Friday, June 1, 2012

TEKNOLOGI SEMAIAN SAYURAN

Penyemaian Benih Sayur-sayuran dijalankan untuk beberapa jenis sayur yang hendak di tanam. Pada pemerhatian saya mendapati sayur-sayuran biasanya dibiakkan melalui dua cara iaitu menggunakan Biji Benih dan menggunakan cara Tampang. Terdapat seluas lebih dari 38,500 hektar tanaman sayuran diusahakan di Malaysia dengan penghasilan sebanyak 550,000 metrik tan setiap tahun. Sejumlah 22 jenis sayuran ditanam secara komersial untuk kegunaan segar dan juga untuk diproses. Daripada jumlah tersebut 9 jenis sayuran merupakan sayur jenis buah, 10 jenis merupakan sayur daun dan 3 jenis merupakan sayuran umbisi yang popular di tanam di negara kita. Kebanyakan benih sayuran adalah diimpot dari luar negara terutama sayuran jenis benih hibrid. Artikel subuh ini saya menulis beberapa teknologi mengenai kaedah semaian dan menyediakan tapak semaian untuk industri sayur-sayuran bagi tatapan semua.


Semaian yang menggunakan Biji Benih di amalkan untuk hampir semua sayuran jenis buah, kebanyakan sayuran jenis daun dan batang serta sayuran kekacang (contoh: cili, terong, tomato, timun, sawi, kacang panjang dan sebagainya). Benih tanaman ini boleh dibeli daripada pembekal yang berwibawa atau dihasilkan sendiri oleh petani yang mempunyai pengalaman. Sebagai contoh En Md Desa dari batu Pahat Johor telah menanam Cili Ipoh (sama seperti Cili Kulai) selama 20 tahun dan membuat benihnya sendiri. Beliau akan pergi kepasar borong atau pasar besar dan memilih buah cili yang baik untuk dijadikan biji benih. Kaedah ini mempastikan beliau akan dapat anak benih yang sihat dan segar. Bagi Kaedah menyediakan anakbenih cara Tampang dijalankan dimana cara ini menggunakan keratan sulur, umbisi dan bawang. Kaedah ini diamalkan untuk kebanyakan sayuran jenis umbisi dan beberapa jenis sayuran daun (contoh: keladi, halia, cekur manis, bawang dan lain-lain).


Bagaimanakah kita hendak mendapatkan benih yang baik?. Pengalaman dan kemahiran kita akan menentukan kualiti benih. Lazimnya benih yang baik akan menjamin hasil yang tinggi. Oleh itu benih hendaklah dipilih dan disediakan sebaik-baik sebelum menyemai atau menanam. Oleh itu, dapatkan jenis yang tulin iaitu dari kaedah proses pemilihan dari pokok yang sihat sahaja. Perlu diingatkan kita ambil benih yang betul-betul matang atau masak di pokok. Perhatikan untuk memilih benih yang sempurna bentuk dan tidak cacat hendaklah benih yang bernas dan cergas. Benih hendaklah dipungut apabila cukup matang. Kelewatan memungut benih akan menyebabkan gugur sendiri atau rosak dan akan merugikan. Cara menyedia benih bergantung kepada jenis sayuran dan juga bentuk benih seperti biji benih, rizom, keratan dan sulur.


Bagi penyediaan biji benih, kita pastikan sumber biji benih selalunya diperolehi daripada buah yang dikelaskan seperti Buah Kering dimana pokok/buah dituai apabila daun-daun/buahnya telah kuning dan benih telah cukup matang. Keringkan/emus di panas matahari. Banting atau picit ataupun menggunakan mesin untuk meleraikan biji benih. Rawat biji benih sebelum disimpan (contoh: sawi, bayam, jenis kekacang, bendi). Selain itu perlu dipastikan dari Buah Berisi yang akan di pungut buah apabila telah matang. Keringkan buah sebelum mengeluarkan biji benih. Koyak kulit buah atau potong dan keluarkan biji benih dengan pancutan air. Bersih dan keringkan biji benih. Rawat biji benih sebelum disimpan (contoh: cili, peria, petola, labu dan sebagainya). Jika boleh dapatkan Buah Berisi dan Berair dimana pungut buah apabila cukup matang. Keluarkan biji benih bersama palpa dan rendam selama 2-5 hari. Kacau campuran ini bagi menanggalkan lendir yang menyelaputi bijinya dan cuci hingga bersih. Biji benih perlulah dikeringkan ke panas matahari (contoh: tomato, timun dan sebagainya).
Untuk mengelakkan serangan penyakit dan musuh biji, benih perlu dirawat dengan racun kulat seperti thiram dan racun serangga seperti gamma BHC. Biji benih disimpan di dalam bekas yang kedap udara seperti tin, plastik, botol dan sebagainya.



