Support My Blog

Friday, April 9, 2021

DAUN PALAS DAN KISAHNYA

POKOK DAUN PALAS
(Licuala grandis) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Arecaceae (palm tree) yang terdapat di Malaysia secara semualajadi. Ramai orang Malaysia mengaitkan pokok daun palas dengan 'Ketupat Palas' yang popular semasa sambutan Hari Raya Aidil-Fitri atau Hari Raya Aidiladha. Bagaimanakah aspek pencirian tumbuhan ini sebenarnya dan bolehkah tumbuhan ini di tanam secara komersial untuk pelbagai tujuan?. Tumbuhan ini dipanggil juga sebagai Fan Palm, Vanuatu Palm Palm dan di kawasan kita dipanggil sebagai Pokok Daun Palas. Pokok ini juga popular ditanam untuk tujuan landskap di kawasan rumah dan juga dikawasan taman-taman riadah oleh beberapa pihak berkuasa tempatan. Pokok Palas merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dengan mempunyai daun yang berwarna hijau berbentuk kipas yang cantik. Pokok ini adalah 'special' dan jarang-jarang dijumpai seperti tumbuhan lain didalam hutan ditempat kita. Hasil pembacaan dari beberapa sumber mendapati terdapat 5 jenis palas yang sering terdapat di Malaysia iaitu Palas Kipas (Licula grandis), Palas Duri (Licula sapinosa Roxb), Palas Bintulu (Licola bintuluensis), Palas Borneo (Licula cordata) dan juga Palas Sarawak (Licula orbicularis). Palas yang digunakan untuk tanaman hiasan dikeliling rumah sebagai pokok hiasan atau ornamental plants adalah dari jenis palas kipas yang tumbuh dari satu batang dan mempunyai daun yang terbit dari pangkal pokok. Belum banyak maklumat mengenai tabiat dan agronomi tumbuhan ini dikaji di Malaysia dan belum ada laporan rasmi keluasan penanaman pokok palas secara komersial di negara kita. Pemerhatian mendapati kawasan yang sesuai untuk pokok palas tumbuh adalah dari kawasan tanah yang mempuynyai saliran baik, lereng bukit dan pokok ini lazimnya memerlukan naungan (Shaded area). Pokok yang mempunyai batang tunggal ini mengeluarkan pelepah daun dibahagian atas pokok yang mana hanya satu daun terbit dari satu tangkai. Ketinggian pokok palas mampu mencecah 6-7 kaki dan lazimnya pokok dewasa akan menghasilkan buah berwarna merah berbentuk seperti 'cherry' yang terdapat dalam berangkai. Buah yang masak ini menarik haiwan untuk memakannya. Pokok palas mempunyai akar serabut seperti pokok palma yang lain dan memerlukan kawasan yang sederhana lembab untuk kesuburannya. Terdapat beberapa maklumat mendapati pokok palas mampu hidup lama di kawasan yang sama pada perdu yang berubah-ubah sehingga 30-40 tahun. Belum ada maklumat rasmi mengenai kaedah pembiakan pokok palas tetapi saya percaya ianya melalui biji benih yang matang (Lazim bagi keluarga palmae). Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam blog  "Anim Agro Technology" mengenai beberapa kisah tentang daun palas  dilaporkan akhbar tempatan sebagai testimoni untuk bacaan dan rujukkan pembaca semua.

Dalam portal berita Mymetro dengan judul 'Uniknya ketupat palas pelbagai inti' wajar dijadikan bahan bacaan. Bermula 
hanya menjual ketupat palas di gerai di bahu jalan bagi membantu menambah pendapatan keluarga selepas suami terbabit dalam kemalangan, Norhashimah  kini berbangga apabila makanan tradisional itu berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Ketupat palas diusahakan Norhashimah dan suaminya pernah dijual lebih enam bulan di sebuah kafe dimiliki rakannya di Perth, Australia. Bermula dengan hanya menghasilkan ketupat palas lemak manis, produk dijual Norhashimah dan Mohd Faizu kini lebih variasi dengan pilihan ketupat berintikan sambal daging, sambal ikan, jagung dan kacang selain ketupat palas pulut hitam. Pelbagai kesukaran dan kepayahan terpaksa ditempuhi dalam mereka mengusahakan perniagaan berasaskan makanan tradisional terutama apabila lebih 50 kilogram pulut dimasak untuk membuat ketupat tidak menjadi. Pendapatan diperoleh hasil jualan ketupat palas pelbagai inti meningkat dari RM2,000 kepada RM7,000 sebulan. SME Corps meluluskan geran bernilai RM50,000 untuk pasangan itu membuka kilang di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) di Kampung Kubang Jela, Manir pada 2016. Ketupat palas pelbagai inti ini mendapat permintaan pemilik pasar raya yang memiliki gedung terbesar di negara ini, tetapi permintaan itu terpaksa ditangguhkan kerana kami sedang menunggu kelulusan sijil halal dan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) bagi membolehkan produk memenuhi syarat untuk menembusi pasaran luar negara. Mereka kini berjaya untuk mengeluarkan ketupat palas pelbagai inti antara 3,000 dan 5,000 biji sehari dengan pembungkusan bersih dan dapat memenuhi piawaian pasaran. Penggunaan daun palas perlu bagi mengekalkan keaslian ketupat dan mereka tidak akan ubah dari menggunakan bahan lain dan mengakui ketupat yang disejuk beku dihasilkan mampu bertahan selama enam bulan.

