Support My Blog

Sunday, June 11, 2023

SEKTOR PERTANIAN MALAYSIA 2023 - SATU PENILAIAN

SEKTOR PERTANIAN di Malaysia membentuk 12% iaitu dari Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan masih penting didalam menjamina keberadaan makanan serta pasaran eksport. Hasil bancian dilaporkan terdapat sekitar  16% penduduk Malaysia yang bekerja melalui beberapa jenis sektor pertanian daripada perladangan, tanaman, perikanan, ternakan dan industri asas tani serta perkhidmatan. Sejak zaman penjajahan dahulu sistem perladangan berskala besar telah ditubuhkan sejak zaman British dengan tanaman getah dan kelapa sawit. Perladangan ini membuka peluang kepada tanaman baru seperti getah (1876), kelapa sawit (1917) dan koko (1950). Beberapa tanaman makanan penting lain ada ditanam untuk tujuan domestik seperti tanaman padi, kelapa, dan banyak buah-buahan tempatan (seperti durian, nanas, mangga) serta tanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan. Apa pun penanaman kelapa sawit merupakan punca penting penebangan hutan di Malaysia dimana Malaysia pernah menjadi pengeluar minyak sawit terbesar dunia sebelum ia diambilaloh oleh Indonesia. Tanaman getah secara meluas juga merupakan industri pertanian penting kepada sektor perladangan dan pekebun kecil getah. Terdapat beberapa organisasi khas khusus menjaga industri tanaman getah di Malaysia seperti RISDA, LGM, FELDA, RISDA, MARDEC dan sebagainya. Iklim Malaysia menghasilkan keadaan yang amat sesuai bagi pengeluaran hasil eksotik. Malaysia yang terletak di semenanjung Asia Tenggara dimana sangat jarang dilanda taufan atau kemarau tetapi sering menghadapi bencana banjir masih sesuai dengan pelbagai jenis tanaman. Malaysia masih mengekalkan paras kelembapan sekitar 90% kerana lokasi berkedudukan berhampiran khatulistiwa. Cuaca Malaysia kekal panas dan lembap sepanjang tahun sesuai untuk banyak jenis tanaman buah-buahan komersil dan sayuran. Dari segi pengurusan sektor pertanian terdapat beberapa kementerian, Jabatan dan Agensi yang diberikan tanggung jawab untuk menjaga pembangunan sektor pertanian. Antaranya adalah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kemterian Pembangunan Komoditi, Kementerian Perusahaan Utama dan beberapa lagi.  Semua kementerian ini berfungsi sebagai agensi bagi perniagaan pertanian swasta untuk mendapatkan nasihat daripada pakar pertanian, perikanan, ternakan dan industri asas tani. Kementerian ini akan merancang dasar, strategi dan program pembangunan yang berbeza. Ia memantau, meninjau, mengarah dan akan melaksanakan pelbagai projek termasuk pembangunan infrastruktur sistem pengairan di kawasan tanaman padi oleh beberapa agensi seperti oleh Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) diseluruh negara. Kementerian mempunyai perkhidmatan seperti mengumpul, menganalisis dan akan lakukan pemulihkan maklumat dan data pertanian melalui sains serta menyediakan laporan kepada petani. Ia juga turut menyediakan rujukan dan sistem pengurusan pertanian kepada pemilik ladang untuk mengakses semua maklumat pertanian yang dikumpul. Paling penting di Malaysia dimana aktiviti pengeluaran dan penggunaan beras tetap dijaga. Ini kerana nasi ialah bahagian penting dalam diet harian rakyat Malaysia. Pada 2022 menurut rekod kementerian Malaysia mengeluarkan 1.677 juta tan metrik beras daripada kawasan tanaman padi seluas 2.428 juta hektar (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan Malaysia, Jabatan Pertanian Malaysia 2022). Walaupun dengan pengeluaran beras dilihat agak tinggi namun Malaysia masih hanya mengeluarkan 80% daripada jumlah yang diperlukan untuk menampung dirinya dan selebihnya diimport. Penulis blog dapati dimana purata rakyat Malaysia menggunakan 82.3 kilogram beras setahun. Pertambahan penduduk Malaysia memerlukan lebih banyak penyelidikan dan kemajuan teknologi untuk meningkatkan pengeluaran beras untuk kegunaan dalam negara. Artikel pada tengahari ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan bagaimana sektor pertanian penting dijadikan satu industri yang menjamin bekalan makanan dan pasaran eksport untuk dijadikan bahan bacaan semua.


