Support My Blog

Monday, March 7, 2011

PETOLA ULAR


Petola Ular (Tricosanthes spp) adalah sejenis tumbuhan dari Keluarga Cucurbitaceae yang berasal dari kawasan Asia Selatan terutamanya dari Kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia. Jenis yang terdapat di Malaysia adalah dari Tricosanthes celebica iaitu salah satu daripada 40 spesis petola ular dimana 15 spesis terdapat di Asia Tenggara. Spesis lain petola ular yang banyak didapati adalah seperti Trichosanthes cucumerina, Tricosanthes ovigera dan Tricosanthes vilossa. Nama lain tumbuhan iai adalah Snake Gourd (English), Tawaruk ; areuj tieuk ; paria belut ; paria ular (Indonesia), Akar Tiga Cabang ; Petola Ular; mentimun dendang ; timun bengkok, ketola ular (Malaysia), Takupis ; Tabubok (Filipina), buap nu (Thailand) dan Serpent vegetal (Peranchis). Dalam membuat rujukkan kepada laporan tahunan Jabatan Pertanian, saya tidak dapat maklumat keluasan sebenar tanaman petola ular secara spesifik kerana ia mungkin bercampur dengan keluasan tanaman petola dimana ia kurang diusahakan secara komersil seperti petola segi. Artikel ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanamann petola ular berdasarkan pembacaan beberapa buah buku dan majalah pertanian dan pengalamn penulis sendiri dalam pengembangan pertanian.

Berapa luaskah dan dimana kawasan yang banyak menanam Petola Ular dinegara kita  Malaysia?.... Mungkin tidak ramai dapat menjawab dengan tepat kerana maklumat ststistik mengenainya masih kurang jelas. Saya menanggarkan lingkungan 120 -150 hektar petola ular di tanam setiap tahun di Malaysia berdasarkan kajian persendirian dengan bebepapa pemborong sayur-sayuran dan Pengerusi Persatuan Penanam Sayur Malaysia iaitu En Tan Soo Tiok. Tanaman ini jarang di tanam secara tunggal di kebun dengan skala luas dan hanya di tanam dikawasan keliling rumah untuk kegunaan sendiri dan pasaran domestik. Kegunaan buah petola ular adalah kebanyakanya sebagai sayuran dan bahagian daun juga dijadikan ulam atau sayuran. Terdapat bebarapa kegunaan perubatan petola ular iaitu untuk menyejukkan badan, mengurangkan bengkak kaki, menghalau nyamuk dan sebagainya.

Setiap 100 gram bahagian buah petola ular yang boleh dimakan mengandungi 98% air, Protin (0.6 g), Karbohiderat (4 g), Serat (0.8 g), Ca (26 mg), Fe (0.3 mg), P (20 mg), Vitamin 235 IU, Vitamin B2 (0.03 mg), Niacin (0.3 mg), Vitamin C (12 mg) dan tenaga sebanyak 72 kiloJoule. Terdapat banyak kandungan asid punicic dalam biji petola ular. Tumbuhan ini adalah tanaman parrenial sama ada monocious atau dioecious iaitu jenis yang merambat (climbing and trailing). Terdapat jejari bergulung2 yang akan melilit pada sokongan atau tiang yang cukup kuat untuk merambat. Daun berbentuk trifoliate berwarna hijau dengan ukuran antara 7-12 cm x 4-6 cm dan berbeza-beza mengikut spesis. Buah petola ular panjang dengan warna kulit hijau berbelang putih sama ada lurus atau bengkok sehingga 180 cm panjang. Biji benih berbentuk obovoid yang leper (Lihat foto diatas).

Kawasan sesuai untuk tanam petola ular adalah tanah subur yang lembab dan tidak bertakung air. Sebaiknya ditanam di atas batas dan disediakan para secara trellis atau lazimnya di tanam dikeliling rumah yang ada pagar chain-link. Petola Ular ditanam dengan biji benih dari buah cukup matang terus di atas batas atau boleh juga disemai. Keperluan biji benih sebanyak 4-6 kg sehektar. Jarak tanaman yang disyorkan adalah 1-1.5 m x 60-75 cm. Pastikan ada sistem pengairan sempurna untuk membekalkan air. Pembajaan awal dengan baja organik dan dikuti dengan baja NPK 15:15:15 dan Baja Buah NPK 12:12:17:2 diamalkan mengikut kadar sesuai. Buang rumput dikawasan penanaman.

Penyakit utama yang menyerang tanaman petola ular adalah Penyakit Downy Mildew (Pseudoperonospora cubensis) dan juga Penyakit Antraknos (Collectotrichum lagenarium). Kawalan dijalankan dengan menggunakan racun kulat seperti Maneb dan amalan penggiliran tanaman. Musuh yang menyerang petola ular seperti Kumbang makan daun (Aulacophora vinula, Copa occydentalis dan Lagria villosa) yang makan daun muda dan boleh dikawal dengan semburan racun serangga. Serangan Cacing Nematod (Meloidogyne spp) terhadap pokok ini juga sering berlaku.

Buah petola ular akan menjadi padat 12-20 hari selepas proses pembentukan buah (Fruit set). Buah yang panjangnya 30-60 cm, masih lembut, berwarna hijau keputihan dan matang sesuai dipetik. Jika dibiarkan terlalu lama kulit akan menjadi keras dan tidak sesuai untuk dijadikan sayuran. Buah untuk dijadikan biji benih dibiarkan masak sehingga kering diatas pokok. Pemerhatian saya mendapati petola ular mampu menghasilkan sebanyak 6-10 buah sepokok dan ada yang sehingga 50 buah sepokok dari varieti terpilih. Anggaran hasil petola ular lingkungan 8 - 10 metrik tan sehektar. Buahnya boleh tahan antara 10 - 14 hari pada suhu 16-17 darjah celsius dengan purata kelembapan 85-90%.

Petola Ular merupakan tanaman yang tidak asing bagi petani sayuran di Malaysia. Mungkin tidak ramai mahu menanam petola ular kerana ruang pemasaran dan permintaan petola jenis ini terhad tidak seperti petola segi. Jika ada teknologi pemprosesan petola ular untuk dijadikan produk proses dan makanan kesihatan mungkin boleh dikembangkan permintaan untuk petola ular.


TANAM PETOLA...JENIS PETOLA ULAR....
BUAH PANJANG..POKOK MENJALAR....
MUDAH DI TANAM...JUAL AGAK SUKAR....
DAPAT TEKNOLOGI...BOLEH DI SEBAR....

By,
M Anem
Senior Agronomist
Bandar Air Keroh,
Melaka,
Malaysia.
(Kemaskini pada 23 Mei 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...