Support My Blog

Thursday, May 4, 2023

BUAH NADIR DAN KEPENTINGANNYA (Part 3)

BUAH-BUAHAN NADIR
merupakan jenis buah-buahan yang tumbuh secara semulajadi atau ditanam tetapi ia jarang-jarang ditanam di peringkat komersial. Kebanyakan buah nadir ini apa yang penulis blog ketahui adalah ia ditanam bercampur dengan buah-buahan lain di dalam dusun atau dijadikan pohon teduhan di kawasan halaman rumah. Pengalaman penulis blog seasa bertugas di Jabatan Pertanian Malaysia yang terlibat terus dengan dokumentasi mengenai buah-buahan nadir ini mendapati ada lebih 60-70 spesies buah-buahan nadir telah dikelaskan ke dalam kategori buah-buahan nadir dan diterbitkan dalam risalah rasmi jabatan. Setiap kali ada pameran Hari Peladang dan Neayan Kebangsaan (HPPNK) dan MAHA memang penulis blog ada terlibat menyediakan bahan pameran buah-buahan nadir ini untuk dilihat oleh para pengunjung. Malaysia mempunyai iklim yang sesuai untuk pelbagai spesis buah-buahan. Kemudian dibuat pemerhatian dimana penulis blog mendapati buah-buahan di Semenanjung Malaysia boleh di golongkan kepada tiga kelas iaitu Buah-buahan Utama, Buah-buahan Nadir dan Buah-buahan Liar. Dilihat iaitu pokok buah-buahan yang dikenali sebagai buah-buahan nadir kebanyakannya dibiarkan dalam keadaan separuh liar tanpa penjagaan yang sempurna. Biasanya ia ada banyak terdapat di kampung-kampung sama ada di halaman rumah, di dusun kecil bersama pokok buah-buahan yang lain atau di pinggir hutan. Apa pun didapati spesis buah-buahan nadir ini ada yang boleh dimakan dalam keadaan segar seperti Buah Tampoi dan Buah Salak. Selain dimakan dalam keadaan segar penulis blog dapatia ada juga beberapa spesis buah-buahan nadir ini juga berpotensi untuk diproses. Antaranya Buah Sentul, Asam Jawa, Cermai dan sebagainya. Biasanya terdapat juga buah-buahan nadir yang tidak dapat dimakan kerana terlalu masam atau kelat dan ia bagaimana pun sesuai diproses untuk dijadikan halwa dan jem yang sedap rasanya. Memandangkan buah-buahan nadir ini tidak diberi perhatian dan hampir-hampir dilupakan maka ada usaha-usaha mengumpulkan semula maklumat tentang buah-buahan ini oleh pihak Jabatan Pertanian dan organisasi lain untuk dijadikan janaplasma. Artikel pada pagi Sabtu ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya gembira untuk kongsikan mengenai kepentingan buah nadir untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.


Buah-buahan yang terdapat di negeri Sabah dan Sarawak juga boleh dikelaskan dengan cara yang sama tetapi julat spesies bagi setiap kategori berbeza sedikit dengan keberadaan buah nadir di Semenanjung Malaysia. Penulis blog yang pernah bertugas selama lebih 2 tahun di Jabatan Pertanian Sarawak dan sering juga dapat mengunjungi Jabatan Pertannian Sabah amat sering menjumpai kepelbagaian buah untuk yang memang tidak terdapat di Semenanjung Malaysia. Antara yang penulis blog ingat seperti Buah Dabai (
Canarium odontophyllum), Buah Tarap (Artocarpus odoratissimus), Buah Terung Dayak (Solanum ferox), Buah Durian Merah (Durio graviolens) dan banyak lagi yang mana ia tidak terdapat di Semenanajung Malaysia. Buah Dabai sekali pandang macam buah kurma yang berukuran 4-6 cm panjang dengan ukurlilit buah 3-5 cm (Sila lihat foto sebelah). Buah ini perlu dileraikan daripada tangkai untuk dimakan dengan cara merendamnya dahulu dalam air panas untuk tujuan bagi melembutkannya. Kulit buah dabai dan isinya agak keras untuk digigit terus dan rasanya juga kurang enak. Apabila telah dcelur akan lembut dan boleh digigit atau di potong dengan pisau. Bijinya unik iaitu berbentuk kon tigasegi berwarna coklat kekuningan dan boleh dijadikan biji benih untuk anak pokok. Terdapat juga buah dabai yang isinya berwarna hijau. Sila baca beberapa artikel berkaitan dengan pautan (Sila klik disini). Buah Tarap pula bukan saja buah penting kepada masyarakat Kadazandusun, malah ia digemari masyarakat pelbagai kaum di Sabah dan sentiasa dicari apabila tiba musim buah itu dengan harga runcit dijual diantara RM2 - RM10 sebiji mengikut saiz. Sama seperti durian yang mempunyai pelbagai variasi, tarap juga ada beberapa jenis yang selalu dinamakan mengikut kualiti dan tekstur buah. Penulis blog banyak kali ujirasa buah tarap di Sarawak dan Sabah semasa menjalankan tugas di kawasan pendapalam bersama rombongan. Sila baca artikel berkaitan dalam blog saya dengan pautan (Sila klik Disini). Apa pun selain itu kebanyakan buah- buahan komersial yang ada di Semenanjung Malaysia ada di Sabah dan Sarawak. Bagaimana pun didapati durian spesies asli negeri-negeri tersebut lebih digemari daripada durian kampung (Durio zibethinus) yang sangat popular di Semenanjung. Penanaman buah-buahan kebanyakannya diusahakan secara kecilkecilan dan masih banyak spesies buah-buahan yang hidup liar di hutan-hutan, sesetengahnya tidak terdapat di Semenanjung Malaysia.


