Support My Blog

Thursday, June 29, 2023

PENYAKIT ZOONOTIK HAIWAN KEPADA MANUSIA

INSIDEN PENYAKIT HAIWAN KEPADA MANUSIA
agak jarang dibincangkan sebagai satu perkara penting. Pernah dilaporkan dimana negara Malaysia adalah antara segelintir negara-negara yang berstatus bebas rabies dalam dunia. Namun status ini yang dipegang sejak April 1954 terbatal pada tahun 2015 iaitu apabila penyakit rabies atau lebih biasa dikenali sebagai penyakit anjing gila ini telah dikesan di negeri-negeri utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Sebelum kerajaan Malaysia sempat mengisytiharkan penyakit rabies telah dihapuskan pada tahun 2017 apabila kes-kes rabies sekali lagi dilaporkan di Sarawak dimana kerja-kerja pengawalan telah berjalan. Selain daripada itu aktiviti seperti pengesanan jangkitan Malaria Knowlesi atau pun Malaria Monyet dilaporkan ia  semakin meningkat di Sabah, Sarawak dan Kelantan semenjak penyakit ini dikenal pasti pada tahun 2004. Ketua Pengarah Kesihatan juga telah mengeluarkan peringatan terhadap pengambilan langkah-langkah berjaga-jaga untuk golongan risiko tinggi terhadap penyakit ini. Secara umumnya kedua-dua penyakit ini adalah berpunca daripada haiwan dan turut menjangkiti manusia yang boleh berlaku dan mengancam masyarakat umum. Sebenarnya isu dan insiden ini hanya sebahagian kecil daripada penyakit berjangkit yang dibawa oleh haiwan yang perlu sentiasa diawas. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dimana ada sekurang-kurang 61% penyakit manusia adalah berpunca daripada haiwan atau dikenali sebagai Penyakit Zoonotik. Timbul persoalan akah dia Penyakit Zoonotik?. Penyakit zoonotik ialah penyakit yang boleh menjalar daripada haiwan vertebrat kepada manusia. Hidupan seharian kita berkait rapat dengan pelbagai jenis haiwan, sama ada haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing, haiwan ternakan seperti ayam, lembu dan kambing, serta hidupan liar di kawasan penempatan, pertanian, rekreasi dan hutan (keperluan perkerjaan). Maka, kita akan terdedah dengan pelbagai kuman yang dibawa oleh haiwan-haiwan tersebut. Kuman yang dimaksudkan di sini ialah mikrob yang merangkumi virus, bakteria, parasit dan kulat. Pada kebiasaannya, haiwan yang dijangkiti kuman akan jatuh sakit. Tetapi kadangkala haiwan yang dijangkiti tidak sakit, atau haiwan manjadi pembawa kuman selepas sembuh daripada penyakit, dan haiwan sebegini dianggap sebagai reservoir haiwan. Artikel malam Ahad ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya gembira kongsikan info mengenai penyakit zoonotik dari haiwan yang menjangkiti manusia untuk dijadikan bahan bacaan semua.

Bagaimana cara penjalaran Penyakit Zoonotik merupakan salah satu perkara yang perlu diketahui. Penjalaran penyakit zoonotik boleh berlaku dalam berbagai bentuk antaranya ialah pendedahan langsung semasa memegang atau menyentuh haiwan-haiwan tersebut, digigit atau dicakar, disamping kontak langsung dengan air liur, darah atau bahan buangan yang telah dicemari kuman. Sebagai contoh insiden penyakit anjing gila yang disebabkan oleh gigitan haiwan yang telah dijangkiti virus tersebut atau berlaku kes jangkitan sporotrikosis pada seseorang yang mempunyai luka terbuka pada kulit kerana dedahan kepada kucing yang dijangkiti kulat Sporothrix. Apa pun penularan berlaku apabila kontak tidak langsung juga adalah suatu laluan infeksi yang sering mengakibatkan manusia dijangkiti oleh penyakit zoonotik. Ini berlaku apabila manusia terdedah kepada bahan-bahan yang telah digunakan atau dihinggapi oleh haiwan-haiwan yang dijangkiti atau membawa kuman tersebut. Salah satu contoh ialah penyakit kurap, dimana manusia mungkin terjangkit jika menyentuh atau menggunakan perkakas yang telah digunakan pada haiwan yang dijangkiti kulat Dermatophytosis iaitu seperti tuala dan berus. Jangkitan hama dan pijat boleh berlaku apabila pekerja menjalankan kerja-kerja di reban ayam atau rumah yang mempunyai haiwan yang dijangkiti oleh artropod dan serangga tersebut. Pemakanan produk-produk haiwan juga membawa risiko jangkitan zoonotik. Infeksi bawaan makanan disebabkan oleh bakteria seperti kuman Salmonella dan E. coli berlaku jika termakan ayam atau telur yang tercemar. Tambahan lagi, dimana ada pelbagai jenis cacing parasit pernah dikesan dalam daging lembu, kambing, khinzir dan ikan. Laporan penemuan cacing Anisakis dalam ikan sardin dalam tin baru-baru ini di Malaysia telah menimbulkan kegusaran tentang pengambilan makanan tersebut.