Penulis blog masih ingat dimana pa
da zaman dulu dimana Malaysia adalah bertanggungjawab bagi pastikan satu pertiga eksport getah dunia untuk jangkamasa yang lama. Berlainan pada masa ini dimana pengeluaran telah menurun kerana kebanyakan negeri beralih kepada penanaman kelapa sawit bagi menghasilkan minyak sawit yang lebih menguntungkan. Malaysia juga merupakan pengeksport produk kayu, lada dan tembakau dahulu dimana ia menjadikan pertukaran wang asing berlaku. Pernah dilaporkan dimana semenjak tahun 2001 dimana sektor pengeluaran getah Malaysia telah agak meningkat dimana kemudian pada tahun 2004 iaitu nilai pengeluaran mencapai RM8 bilion dan pernah juga nilai ini mencecah RM10 bilion pada 2007 dan RM11.24 bilion pada 2008. Bagaimana pun pada tahun 2009 nilai pengeluaran getah dilaporkan telah menjunam hampir 6%. Malaysia telah memperoleh reputasi yang baik di seluruh dunia sempena produk getahnya yang berkualiti tinggi dan berharga baik. Pengeluar getah di Malaysia membekalkan beberapa produk getah seperti sarung tangan perubatan, komponen kereta, tali pinggang dan hos ke beberapa syarikat luarnegara seperti dari Amerika Syarikat, Jepun, China, dan negara-negara Eropah. Terkini pada tahun 2022 dimana industri pertanian di Malaysia menyumbangkan lebih 12% daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang masih mampu untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada hari ini. Pada peringkat dunia pula lebih 60% daripada jumlah penduduk dunia kini dilaporkan masih bergantung kepada hasil pertanian yang menggerakkan ekonomi dunia secara amnya. Namun begitu masyarakat di Malaysia masih mempunyai stigma bahawa pertanian adalah industri yang kecil dan golongan petani terdiri daripada 'golongan yang miskin' dan 'duduk di luar bandar'. Akibatnya masyarakat konvensional perlu meluaskan horizon pemikiran supaya kemajuan dapat dijalankan dan semua tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung sahaja. Sektor pertanian di Malaysia yang merangkumi segmen termasuk perladangan, penternakan, perikanan akuakultur, penanaman secara besar dan kecil serta industri asas tani mempunyai potensi yang meyakinkan sekiranya hasil yang dituai dan diproses selalu dapat menepati standard tertentu. Kelebihan Malaysia sebagai negara yang mampu menghasilkan produk makanan halal perlu diperluaskan aktivitinya yang berkait dengan pasaran domestik dan eksport.


Pada penulis blog diantara aspek utama dalam meningkatkan hasil pertanian negara adalah dengan menghubungkan institusi penyelidikan dengan pemain-pemain industri yang ramai disektor pertanian dalam negara. Kerajaan telah pun menubuhkan pelbagai agensi-agensi kerajaan untuk menguruskan industri pertanian di negara kita. Sebagai contoh Jabatan Pertanian ditubuhkan untuk menguruskan program-program pertanian manakala FAMA menguruskan hal ehwal pemasaran hasil pertanian dan MARDI menjalankan penyelidikan khusus pada pertanian negara. Pengenalan beberapa buah-buahan premium seperti Durian Musang King, Mangga Harum Manis, Nanas MD2, Durian Duri Hitam, Kelapa Matag, Udang Harimau Premium dan sebagainya perlu dipergiatkan untuk pasaran eksport dan domestik. Kini tanaman durian musang king telah menjadi fenomena apabila raja segala buah ini dilaporkan mendapat harga pasaran amat baik di dalam dan luar negara. Penulis blog sempat membuat tinjauan ke banyak kebun durian musang king (D197) iaitu diseluruh negara dimana ia merupakan buah yang mahal harganya d pasaran. Kejayaan industri tanaman nanas varieti MD2  telah menjadikan nanas ini di hasilkan untuk pasaran eksport dan domestik. Nanas MD2 yang merupakan nanas premium ditanam secara perladangan di Rompin, Simpang Rengam, Ulu Tiram dengan teknologi terbaik untuk ianya dapat memberikan pulangan terbaik kepada pengusahnya. Dalam pengeluaran buah-buahan tempatan dan sayur-sayuran pula pengenalan Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) oleh Jabatan Pertanian di seluruh negara menjadikan tapak tersebut mampu menghasilkan makanan kepada rakyat tempatan dan mampu menjana pendapatan lebih RM5,000 sebulan kepada pesertanya. Pendekatan projek gedung makanan negara pernah diperkenalkan dan perlu diteruskan demi keterjaminan makanan negara akan berada dalam kedudukan yang teguh.


