Support My Blog

Sunday, November 20, 2011

JANTUNG PISANG

JANTUNG PISANG atau 'Banana Flowers' adalah bunga yang dihasilkan oleh Pokok Pisang (Musa spp.) iaitu sejenis tumbuhan dari kelurga Musaceae yang berfungsi untuk menghasilkan buah pisang. Kini jantung pisang sesuai dimakan sebagai ulam atau sayuran bagi spesis pisang tertentu. Jantung Pisang bagi kebanyakan spesis pisang yang boleh dimakan boleh dipetik, dimasak dan dimakan. Antara jenis jantung pisang yang popular di kalangan orang Malaysia adalah Jantung Pisang Nipah atau Pisang Kapok, Jantung Pisang Nangka, Jantung Pisang Embun, Jantung Pisang Raja dan beberapa jenis lagi. Kalau dahulu jantung pisang hanya dimakan oleh masyarakat kampong sahaja tetapi kini saya dapati masyarakat bandar telah makan jantung pisang yang dibeli dari pasar basah, pasar tani atau pasaraya. Beberapa hotel dan restoran telah pun mengkomersilkan jantung pisang sebagai hidangan istimewa kepada pelanggan. Artikel ini saya berbincang dalam "Anim Agro Technology"  tentang teknologi mengenai jantung pisang berdasarkan pemerhatian, kajian ringkas, pembacaan buku teknikal dan pengalaman peribadi.


Jantung Pisang dihasilkan semasa proses pokok pisang berbunga dimana ia akan menghasilkan tandan pisang sehingga lengkap (Lihat Foto). Satu pokok pisang lazimnya hanya akan mengeluarkan satu tandan pisang dan satu biji jantung pisang sahaja. Hanya dalam keadaan tertentu atau spesis tertentu jumlah tandan dan jantung pisang melebihi daripada satu dimana lazimnya jika ada kelainan akan dijadikan peristiwa 'pelik' yang sering dilaporkan didalam akhbar. Jantung Pisang berbentuk HATI (Heart) yang berwarna Coklat-Ungu Gelap dan mempunyai kelopak atau 'kulit luar' dimana didalamnya ada bunga berwarna kuning keputihan dipangkal kelopak. Ukuran jantung pisang sekitar 25-40 cm dengan ukurlilit tengah jantung 12-25 cm. Kulit jantung pisang luar adalah sederhana keras dan akan terbuka apabila sampai waktu bagi mendedahkan bunga betina. Bunga Betina dan bunga jantan ini menghasilkan manisan atau nektar bagi menarik serangga menghisapnya dan menjalankan proses pendebungaan. Beberapa haiwan pendebunga atau menyedut nektar seperti Kelawar Kecil, Kupu-kupu, Rama-rama, Burung kecil (Kelicap), Semut, Lebah Madu dan sebagainya. Bunga Jantung Pisang Kapok merupakan antara bunga pisang yang paling manis dan paling banyak dikunjungi serangga. Menurut Dr Catur Hermanto, iaitu pakar pisang dari Pusat Penyelidikan Buah-buahan Tropika di Bandung (PPBT), Indonesia yang saya berbincang di Melaka, katanya proses penyebaran penyakit 'blood disease' pisang jenis paling signifikan ini akibat jantung pisang yang sering dipetik dan dikunjungi serangga.


Struktur jantung pisang mempunyai banyak lapisan kulit daripada yang paling gelap coklat-ungu kemerahan dibahagian luar kepada warna putih krim susu iaitu dibahagian dalam (Lihat foto sebelah). Terdapat susunan bunga berbentuk jejari diantara kulit tersebut dan ditengahnya empulur yang lembut. Jantung pisang lazimnya akan mengeluarkan sejenis cecair berwarna jernih jika dilukakan dan akan bertukar menjadi pudar apabila terdedah kepada udara. Cairan ini akan menyebabkan baju yang terkena akan menjadi buruk dan sukar dicuci bersih. Orang tua memang amat marah kalau baju anak-anaknya terkena cairan dari pokok pisang. Keratan rentas akan menunjukkan jantung pisang mempunyai 3-6 lapisan bergantung kepada saiz dan spesis. Ketebalan setiap lapisan ini sekitar 4 - 8 mm bergantung kepada spesis pisang dan kesuburan pokok. Lapisan yang paling dalam lazimnya paling enak direbus untuk dimakan kerana ianya lembut dan kurang kelat rasanya pada spesis tertentu. 


