Friday, November 26, 2010

KOBIS BULAT

Reactions: 

Kobis Bulat (Brassica oleraceae var capitata) adalah sejenis tanaman sayuran dari keluarga Brassicaceae yang popular dikalangan petani di kawasan tanah tinggi Malaysia. Kobis Bulat adalah komoditi sayuran utama di kawasan seperti Cameroon Highland, Pahang dan Kundasang di Sabah. Pengeluaran kobis diseluroh dunia adalah sebanyak 234.87 juta metrik tan setahun dengan negara Belanda sebagai pengeluar kobis utama dunia. Kobis ditanam untuk digunakan sebagai sayuran, dimakan mentah sebagai salad atau diproses sebagai jeruk dan sebagainya. Terdapat seluas 914 hektar tanaman kobis di usahakan di Malaysia pada tahun 2009 dengan pengeluaran sebanyak 12,184 metrik tan bernilai RM 20.184 juta. Keluasan penanaman kobis bulat saya dapati  ini tidak banyak berubah pada tahun 2010, 2011 dan tahun 2013. Kawasan penanam kobis bulat utama di Malaysia ialah di Cameroon Highland Pahang (520 ha) dan Kundasang Sabah (276 ha) dan Lojing Kelantan (166 ha). Kobis juga ada ditanam di Sarawak, Kedah dan Terengganu secara kecil2an dinama saiz keluasan kurang dari 5 hektar. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman kobis bulat untuk rujukan dan bacaan anda berdasarkan pengalaman, rujukan kepad abuku teknikal dan pemerhatian yang dijalankan.
Penanaman kobis sesuai dikawasan subtropika yang beriklim sederhana tetapi kini telah ada benih hibrid baru dimana kobis bulat boleh diusahakan dikawasan tanah tropika yang rendah dan bercuaca panas. Kobis bulat perlukan tanah yang subur dengan sistem saliran yang sempurna. Kobis bulat tidak sesuai ditanam dalam musim hujan kerana hasilnya mudah rosak. Tanah yang mempunyai pH antara 5.0 - 6.0 adalah paling ideal untuk tanaman kobis. Tanah perlukan baja organik yang banyak untuk menentukan kesuburannya. Dikawasan tanah tinggi seperti di Cameroon Highland, kobis kini banyak ditanam dibawah struktur pelindung hujan (SPH) bagi mengelakkan kerosakan semasa musim hujan. Penanaman kobis bulat dikawasan tanah terbuka bagaimana pun sesuai ditanam sepanjang tahun. Dalam pemerhatian saya menganai penanaman kobis bulat di Cameroon Highland, kebanyakan petani menanam dilereng bukit dengan sistem penanaman yang dijadualkan.


Jenis kobis bulat yang popular ditanam di Malaysia ada 4 (empat) jenis iaitu Varieti Autumn Queen, Eiyu, KK Cross dan juga US Tropical. Jenis Autumn Queen adalah varieti yang tahan kepada cuaca panas dengan anggaran berat biji kobis bulat lingkungan 1.0-1.5 kg sebiji dan matang dalam masa 70-80 hari. Kobis ini mempunyai kepala yang berwarna hijau muda dengan isi padat dan mampu memberikan purata hasil sebanyak 12-25 mt/ha bergantung kepada pengurusan dan cuaca. Varieti KK Cross juga popular di tanam di negara kita dengan saiz buah sederhana dan ia tergulung dalam kategori kobis yang sederhana ringan (Lihat foto sebelah). Varieti Eiyu pula mempunyai kepala berwarna hijau muda kekuningan dibahagian tengah tetapi bersaiz kecil sedikit iaitu kira2 0.9-1.0 kg sebiji dengan masa kematangan antara 60-75 hari lepas tanam. Purata hasil varieti Eiyu ini lingkungan 10-24 kg/ha.


Varieti KK Cross antara varieti kobis bulat yang popular ditanam di Malaysia dimana masa kematangan lingkungan 60-65 hari (Paling cepat) dan mempunyai kepala berwarna hijau muda ke warna putih dibahagian tengah. Purata anggaran berat kepala kira-kira 1.0-1.6 kh sebiji dengan isi yang agak kampak dan padat serta mempu menghasilkan sebanyak 20-30 metrik tan sehektar (antara yang paling produktif). Benih dijual dalam paket khas (sila rujuk foto sebelah). Varieti US Tropical pula adalah varieti yang mempunyai kepala berwarna hijau keputihan dibahagian dalam dengan umur matang kira-kira 65-70 hari lepas tanam. Jenis ini mampu menghasilkan sebanyak 15-25 mt/ha dengan anggaran berat setiap biji antara 1.0-1.8 kg. Benih kobis ini adalah 100% diimpot dari luar negara kerana Malaysia tidak mampu menghasilkan benih sendiri. Harga benih kobis bulat dari kajian yang saya jaalankan pada tahun 2012 mendaopati purata harga runcit sekitar RM 1,180 satu kilogram atau dijual dalam bungkusan RM 15.00 - RM 18.00 dalam paket 10 gram. 