Bergelar 'Saudagar Palas Utara' daripada Padang Terap, Kedah En Mohd Isa dari Kampong Pong kini 
menjadi pembekal utama daun palas di kawasan utara berikutan pohon itu tumbuh di kawasan kebun getahnya seluas lima hektar. Beliau menjadikan daun palas sebagai perniagaan yang berjaya.  Kegunaan daun palas untuk bungkusan ketupat di kawasan utara bagaikan satu kemestian tetapi pokok palas sukar diperoleh kerana tumbuh liar dalam hutan. Pokok Palas dengan santifiknya Licuala grandis hanya tumbuh beberapa pokok saja di kebun getahnya yang terletak tiga kilometer dari rumahnya tetapi semakin banyak terutama selepas bapanya menabur biji buah pokok itu di sekitar kebun. Ia tumbuh dengan banyak antara pokok getah yang kini dianggarkan terdapat ribuan pokok palas di kebun ini. Menariknya pokok ini tidak memerlukan penjagaan rapi asalkan berada di kawasan lembap seperti di kebun getah. Setiap kali hari raya dia mampu membekalkan 10,000 pucuk daun palas di negeri ini termasuk Perlis dan Pulau Pinang dimana dia juga seorang penoreh getah. Setiap pucuk daun palas itu dijual antara 80 sen hingga RM1.00 bergantung kepada saiz. Daun palas yang lebih dikenali sebagai daun palas minyak itu ada kelebihan tersendiri iaitu lebih lebar, nipis, mudah dibentuk selain tidak mudah pecah menjadikannya sentiasa mendapat sambutan. Kalau dulu ia dijual murah tidak sampai 40 sen sepucuk namun sejak enam tahun lalu harganya naik berikutan pokoknya semakin sukar ditemui. Dia kini bersyukur kerana bapa dia meluaskan tanaman ini di kebun getah kami, malah ia menjadi pendapatan sampingan saya terutama Aidilfitri. Pada musim perayaan ini dia berhenti menoreh getah bagi memberi tumpuan mengambil daun palas. Pendapatannya sebagai penoreh getah hanya cukup makan iaitu kira-kira RM500 sebulan dimana dengan adanya bekalan daun palas dapatlah saya dan keluarga menampung perbelanjaan untuk menyambut hari raya dengan lebih meriah. Selain musim perayaan dia turut menerima tempahan bagi membekalkan daun itu dengan tempahan melebihi 200 pucuk sehari.

Memang dilaporkan dimana bukan mudah membuat ketupat palas seperti dilaporkan dalam akhbar My Metro. Lazimnya ketupat 
palas menjadi antara juadah tradisional mudah didapati pada bulan Ramadan dan Syawal di Malaysia. Bagi usahawan Rahimah Omar yang berummur 59 tahun yang juga pembuat ketupat palas tradisional dari Kampung Kubang Palas, Banggu, Kota Bharu, Kelantan ini memang sudah saban tahun beliau tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pendapatan bagi tujuan memenuhi permintaan pelanggannya terutama pada bulan Ramadan dan Syawal. Dakwanya ketika memproses ketupat palas, dia 'mengarong' (mengadun) pulut bersama santan menggunakan kudratnya 100 peratus tanpa bantuan mesin (Sila lihat foto disebelah)Proses 'mengarong' pulut bersama santan agak memenatkan kerana ia sentiasa perlu dikacau menggunakan senduk kayu supaya adunan menjadi lebih sebati selain ketupat tahan lama iaitu sehingga enam bulan jika diletakkan di dalam peti sejuk beku serta tidak cepat basi.  Bagaimanapun, petua orang dahulu kala ada memberitahu, selepas pulut siap dikukus ia tidak boleh diletakkan di atas simen kerana pulut akan berbau 'tengik'. Dakwanya antara  cabaran paling besar adalah mencari daun palas dan ada kalanya ia sukar diperoleh, namun dia tetap berusaha meneruskan punca pendapatan sejak 30 tahun lalu itu. Daun palas itu digulung membentuk kelongsong tiga segi sebelum dibersihkan dan kemudian diisi pulut sudah dikukus ke dalam kelongsong itu. Ibu kepada sembilan anak itu berkata, kemahiran membungkus penting kerana jika tidak, bentuk segi tiga kelihatan kurang kemas dan kurang menarik.

