Support My Blog

Sunday, March 27, 2011

PINANG


PINANG (Areca catechu Linn) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga AERACEAE atau PALMAE yang tumbuh di negara kita sehinggakan satu negeri di Utara Semenanjung Malaysia mendapat nama sebagai Pulau Pinang. Seperti juga pokok kelapa yang tumbuh dengan subur di bumi Malaysia, pokok pinang menghasilkan buah yang di gunakan untuk pelbagai kegunaan. Nama lain adalah seperti Areca Nut, Betel Nut, adakka, catechu dan pinang. Rujukan akademik mendapati pokok pinang dipercayai berasal dari Malaysia dan Filipina walau pun ada spesis yang menyerupainya di Afrika. Pokok Pinang banyak di tanam di India dan Sri Lanka dan di gunakan oleh penduduk tempatan di negara tersebut yang di panggil sebagai 'adakka' (Malayalam) . Buah pinang di kaitkan dengan amalan makan sireh bersama biji pinang dan kapor dikalangan orang2 tua dulu. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya akan mengupas teknologi tanaman pinang berdasarkan pemerhatian saya dalam bidang pertanian dan membuat rujukkan beberapa buku pertanian serta pengalaman persendirian.


Pokok Pinang tumbuh menegak tanpa cabang dengan ketinggian mencapai 10-20 meter dan batangnya bulat lurus dengan garispusat lingkungan 10 - 15 cm. Walau pun pokok tinggi dan daun serta buahya lebat tetapi jarang-jarang saya mendengar pokok pinang patah. Daunnya berbentuk tajam (pinnate compound)dengan bilangan lai daun (anak daun) yang banyak dan panjang 1.5 - 2 meter di bahagian atas yang lazimnya mempunyai 8-12 pelepah. Saiz kanopi pokok lingkungan 2.5 - 3 meter. Bunga pinang adalah jenis uniseksual dimana terdapat stamen dan pistil pada kuntum yang sama dalam rangkaian bunga. Buah Pinang berbentuk bulat-lonjong (ovoid drupe) sebesar telur ayam berukuran 3-5 cm x 5-10 cm. Buahnya mempunyai serat atau fiber diluar dan tempurung serta isi didalamnya. Buah pinang berwarna hijau ketika putik bertukar kepada warna kuning dan akhirnya merah apabila masak. Akar pokok pinang tumbuh sekitar 1 meter keliling dasar pokok dengan kedalaman 60 cm ( 2 kaki) dan garispusat saiz akar kira-kira 1.4 cm.


Pokok Pinang ditanam sebagai pokok hiasan di kawasan strategik seperti di depan hotel, kawasan taman bunga, tepi pantai dan juga di keliling rumah penduduk kampong. Pokok pinang yang tumbuh lurus dan cantik menjadi pilihan jurulanskap untuk menjadikannya sebagai salah satu tumbuhan Palmae untuk mencantikan landskap. Pokok Pinang tidak banyak mengugurkan daun dan buah pada peringkat awal penanaman. Buah Pinang merupakan bahagian yang boleh di komersialkan. Biji isi pinang mengandungi 8 jenis bahan 'alkoloids' yang di kunyah bersama-sama dengan daun sireh dan gambir serta kapur yang kita panggil "SENTEL" oleh 5% penduduk dunia (Lihat foto makcik menyentel di bawah) . Rasa 'syok' dan khayal yang ujud menyebabkan mereka seakan ketagih untuk 'menyentel'. Orang Lelaki Myanmar memang suka makan sireh dan pinang dan dijual dimerata tepi jalan di Rangoon semasa saya melawat pada tahun 2009. Wow!..... Ciit sana...Ciit sini... melambak2 you...