Kawasan tanaman kobis perlu dibersihkan (kawasan baru) dari semak samun dan dibajak sehingga sedia untuk dibuat batas. Bagi kawasan penanaman sedia ada perlu dirotor dan kemudian dinaikan batas tanaman berukuran 1.0-1.2 meter lebar setinggi 20-25 cm dan panjang bergantung kepada keadaan tanah (6-7 meter). Baja organan seperti tahi ayam di gaulkan kedalam batas tanaman dengan kadar sebanyak 4,000 kg sehektar atau mudahnya kira-kira 5-6 kg satu batas. Ada petani yang menutup batas dengan plastik silvershine diatas batas dengan tujuan mengawal rumpai, mengawal hakisan dan mengawal serangan serangga perosak. Kini penggunaan teknologi menanam kobis dibawah struktur pelindung hujan semakin popular. Struktur Plastik di naikan dengan sokongan kayu setinggi 6 - 8 kaki tinggi untuk memberikan perlindungan tanaman kobus dari hujan ketika musim hujan. Pembinaan SPH ini menjadi satu trend di kawasan pertanian di Cameroon Highland. 

Kobis Bulat ditanam menggunakan biji benih yang dibeli daripada kedai pertanian dan merupakan jenis benih hibrid. Kaedah menanam ada yang membubuh 2 biji benih terus kedalam lubang penanaman tetapi lebih baik disemai dahulu. Keperluan benih sebanyak 0.5-0.8 kg sehektar. Benih dirawat dengan racun benomyl atau Thiram untuk elak serangan kulat. Tabur benih dalam tapak semaian berisi tanah peroi dan pasir. Benih akan bercambah dalam masa 3-4 hari.
Menanam kobis bulat dengan anakbenih berumur 4 minggu keladang dimana telah mempunyai 4-5 helai daun. Buat penyiraman diatas tapak semaian sebelum mencabut anakbenih dan sebaiknya cabut anak benih dengan tanah untuk mengurangkan kecederaan akar anakbenih. Pastikan menyiram selepas mengubah dan sebaiknya lakukan meanam pada awal pagi atau petang atau waktu cuaca redup untuk kurangkan stress. Jarak tanaman disyorkan adalah 15 cm x 20 cm. Kalau tidak ada plastik silvershine sungkupan lain seperti lalang kering boleh digunakan dikebun.

Pembajaan tanaman kobis mesti damalkan dengan baja organik seperti seperti tahi ayam, serbuk udang, tahi kambing untuk mempastikan kesuburan tanah. Lazimya program pembajaan kobis bulat menggunakan baja kimia NPK 12:12:17:2:TE sebanyak 12-15 gm/pokok (atau sebanyak 200kg/ha) dua minggu selepas menanam dinaikkan kepada 400 kg/ha pada minggu keempat selepas menanam. Berikan sebanyak 400 kg/ha baja NPK 12:12:17:2 pada minggu ke Enam. Pada masa ini banyak baja foliar digunakan oleh petani berkemampuan bagi mendapatkan hasil kobis bulat yang lebih berkualiti. baja foliar ini mudah digunakan, murah dan amat praktikal. Teknologi penanaman kobis secara fertigasi didalam polibeg  juga menggunakan larutan baja formulasi yang semakin popular digunakan. Kawalan rumpai dijalankan dengan kaedah manual dan semburan racun kimia bergantung kepada keadaan. Penyiraman untuk tanaman kobis bulat adalah penting dijalankan setiap masa. Teknologi penanaman kobis ini disambung dalam bahagian 2 seterusnya.
Wasallam!



KOBIS BULAT...TINGGI PERMINTAANNYA...
TANAH TINGGI... LUAS DIUSAHAKANNYA..
AMALAN GAP...PERLU DILAKSANANANNYA ..
DIJUAL SEGAR...BERPATUTAN HARGANYA....

By
M Anem
Visit Kundasang, 
Sabah
29 Nov 2010
(Kemaskini info pada 16 Febuari 2013)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA