Tuesday, November 23, 2010

Limau Nipis


Limau Nipis (Citrus aurantifolia) adalah sejenis limau yang sangat digemari di negara ini untuk kegunaan sebagai air minuman dan juga untuk dicampur dalam masakan. Limau ini berbeza dengan Limau Lemon (Citrus limon) walau pun bentuk buah hampir sama dan merupakan sejenis limau yang mudah ditanam serta menguntungkan jika di jaga dengan rapi. Terdapat seluas 898 hektar tanaman limau Nipis di Malaysia pada tahun 2009 dengan hasil pengeluaran sebanyak 9,760 metrik tan. Kawasan utama tanaman limau nipis seperti di Johor, Perak dan Selangor. Pokok limau nipis adalah sejenis pokok saka yang mampu mencapai ketinggian sehingga 5-8 meter tanpa dibuat cantasan. Pokoknya mempunyai akar tunjang dan mempunyai dahan-dahan kayu yang banyak. Daun limau nipis berwarna hijau gelap dan mempunyai bunga berwarna putih yang terbentuk pada bahagian pucuk atau celah dahan muda. Buahnya adaah kecil dan bulat yang lazimnya berukuran 2.5cm – 5 cm garispusat. Kulitnya berkilat dan licin dan isinya berwarna hijau kekuningan, berair tetapi masam. Pokok limau nipis perlukan cahaya matahari yang banyak untuk berbunga dan berbuah.Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman limau nipis berdasarkan pengetahuan dan pemerhatian dikebun semasa bertugas dalam sektor pertanian selama lebih 30 tahun.


Iklim yang sesuai untuk tanaman Limau nipis mesti cuaca yang agak panas dan lembab seperti di negara kita. Limau nipis mampu berbuah sepanjang tahun di Malaysia kerana mempunyai cahaya matahari yang banyak dan suhu yang stabil sepanjang tahun. Tanah yang sesuai untuk limau nipis adalah dari jenis lom berpasir yang mempunyai saliran yang baik. Pokok limau nipis tidak tahan denga banjir dan keadaan 'water-logged'. Bagi petani yang menanam diatas tanah rendah atau tanah bekas sawah biasanya dibuat batas dan parit ladang diantaranya. Pokok limau nipis senang dibiakan melalui semaian biji tetapi biasanya ia dibiak secara tampang iaitu secara tut. Jika dibiak secara ini pokok-pokok mengeluarkan buah lebih awal , murah, cergas dan mudah didapati. Bagaimanapun terdapat kelemahan menggunakan benih tut kerana apabila berlakunya wabak penyakit atau serangan perosak ianya menjejaskan prestasi pokok tut yang serious. Kalau beli benih limau nipis di nurseri boleh dapat dengan harga RM 6.00 - RM 10.00 sepokok. Pastikan anak pokok mempunyai ciri-ciri yang sihat dan pastikan bebas dari sebarang penyakit. 



Penanaman pokok limau nipis menggunakan benih dari tut yang segaryang bebas penyakit dan senang mendapatkan bemih sulaman. Jarak tanaman yang disyorkan adalah ditanam dalam susunan empat segi sama dengan jarak 9 m x 9m. Ini menjadikan jumlah pokok sehektar sebanyak 270 pokok. Gali lubang sebesar 0.4m x 0.4m x 0.2m. Campurkan 10 hingga 12 kg baja organan ke dalam lubang. Siram sejurus selepas menanam. Penyiraman boleh dibuat 1-2 kali sehari selama 2-3 bulan pertama. Selain daripada itu, pembajaan juga dilakukan dengan menggunakan baja organan seperti tahi lembu. Sebanyak 30-40kg/pokok/tahun boleh digunakan bagi peringkat tumbesaran (umur pokok 1-3 tahun) dan 40-60 kg/pokok/tahun selepas pokok-pokok mula berbuah.

