang. Wasallam!.


KEDAI KOPITIAM... POPULAR KINI...
YANG ASAL... DIBANDAR BERDIRI...
KOPITIAM MODEN... KUAT WIFI...
BACA ARTIKEL... RASA NAK PERGI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 9, Chalet Teratak Atie Ira,
Pengkalan Balak, Masjid Tanah,
Melaka, Malaysia.
(2 Muharam 1436H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...