Wau Daun Palas merupakan salah satu darikraftanganunik yang menjanjikan kelainan. Dari celah daun pintu yang terbuka, kelihatan seorang lelaki warga emas sedang sibuk meraut buluh sebelum dicantum menjadi rangka wau. Oleh itu b
agi menghilangkan rasa penat maka sesekali Samat Man berumur 73 tahun atau lebih mesra dengan panggilan Pak Non akan menggesek biola sambil menyanyikan lagu 'Itik pulang petang' sebagai hiburan dalam menyiapkan Wau Helang iaitu sejenis wau tradisi unik menggunakan daun palas. Beliau pernah mendapat satu pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf Wau oleh Kraftangan Malaysia pada 2018, Pak Non mula mempelajari teknik membuat wau menggunakan daun palas daripada datuknya ketika berusia belasan tahun. Berdasarkan cerita datuknya, masyarakat pada zaman dahulu di Perlis dengan menggunakan daun palas untuk dijadikan wau sebelum penggunaan kertas diperkenalkan. Menurut cerita tok wan, orang dulu-dulu di Perlis guna daun palas untuk membuat wau kerana pada masa itu sukar untuk mendapat kertas, seingat Pak Non kali terakhir melihat pembuat wau guna daun palas sekitar tahun 1970-an. Proses membuat wau palas adalah lebih rumit dan mengambil masa yang agak panjang berbanding wau biasa kerana memerlukan ketelitian bermula daripada proses mengeringkan, membentuk, menjahit daun dan melekatkan daun palas pada badan wau dakwanya kepada Bernama di Kampung Tok Kaya dekat Kuala Perlis. Dia mengimbangkan bahagian tengah untuk rangka Wau Helang yang mana akan menggunakan daun palas.  Daun palas yang sesuai digunakan untuk membuat wau adalah 'Palas Jin' atau palas hutan tumbuh berdekatan bukit kerana daunnya lebar berbanding daun palas untuk membuat ketupat. Daun palas perlu dijemur selama dua hari hingga kering dan diseterika bagi mengurangkan kedutan dan membentuk permukaan licin. Beliau akan menjahit kepingan daun palas sebelum dilekatkan ke bahagian sayap wau. Wau palas lebih tahan lasak berbanding wau daripada kertas yang mudah rosak dan koyak apabila terkena air. Daun palas tidak cepat rosak jika terkena air dan wau akan lebih anjal berbanding wau yang dibuat daripada kertas. Daun palas yang dijahit menggunakan benang kapas lebih kemas jika dicantumkan menggunakan getah Rumbia namun bahan tersebut sukar diperolehi pada masa kini. Beliau ingin melihat tradisi wau palas dihidupkan semula dan sedia memberi tunjuk ajar jika ada anak muda yang berminat kerana tidak mahu warisan Melayu itu hilang begitu sahaja tanpa generasi pelapis. Sementara itu dakwa Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis Ahmad Said berdasarkan catatan lisan ada orang tua dahulu pernah menghasilkan wau menggunakan daun palas sebelum penggunaan kertas dalam pembuatan wau diperkenalkan. Penggunan bahan dari alam sekitar dalam penghasilan wau adalah baik dan bahan-bahan itu boleh diinovasi bagi memberi nilai tambah kepada bahagian gantian dalam pembuatan wau tradisional mengikut kesesuaian. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
DAUN PALAS.... SELALU DIGUNA..
PERMINTAAN TINGGI...HARI RAYA...
DIDALAM HUTAN... TUMBUHNYA DIA...
ADA KUALITI... MEMANG BERHARGA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka Bersejarah,
Melaka,
Malaysia.
(16 Syaaban 1442H).
Posted from
Hotel Sabah, Jalan Utama,
Sandakan, Sabah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...