Cantasan untuk membuang pucuk-pucuk air, ranting-ranting mati dan ranting-ranting yang tidak dikehendaki adalah perlu dilakukan untuk limau njipis. Pokok ini mempunyai sistem cabang yang seimbang dan berkemampuan mengeluarkannya dengan kuantiti yamg banyak. Cantasan pembentuk perlu dijalankan peringkat awal agar mudah untuk proses penuaian hasil. Cantasan juga akan menggalakan pengeluaran tunas-tunas baru dan akhirnya pokok akan terus subur dan stabil. 
Bagi pokok-pokok limau nipis yang masih muda, kerja-kerja merumput hendaklah dilakukan dengan mencabut atau menggunakan cangkul dikeliling pokok. Bila pokok sudah cukup besar dan matang, kawalan rumpai secara kimia boleh dijalankan dengan menggunakan racun rumpai yang sesuai dan gunakan ikut peraturan keselamatan Racun. Elakkan menggunakan racun rumpai sistemik untuk kawalan rumpai kerana ianya akan menjejaskan pertumbuhan akar pokok ketika pokok masih muda. 

Pembajaan limau nipis dibuat dengan dua jenis campuran baja kimia dan mesti digunakan dengan kadar seperti pada label. Untuk Baja Tumbesaran digunakan baja (NPK Mg (15:15:6:4) dengan kadar 200 kg/ha semantara bagi Baja Buah iaitu baja NPK Mg (12:12:17:2) yang di tabur di sekeliling pokok di bawah hujung kanopi daun. Kadar dan kekerapan pembajaan sebanyak 3-4 kali setahun. Baja jenis impot seperti Yara atau Baja Jenama Hoest dan sebagainya juga sesuai digunakan dari jenia yang 'fast release'. baja organik seperti tahi ayam diletakan setengah guni setiap 6 bulan.




Limau nipis memang sangat masam iaitu pH 2 - pH 3 dan sering digunakan sebagai air jus minuman. Perahkan setengah biji jus limau nipis dangan segelas air dan sedikit gula. Lebih lazat jika diminum sebagai 'Juice ice' atau 'tea lemon ice'. Jus limau juga jika diambil bersama madu lebah dapat menghilangkan batuk. Limau nipis juga digunakan dalam masakan Tomyam ala Thai untuk menambahkan rasa perisa masam dalam makanan tersebut. Dalam perubatan tradisional biasa limau nipis digunakan sebagai 'Pengeras' atau digunakan untuk mandi semasa berubat. Dari segi klinikal limau nipis mampunyai kandungan vitamin C yang tinggi serta beberapa jenis itamin lain.


Potensi untuk menanam Limau Nipis (Citrus aurantifolia) adalah baik untuk di komersialkan. Kos untuk membangunkan tanaman limau nipis lingkungan RM 24,500 sehektar dan mampu memberikan keuntungan kepada petani pada kadar pulangan RM 1.80 setiap RM 1.00 yang dilaburkan. Permintaan limau nipis adalah terhad dan perlu di buka lebih luas ruang pasaran iaitu untuk pasaran segar dan juga untuk pasaran memproses limau nipis. Ekstrak Limau Nipis juga boleh di hasilkan bagi menyediakan makanan kesihatan dan kegunaan perubatan. Umumnya tanaman ini masih diperlukan dalam industri pertanian negara kita.

TANAM LIMAU...JENIS LIMAU NIPIS....
BENIH DIBELI.. DARI KUALA LIPIS...
BANYAK BUAH... POKET TIDAK TIPIS...
BUAH BERKUALITI ...PASTI LARIS...


By,
M Anem
Senior Agronomist
Stesyen Pertanian Serdang,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(Kemaskini pada 21 Julai 2013)

1 comment:

Rabiatul Adawiyah said...

salam en. Anim..En. Anim ada mengusahakn ladang limau ke? kami student UPM berminat nk melawat ke ladang limau anda.. thank you..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...