Support My Blog

Thursday, May 11, 2023

DAUN KELAPA - PELBAGAI GUNA! (Part 1)

DAUN KELAPA
(Coconut Leaves) merupakan salah satu komponen pada pokok kelapa yang mempunyai pelbagai kegunaan selain daripada bahagian buahnya, batang, pelepah, akar dan juga bahagian lain. Tanaman Kelapa (Cocos nucifera) merupakan tanaman yang ke empat terpenting di Malaysia dengan keluasan pada tahun 2022 adalah sebanyak 81,898 hektar dengan ia mampu untuk mengeluarkan hasil sebanyak 561,780 metrik tan buah kelapa setahun (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia  2022).  Kawasan utama penanaman kelapa di Malaysia adalah di Johor, Sabah, Sarawak, Perak dan Selangor. Pengeluaran kelapa di Malaysia masih tidak dapat menampong kekurangan kelapa terutamanya di sektor perkilangan membolehkan Malaysia mengimport sekitar 230 - 260 juta biji kelapa tua (1 biji sama dengan 1 kg kelapa) dalam setahun oleh 18 buah syarikat yang diberikan kebenaran mengimport dari Indonesia oleh karajaan Malaysia melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS). Selain biji kelapa tua yang diimport dilaporkan sebanyak 8 juta kilogram isi kelapa dibawa masuk bagi sektor perkilangan kelapa di Malaysia. Tanaman kelapa di Malaysia telah mengalami penyusutan keluasan sejak tahun 1980'an apabila program khusus Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) melalui Jabatan Pertanian dihentikan. Banyak kawasan kelapa di Malaysia yang ditukar kepada tanaman kelapa sawit, ditebang untuk dijadikan kawasan perkilangan dan perumahan selain daripada ada yang ditinggalkan tidak berjaga begitu sahaja. Saya ada menulis lebih dari 300 artikel mengenai industri kelapa di Malaysia dalam blog ini semenjak 13 tahun lalu dan menjadi salah satu bahan rujukkan penting kepada banyak pihak. Banyak jenis makanan dan kuliner di Malaysia yang masih menggunakan kelapa sebagai bahan penting sama ada untuk masakan lauk, kuih mueh dan sebagainya. Buah kelapa adalah komponen paling penting yang digunakan didalam industri penanaman kelapa selain daripada kegunaan pada bahagian daun, batang, akar sabut, tempurung dan juga sebagainya. Artikel pada petang Rabu ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparka artikel yang ke 7,468 mengenai beberapa kegunaan DAUN KELAPA untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan semua.


Bagi penulis blog yang juga menjadi salah seorang pakar agronomi dalam industri kelapa mendapati tanaman kelapa memang ada banyak manfaat bermula dari bahagian buah, batang sehingga kepada daunnya. Manfaat daun kelapa juga beragam yang mana ia tidak hanya untuk membangunkan sebuah rumah tetapi juga dapat digunakan sehingga untuk kegunaan dunia kesihatan. Manfaat daun kelapa dalam bahan aktiviti kerajinan tangan mampu hasilkan pelbagai produk kraftangan. Manfaat daun kelapa ini mungkin boleh dijadikan asas jika sesiapa berminat untuk menjadikan daun kelapa dalam menjana ekonomi juga. Dalam beberapa laporan dinyatakan daun kelapa digunakan didalam rawatan akibat Luka Terbakar, Membuat Penyapu Lidi, Dianyam menjadi atap, Dianyam untuk aksessori (Sering diguna semasa festival di kalangan orang pribumi atau orang asli). Dianyam untuk pembungkus ketupat, Dijadikan Pelamin semasa Majlis Perkahwinan, Lidi sebagai Penyucuk Sate, Rawatan Sakit Radang, Bahan Makanan Ternakan dan juga DIjadikan untuk bahan makanan. Rumh orang dulu-dulu atau membuat pondok di kebun atau disawah sering dibina dengan menggunakan bahan asas dari pokok kelapa. Tiang dan lantai rumah dibuat dari batang kelapa yang di jadikan tiang, beruti dan papan. Bahagian dindingnya pula dipasang sama ada dengan papan batang kelapa atau anyaman dari daun kelapa. APa yang pasti adalah atapnya dibuat dari daun kelapa (Sila lihat foto disebelah). Pada penulis blog rumah seperti ini memang nyaman untuk diduduki kerana ia sejuk pada siang hari dan selesa pada malam harinya. Bergantung kepada cara penyediaan dari pokok kelapa rumah seperti ini kerana ia akan tahan bertahun-tahun jika diselenggara dengan baik. Terkini rumah seperti ini ada dijual sebagai rumah dikawasan taman rekreasi atau dikawasan lapang rumah dibandar. Umumnya m
embuat atap dari daun kelapa dikatakan mudah dan efektif. Caranya adalah dimana daun kelapa tua yang belum kering dianyam dengan dan rapi dan kuat sebagai kepingan atap dan dipasang diatas rumah dengan mengikatnya. Walau pun kini ia agak kurang digunakan kepada rumah moden tetapi atap dari daun kelapa boleh ditempah khas untuk membelinya.


