KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, November 11, 2011

SIREH

SIREH (Piper betle) merupakan sejenis tumbuhan herba dari keluarga PIPERCEAE yang tumbuh di negara kita. Daun Sireh merupakan sejenis daun tumbuhan yang digunakan oleh masyarakat Melayu di negara kita dalam adat istiadat perkahwinan, perubatan tradisional dan juga sebagai daun pelbagai guna membantu kesihatan manusia. Daun Sireh juga merupakan satu komponen penting dalam aktiviti makan daun sireh bersama buah pinang, gambir serta kapor oleh nenek moyang kita dulu. Masyarakat India menggunakan daun sireh dalam banyak acara keagamaannya di Malaysia. Nama beberapa jenis daun sireh adalah seperti Sirih Tempatan, Sireh Jawa, Sireh Belanda, Sireh Hitam dan Sireh Cengkih. Pokok sireh dipercayai berasal dari Malaysia walau pun terdapat juga di Sri Lanka, Indonesia, Thailand dan saya lihat banyak di Myanmar. Sireh juga dipanggil Ikmo (Filipina), Trau (Vietnam), Pu (Laos), Paan (Hindu) dan Plu' (Thailand). Orang lelaki Myanmar memakan sireh dengan kapor sebagai satu kemestian apabila daun ini bersama kapor dijual di merata penjuru semua pekan di negara tersebut semasa saya melawat Myanmar pada 2009. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Tecnology" teknologi mengenai sireh untuk tujuan bacaan umum bagi semua.


Kajian saya dari laporan statistik jabatan berkaitan tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman sireh di Malaysia tetapi saya anggarkan sekitar 80-90 hektar CHE. Kebanyakan pokok sireh ditanam secara kecil-kecilan di kawasan keliling rumah walau pun beberapa kali saya melawat kebun tanaman sireh secara monokrop di Johor Bahru, Seremban dan di Selangor dan Perak. Kebanyakan penanam sireh secara monokrop adalah bangsa India bersama-sama dengan tanaman bunga melur dan pokok pisang. Sireh adalah tumbuhan yang mudah ditanam dan tidak memerlukan penjagaan khusus yang rumit. Tanaman sireh tidak mempunyai banyak masaalah serangan penyakit dan serangga perosak. 


Pokok Sireh adalah jenis tumbuhan menjalar atau 'merambat' yang melilit kayu penyokong atau pagar rumah atau pokok kayu dengan ketinggian maksima 15 meter. Batangnya berwarna coklat kehijauan mampu melilit pokok semenjak peringkat pucuk. Daun Sireh berwarna hijau gelap berkilat dengan bentuk hati (Heart) sama seperti daun kadok. Ukuran daun sireh lazimnya sekitar 5 cm lebar dan 7 cm panjang dengan bentuk yang tirus dan tajam dihujungnya. Daun ini mengeluarkan bau yang sedap apabila diramas-ramas dengan tangan. Bunga sireh jenis majmuk dengan kelopak yang berwarna putih kekuningan berukuran 1.5-3.0 cm panjang dengan mempunyai 2 filamen bunga jantan. Buah sireh berbentuk bulat dengan warna hijau pudar. 


Banyak jenis tanah yang sesuai untuk penanaman sireh dan tanah yang mempunyai saliran yang baik, agak lembap dan mempunyai banyak bahan organik disyorkan. Penanaman sireh menggunakan KERATAN BATANG sebagai benih dimana batang sireh yang mempunyai lebih dari 3-4 mata pada ruas (nodes) sesuai duntuk ditanam. Sediakan tiang kayu kayu penyokong sepanjang 7-8 kaki dan tanam sedalam 1.5-2.0 kaki dalam tanah dangan jarak 1.0-1.5 meter. Jarak antara barisan adalah 1.5 - 2.0 meter. Benih keratan sebanyak 2-3 keratan ditanam dipangkal tiang sedalam 1-2 matatunas. Bubuh baja organan pada pangkal tiang sebelum menanam. Siram keratan sehingga tumbuh. Pokok sireh perlu dilatih menjalar pada tiang atau pancang pada peringkat awal penanaman. Pokok sireh yang berumur lebih 4-6 bulan dengan ketinggian 0.5-1.0 meter boleh mula dipetik daunnya secara berperingkat-peringkat.


Daun sireh digunakan dalam adat istiadat melayu semenjak zaman dahulu mungkin semanjak sejarah Kesultanan Melaka lagi. Daun sireh memang sinonim dengan 'Tepak Sireh' yang merupakan satu alatan untuk makan sireh dalam adat lama (Lihat foto tepak sireh). Daun sireh juga dijadikan 'Sireh Junjung' dalam istiadat meminang atau akad nikah sebagai syarat hantaran yang mesti ada dalam masyarakat Melayu. Susunan daun sireh di adun dengan beberapa bunga lain sehingga setinggi 1.0-2.0 kaki diletak diatas bekas khas. Daun sireh juga diabadikan dalam banyak corak lukisan 'batek chanting' atau Batek Lukis sebagai satu rekabentuk yang unik. 