Batang Pinang boleh digunakan sebagai kayu untuk dijadikan perabot, jambatan, tiang, ceracak dalam laut untuk para atau panggar kupang dan sebagainya. Buah Pinang mempunyai sabut yang juga boleh digunakan sebagai bahan api. Pelepah kering yang jatuh juga sering digunakan sebagai bahan api untuk memasak makanan di kampong atau luar bandar. Terdapat masyarakat di Filipina yang memetik bunga pinang dan dijadikan sayuran sebagai salad yang dimakan bersama-sama nasi. Tidak ketinggalan pinang merupakan bahan untuk di proses bagi tujuan perubatan semenjak dulu kala. Kandungan 8 jenis alkoloids yang berfungsi sebagai narkotik sering digunakan sebagai ubat khusus untuk mengurangkan kesakitan dan sebagainya.


Penanaman pokok pinang lazimnya menggunakan biji yang cukup matang dan disemai dahulu selama 12-24 bulan sehingga mempunyai 5 helai daun sebelum dipindahkan keladang. Biji pinang disusun dengan jarak semaian iaitu 2.5 cm x 15-20 cm sedalam 1 cm yang di bubuh pasir diatasnya. Benih akan bercambah 90 hari kemudian. Penanaman secara komersial dan meluas hanya didapati di India dan Taiwan sahaja semantara di negara2 lain sebagai tanaman selingan. Di Malaysia kawasan yang paling luas menanam pokok pinang saya pernah lihat adalah di Johor iaitu keliling FELCRA Sg Ara Kota Tinggi yang menanam hampir 7,000 pokok pinang sebagai pagar keliling ladang getah dan buah-buahan. Saya yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Mersing setiap minggu semasa bertugas sebagai AO Mersing melihat bagaimana pokok pinang hidup subur dan banyak buah.


Penanaman pokok pinang memerlukan penyediaan kawasan dengan menyediakan lubang penanaman berukuran 50 cm x 50 cm dan kemudian di masukkan dengan baja organan sebanyak 3-4 kg satu lubang. Jarak penanaman yang di syorkan adalah 2.7 m x 2.7 m ( 9 kaki x 9 kaki) secara empat segi sama memberikan sebanyak 1,350 pokok sehektar. Penanaman lain seperti pisang dan tanaman kontan lain seperti betik, jagung, ubikayu, kacang tanah, keladi, buah-buahan singkat masa sebagai tanaman selingan adalah di galakan bagi menghasilkan pendapatan sepanjang pokok pinang membesar.


Pokok Pinang walau pun kita lihat macam tiada musuh sebenarnya mudah diserang penyakit iaitu Penyakit Koleroga yang serious di sebabkan oleh Kulat Phythopthora arecaceae yang boleh membunuh pokok. Penyakit Reput akar atau Ganoderma (Ganoderma lucidium) juga boleh membunuh pokok pinang jika tidak dikawal dengan baik. Penyakit Kulat lain seperti serangan oleh Kulat Alternaria ternuis, Aspergillus niger areceae, Botrydipodia theobromae dan beberapa lagi. Terdapat beberapa jenis Bakteria yang akan menyerang pokok pinang seperti Xanthomonas vascolarum yang perlu dikawal. Serangan Nematod juga berlaku terhadap pokok pinang. Antara serangga perosak pokok pinang seperti Kumbang Tanduk (Orcytes rhinocerus) , Ulat Makan Daun (Nephantis seringnapa), Ulat Pengorek Batang (Arceems fasciculatus) , Ulat Lipat Daun dan sebagainya sama seperti serangga yang menyerang pokok kelapa. Kawalan menggunakan racun kimia dan secara manual.