Dalam pada itu peranan serangga perantara memainkan peranan penting dalam penjalaran penyakit zoonotik. Serangga menggigit haiwan terjangkit dimana ia akan juga memindahkan virus, bakteria ataupun parasit kepada manusia yang digigit kemudiannya. Antara contoh yang menimbulkan kerisauan di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) ialah Penyakit Malaria-Monyet yang berpunca daripada kera dan dipindah melalui gigitan nyamuk Anopheles kepada manusia. Dalam kes Penyakit Ensefalitis Jepun (Japanese Encephalitis atau Virus Nipah atau JE) daripada khinzir yang melalui gigitan nyamuk Culex. Selain itu terdapat juga kes penyakit bawaan arthropod juga termasuk penyakit Lyme yang disebar oleh sengkenit daripada tikus kepada manusia. 
Penyakit Japanese Encephalitis (JE) telah berlaku di kebanyakan negara-negara Asia seperti Kemboja, China, Indonesia, India, Jepun, Nepal, Sri Lanka, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Korea, Thailand, Vietnam, India serta kawasan di Selatan-Timur Persekutuan Rusia. Kira-kira 3 bilion daripada penduduk dunia tinggal di kawasan-kawasan endemik dan hampir 50,000 kes JE dengan 10,000 kematian dilaporkan setiap tahun di seluruh dunia. Di Malaysia, kes JE dilaporkan secara sporadik (kes-kes terpencil) dan kes pertama telah dicatatkan oleh Cruikshank pada tahun 1951 di mana berlaku kejadian wabak di kalangan banduan British semasa Perang Dunia Kedua. Agen penyebab JE ini adalah Virus Japanese Encephalitis daripada genus Flavivirus di dalam keluarga Flaviviridae. Cara jangkitan dimana virus ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culicine iaitu Culex tritaeniorhynchus, Culex vishnui, Culex gelidus dan Culex fuscocephala yang dijangkiti virus JE. Khinzir dan pelbagai burung liar akan dijangkiti penyakit JE terlebih dahulu sebelum virus JE menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk. Manusia tidak dianggap sebagai perumah untuk penyebaran virus dan jangkitan daripada manusia ke manusia tidak pernah didokumenkan. Tempoh pengeraman adalah 5 -15 hari. Bagi tanda dan gejala dimana kebanyakan jangkitan JE tidak menunjukkan tanda dan gejala (asimtomatik). Anggaran 1 pesakit dalam 250 yang dijangkiti menunjukkan gejala penyakit iaitu gejala yang biasa adalah demam, sakit kepala, loya dan muntah. Perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan muncul selepas beberapa hari. Sawan berlaku dalam 66% kes dan paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Kesan daripada gejala penyakit ini boleh menjadi serius termasuklah kecacatan otak dan kematian. Kadar kematian adalah sehingga 60% untuk pesakit yang menunjukkan gejala manakala lebih kurang 30% pesakit akan mengalami kerosakan pada sistem saraf pusat. Tiada rawatan spesifik untuk pesakit JE bagaimanapun rawatan di hospital adalah penting untuk perawatan sokongan dan pengawasan rapi. Pesakit dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi, meminum air yang banyak dan mengambil ubat berdasarkan kepada nasihat doktor untuk melegakan gejala penyakit. Cara pencegahan dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk dan lakukan pemeriksaan 10 minit seminggu untuk memastikan kawasan persekitaran kita bebas daripada pembiakan nyamuk. Kurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan pendedahan kepada gigitan nyamuk terutamanya di lokaliti bermasalah penyakit JE. Gunakan ubat penjauh serangga (‘insect repellant’) pada kulit yang terdedah berdasarkan panduan yang diberikan oleh syarikat pengeluar untuk aktiviti luar terutama di waktu senja hingga subuh. Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang. Cuba elakkan memakai pakaian berwarna gelap (kerana warna gelap akan menarik perhatian nyamuk). Kadah lain dengan selalu menutup tingkap atau bidai apabila berada dalam bangunan. Gunakan semburan racun serangga, lingkaran ubat nyamuk atau kepingan penghalau nyamuk. Suntikan vaksin JE akan hanya diberikan kepada penduduk berisiko tinggi di lokaliti berlakunya wabak dan untuk negeri Sarawak di mana program vaksinasi JE diberikan kepada semua bayi yang baru lahir yang berumur 9 bulan dan ke atas mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Bagaimana Penyakit Zoonotik boleh dicegah adalah satu perkara penting diambil tindakan. Selalunya dalam  kehidupan seharian memang biasanya semua orang tidak dapat mengelakan diri daripada berinteraksi dengan haiwan (Sila lihat foto disebelah). Isu ini juga akan menjadi cabaran pencegahan penyakit zoonotik berbanding dengan penyakit bukan infeksi. Walaupun bagamanapun dimana risiko pendedahan kepada penyakit ini boleh dikurangkan jika manusia dilengkapi dengan ilmu pengetahuan terhadap penyakit-penyakit jangkitan dari haiwan dengan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang sesuai. Antara perkara yang boleh kita amalkan ialah memberi perhatian kepada haiwan-haiwan di sekeliling kita agar berwaspada apabila haiwan tersebut meunjukkan simptom sakit, menjaga kebersihan diri seperti cuci tangan dengan sabun selepas menyentuh haiwan, menjaga kebersihan tempat haiwan biasa berkeliaran, memberi vaksin ikut rancangan, serta elak daripada gigitan haiwan dan serangga dengan penggunaan kelambu atau ubat pencegah serangga. Adalah penting untuk difahami bahawa kuman adalah kejadian semula jadi dimana ia boleh berada di mana-mana dan pada apa-apa jua. Penyakit daripada haiwan tidak semestinya mendatangkan masalah kesihatan pada manusia jika langkah-langkah keselamatan diambil. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
PENYAKIT HAIWAN... JANGKITI MANUSIA...
MEMBAWA ANCAMAN... MAUT JADINYA...
PENYAKIT ANJING GILA... MERBAHAYA...
PENYEKIT JE PULA... GEGARKAN NEGARA...

By,
M Anem,
Senior Agriculturist,
Home N0 6, Little Kampung Studio,
No 333A, Taman Intan Baru,
Jalan Kampong Banjar, 
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(28 Rejab 1444H).
Posted on 29 Jun 2023
Selamat Hari Raya Aidiladha 1444H.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...