Dikalangan masyarakat moden mungkin ramai yang tidak tahu dimana daun kelapa telah digunakan untuk rawatan akibat luka terbakar sejak zaman dulu. Ini kerana banyak amalan dulu dimana bahagian sisik pelepah daun kelapa akan dikikis dan disapukan dibahagian yang luka terbakar. Kemudian baru dibalut dengan kertas luka atau kain pembalut luka yang kering dan dibiarkan sehingga menyembuhkannya. Bagaimana pun sebaiknya pada bahagian luka terbakar ini dibersihkan dahulu dan disapukan dengan bahan antiseptik sebelum disapukan dengan sisik daun kelapa tersebut terutama kepada luka terbakar yang minor atau sedikit sahaja. Jika kesan terbakar pada tahap serius adalah disyorkan untuk dirawat di klinik perubatan swasta atau hospital yang mana berdekaran. Membuat Penyapu Dari Lidi Daun Kelapa merupakan satu aktiviti yang penulis blog tahu semenjak kanak-kanak lagi. Daun kelapa sama dengan daun kelapa sawit atau daun dari pokok dalam keluarga Arecaceae yang lain ada yang sesuai dijadikan bahan untuk dijadikan Penyapu Lidi. Pada masa dulu sehingga sekarang pun penyapu lidi ini ada dijual dan digunakan untuk membersihkan lantai dan dinding rumah dari kekotoran dan sesawang. Daun kelapa memang mempunyai bahagian keras ditengahnya yang mana ia dipnggil sebagai 'tulang daun' dan apabila dibuang pada 'lai daunnya' maka yang tinggal adalah lidinya. Apa pun proses ini sebaiknya gunsksn daun kelapa yang sudah tua sahaja digunakan kerana ia lebih tahan lama, lembut dan mudah disediakan. Kini penyapu lidi (untuk outdoor garden) ada dijual secara online di Shopee dengan harga RM4.00 satu unit dan ia adalah tahan lama. Satu lagu kegunaan daun kelapa dalam dunia perawatan kesihatan adalah ia digunakan untuk bantu  mengurangkan keradangan otot. Amalan ini didakwa sering dilakukan dikalangan masyarakat tradisional dikampong-kampong terutama apabila berlaku sakit tegang otot akibat bekerja di kebun. Caranya adalah dengan kaedah mengambil daun kelapa (yang agak muda) dan direbus kemudian airnya diminum. Cara lain dengan menggunakan air rebusan daun kelapa tadi sebagai air tersebut sebagai salah satu campuran mandi yang digunakan semasa suam panas disiram pada tubuhbadan. Bagaimana pun kini dengan adanya 'water heater' dirumah ia sudah semakin dilupakan oleh masyarakat moden dalam menggunkan daun kelapa.


Pada penulis blog daun kelapa muda yang dianyam menjadi Kelongsong Ketupat merupakan sesuatu yang sangat sinonim setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Korban saban tahun. Pada penulis blog yang mahir dalam kerja menganyam ketupat ini memang sudah menjadi satu kewajiban dalam menyediakan ketupat disetiap kali raya tiba yang selalu dimakan dengan rendang (rendang atau daging lembu), kuah kacang, lodeh dan lauk lain pada hari raya. Makanan 
Ketupat mempunyai nilai estetik tersendiri kerana ianya merupakan sejenis makanan yang di perbuat daripada daun kelapa muda atau daun palas yang dianyam dan diisikan dengan beras atau pulut sebelum direbus sehingga cukup masak. Ramai rakyat Malaysia kini menggunakan ketupat moden iaitu beras yang diisikan dalam bekas plastik khas berlubang-lubang dan direbus sama seperti ketupat tradisional dikenali sebagai 'ketupat segera'. Saya ada menulis artikel mengenai ketupat dalam blog ini yang boleh dibaca dengan pautan (Sila klik disini) untuk maklumat lanjut. Ketupat Tradisional dibahagikan kepada dua jenis iaitu Ketupat Nasi dan Ketupat Pulut. Ketupat Nasi lazimnya diperbuat daripada daun kelapa muda yang dianyam khusus untuk dijadikan kerangka ketupat atau Kelongsong Ketupat. Daun Kelapa Muda yang di kampong saya di Johor dipanggil sebagai 'JANUR' ini diambil dari pokok kelapa dikawasan rumah. Daun kelapa yang lembut dan berwarna kuning kehijauan di buang bahagian lidi untuk mendapatkan 2 helai daun ketupat. Kaedah menganyam daun ketupat ada beberapa cara dan bentuk. Antara bentuk ketupat yang popular ialah seperti KETUPAT BAWANG, KETUPAT SATE dan KETUPAT SINTOK serta yang handal akan buat KETUPAT JANTUNG. Anyaman membuat ketupat sate adalah yang paling mudah disediakan diikuti dengan ketupat bawal. Bagaimana pun pada penulis blog menganyam ketupat Jantung paling susah dibuat kerana ia melibatkan dua helai daun kelapa untuk dianyam berbentuk sepertu jantung manusia. Apa pun jenis ketupat yang dibentuk tetapi rasanya adalah tetap sama dan enak belaka. Artikel ini ditulis dalam tiga (3 ) segmen yang perlu dibaca semuanya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
DAUN BERGUNA... DARI DAUN KELAPA....
DIBUAT PENYAPU LIDI...IA SUDAH BIASA...
KELONGSONG KETUPAT...DIHARI RAYA...
BARANGAN AKSESORI... PELBAGAI GUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(13 Syawal 1444H).
Posted from,
Raub, Pahang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...