KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, June 10, 2012

PISAU CANTUMAN

PISAU CANTUMAN (Budding Knife) adalah satu jenis alatan berupa pisau yang digunakan ketika kerja-kerja mencantum anak pokok. Pisau Cantuman ini berlainan dengan pisau memotong sayur dan ikan yang ada dirumah kerana ianya bersaiz kecil dan mempunyai 3 bahagian iaitu Bahagian Mata Pisau, Bahagian Badan Pisau dan Bahagian Pengikis (Tumpul). Pisau ini biasanya dalam keadaan seperti 'Pisau Lipat' dengan ukuran 12 - 18 cm panjang (Lihat foto diatas). Pisau Cantuman ini merupakan pisau yang digunakan oleh Pencantum (Budder) terutama didalam aktiviti mencantum pokok buah-buahan seperti Durian (Durio zibethinus), Belimbing (Averrhoa carambola), Nangka (Artocarpus interger), Rambutan (Nephellium lappaceum),  Mangga (Mangifera indica) dan sebagainya. Kepakaran seorang pencantum yang mahir mampu menggunakan pisau cantum dengan betul sehingga meningkatkan peratus kejayaan kerja-kerja mencantum yang dijalankan. Artikel petang Ahad ini saya menulis sejenis alat pertanian yang penting untuk kerja mencantum anakbenih buah-buahan iaitu 'Pisau Cantuman'.


Pisau cantuman merupakan satu daripada alat yang diperlukan dalam kerja mencantum selain daripada Mata Tunas, Plastik Tape, Scateurs, Gunting dan Pokok Penanti (Lihat foto sebelah). Pokok Penanti merupakan anak pokok yang ditanam dalam polibeg daripada biji buah selama beberapa bulan sehingga anakpokok mempunyai ukurlilit batang yang sesuai untuk dicantum. Mata Tunas pula adalah SCION yang diambil daripada pokok baka yang dikehendakki untuk dicantum dengan pokok penanti. Lazimnya dahan mata tunas di ambil dari dahan pokok mata tunas yang telah dikenalpasti prestasi varietinya. Satu dahan sepnjang 1 meter  mempunyai beberapa mata tunas bergantung kepada jenis buah dan kesuburan pokok. Kerja mengambil dahan mata tunas dijalankan pada pagi hari dan sebaiknya segera untuk diambil mata tunas untuk dicantum dengan pokok penanti. Tape Plastik pula digunakan untuk mengikat mata tunas yang telah dilekatkan pada pokok penanti untuk melekatkan dengan kuat sehingga aktiviti cantuman berjaya.


Mata Tunas dari pokok induk diambil dari dahan sepanjang 1 meter ( Ada 4 - 8 mata tunas) bergantung kepada varieti tanaman. Dengan menggunakan pisau cantuman maka potong matatunas untuk mengambil matanya dan buang bahagian kayu keras dengan meninggalkan matatunas dan lapisan kambium. Lazimnya hanya satu mata tunas sahaja yang diperlukan untuk satu pokok penanti. Bagaimana pun bagi cantuman baji pokok bunga-bungaan (ornamental tree) boleh mengambil seberapa banyak mata tunas yang mempunyai banyak warna bunga untuk menghasilkan pokok bunga yang berbagai warna. Mata Tunas yang dikeluarkan ini perlu digunakan segara supaya tidak kering.


Pegang Pisau Cantum dengan kuat untuk memotong bahagian kulit Pokok Penanti dengan menggunakan hujung pisau yang tajam (Lihat foto). Lazimnya pisau cantum ini ditekan di bahagian kiri dan kanan kulit serta bahagian bawah kotak kulit. Pastikan jangan potong dibahagian atas kulit batang pokok penanti kerana apabila hujan akan terjejas prestasi kejayaan cantuman. Tarik keluar kulit pokok dan dengan bahagian tumoul dibelakang pisau cantuman mulakan mengikis lapisan Kambium (Warna putih pada batang) sehingga bersih. Jika pengikisan lapisan kambium ini tidak bersih akan juga menjejaskan kejayaan cantuman.  Masukkan mata tunas kedalam potongan tersebut dan potong kulit penutup mengikut panjang mata tunas. Ikat mata tunas dengan tape plastik dengan kuat bermula dari bahagian atas kebawah. Pastikan mata tunas tidak diikat untuk membenarkan mata tunas tersebut terbit kemudian.


Pisau Cantuman merupakan satu alat yang sangat penting dalam aktiviti mencantum anak benih. Anak Benih dihasilkan Baka Cantum memberikan ketulinan dalam penanaman pokok terutamanya buah-buahan dari varieti atau klon yang dikehendakki. Batang Utama pokok penanti akan di potong selepas mata tunas telah terbit dan sedia untuk di jaga selama beberapa bulan sehingga mempunyai saiz yang sesuai untuk di tanam di ladang. Penjagaan anak pokok selepas dicantum didalam rumah semaian adalah penting terutama kerja-kerja penyiraman pokok, pembajaan, merumput dan memeriksa kejayaan cantuman. Anak benih cantum lazimnya lebih cepat menghasilkan buah berbanding dengan anak benih anak benih dari biji benih. Pengalaman saya di beberapa projek tanaman dusun seperti Projek Dusun Nukleus mendapati kadang-kadang berlaku kecuaian diladang dimana mata tunas varieti pokok yang dikehendakki mati dan dibiarkan mata tunas pokok penanti terus menjadi pokok utama. Akibatnya buah yang dihasilkan bukan dari varieti yang dikehendakki. Ini bukan salah PISAU CANTUM!


PISAU CANTUMAN.... ADA KEPERLUANNYA...
DEPAN MATA TAJAM.. BELAKANG TUMPULNYA...
MEMOTONG MATA TUNAS... PENANTI KENA JUGA...
BENIH BERKUALITI ... PENANAMAN BERJAYA.... 


By,
M Anem
Taman Cendana, Bukit Beruang,
Jalan Istana, Bukit Beruang, Air Keloh,
Melaka, Malaysia.
(21 Rejab 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...