Support My Blog

Wednesday, March 30, 2011

SISAL

SISAL (Agave sisalana) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga AGAVACEAE yang di tanam untuk mendapatkan fiber dari bahagian daun. Terdapat lebih dari 300 spesis tumbuhan ini dari jenis monokotilodon yang mana tumbuhan ini dipercayai berasal dari Kawasan Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Hanya dua spesis tumbuhan sisal yang sesuai untuk di majukan sebagai komoditi penting iaitu spesis Agave sisalana dan Agave fourcroydes yang menguasai 65-70% pengeluaran fiber sejenisnya di dunia. Orang Malaysia mungkin tidak ramai yang mengetahui akan tanaman ini walau pun ianya mungkin ada di kawasan rumah mereka sebagai tanaman hiasan kerana tidak mempunyai maklumat mengenainya. Artikel kali saya berkongsi maklumat mengenai teknologi tanaman Sisal berdasarkan buku lama berjudul 'An Introduction to the Botany of Tropical Crop' karya L.S. Cobley & W.M. Steele terbitan Longman pada tahun 1976 dan tambahan maklumat dari beberapa laman sesawang untuk tatapan pembaca semua.

Sekali pandang saya rasa pokok ini ada kat rumah di kampong saya di Muar, Johor dan baru kini saya dapat tahu spesis tersebut adalah Agave cantala yang banyak di dapati di India, Pulau Jawa Indonesia dan juga Filipina. Tumbuhan ini di sebarkan di benua Afrika dan dijadikan komoditi utama di Brazil, Tanzania, China dan juga Kenya. Pengeluaran fiber dari tanaman sisal dilaporkan paling banyak untuk ekspot oleh negara Brazil dengan sebanyak 130,000 mt setahun diikuti dengan Mexico (45,000 mt /tahun) dan China (36,000 mt /tahun). Lain-lain negara yang ada menghasilkan fiber dari sisal adalah seperti Tanzania, Kenya, Venezuela, Madagascar, Peru , Cuba dan Mexico.

Tumbuhan sisal ini setahu saya adalah sejenis tumbuhan 'Rozette' yang mempunyai daun berwarna hijau yang hujungnya tajam keluar terus dari batang. Daun berbentuk 'lanceolate' dengan susunan 'spiral' 10-15 cm lebar dan panjang 120-150 cm (Lihat foto kiri atas). Batangnya berbentuk bulat membengkak dengan 20-25 cm garispusat setinggi 1.5-2 meter. Bunga sisal lazimnya berbentuk kompoun dengan banyak jambak berwarna hijau kekuningan dan menghasilkan nektar yang boleh menghasilkan madu. Akar tumbuhan ini adalah jenis akar serabut atau akar rambut (adventitious root) dan ada rizom dengan kedalaman sekitar 40 cm. Pada peringkat vegetatif sebanyak 200-250 helai daun dihasilkan iaitu pada umur sisal 7-10 tahun dan akan berhenti apabila jambak bunga keluar peringkat matang. Kajian menunjukkan pokok sisal akan berbunga sekali dan kemudian pokok akan mati. Ada laporan menyatakan pokok sisal di kawasan gurun mampu hidup sehingga 20 tahun.

Penanaman sisal lazimnya tidak menggunakan biji benih tetapi menggunakan rizom atau paling popular menggunakan 'bulbils' iaitu tunas yang tumbuh di bahagian bawah bunga. Tunas bulbls ini mempunyai beberapa daun kecil dan beberapa akar rambut (Lihat foto sebelah). Bulbils ini di kutip dan disemai ditapak semaian sehingga sesuai untuk di tanam di ladang iaitu mencapai ketinggian 30-40 cm. Pemilihan bulbil yang seragam adalah sangat penting untuk mempastikan pertumbuhan pokok sisal seragam. Lazimnya pokok sisal boleh mula di tuai selepas 2-4 tahun ditanam. Jarak tanaman di syorkan adalah 0.8 m x 1 m dengan kepadatan pokok sebanyak 5,000 pokok sehektar dalam dua baris dan dijarakkan sejauh 4 meter untuk laluan pengurusan. Lazimnya kawasan lapang antara dua baris tanaman akan di tanam dengan tanaman selingan seperti jagung, kekacang, kapas dan lain-lain untuk menunggu sisal di tual selepas 2-4 tahun.