Penghasilan pokok pinang banyak bergantung kepada kesuburan pokok dan kadar kerosakan akibat penyakiy dan perosak. Sebanyak 6-7 tandan buah mampu dihasilkan dalam setahun sepokok dengan setiap tandan mempunyai 50 - 400 biji buah pinang. Bilangan buah yang bersaiz kecil dan besar banyak bergantung kepada cuaca dan pembajaan. Buah yang banyak lazimbya bersaiz kecil dan buah yang sedikit bersaiz besar. Tahun ke 10-15 merupakan puncak penghasilan buah pinang sehingga ia optima ketika berumur 40 tahun. Terdapat laporan menyatakan pokok pinang mampu hidup sehingga 80-100 tahun. Wou!... agak2 tuan berapa tinggi pokok pinang yang berumur 40 tahun!. Dari segi berat lazimnya sepokok pinang menghasilkan sebanyak 2.5 kg sepokok setahun tetapi ada rekod di Guam mencapai sehingga 8 kg sepokok setahun.

Buah pinang yang di tuai di buang kulit iaitu dibahagian sabut dan isinya kemudian di jemur di bawah cahaya matahari untuk beberapa minggu sehingga kering (Lihat foto sebelah). Terdapat juga pengeringan dijalankan menggunakan alat pengering diesel atau dimasukkan dalam rumah asap. Biji yang telah kering akan di gredkan mengikut saiz, warna, keseragaman, kesegaran dan juga kadar kecacatan. Semasa bertugas di Johor dahulu, saya pernah berjumpa dengan seorang pemborong buah pinang kering tempatan dimana katanya pemborong utama buah pinang Malaysia berpengkalan di Pulau Pinang. Dia membeli dengan harga ladang RM 5.00 - RM 8.00 sekilogram pada tahun 2001. Mereka beroperasi dengan menggunakan van lama dan pergi disekitar Daerah Batu Pahat, Muar dan Pontian yang mana ada penduduk kampong yang mengutip buah pinang yang dikeringkan.

Kata Pemborong tersebut buah pinang yang di kumpulkan akan dihantar ke Pulau Pinang sebulan sekali dan akan di proses untuk dihantar keluar negara. Kajian saya mengenai pengeluaran biji pinang mendapati Negara India merupakan pengeluar utama pinang didunia dengan sebanyak 250,000 metrik tan setahun diikuti dengan Indonesia/Malaysia sebanyak 21,800 metrik tan setahun dan Thailand sebanyak 5,200 metrik tan setahun. Lain-lain negara berikutnya yang ada mengeluarkan pinang seperti sri Lanka, Filipina, Guam, Papua New Guinea dan Myanmar. Walau pun industri tanaman pinang kurang mendapat perhatian petani di Malaysia berbanding dengan tanaman kelapa sawit, getah, buah-buahan dan sayur-sayuran dan padi tetapi ianya merupakan satu komoditi yang memberikan pulangan ekonomi kepada penduduk kampong.

Diharap industri tanaman pinang di Malaysia tidak terus mati kerana tidak ada subsidi yang pernah saya dengar mengenai penanaman pinang. Pihak kerajaan mungkin memandang yang tanaman ini bukan tanaman penting kerana pulangannya jauh lebih rendah berbanding dengan tanaman makanan dan industri yang lain seperti disebutkan diatas. Bagaimana pun selain daripada untuk tujuan landskap, mungkin penanaman pokok pinang di lokasi srategik untuk landskap dan ekonomik di kawasan tepi jalan sepanjang lebuhraya dan kawasan tanah lapang di kawasan perbandaran mungkin satu langkah bijak. Penyelidikan dan promosi varieti baru pinang yang berhasil tinggi dan menarik perlu dijalankan pada masa akan datang. Diharap artikel ini memberikan ilmu pengetahuan berguna kepada pembaca sekelian.
Salam 1 Malaysia!


PULAU MUTIARA...ITU PULAU PINANG.....
ASAL PINANG...JANGAN DI KENANG...
DIBUAT LANDSKAP...ELOK DIPANDANG...
ADA NILAINYA... JANGAN DI BUANG....


By,
M Anem
Jalan Istana 
Persimpangan Air Keroh
Bandar Melaka
Malaysia
(Updated by 1 Mac 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...