Support My Blog

Saturday, November 7, 2009

Lebah Madu di Johor



Menternak Lebah Madu di Johor agak popular di beberapa kawasan di Daerah Pontian, Batu Pahat dan Muar dengan spesis Lebah Keran (Apis cerana). Kawasan tumpuan penternakan adalah di kawasan kebun kelapa dan kawasan hutan gelam seta kawasan dudun campuran yang banyak sumber makanan seperti Rumput Israel (Asystasia gigantica). Antara kawasan yang aktif ialah di Kg Serkat Darat (Pontian), Kg Kesang , Kg Parit Penyengat, Kg Teluk Rimba (di daerah Muar), Kg Nibong (di Batu Pahat) dimana ternakan dibuat secara sambilan oleh para petani atau pekebun kelapa. Ternakan lebah Keran dijalankan setelah petani menerima Latihan Asas oleh Jabatan Pertanian Johor di Pusat Ternakan Apiari Malaysia yang terletak di Pusat Pertanian Komodiiti Parit Botak, Batu Pahat. Kursus lanjutan di adakan di beberapa lokasi seperti di Pejabat Pertanian Sg Sudah di Muar dan Pejabat Pertanian Pontian dimana tujuan latihan adalah untuk memberikan teknologi lebih baru dan terkini. Artikel kali ini dalam 'Anim Agro Technology' saya akan membincangkan teknologi ternakan lebah madu berdasarkan pengalaman penulis dalam bidang ini selama 30 tahun. Penulis juga terlibat dalam memberikan latihan asas penternakan lebah madu kepada peminat lebah madu.


Dalam menternak lebah paling penting adalah keujudan makanan semulajadi lebah keran adalah debunga dan nektar daripada mayang kelapa yang ditanam di sekeliling Haif Lebah. Haif Lebah adalah kotak yang diperbuat daripada papan kayu berukutan 1-2 kaki panjang x 1 kaki tinggi dan 1 kaki lebar bergantung kepada kesesuaian dan mengandungi para-para serta penutup. Terdapat pintu utama untuk lebah keluar dan masuk haif. Lazimnya haif lebah akan dicat warna putih untuk memudahkan lebah mencari rumahnya. Haif ini diletakkan diatas tiang kayu setinggi 3-4 kaki atas tanah dan sapu tiangnya dengan minyak atau racun serangga untuk elakkan semut , lipas dan perosak lain masuk kedalam haif terutama apabila simpanan madu telah banyak.

Satu hektar kawasan kelapa boleh di sediakan antara 6 - 10 haif atau bilangan koloni lebah berdasarkan kepada kepadatan pokok kelapa. Satu koloni yang aktif dengan seekor Ratu Lebah mempunyai antara 30,000 - 50,000 ekor lebah pekerja. Ratu Lebah Keran yang sihat dapat mengeluarkan anak lebah sebanyak 100 - 250 ekor setiap hari. Setiap 2-3 minggu haif lebah akan di periksa untuk di kutip madu dan debunga (Jika ada) terutama musim panas kekerapan setiap 2-3 hari sekali. Madu lebah akan disimpan didalam kon yang akan ditutup apabila telah penoh.


Burung berek-berek
Lebah mempunyai pelbagai musuh dan penyakit yang akan menentukan sama ada projek penternakan lebah yang dijalankan akan berjaya atau tidak. Antara musuh-musuh didalam penternakan lebah madu ialah seperti semut, lipas, cicak, tabuan dan burung. Tebuan (Vespa tropica tropica) merupakan musuh yang akan menyerang lebah madu yang baru balik kehaif dengan membunuhnya. Tebuan atau juga dipanggil sebagai Tabuan akan masuk kedalam haif dimana akan menyebabkan keselurohan koloni lebah akan berpindah (Lihat foto dibwah). Burung Berek-berek (Melops philipunus) atau di panggil 'Blue tailed Bee eater'  juga merupakan sejenis burung yang suka menangkap lebah ketika berterbangan (Lihat foto sebelah). Apa yang saya buat pemerhatian di pontian, lebh pekerja yang sedang dalam perjalanan balik kehaif paling disukai kerana lebah tersebut agak perlahan terbang akibat perutnya penoh nektar dan debunga. Semut (Ants) perlu dikawal agar ianya tidak memusnahkan koloni lebah. Cara kawalan adalah dengan menyapu minyak hitam terpakai atau menyapu minyak gris (grease oil) pada tiang haif lebah agar agar semut tidak dapat naik melalui tiang. Antara penyakit yang menyerang lebah seperti 'Penyakit Sac Brood' dan perlu dikawal.