Dalam usaha meningkatkan hasil pertanian negara walau pun sudah ada sistem pasaran tetapi ia perlu ditambah baik terutama dari segi kemudahan logistik di bawah rangkaian pemasaran dan penghasilan produk pertanian. Kini pengguna boleh membeli produk buah-buahan secara on-line sahaja dimana amat memudahkan petani, pengedar dan pengguna. Sebagai contoh penulis dapat beli buah mangga Harumanis Perlis berharga RM100 satu set (ada 5 biji didalamnya) dan dapat menikmatinya dirumah di Putrajaya. Bertapa cekapnya sistem pemasaran buah-buahan masa kini melalui handphone shaja. Begitu juga kini boleh membeli barangan dapur secara on-line sahaja dan tidak perlu ke kedai atau pasar atau kompleks beli belah untuk membelinya. Apa yang penting adalah dimana petani perlu mempastikan kualiti hasil pertanian terbaik dan ia dapat dikekalkan. Kaedah pemasaran kini lebih luas dimana sekiranya proses daripada ladang ke pasaraya dititik berat dengan menggunakan kaedah terbaik akan menguntungkan kedua-dua pihak. Kalau dulu dimana kebanyakan ladang yang mengeluarkan hasil di Malaysia memang tidak mempunyai bilik sejuk beku yang mampu mengekalkan kualiti kesegaran sayur-sayuran dan buah-buahan setelah dituai sementara menunggu pemborong tiba tetapi kini infra tersebut sudah banyak disediakan. Kawalan kualiti terhadap produk pertanian secara menyeluruh dari ladang sehingga ke pengguna perlu diperkasa agar produk tempatan kita mampu memecah pasaran global suatu hari nanti. Penulis blog beberapa kali berkunjung ke Thailand di mana petani tempatan mereka bekerjasama dengan jurutera tempatan untuk menghasilkan bilik sejuk beku menggunakan kos yang berpatutan pada saiz yang sesuai dengan kuantiti pengeluaran sesebuah ladang di sana. Petani kini boleh menghasilkan produk separa proses atau produk proses melalui aktiviti industri asas tani untuk dapat pasaran lebih terjamin. Produk proses minima (Minimum Process) selalunya boleh dihantar terus kepada pemasar dengan pulangan lebih menguntungkan daripada menjual segar kepada pemborong.


P
enganjuran Malaysian Agriculture, Horticultur & Agrotourism (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) merupakan langkah yang baik dan wajar dilaksanakan dari tahun ke tahun. Penglibatan banyak pihak dalam menjayakan MAHA secara demikian merupakan satu medan bagi banyak pihak dari jabatan dan agensi dan para usahawan-usahawan tani tempatan untuk membuat pameran teknologi dan potensi untuk memasarkan produk mereka. Setiap dua tahun MAHA mendapat sambutan yang baik daripada seluruh rakyat Malaysia. Bahkan pernah penganjuran karnival tersebut dilakukan selama dua minggu bagi memberi peluang seluruh rakyat di Malaysia untuk berkunjung dan membeli produk-produk tempatan. Jika produk yang berasaskan pertanian yang dihasilkan oleh tenaga tempatan mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan rakyat tempatan, tidak mustahil untuk ia memecah pasaran global dengan panduan dan bimbingan oleh agensi kerajaan yang berkaitan. Wajar pihak berkuasa memainkan peranan dengan memberikan pengiktirafan seperti yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian yang memperkenalkan sijil MyGAP dan sijil MyOrganic. Pengiktirafan ini merupakan standard yang akan dapat menjamin hasil pertanian tersebut melepasi piawaian yang tinggi dan berkualiti untuk dipasarkan secara tempatan dan global. Pada penulis blog wajar hasil pertanian negara ditingkatkan dengan meningkatkan tahap kebergantungan bekalan makanan negara terhadap hasil tempatan. Bekalan makanan rakyat Malaysia secara keseluruhan kini masih bergantung sebahagiannya kepada produk import dan jumlah peratusannya adalah tinggi dan membimbangkan saban tahun. Sekiranya berlaku sesuatu bencana atau pandemik yang menyebabkan aktiviti import tidak boleh dilaksanakan maka kemungkinan Malaysia tidak mampu untuk menampung bekalan makanan secara sendirian boleh berlaku. Sebaiknya juga pihak kerajaan perlu ada dasar untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang berdikari dalam bekalan makanan. Beberapa strategi perlu dilaksanakan dengan meningkatkan industri pertanian negara. Hasrat ini boleh dicapai apabila ramai lagi sebagai rakyat Malaysia membeli barangan tempatan dan hasil keuntungan yang diperoleh petani digunakan untuk menambah baik kualiti dan kuantiti pengeluaran mereka dengan bimbingan yang betul dan menyeluruh daripada agensi kerajaan. Kemudahan teknologi dalam industri pertanian juga menjadi pendorong kepada hasrat ini dimana sayur-sayuran boleh tumbuh tanpa tanah dan ikan boleh diternak tanpa air sungai ataupun air laut. Sektor pertanian di Malaysia perlu dikukuhkan demi dasar keterjaminan dan kedaulatan makanan negara. Industri pertanian di negara ini mempunyai potensi yang besar untuk ditambah baik dan dimanfaatkan sendiri oleh penduduk negara ini. Kekayaan sumber semula jadi seperti bekalan air, tanah tinggi dan tanah landai seharusnya menjadi kelebihan yang digunakan oleh kita dengan sebaiknya untuk mereka dapat mengusahakan pertanian yang berkualiti tinggi. Inisiatif ini boleh dijayakan sekiranya pengurusannya dilaksanakan dengan penuh hemah, telus dan menerima cadangan serta kritikan daripada pihak-pihak yang terbabit. Persepsi sedia ada oleh masyarakat juga harus diubah dengan baik kerana bidang pertanian sebenarnya sangat menguntungkan.  Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
SEKTOR PERTANIAN... PENTINGNYA...
BEKALKAN MAKANAN...SENTIASA....
PASARAN DOMESTIK... EKSPORT JUGA...
DASAR STRATEGIK... MAKANAN ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(11 Zulkaedah 1444H).
Posted from:
Room 1017, Bayview Hotel,
Kuah, Langkawi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...