Kegunaan sireh lebih menonjol dalam dunia perubatan dan menjaga kesihatan manusia. Sireh yang di ekstrak untuk mendapatkan minyak sireh yang mengandungi komponen Cuginol dan Kavikol digunakan dalam banyak industri kosmetik seperti minyak menegangkan urat dan kulit muka untuk kecantikan. Di antara hasil kajian mendapati daun sirih atau 'Piper Betle' mengandungi PATI MINYAK yang bahan-bahan utamanya ialah CUGINOL dan KAVIKOL. Bahan-bahan aktif di dalamnya pula seperti FLAVORNOID dan POLYPHENOL boleh menegangkan kulit dan juga mengelakkan kedut-kedut di muka yang bermakna ianya boleh membawa kesan awet muda. Khasiat ASTRIGEN daun sirih pula berkeupayaan mengecutkan tisu-tisu organik dan khasiat ANTISEPTIK untuk membunuh kuman. Ini bermakna, jika diminum airnya atau digunakan sebagai pencuci harian bagi wanita khasnya, selain menegangkan otot-otot tisu dalaman vagina, ia juga boleh membunuh bakteria, kuman atau kulat serta mengatasi masalah keputihan. Sirih juga didakwa turut digunakan bagi mengatasi masalah penyakit Malaria, sakit sendi, gout dan dipercayai boleh merawat kanser dan penyakit jantung.


Bidang perubatan herba di Malaysia  menurut sejarah menganggap sirih adalah tumbuhan asli di negara kita dan saya dapati antara jenis-jenis sirih tempatan ialah Sirih Melayu, Sirih cina, Sirih india, Sirih Jawa dan juga Sirih Indonesia. Masyarakat Cina mengenali sirih sebagai herba untuk memanaskan badan. Dikalangan masyarakat India pula lebih mengaitkannya dengan penjagaan mulut dan rambut. Namun begitu bagi masyarakat Melayu yang lebih lama dengan sejarah sirih tahu akan kepelbagaian kegunaannya iaitu samada bagi tujuan perubatan, kecantikkan dan kebudayaan. Kini dengan adanya perkembangan teknologi-bio daun sireh telah diproses dan boleh dimasukkan dalam bekas untuk dipasarkan sebagai produk kesihatan atau kosmetik. BioSirih Cosmetics contohnya adalah sebuah syarikat 100% status milik bumiputra yang komited untuk mengeluarkan dan memasarkan produk-produk kosmetik dan kesihatan yang didapati bermutu tinggi dan berkesan dengan menggunakan bahan-bahan yang dijamin halal serta selamat digunakan. Tumpuan-tumpuan syarikat ini antaranya ialah produk-produk yang berasaskan pengunaan herba-herba tempatan terutamanya pati minyak daun sirih melambangkan ketulenan kosmetik sejak zaman berzaman.


Kini khasiat-khasiat daun sirih ini telah digabung dengan khasiat yang terdapat dalam limau purut. LIMAU PURUT (Citrus hystrix) mempunyai khasiat antaranya untuk melembut, melebat, merapi dan mengharumkan rambut dan mengatasi masalah kulit kepala serta melegakan migraine, merangsang perjalanan darah dan mengatasi bau badan. Asid Citric (AHA) yang terkandung membanut mengekalkan kelembapan kulit. Vitamin B dan C serta Potasium pula meningkatkan daya ingatan dan membantu memulihkan tekanan darah. Kajian mengenai pokok sireh dan daun sireh telah banyak dijalankan tetapi perlu dipertingkatkan dalam penghasilan 'end product' untuk pasaran domestik dan juga pasaran ekspot. Semuga tumbuhan yang mudah ditanam dan diuruskan ini akan menjadi satu industri yang menonjol di negara kita dimasa akan datang.


TANAM SIREH ..DI KELILING RUMAH....
DAUN DIPETIK...DENGN BERHEMAH...
BANYAK KHASIAT...BAGI SURIRUMAH...
AWET MUDA....SEMAKIN PERAMAH...


Related Articles:
1. Daun Kadok (Klik disini)
2. Daun Palas (Klik disini)
3. Daunn Ketupat (Klik disini)
4. Daun Salam(Klik disini)
5. Daun Kemangi(Klik disini)


By,
M Anem
Jalan Istana, Bandar Melaka Bersejarah,
Air Keroh, Melaka, 
Malaysia.
(15 Zulhijjah 1432H)      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...