Tebuan musuh lebah.
Kajian yang saya buat di Muar mendapati, satu koloni lebah keran di kawasan kelapa menghasilkan diantara 5 - 7 kg madu setahun. Jumlah kutipan madu ini sangat bergantung kepada keadaan cuaca dimana jika cuaca panas berpanjangan, jumlah madu agak banyak tetapi pada musim hujan seperti bulan November - Januari memang amat sedikit kutipan madu. Alat khas dipanggil 'Extractor' digunakan untuk mengeluarkan madu. Madu yang dihasilkan kemudian madu yang di tapis untuk mengeluarkanbahan lain dan kemudian akan di botolkan dalam botol 120 ml dan dijual dengan harga antara RM 8.00 - RM 12.00 sebotol. Kualiti Madu Lebah bergantung kepada punca nektar dan musim untuk menentukan harganya. Punca pokok kelapa akan memberikan warna madu yang agak kekuningan berbanding dengan punca nektar daripada kawasan limau dan daun getah yang lebih jernih.


Lebah Besar Jenis Impot (Apis melifera) merupakan spesis lebah madu yang diimpot dari Australia melalui Jabatan Pertanian ada di perlihara di Kawasan Kg Serkat Darat, Pontian sejak tahun 2001. Bagaimanapun lebah jenis melifera ini mempunyai masaalah penyakit ' Sac Brood' dan mengelami serangan serius dari sejenis Burung Berek ketika musim penghijrahan. Serangan burung pernah memusnahkan sehingga 80% populasi lebah ini dan didapati diantara punca yang boleh mengagalkan projek tersebut. Walau pun lebah Apis melifera mempunyai potensi tinggi untuk dijadikan industri ternakan lebah, ianya perlukan lebih banyak kajian lebih lanjut yang perlu dijalankan. Kemungkinan satu masa nanti akan ada program pembiakan lebah madu yang sesuai dan berpotns tinggi untuk negara kita.

Program Latihan dan Kursus untuk pemeliharaan lebah madu perlu di tumpukan kepada penternak-penternak lebah diseluruh negara. Bagi Negeri Johor, terdapat hanya sekitar 30 orang sahaja penternak lebah madu yang aktif yang telah saya kenalpasti. Antara perkara penting yang perlu di berikan latihan kepada mereka ialah Teknologi memelihara Ratu Lebah, Tanaman untuk makanan lebah, Kaedah Pengurusan Lebah pada Musim Tengkujuh, Pemilihan spesis lebah yang baik dan tepat, menyediakan makanan asas lebah, Venom Lebah sebagai alternatif perubatan, pengeluaran produk debunga serta produk 'Royal Jelly' dan pemasaran produk lebah. Pegawai dan Penternak perlu diberikan pendedahan terhadap industri ternakan lebah dibeberapa negara tropika yang lain.


Persatuan Penternak Lebah Negeri Johor yang kurang aktif masa kini perlu di gerakan semula. Selain daripada latihan teknikal dan perkhidmatan pengembangan kepada penternak lebah, program subsidi peralatan atau haif lebah peru di berikan kepada penternak. Kaedah perlabelan, kawalaan kualiti, pembungkusan dan pemasaran perlu di kawal agar kejadian penjualan MADU TIRUAN dapat dibenteras. Laporan dari Universiti Malaya pada 2005 melalui terbitan Jurnal mendapati, lebih 65% madu lebah di pasaran Malaysia adalah madu tiruan!  Awas, madu tiruan mungkin mengandungi bahan-bahan yang membawa kerosakan bukan perubatan. Kaedah untuk menyediakan madu tituan memang mudah, murah dan nampak macam original kerana orang ramai tidak pernah kenal akan kualiti madu asli.  Semuga akan lebih ramai rakyat Malaysia yang meminati aktiviti penternakan lebah madu di negara kita. Wasallam.


KEKEBUN KELAPA....MENTERNAH LEBAH...
KAWASAN GELAM...SESUAI JUGA DIREDAH....
LEBAH KERAN...MADUNYA SEBAGAI UPAH...
KALAU DI SENGAT...WAJAH AKAN BERUBAH...



Related articles:
1. Agrobased Industry in Malaysia (Click here)
2. Bee Keeping Equipments (Click here)
3. Coconut (Click here)
4. Penduduk dunia (Klik disini)
5. Lebah Keran (Klik disini)
6. Lebah Tualang (Klik disini)
7. Madu Lebah (Klik disini)
8. Bisa Gigitan serangga (Klik disini)
9. Rumput Israel (Klik disini)
10. Nektar (Klik disini) 
11. Semut (Klik disini)

By
M Anem
Jabatan Pertanian Johor
Muar, Johor,
Malaysia
(Pakar Lebah satu ketika dulu - updated 26 November 2012)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...