Jantung Pisang popular dijadikan makanan di kawasan Asia Tenggara sebagai menu istimewa dengan pelbagai jenis resepi makanan. Antara resepi jantung pisang adalah seperti Jantung Pisang Rebus, Jantung Pisang Kukus, Kerabu Jantung Pisang, Salad Jantung Pisang, Jantung Pisang Masak Lemak Cili Api, Jantung Pisang Masak Sambal dan sebagainya. Tidak banyak kajian saintifik mengenai kandungan zat jantung pisang tetapi ianya didapati banyak mengandungi Vitamin C, Protin (1.2%), Lemak (0.3%) dan Karbohiderat (7%). Kandungan serat dan unsur Posforan, Fe dan Magnesium juga banyak dalam jantung pisang. Sebenarnya makan ulam jantung pisang amat menyihatkan kerana saya dapati kebanyakan jantung pisang dikawasan kampong atau disekeliling rumah tidak pernah diracun atau dibaja menjadikan ianya sebagai 'Jantung Pisang Organik'.


Antara menu jantung pisang yang paling saya suka adalah KERABU JANTUNG PISANG yang mudah disediakan dan enak dimakan. Kerabu ini dimakan bersama nasi putih yang panas dan saya lebih minat kerabu yang lebih pedas. Berikut adalah petikan masakan kerabu jantung pisang dari lamanweb iaitu ohmalaysia.com untuk rujukkan anda:


Bahan-bahan (4-5 orang)
1 biji jantung pisang
1 ekor ikan (dikukus)
6 ulas bawang merah (ditumbuk)
1 sudu besar lada hitam (ditumbuk)
5 biji cili merah (dihiris)
1 senduk santan
1/2 biji limau nipis
Garam dan gula


Cara-cara
Buang kulit dari jantung pisang yang paling keras. Kemudian belah dua dan hiris nipis-nipis jantung pisang. Rebus sehingga empuk atau kukus dengan stim. Toskan jantung pisang dan ramas sedikit supaya air rebusan turun. Sementara itu, tumbuk/kisar lada hitam dan bawang merah sehingga sebati. Gaulkan bersama-sama cili yang telah dihiris dan isi ikan yang telah dikukus dan dibuang tulangnya. Panaskan santan dalam periuk dengan gunakan api yang perlahan. Masukkan lada hitam, bawang merah, isi ikan dan cili yang telah digaul sebati ke dalam santan dan kacau sehingga sebati. Masukkan hirisan jantung pisang dan perah limau nipis kedalam santan tadi. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan boleh ditambah serbuk perasa.
Siap untuk dihidangkan bersama dengan nasi putih panas. Sedap dimakan ketika lapar dan free pula!


Jantung Pisang dipanggil sebagai Banana no tsubomi (Jepun), Dok Kluai (Thailand), Shang Chao phua (China), Jantung Pisang (Indonesia), Kehel mal (Sri Lanka), Kere kafool (India) dan Banana flower; Banana Blossom ; Banana Heart (English). Harga jantung di kampong saya di Muar Johor sekitar RM 0.50 sebiji dan harga di pasar borong Selangor ialah RM 1.00 - RM 1.50 sebiji. Jantung pisang tahan sehingga 3-4 hari dalam keadaan segar dan jika disimpan dalam peti sejuk mampu bertahan sehingga 10 hari. Kini di Thailand dan di Indonesia jantung pisang telah pun di tinkan dan diedarkan kepada pengguna diseluruh dunia (Lihat foto diatas). Industri ini saya fikir boleh dilaksannakan di negara kita oleh usahawan sebagai satu jenis perniagaan baru yang boleh di cuba!  


BENTUK MENARIK...JANTUNG PISANG...
DIBUAT KERABU...DIMAKAN BERULANG...
HARGA MURAH...KHASIAT TAK KURANG...
IANYA ISTIMEWA...GENERASI MENDATANG..


Related articles:
1. Banana in Malaysia (Klik disini)
2. Banana (Klik disini)
3. Balut Tandan Pisang (Klik disini)
4. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
5. Petani di Malaysia (Klik disini).
6. Cashflow Buah-buahan (Klik disini)
7. Khasiat Buah-buahan (Klik disini)


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Saujana,
Putrajaya, Wilayah Persekutuan,
Malaysia
(23 Zulhijjah 1432H)   
- Kemaskini pada 27 Disember 2013

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...