Penulis blog gemar sekali dengan buah DURIAN ISI MERAH (Durio graviolens) merupakan sejenis buah durian yang unik dalam kategori buah nadir di Sabah. Buah ini juga terdapat di kebanyakan kawasan lain di Borneo seperti di Sarawak, Kalimantan dengan pelbagai nama yang berlainan. Penulis blog amat 'exited' apabila ada sebakul mengandungi lebih daripada 15 biji buah durian isi merah ini dibawa ke pejabat di Stesyen Pertanian Bukit Quion di Tawau dan sedia untuk membuat ujirasa. Buahnya agak kecil dengan duri yang sangat tajam berkulit nipis dan ia memang mudah sahaja dibelah dengan isi yang berwarna 'MERAH KUAT' dan amat menarik untuk terus dimakan (Sila lihat foto disebelah). Kulit bahagian dalam buah berwarna putih krim sama dengan durian komersil yang lainnya. Warna isi merah ini memang unik sekali dan tidak sabar memakannya. Memang ia dilihat lebih menyelerakan berbanding dengan warna isi durian komersil yang diujirasa iaitu ada manis dan pahit yang kuat. Sila baca artikel berkaitan dalam tulisan saya dengan pautan (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Buah ini ada di jual di Pasar Tamu dan Pasar Biasa iaitu apabila tiba musimnya. Seterusnya pada penulis blog adalah Terung Dayak (Solanum travum) yang selalu ada dijual di pasar-pasar dan enak sekali dimakan dengan ikan air tawar.  Buah Terung Dayak mempunyai buah yang isinya sangat masam dan digunakan sebagai sayuran seperti di masak 'Sup Air terung dayak' atau ditumis sahaja seperti dengan asam pedas. Terung ini juga digunakankan dalam masakkan kari sebagai penambah keenakan rasa masam. Penulis mendapati Biji Terung Dayak digunakan sebagai ubat untuk mengurangkan sakit gigi iaitu dengan memasukkannya biji kedalam daun pisang (separa kering) kemudian gulong. Bakar daun tersebut dan sedut seperti menghisap rokok sehingga sakit gigi berkurangan. Secara tradisional juga saya mendapati akar terung dayak digunakan untuk menyembuhkan luka-luka, calar pada kulit, gatal-gatal dan yang paling menakjubkan didakwa mampu menyembuhkan Penyakit Syphilis. Sila baca beberapa artikel mengenai terung dayak dengan pautan (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Sebenarnya banyak lagi buah nadir di Sabah dan Sarawak yang boleh dibaca dalam blog ini dengan cara google anim agro technology buah dicari. 


Selanjutnya penulis blog bincangkan kepentingan dan k
egunaan Buah Nadir untuk dijadikan rujukkan. Pertama dimana ia sebagai buah segar (fresh fruit) yang boleh dimakan terus begitu sahaja atau dicicah dengan bahan lain.  Kebanyakan spesies buah nadir boleh dimakan dalam keadaan segar seperti jenis buah Pulasan, Kuini, Bacang, Kundang, Remia, Cerapu, Tampoi, Salak, Rambai, Jentik-jentik, Kerian, Rokam, Delima, Binjai, Kedondong, Mata kucing, Sentul, Nona, Lanjut, Nam-nam, Tarap (Sila lihat foto disebelah), Durian Merah dan semua jenis Buah Jambu (Jambu Air Merah, Jambu Susu atau Jambu Gelas, Jambu Bol). Apa pun penulis blog dapati dimana kebanyakannya berjus dan berasa manis atau masam-masam manis. Kegunaan buah nadir yang kedua adalah untuk diproses. Beberapa spesies buah nadir pula berpotensi untuk diproses seperti spesis Buah Sentul, Kundang, Remia, Asam jawa, Rokam masam, Belimbing Buluh (Di Pahang dijadikan Sambal Hitam Pahang - boleh dibaca dengan pautan  Sila Klik Disini), Cermai, Rambai, Buah Melaka, Buah Pala, Kelubi, Salak dan banyak lagi. Kegunaan ke tiga buah nadir adalah sebagai Makanan Ulam dan sayuran yang menambah selera makan. Selain dimakan segar beberapa spesies buah-buahan nadir dimanfaatkan sebagai ulam dan sayur. Buah-buahan yang dibuat ulam ialah termasuk Petai, Jering, Kerdas dan Putat. Beberapa spesies seperti gajus, sukun, kulur, sentul, ara dan belimbing buluh apa yang penulis bloh tahu digunakan dalam masakan sebagai sayur-sayuran. Ada juga buah-buahan nadir digunakan sebagai perasa asam untuk gulai dan masakan lain. Buah Nadir tersebut ialah asam gelugur, asam jawa, bacang, pauh, kundang, kedondong,limau nipis, limau kasturi, sepam dan lain-lain. Selain buahnya penulis blog dapati dimana ada bahagian-bahagian lain juga kadang-kadang digunakan sebagai sayur atau ulam misalnya pucuk gajus dan putat dibuat ulam, kulit buah rambai dibuat gulai dan pucuk melinjau dimasak dan dimakan dengan nasi. Pucuk salam digunakan sebagai perasa dalam masakan. Pendek kata memang ada banyak kepentingan dan khasiat daripada tumbuhan pokok nadir yang dikenalpasti.