Kawalan rumpai sangat perlu dijalankan untuk mempastikan pertumbuhan sisl amat bail. Tanaman ini ada spesis yang sensitif dengan rumpai dalam persaingan unsur makanan, ruang dan cahaya matahari. Kerja mengutip hasil dijalankan apabila daun paling tua mulai merekah dan membengkok keatas tanah (Lihat foto sebelah) . Bilangan daun yang di potong mesti dikawal untuk mempastikan daun yang ditinggalkan cukup untuk proses fotosintesis bagi pertumbuhan secara normal. Penuaian daun yang berlebihan akan menjejaskan kadar pertmbuhan sisal. Kajian menunjukkan apabila bilangan daun sisal mencapai 120 unit, hanya sebanyak 25 unit sahaja akan di tuai kali pertama dan sebanyak 20 unit sahaja pada pusingan berikutnya. Semua daun akan di potong atau di takai dari pokok apabila bunga telah keluar. Daun-daun yang di tuai diikat dan kemudian di bawa kepusat memproses bagi mendapatkan fiber.

Daun sisal akan di proses dengan mesin khas bagi mendapatkan fiber (lihat foto sebelah). Daun dimasukkan dalam 'roller' yang berpusing dan memecahkan fiber didalam nya beberapa kali dan fiber akan dibasuh sebelum di keringkan atau dijemur dibawah sinaran matahari atau menggunakan mesin pengering. Lazimnya berat fiber yang di perolehi hanya 4% sahaja dari jumlah berat basah daun asal. Fiber ini akan di proses hingga jadi seperti tali atau benang kasar berwarna kuning keputihan dengan panjang 80 - 120 cm dan saz 0.2-0.4 mm garispusat. Tali sisal adalah kasar dan tidak berapa fleksibel dan bersifat sangat kuat serta tahan dalam air yang masin.

Fiber dari sisal yang dihasilkan akan di gunakan untuk pelbagai produk mengikut gred. Bagi fiber yang kualiti paling rendah akan diproses untuk di buat kertas kerana kandungan selulos dan hemiselulos yang tinggi walau pun kertasnya berkualiti rendah. Bagi fiber gred sederhana akan di proses untuk dijadikan tali (terutama tali untuk kegunaan mengikat kapal) , baler dan 'binders twine' untuk kegunaan pertanian, perkilangan dan sebagainya. Gred paling tinggi dan halus akan di proses untuk dijadikan bahan kegunaan harian seperti seliper, pakaian, karpet, alas kaki dan 'yarns'. Lain-lain produk daripada fiber sisal seperti rug, mats, perabut seperti kurusi dan meja, bingkai, perhiasan dinding dan sebagainya. Kebanyakan produk hasil dari fiber sisal adalah sangat tahan lama dan berkualiti tinggi.

Artikel ini saya harap dapat memberikan gambaran kepada pembaca mengenai tumbuhan Agave sisalana iatu kategori tumbuhan untuk penghasilan Fiber. Mungkin tanaman ini ada di tanam dikeliling kita sebagai tanaman hiasan yang cantik atau di taman bunga seperti di Putrajaya kerana iklim di Malaysia adalah sesuai. Kajian khas pokok sisal untuk di tanam di Malaysia secara komersial boleh dibuat lebih lanjut. Selain dari spesis sisal yang sesuai, sistem pemasaran, kos melepas dari tanaman lain dan faktur keuntungan, minat petani juga perlu diambil kira kerana tanaman ini mungkin ambil masa yang lama untuk diminati. Umumnya jika Brazil menanam secara meluas tanaman ini di negaranya, maka tidak mustahil negara kita Malaysia juga sesuai menanam sisal seperti juga sejarah industri tanaman getah dan kelapa sawit. Beranikan anda mencuba tanaman sisal?

Penulis dengan pokok sisal di Taman Saujana, Putrajaya
TANAMAN FIBER... DARI POKOK SISAL...
SENANG DITANAM....DIBELAKANG BANGSAL....
DIPROSES JADI FIBER....ITULAH PASAL....
KALAU TIDAK UNTUNG...JANGAN MENYESAL....

Related articles :
1. Rami (Klik disini)
2. Jut (Klik disini)
3. Aibika (Klik disini)


By,
M Anem
Pct 11
Putrajaya
Malaysia
11.20 malam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...