Bagi Kumpulan Rizom dan bebawang perlu di pungut semua rizom/bebawang yang telah tua dan pilih yang elok untuk dicambah. Simpan rizom bebawang di tempat teduh dan berangin selama 2-3 minggu untuk percambahan tunas-tunas. Kerat rizom sebelum ditanam dan tiap-tiap rizom hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua matatunas. Sayuran yang dibiakkan dengan menggunakan rizom dan bebawang termasuklah halia, lengkuas, kunyit, bawah merah dan sebagainya. sementara bagi kumpulan atau jenis KERATAN hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya tiga buku. Tanam keratan terus ke ladang/batas atau jika perlu semai dahulu di tapak semaian berpasir untuk pengeluaran akar. Jenis sayuran termasuklah kangkung, cekur manis, selom dan sebagainya. Bagi jenis SULUR pula maka pilih sulur-sulur dari pokok ibu yang subur. Potong daunnya dan tanam ke batas/ladang dengan jarak yang disyorkan. Contoh: keladi.


Semua jenis benih sebaiknya menjalani rawatan benih iaitu satu aktiviti  terhadap benih dengan kaedah-kaedah tertentu, untuk beberapa tujuan seperti memelihara benih daripada serangan perosak dan boleh juga mempercepatkan percambahan. Kaedah-kaedah rawatan adalah seperti membuat rawatan dengan Racun Kulat / Serangga dimana rawatan benih dengan racun kulat/serangga sebelum menanam untuk mengawal serangan perosak seperti musuh dan penyakit. Racun kulat yang selalu digunakan ialah thiram (80% WP) dengan kadar 3g/100g biji benih dan racun serangga iaitu gamma BHC. Selain itu kita boleh membuat rawatan dengan Kaedah Air Panas dimana rawatan dengan air panas boleh juga dilakukan untuk mencegah kerosakan benih oleh penyakit. Rendam biji benih dalam air panas bersuhu 50 darjah C selama 25 minit sebelum menanam. rawatan teknologi menggunkan Air Biasa dimana biji benih direndam dalam air biasa selama 4-5 jam untuk mempercepatkan percambahan.


Terdapat beberapa teknik untuk menyemai atau dipanggil sebagai Teknik menyemai / menanam benih bergantung kepada jenis sayuran. Umumnya teknik ini boleh juga dibahagikan kepada dua iaitu Teknik Menyemai dan Mengubah dan juga Teknik Menanam Terus benih ke batas / ke ladang. Bagi kes pertama iaitu Teknik Menyemai dan Mengubah kita lazimnya mengamalkan untuk benih yang bersifat seperti  berbiji kecil dan menghasilkan anak pokok yang lembut/ lemah,  jenis sayuran yang lambat , pertumbuhannya dan memerlukan jagaan yang sempurna, - biji benih yang kuantitinya terhad terutama jenis yang diimport, - bjii benih yang mahal harga dan juga - keratan yang lambat / sukar mengeluarkan akar. Bagi yang memerlukan tapak / bekas semaian khas yang mengandungi tanah subur terdiri dari  kotak kayu / plastik yang dalamnya 10-15 cm atau batas semaian berukuran 1m lebar dan 30-45 cm tinggi, atau beg plastik, kerek daun atau kertas. Biji benih disemai dalam kotak atau di batas dengan jarak masing-masing 5 cm ataupun di dalam beg. Pastikan plastik sebanyak 2-3 biji dengan jarak 2-3 cm antara biji benih. Teknologi Semaian yang melibatkan kerja mengubah adalah dimana kita perlu mengubah anak benih yang berumur 3-5 minggu ke batas di ladang. langkahnya adalah dengan memiilih dan ubah anak benih yang sihat sahaja.