Telah dijalankan banyak kajian mengenai khasiat makanan pada kebanyakan spesies buah nadir ini dan ia merupakan sumber penting pektin dan serabut. Kepentingan bahan-bahan ini perlu untuk kesihatan tubuh badan kerana berfungsi merancang aktiviti usus dan membantu mengelakkan sembelit dan gangguan usus. Buah-buahan nadir dilaporkan adalah sumber penting vitamin apabila kajian mendapati ada banyak spesies buah nadir yang mengandungi vitamin C. Vitamin C perlu untuk mengekalkan kesihatan kulit, gigi dan gusi dan didakwa mengelakkan daripada demam dan selsema. Kajian menunjukkan dimana seperti contoh buah binjai, redan, gajus, limau nipis dan buah melaka memang ia mengandungi vitamin C yang tinggi (108- 224 mg/100 g). Sementara itu bagi Buah Bacang, jambu bol dan kameto mempunyai vitamin C yang sederhana (sekitar 40-72 mg/ 100 g). Beberapa spesies buah-buahan nadir mengandungi vitamin B seperti Buah Delima, Bilak, Gelinggai dan Gajus dimana ia mengandungi vitamin B2 yang diperlukan untuk menambah selera makan dan merawat mengelakkan daripada sakit lidah, tekak dan kulit. Buah-buahan nadir juga memang  membekalkan mineral seperti kalsium, magnesium, fosforan, kalium, sulfur dan zat besi. Buah Gajus, gelinggai dan bilak adalah antara buah yang mengandungi bahan mineral yang mana ia diperlukan oleh tubuh badan dalam kuantiti yang kecil. Kekurangan mineral boleh mengakibatkan gangguan metabolisme dan gangguan lain. Buah-buahan kaya dengan asid organik yang membantu proses penghadaman dan menambah selera makan. Bahan Asid Citrik terdapat pada limau manakala asid tartarik terdapat pada buah asam jawa. Kebanyakan buah-buahan tidak mengandungi zat protein dan lemak yang diperlukan oleh tubuh badan dan sebab itulah buah-buahan hanya merupakan makanan tambahan kepada manusia. Dalam kes ini kepentingan buah nadir sebagai ia mempunyai kh
asiat perubatan tidak dapat dinafikan. Ada banyak spesies buah-buahan nadir berkhasiat ubatan. Khasiat ini berbeza-beza antara satu spesies dengan spesies yang lain. Buah ini sebagai sumber vitamin, pektin dan selulosa yang diperlukan untuk kesihatan dan mengelakkan daripada beberapa jenis penyakit. Buah-buahan nadir yang berkhasiat ubatan ialah seperti gajus, delima, buah melaka, belimbing masam, asam jawa, asam gelugur, buah pala, wampi, petai, jering dan kerdas. Belimbing masam dipercayai dapat mengawal tekanan darah tinggi. Begitu juga buah-buahan yang dimakan sebagai ulam seperti petai, jering dan kerdas. Limau nipis dan limau purut telah lama digunakan dalam perubatan tradisional. Selain buah, bahagian-bahagian lain pokok dibuat ramuan ubatubatan untuk mengubati berbagai-bagai penyakit. Bahagian-bahagian tersebut ialah seperti daun, bunga, kulit batang, akar dan biji. Daun gajus boleh menyembuhkan ulser di mulut dan mengurangkan tekanan darah tinggi. Biji kerian pula berkhasiat untuk mengawal penyakit kencing manis, begitu juga daun pokok ara. Artikel ini ditulis dalam lima (5) segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3, Part 4 dan Part 5 yang sesuai dibaca semuanya. Semuga tulisan ini mampu memberi info berguna kepada semua pambaca blog anim agro technology yang ke 7,465 kali ini. Wasallam!!...
BUAH NADIR... BANYAK JEBISNYA...
JARANG DITANAM... SIKIT HASILNYA...
BANYAK GUNA... SEPERTI DIDAKWA...
KOLEKSI TANAMAN.... JANAPLASMA...
MAMBACA ARTIKEL.. INFO BERGUNA...

By, 
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka,
Melaka,
Malaysia.
(8 Syawal 1444H).
SELAMAT HARI RAYA!!!...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...