Teknologi menanam Terus Benih ke Batas / Ladang merupakan satu teknik yang boleh dibuat mengikut kesesuaian. Menapa menanam terus?. Antara alasannya adalah seperti untuk  pertumbuhan pokok akan terjejas jika diubah,  benih yang murah harganya,  mengatasi isu kekurangan tenaga buruh, tanaman  sayuran yang sistem akarnya lambat pulih dan juga bagi jenis benih yang kuantitinya tidak terhad dan mudah didapati. Timbul pula pertanyaan bagaimana cara menanam terus?. Lzimnya terdapat dua cara iaitu Teknik Serakan atau tanam jalur dan juga Teknik Tugalan. Bagi Tenik pertama cara ini mudah dan murah,  boleh digunakan tangan atau mesin ,  selalu diamalkan untuk sayuran tempatan yang berbiji kecil dan memerlukan kepadatan yang tinggi dan biji benih perlu digaul dengan pasir halus atau tanah peroi sebelum ditabur secara serakan atau ditabur ikut. Bagi Teknik Jaluran pul apabila anak pokok setinggi 5 cm, kerja penjarangan dibuat dengan mencabut anak-anak pokok yang tumbuh,  terlalu tebal. Sulamkan anak-anak pokok yang dicabut ke tempat yang kosong dan kelemahan cara ini ialah susah mengawal rumpai dan mudah diserang penyakit (contoh: kangkong, bayam, sawi, lobak dan sadri).


Teknik Semaian Cara Tungal Mengikut Jarak Tertentu yang di amalkan untuk sayuran yang berbiji benih besar/kasar, keratan, sulur, umbisi atau bebawang. Bagi tanaman yang mana saiz biji benih besar/kasar maka perli di tanam 2-3 biji benih selubang. Jarak lebih kurang 2-3 cm antara biji benih. Buat penjarangan apabila semaian berumur 2-3 minggu. Tinggalkan hanya sepokok yang sihat pada setiap lubang. Bagi jenis Sulur / Rizom / Bebawang bolehlah di tanam satu benih sahaja pada setiap lubang dengan jarak tertentu. Tanam biar matatunas menghala ke atas. bagi jenis Keratan pula boleh di tanam 2-3 keratan selubang dengan jarak tanam yang sesuai.


Bagi menjalankan pengurusan dan penjagaan Semaian pula perlu di ingat agar jangan semai terlalu rapat untuk mencegah penyakit lecuh anak benih dan memudahkan penjarangan dibuat. Jangan menyiram terlalu kerap. Lindungi semaian dari panas terik dan hujan lebat dengan membuat para perlindungan. Gunakan sungkupan selepas menyemai terutama biji benih yang ditanam terus. Buang sungkupan apabila biji benih telah bercambah. Bagi semaian kotak/batas, sembur dengan larutan urea (4g/liter air) di minggu kedua. Kawal rumpai untuk menjauhkan penyakit dan menghindarkan persaingan dengan tanaman. Kawal musuh dan penyakit dengan amalan pertanian atau dengan racun kimia jika perlu. Sebelum mengubah semaian ke batas, dedahkan anak-anak pokok ke matahari secara berperingkat-peringkat selama 2-3 hari untuk melatihnya supaya biasa dengan keadaan di ladang. Siram kotak atau batas semaian sebelum mengubah bagi memudahkan cabutan anak benih. Cabut anak benih bersama tanah di kelilingnya bagi mengelakkan kerosakan akar yang teruk.


MENYEMAI BENIH...MUDAH CARANYA...
BENIH BERMUTU...RACUN RAWATANNYA...
DALAM TRAY PLASTIK.. SENANG JAGANYA...
TEKNOLOGI MENYEMAI..ADA NAK TANYA?....

By,
M Anem
Presint 11, Putrajaya,
malaysia
(11 Rejab 1433H).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...